Monday, 3 July 2017

AKU PESAKIT KRONIK



Hari ini 9 Syawal 2038 Hijriyah bersamaan 3 Jun 2017. Aku masuk ofis selepas cuti panjang lebih seminggu bersempena Hari Raya . Cuti panjang menimbulkan rasa malas untuk bekerja semula. Aku bukan macam orang lain yang boleh disuruh dan disarah buat itu dan ini. Aku bekerja ikut pace aku sendiri. Sikap ini terbina dalam diri aku secara perlahan. Bila umur tambah meningkat ia jadi sebati menjadikan aku susah bekerja dengan orang lain. Maksud aku, sekarang aku lebih senang buat kerja sendiri secara bebas. Alhamdulillah di firma guaman tempat aku bekerja sekarang, aku diberikan ruang yang aku perlukan.

Hari ini aku ingin berceloteh tentang penyakit. Semua manusia mengalami rasa sihat dan sakit. Tidak ada orang yang sihat sepanjang masa. Ramai orang takut jumpa doktor. Ramai yang menyembunyikan penyakit yang dihidapi. Ada sakit sekejap seperti demam ada sakit yang lama dan membawa merana seperti kanser. Ada sakit fizikal yang mudah kita nampak tetapi ada sakit yang tersembunyi seperti sakit mental dan sakit hati. Sakit-sakit ini lebih merbahaya. Bagi  aku biarlah orang tahu sakit kita sebab kalau musibah terjadi orang  mudah membantu.

Aku ingin berterus-terang. Aku telah dilanda sakit kronik sejak berpuluh-puluh tahun dan aku tidak pernah menyembunyikan fakta ini. Semasa di UK dahulu doktor mengatakan sakit aku ini suatu hidden disability (kecacatan yang tersembunyi). Isteri aku selalu mentertawakannya. "Abang ni OKU," katanya. Di Malaysia terdapat lebih 3.5 juta orang yang senasib dengan aku. Di seluruh dunia perangkaan terakhir menunjukkan terdapat hampir 500 juta orang menderita sakit yang sama. Maknanya kalau dibuat kelab penyakit, kelab sakit akulah yang paling ramai ahlinya hahaha :)

Ya, aku adalah pesakit kencing manis yang tegar. Tak glamour langsung istilah kencing manis ni jadi elok kita sebut diabetes saja barulah ada class. Ada kawan yang mencipta istilah yang lebih menggelikan hati iaitu pengidap sweet urine. Jadi aku ni sweet uriner lah gitu hahaha.

Secara jujur aku tak tahu bila sebenarnya aku dihinggapi diabetes. Tapi aku disahkan pengidap semasa berumur 27 tahun. Sekarang umur aku 54 tahun. Maknanya sudah 27 tahun aku disahkan pengidap diabetes. Masa dulu masyarakat tidak didedahkan dengan gejala ini. Aku tak tahu aku ada risiko yang tinggi kerana tidak tahu petanda-petanda awal. Kalau aku tau tentu aku lebih menjaga kesihatan. 

Aku rasa petanda-petanda itu telah muncul lebih awal iaitu semasa aku bekerja di Kuala Kubu Bharu. Sebagai majistret di situ hidupku terasing. Aku masak sendiri bila rajin tapi selalunya aku beli makanan di luar. Stok makanan aku banyak. Dapurku sendat dengan makanan dan minuman. Peti aisku penuh dengan berbagai minuman yang manis seperti Coca Cola (saiz besar), A&W, air tebu, air cincau, air soya dan lain-lain. Aku memang foodie suka makan. Dahulu masa belajar universiti selalu ikat pinggang jadi bila ada gaji aku sebat semua makanan. Tak ada orang yang melarang. Badan aku yang kurus naik mendadak. Masuk tahun kedua di KKB aku kerap rasa dahaga di tengah malam dan selalu rasa nak kencing semasa tidur. Rasa dahaga ini datang walaupun cuaca dingin. Jadi bila dahaga datang aku sebat minuman-minuman dalam peti ais. Rupanya inilah tanda-tanda awal diabetes. Kalau aku tahu aku takkan minum minuman bergas yang ada kandungan gula yang sangat tinggi. Lantaran kejahilan itu aku meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa menjaga pemakanan.

Bila aku berkahwin di awal 1990an, isteri aku hairan melihat mangkuk tandas selalu bersemut. Aku tidak merasa apa-apa kerana mengagak ia semut-semut yang sememangnya banyak dalam rumah. Satu hari semasa pergi klinik Ludher & Rakan-Rakan di Seksyen 14 Petaling Jaya aku terbaca satu maklumat kesihatan yang tertera di dinding klinik yang berbunyi "Jangan Biarkan Semut Mengetahuinya Dahulu". Isteri aku mendesak aku berjumpa doktor. Darahku diambil untuk ujikaji dan aku disuruh datang tiga hari kemudian.

Tiga hari kemudian aku berjumpa Dr Manjit Singh. Dia berumur awal 40an, berperwatakan tegas kerana dia bekas pegawai perubatan tentera berpangkat kolonel. Dia mengucapkan syabas kepada aku. Aku terpinga-pinga. Tahniah untuk apa? Doktor Manjit menjelaskan ujian darah mengesahkan aku adalah pengidap diabetes jadi aku telah memasuki kelab yang paling popular dan terbesar dengan keahlian mencecah 800 ribu orang di Malaysia (ketika itu) iaitu Kelab Diabetes!

Aku disuruh berdiri dan angkat tangan kanan bersumpah macam tentera. Dia suruh aku mengulangi cakapnya. "Saya berjanji tidak akan makan gula lagi". Aku menurut macam orang bodoh. Selepas itu Dr Manjit memberi kuliah percuma yang panjang mengenai cara-cara mengawal diabetes. Pertamanya, aku mesti makan ubat sepanjang hayat. Keduanya aku perlu mengawal diet secara serius. Jika tidak dalam tempoh enam tahun aku akan mendapat serangan jantung atau strok. Aku terkejut. Dr Manjit menegaskan dia tidak berbohong tetapi maklumat itu adalah daripada hasil kajian perubatan yang terakhir.

Terkedu aku dibuatnya. Isteri aku sedang mengandung anak pertama. Apa nasib anak isteri aku kalau aku meninggal nanti. Isteri aku jadi janda muda dan anak aku jadi yatim.

Namun, realitinya bukan mudah untuk mengawal selera makan. Aku beringat-ingat juga tapi aku tidak mampu membuat total abstinence jadi aku buat rule sendiri. Aku makan semua tapi tidak berpantang secara ekstrim. Aku makan dodol dan kueh-kueh manis sampai hari ini tapi dalam kuantiti yang kecil. Kalau makan kueh koci aku buangkan intinya, Kalau kueh keria aku buangkan sira gulanya. Tapai pun aku sebat tapi aku perahkan airnya dahulu. Cendol aku order separuh manis. Jika makan nasi aku cuba sedaya upaya makan separuh pinggan atau kurang daripada itu. Kalau lapar aku lebihkan makan sayur dan lauk-pauk.

Tapi tentang ubat aku memang tidak berkompromi. Aku makan ubat dari dulu hingga sekarang tanpa henti. Aku percaya ubat-ubatan moden. Masalahnya dengan diabetes ni, bila kita maklumkan kepada seribu orang, seribu orang akan jadi doktor atau penasihat kesihatan. Mereka akan cadang ubat itu dan akar ini. Setengahnya buat testimony yang tidak logik kononnya orang itu dan orang ini kakinya dah nak dipotong, bila makan ubat ini dan itu terus pulih. Kaki tak jadi potong sampai doktor pun terperanjat. Bagi aku semua itu karut belaka. Aku bukan nak mendabik dada tapi aku dah masak sangat dengan diabetes ini. Aku baca buku-buku dan jurnal-jurnal perubatan secara konsisten. Aku boleh berhujah dengan doktor-doktor  yang tidak semuanya mahir dengan diabetes.

Dipendekkan cerita, selepas pertemuan dengan Dr Manjit itu aku menjalani kehidupan seperti pengidap diabetes. Beberapa tahun kemudian aku melanjutkan pengajian ke UK. Di sana di setiap klinik ada ditempatkan seorang diabetic nurse. Di UK diabetes aku terkawal baik. Setelah dua tahun aku tamat pengajian dan balik. Aku congak-congak tempoh enam tahun yang diberikan oleh Dr Manjt telah pun berakhir. Aku segera ke kliniknya iuntuk berjumpa dan igin memberitahunya ramalan dia jauh tersasar. Saya masih sihat tanpa mengalamai serangan jantung atau strok. Di klinik aku  bertemu rakan kongsinya Dr Kartar Singh. Dia mendengar hasratku bertemu Dr Manjit. Aku terkejut besar bila dimaklumkan Dr Manjit telah meninggal dunia semasa aku di luar negara akibat serangan jantung. Mendiang meninggal dalan usia lewat 40an. RIP Dr Manjit Singh.





Apabila dikawal dengan baik seperti dalam buan Ramadan 
bacaan gula dalam darah aku seperti orang normal


Ini contoh bacaan ketika aku tidak makan ubat atau terlupa ambil insulin.

Semasa di UK kali kedua (2002 - 2006) seorang doktor GP (general practitioner) menasihatkan supaya aku mula mengambil insulan untuk kawalan gula dalam darah yang lebih baik tapi aku menolak. Memang stigma bila orang tahu kita dah guna insulin. GP itu beritahu di UK sesiapa saja yang disahkan mengidap diabetes akan disarankan menggunakan insulin sebagai treatment utama kerana ia lebih berkesan. Aku tidak endahkan tetapi semuanya bertukar bila aku balik Malaysia dan bertugas di Kementerian Pertahanan. Doktor tentera yang memeriksa aku mengatakan aku tidak ada pilihan lain kerana ubat-ubat pil Metformin dan Daonil yang aku makan tidak mampu merendahkan kadar gula dalam darah aku. Semasa diperiksa, walaupun tidak mengambil breakfast bacaan gula aku ialah 14. "Terlalu tinggi. Dr kena ambil suntikan insulin dari sekarang", kata Mejar Dr Amir kepadaku. Jadi setelah 18 tahun aku akur dan memulakan fasa baru sebagai sweet uriner dengan mengambil insulin injection dua kali sehari iaitu pagi dan malam. Mula-mula aku gerun melakukannnya kerana kalau silap tempat suntikan akan berdarah. Isteri dan anak-anak aku yang jadi "doktor" mencucuk jarum insulin sekitar pusat. Lama-lama aku jadi lali dan melakukannya sendiri tanpa kekok samada bersendirian atau di khalayak ramai.



Menara Pelangi
Johor Bahru

Wednesday, 21 June 2017

PROF SYED MOHD NAQUIB AL ATTAS


Dalam banyak-banyak sarjana yang aku pernah belajar, aku paling kagum dengan Prof Syed Naquib. Aku sudah kenal dia melalui pembacaan majalah-majalah semasa aku di sekolah rendah. Namanya juga sering aku dengar semasa abang-abang dan kakakku berbual-bual perkara-perkara yang serius.
Dia dianggap ilmuan tempatan yang kontroversi. Namun keilmuannya tiada tolok banding bukan saja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa. Beliau tergolong dalam 1000 orang paling terkemuka di dunia.

Masa sekolah rendah aku pernah melihat buku-buku beliau milik abang-abang tapi aku tak mampu memahami tulisannya yang terlalu tinggi. Cuma aku teringat satu kontroversi yang melibatkan beliau yang dilaporkan dalam akhbar dan majalah Mastika bila beliau menyatakan sesiapa yang menentang poligami itu biadap. Lawannya dalam isu itu ialah Marina Yusuf seorang peguam yang lantang dan ketika itu Timbalan Ketua Wanita UMNO. Hebat juga perkara itu menjadi polemik.

Dalam kehebatannya dalam dunia akademik Prof Syed Naquib tidak diberi peluang menjawat jawatan pentadbiran yang tinggi di universiti. Dia pernah diwarwarkan dilantil VC UKM yang pertama tapi ia tidak menjadi kenyataan. Dari UM dia berpindah ke UKM dan kemudiannya dipinjamkan ke Universiti Ohio, Amerika Syarikat untuk memegang kursi Tun Razak di situ.

Rezeki aku untuk berguru dengan profesor hebat ini datang bila dia tamat kontrak di Amerika Syarikat. Ketika itu aku baru saja tamat pengajian di UIA dan bertugas sebagai majistret di Kuala Kubu Bahru. Persatuan Alumni UIA telah menjemput beliau memberi kuliah mingguan kepada ahli persatuan  setiap malam Sabtu mulai pukul lapan. Kuliah itu berlangsung tiga bulan.


Bersama Prof Tan Sri Mohd Naquib Al Attas selepas kuliah umum berkala beliau
di UTM KL. Di sebelahnya VC UTM, Dato Seri Zaini Ujang

Semasa memulakan kuliah pertama Prof Syed Naquib memberi setiap orang yang datang sehelai kertas yang mengandungi lapan ayat. Dia mengatakan satu helai kertas itu bila dihuraikan boleh menjadi satu kursus selama tiga tahun. Ayat pertama berbunyi " The meaning of meaning". Untuk perkataan "meaning" yang pertama itu sahaja dia bersyarah selama 3 jam! Syarahannya bukan benda kosong. Semuanya sarat dengan ilmu bahasa, falsafah, sains, tamadun dan sains. Dia membawa kami kepada asas bahasa, falsafah Greek sehinggalah ke zaman moden. Kami yang hadir jadi mabuk ilmu dibuatnya. Apa yang dibicarakan beliau belum pernah didengari sebelum itu. Di akhir kuliah pertama itu beliau memeranjatkan kami apabila memuji Imam Khomeini dalam satu isu yang hangat ketika itu iaitu fatwa Imam Syiah tersebut terhadap Salman Rushdie.

Tuesday, 20 June 2017

PERPISAHAN YANG PALING MELEGAKAN


13 Oktober 2014 - 12 Oktober 2016


Setelah berkhidmat sebagai seorang pensyarah bertaraf profesor di UTM IBS Kuala Lumpur selama tiga tahun aku dilantik oleh SPB Yang Dipertuan Agong sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya di Johor Bahru. Aku begitu enjoy menjadi pensyarah. Masa berjalan begitu pantas. Boleh dikatakan sepanjang aku bekerja selepas lulus universiti, jawatan pensyarah di UTMlah aku merasa begitu selesa. Aku diminta mengisi borang supaya kontrak dilanjutkan lagi setelah tempoh tiga tahun pertama tamat. Borang yang telah diisi tidak dikemukakan kerana tawaran sebagai Pesuruhjaya Kehakiman telah aku terima. Ketika aku menerima tawaran menjadi Pesuruhjaya Kehakiman atau lebih kerap disebut JC (Judicial Commissioner) terlintas juga rasa ragu-ragu samada aku boleh menyesuaikan diri dengan jawatan yang begitu demanding tersebut. Aku sudah begitu selesa di UTM jadi apa perlunya aku kembali ke bidang kehakiman yang telah aku tinggalkan hampir sepuluh tahun. Jawatan terakhir aku di Jabatan Kehakiman ialah Hakim Mahkamah Sesyen. HMS ialah jawatan hakiki tetapi aku sebenarnya bertugas sebagai pegawai khas kepada Ketua Hakim Negara (KHN) iaitu Tun Mohamed Dzaiddin Haji Abdullah ketika itu. 

Dengan sokongan Tun Dzaiddin aku dipilih oleh Kerajaan British untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD atas tajaan biasiswa Chevening yang berprestij. Setelah lulus aku dihalang kembali ke Jabatan Kehakiman oleh Peguam Negara padahal KHN yang baru, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim telah menyatakan hasratnya agar aku ditempatkan di Pejabat Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan untuk mengetuai bahagian penyelidikan. Oleh kerana hubungan Peguam Negara dan KHN tidak baik permintaan Tun Ahmad Fairuz melalui Ketua Pendaftarnya telah ditolak oleh Peguam Negara. Begitulah keadaannya bila dua gajah berperang pelanduk mati di tengah-tengah.

Jadi, aku bertugas di beberapa tempat di bawah Jabatan Peguam Negara. Pertama di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang baru ditubuhkan. Kemudian ditukar sebagai Penasihat Undang-Undang Kementerian Pertahanan dan selepas itu dipinjamkan ke badan antarabangsa iaitu di Malaysia-Thailand Joint Authority (MTJA). Di MTJA aku memohon dipendekkan kontrak setelah bertugas tiga tahun. Sepatutnya tempoh pinjaman aku adalah empat tahun. Aku memohon bersara secara pilihan. Puas aku berkuntau untuk mendapat kelulusan Peguam Negara ynag digeruni itu. Terus-terang aku cakap Peguam Negara itu adalah salah satu sebab utama aku pencen awal. Aku benar-benar tidak berselera untuk berkhidmat di bawahnya lagi.

Isteri aku memberi encouragement dengan mengatakan jawatan JC itu berprestij bagi pengamal undang-undang di samping gaji dan elaunnya yang lumayan jika dibandingkan dengan jawatan-jawatan kerajaan. Lagipun, kata isteriku, jika tak suka nanti tak usah minta sambung kontrak itu dan boleh minta kerja di luar negara. Isteri aku memang mengidam sangat untuk duduk kembali di luar negara.


YA Datuk Dr Sabirin Bin Ja'afar
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Johor Bahru (2014-2016)

Jamuan Perpisahan dengan staf - Timbalan Pendaftar,
Setiausaha, Ordeli dan Pemandu




Kunjungan hormat perpisahan kepada YAA Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinudin
Hakim Besar Malaya seminggu sebelum tamat kontak

Bersama isteri dan anak selepas majlis perpisahan rasmi 
oleh staf Mahkamah Tinggi JB di Hotel Grand Paragon


Kereta rasmi semasa bertugas sebagai Pesuruhjaya Kehakiman

foto rasmi bersama pegawai, staf dan Timbalan Pendakwa Raya
Mahkamah Tinggi (Jenayah) II, Johor Bahru

Pesuruhjaya Kehakiman adalah hakim mahkamah tinggi yang dilantik secara kontrak. Ini disebabkan jawatan hakim mahkamah tinggi telah ditentukan bilangannnya dalam Perlembagaan Persekutuan. Untuk menampung kes-kes yang bertambah hakim tambahan secara kontrak yang dipanggil Pesuruhjaya Kehakiman diwujudkan. Lazimnya kontrak JC akan disambung dari tahun ke tahun sehingga diserapkan sebagai hakim tetap. Ada kes JC tak confirm sampai 7 tahun. Tapi ada pula yang confirm selepas beberapa bulan.

Nantilah, aku akan ceritakan liku-liku beronak yang aku lalui semasa bertugas sebagai hakim di mahkamah tinggi ini dalam bab yang lain. 

Untuk ini aku cuma nak ceritakan betapa leganya perasaan aku bila meninggalkan jawatan berprestij ini. Aku rasa seolah-olah beban satu batu besar atas kepala telah dialihkan. Aku langsung tidak merasa terkilan kehilangan gaji, elaun dan pelbgai kemudahan hampir RM 50,000 sebulan. Malah dalam bulan-bulan terakhir hati aku semakin meronta-meronta minta dibebaskan daripada belenggu kehidupan yang terpenjara dan melemaskan.

Empat kali jamuan  diberikan sempena perpisahan tersebut. Seronok juga bila hakim-hakim lain, pegawai dan kakitangan mahkamah menyatakan rasa sedih atas pemergian aku. Bagi aku tak ada sebab yang terlalu mendesak untuk aku terus menjadi JC. Cukuplah dua tahun itu. Dua tahun yang mematikan kutu, memisahkan aku daripada realiti. Dua tahun yang membunuh kreativiti. 

Aku perhatikan ramai hakim seperti mati kutu, moody  dan bersedih apabila tarikh persaraan semakin hampir. Ada seorang kawan bekas peguam yang kini ahli perniagaan yang kaya memberitahu aku pemerhatiannya, "very few judges retired happy".Cakapnya itu membuatkan aku berfikir secara serius. Aku cuba mengingat sosok-sosok hakim yang aku kenal dari dulu hingga sekarang. Memang benar, tak ramai yang bersedia menerima hakikat persaraan. Di negara ini tak ramai orang yang menghargai pesara-pesara termasuklah hakim. Bayangkan, seorang hakim masuk perkhidmatan kerajaan pada umur awal dua puluhan, naik pangkat berkali-kali, kemudian dilantik jadi hakim dan menerima pelbagai kemudahan di samping kuasa dan penghormatan orang tiba-tiba di usia 66 tahun, usia di mana mereka lebih bergantung kepada kemudahan-kemudahan itu tiba-tiba kereta, driver, pembantu khas (odeli), setiausaha, bantuan polis, rumah rasmi, bil-bil percuma dll ditarik dari mereka. 

Hakim bukan orang politik yang bersedia dengan kemungkinan hilang jawatan pada bila-bila. Maksud aku, kehidupan hakim terutama "power trappings" itu membelenggu mereka sehingga mereka tidak bersedia untuk bersara. Tidak hairan ramai hakim meminta ihsan boss untuk lanjutan selama 6 bulan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. Aku langsung tidak terkejut hakim yang paling kanan iaitu Ketua Hakim Negara/Chief Justice (CJ) sendiri sanggup meminta kontrak tiga tahun selepas tempoh persaraan wajib. Perkara ini tidak pernah berlaku tetapi ia terjadi sekarang. Apapun justifikasi yang diberi orang-orang yang berfikir secara munasabah akan mencemuhnya.  Bekas CJ Tun Hamid Mohamed sendiri telah menulis dalam blognya meminta CJ sekarang bersara apabila tempoh perkhidmatannya tamat. Ada orang yang mentertawakan kerana CJ dah jadi JC kerana berkhidmat atas kontrak

Sudah ada gerakan dari Badan Kehakiman sendiri supaya umur persaraan hakim dinaikkan daripada 66 tahun kepada 70 tahun. Phew!. Dah tua betul tu. Semua ini menguatkan lagi hipotesis yang hakim memang tak mahu bersara dan kalau boleh mati dalam jawatan. Aku tidak dapat bayangkan diri aku menghadapi situasi yang sama nanti. Sebelum rasa hebat dan aura invincibility itu meresap masuk meracuni diri aku baiklah aku mengucapkan goodbye lebih awal.

Tidak banyak kemajuan yang aku capai masa itu kecuali mendapat gelaran Yang Arif, beberapa hutang yang dapat dilunaskan kerana ada lebihan gaji, dianugerahkan oleh negeri kelahiranku bintang kebesaran DMSM yang membawa gelaran "Datuk". Itu saja. Oooooops, ada satu lagi, dan aku sangat bersyukur dengannya, iaitu aku dapat pergi umrah akhir Ramadan sebanyak dua kali sepanjang dua tahun aku jadi JC di JB. Ini akan aku ceritakan dalam bab yang lain.

Pada 12 Oktober 2016 secara rasmi aku mengakhiri tugas sebagai JC. Pagi itu aku menyertai semua hakim-hakim lain untuk breakfast di Toast n Toast di Danga Bay. Kawan-kawan ini masih bertanya apa aku nak buat selepas ini. Aku memberi bermacam-macam jawapan tapi ia hanya red herrings.



Breakfast terakhir bersama hakim-hakim Mahkamah Tinggi
Johor Bahru pada 12 Oktober 2016. Dari kiri YA Dato Seri Tun Majid, YA Dato Sofian,
 YA Albaishah, YA Colin Sequerah, YA Dato Teo Say Eng.






Monday, 19 June 2017

MTJA - MALAYSIA - THAILAND JOINT AUTHORITY

Disember 2008 - 30 Julai 2011

Aku balik dari UK dengan segulung ijazah PhD yang diperolehi dengan sukar. Perjuangan selama empat tahun yang dipenuhi onak dan duri. Tidak ramai orang tahu betapa sukarnya belajar ijazah lanjutan di luar negeri terutama bila keluarga dibawa sekali. Aku pergi belajar dengan dua tujuan. Pertama, aku memang bercita-cita untuk jadi pakar dalam bidang undang-undang maritim. Keduanya, aku berhasrat untuk menyertai universiti sebagai pensyarah apabila aku pencen nanti. Ketiganya, aku berharap akan dapat kenaikan pangkat yang lebih cepat bila lulus PhD.

Ternyata harapan aku untuk naik pangkat tidak kesampaian. Terlalu banyak pancaroba dalam perkhidmatan kerajaan. Pendek cerita aku tidak naik pangkat seperti yang diharapkan. Empat kali nama aku dicadangkan untuk naik gred JUSA C tapi sampai di peringkat tertinggi nama aku tercicir. Akhirnya aku berjumpa Dato Idrus Harun, Peguam Cara Negara iaitu orang kedua paling kanan dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan selepas Peguam Negara sendiri. Aku bertanyakan mengapa nama aku sering tercicir. Adakah terdapat kelemahan dalam perkhidmatan yang aku berikan. Adakah mana-,mana pihak membuat complaint tentang prestasi aku dan sebagainya. Aku beritahu beliau secara berterus terang dan jujur jika aku tidak ada peluang untuk naik JUSA aku bercadang mengambil persaraan awal.



Dalam pejabat di MTJA, Menara See Hoy Chan, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur


 Pengurus Pentadbiran dan Undang-Undang MTJA
(2008 - 2011)

Sebagai pegawai tinggi yang penuh pengalaman, Dato Idrus tidak menyatakan sebab kenapa nama aku sering terciicir tetapi dia memujuk supaya aku jangan bersara awal. Dia mencadangkan aku pindah ke MTJA. kerana gajinya jauh lebih tinggi daripada JUSA C. Tetapi aku perlu berada di MTJA secara pinjaman daripada Kerajaan Malaysia kepada badan antarabangsa untuk tempoh empat tahun.

Aku bersetuju sebab aku tahu Dato Idrus adalah Board Member MTJA sebagai wakil Peguam Negara. Dato Idrus disenangi oleh semua pegawai dan kakitangan Jabatan Peguam Negara kerana sikapnya yang terbuka dalam mendengar keluh-kesah kakitangannya. Kalau orang takut berjumpa Peguam Negara, Datuk Idrus menjadi jembatan dalam menyampaikan pengaduan staf.

Gaji di MTJA dibayar dalam dolar Amerika kerana separuh kakitangannya datang dari Thailand. Sebagai pengurus aku dibayar USD 5500 ketika mula-mula masuk sebelum dinaikkan kepada USD 6500 dua tahun kemudiannya. Cuma aku malang sedikit pertukaran wang ketika itu memihak kepada Malaysia jadi tukarannya berkisar setakat RM 3.2 ke 3.4 berbanding satu dolar semasa aku di sana. Sebelum aku datang Malaysia masih menguatkuasakan tambatan wang dengan dolar Amerika pada kadar USD1 : RM 3.8. Pengurus sebelum aku lebih beruntung. Tapi aku bersyukur kerana gaji aku di sana hampir setara dengan pegawai atas Gred JUSA A. Sebagai Pengurus Pentadbiran dan Undang-Undang aku juga dibekalkan staff car jenis Proton Perdana iaitu setara dengan kereta yang dibekalkan kepada pegawai-pegawai JUSA dalam perkhidmatan awam.

Di MTJA aku dapat banyak pengalaman baru. Aku bergaul dengan baik dengan rakan-rakan sekerja dari Thailand. Terdapat dua kategori pekerja di MTJA. Pertama, staff pengurusan yang dipinjamkan daripada kerajaan Malaysia dan Thailand. Jawatan mereka ini digilirkan setiap empat tahun. Contohnya  semasa aku di sana aku menjawat jawatan pengurus undang-undang dan pentadbiran. Timbalan aku dari Thailand. Selepas tempoh jawatan aku berakhir pengganti aku dari Malaysia akan menjadi timbalan pengurus dan rakan sejawat dari Thailand dilantik sebagai pengurus pula. Begitu juga jawatan-jawatan utama yang lain seperti CEO, DCEO dan pengurus beberapa jabatan lain. Kedua, staf tetap. Mereka kekal di MTJA mengikut terma jawatan mereka. Dahulunya mereka tetap tetapi kemudiannya jawatan mereka ditawarkan secara kontrak saja. Ini adalah "mainan" Thailand kerana staf tetap Malaysia lebih ramai daripada staf Thailand. Bagi mereka semua di MTJA mesti dibahagi 50:50.

Di MTJA aku belajar karekter orang-orang Siam yang friendly. Mereka bertutur secara lemah lembut tetapi jangan terpedaya kerana mereka sangat kental dengan semangat nasionalisme Thailand. Mengikut perspeksif mereka orang Thai paling superior berbanding lain-lain kaum di dunia ini diikuti oleh orang Cina, Phrang (orang Eropah/ kulit putih) dan selepas itu barulah orang-orang lain. Jadi, bagi mereka orang Melayu jauh inferior daripada mereka. Selama aku di sana jenuh juga berkuntau dengan orang-orang Siam ini kerana aku juga tebal dengan semangat nasionalisme Malaysia dan aku merasa adalah tugas aaku untuk mempertahankan hak Malaysia.

Untuk lebih memahami mereka aku menganjurkan kelas bahasa Thai yang dikendalikan oleh seorang tutor wanita Thai yang telah menetap lama di Malaysia dan berkahwin dengan orang Melayu. Aku tak tahu mengapa CEO Suriyan Aphiraksatyakul tidak berapa suka kami orang-orang Malaysia belajar bahasa Thai.

Belajar Bahasa Thai daripada tutor kami (kiri sekali)

Selama tiga tahun aku bertugas di sana banyak tempat di Thailand yang aku pergi. Klau aku tidak bekerja di MTJA aku rasa tidak ada sebab aku akan pergi ke Chiang Mai, Chiang Rai, Phuket, Pattaya dan lain-lain tempat selain Bangkok yang memang kerap kami kunjungi.

Board MTJA dianggotai secara seimbang oleh pegawai-pegawai kanan dari Malaysia dan Thailand. Board ini diketruai oleh dua orang Pengerusi Bersama (Co-Chairmen). Inilah kali pertama aku bekerja dalam struktur yang ganjil ini. Pengerusi Bersama bagi Malaysia ketika itu ialah bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman. Beliau seorang yang pintar dan tegas dalam mempertahankan hak-hak Malaysia.

Tiga minggu aku bekerja di MTJA, ibuku yang dicintai meninggal dunia. Ia membawa kesan besar kepada emosiku. Aku kehilangan ibu pada usia 45 tahun. Memang terasa kehilangannya. Setelah 45 tahun bersama tiba-tiba orang yang kita kasihi tiada lagi.

KAJIAN TILAWAH AL-QURAN

Kajian Tilawah Al Quran 2009 - 2012

Sejak kembali dari UK setelah tamat PhD aku sering diasak rindu untuk kembali membuat kajian ilmiah. Walaupun aku rasa seperti separuh mati nak menyiapkan tesis PhD tapi bila ia diterima dan lulus, datang pula rasa keseronokannya.

Namun bila kembali ke Malaysia dan balik bekerja semula di Jabatan Peguam Negara, masa umpama emas lantaran kesibukan bekerja. Sering aku berfikir, kalau begini gayanya kepakaran aku dalam membuat kajian ilmiah akan pudar dan terus hilang. Tapi bagaimana aku mampu mencari masa? Jadual kerja terlalu padat. Bila balik aku ada keluarga untuk dilayan. Kenduri kendara kena hadir. Ibu yang uzur wajib  diziarahi. Macam-macam hal lagi yang menghalang hasrat aku.

Semasa di UK dahulu supervisor aku Prof Alastair Couper menasihatkan jika hendak membuat research kita hendaklah mencari topik yang kita minati supaya kita enjoy membuat research itu. Jika research itu kita minat ia boleh dibuat secara part time dan boleh dijadikan hobi juga.

Fikir punya fikir aku rasa bidang yang berfaedah yang aku betul-betul minat ialah musabaqah Al-Quran. Dari kecil aku suka dengar alunan bacaan Al-Quran secara berlagu. Aku kagum dengan qari-qari seperti Hj Ismail Hashim, Hj Abdul Ghani Abdullah dan qariah-qariah seperti Hajah Rogayah Sulong dan Hajah Faridah Mat Saman. Masa sekolah rendah musabaqah Al-Quran adalah program yang popular di TV tidak seperti sekarang ini. Aku selalu menumpang rumah jiran untuk mendengar alunan bacaan peserta dalam dan luar negara. Masa tu semua orang kenal Ismail Hashim, Rogayah Sulong, Hassan Azhari dan lain-lain.

Aku rasa tak ada sebarang kajian yang serius dibuat tentang hal ini. Aku sendiri sangat berhajat untuk berjumpa bersemuka dengan tokoh-tokoh Al-Quran ini. Akhirnya aku memulakan kajian dalam bidang ini dan aku merasa begitu bersyukur Allah melintaskan dalam fikiranku untuk mengkajinya.


Dengan Tan Sri Hassan Azhari di Keramat


Aku bersyukur dapat bertemu dengan ramai tokoh-tokoh ini semasa membuat kajian yang dimaksudkan antara tahun 2009 hingga 2011. Masa aku berjumpa mereka telah lanjut usia tapi masih fasih berbicara. Aku cuma kecewa kerana tidak sempat berjumpa Dato Ismail Hashim kerana dia telah kembali ke rahmatullah di awal 1990an. Namun aku dapat berjumpa anak murid utamanya iaitu Haji Kasim Ahmad yang juga seorang qari terkenal di Kedah.


Mewawancara Dato' Hj Abdul Hak @ Abdul Ghani Abdullah 
di rumahnya, Pendang, Kedah



Semasa membuat wawancara dengan tokoh-tokoh tersebut aku dibantu oleh sahabat karibku Alharsikanil Abdul yang juga seorang peminat tilawah Al-Quran. Isteriku Fairuz juga menemani aku dalam beberapa sesi wawancara. Insya Allah aku akan sambung lagi untuk berkongsi hasil kajian aku ini bila ada kelapangan. Terlalu banyak "peristiwa" yang menarik untuk diceritakan.



Bersama Ustaz Amirahman Abas di Persian Restaurant, Jalan Ampang, KL.


bersambung































Tuesday, 6 June 2017

RAMADAN YANG PALING MENCABAR TAPI MENYERONOKKAN


Akhir tahun 2014 Aku dilantik sebagai Pesurujaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Johor Bahru untuk tempoh dua tahun. Terlalu banyak perkara yang berlaku. Aku akan ceritakan lebih detail tentang pengalaman dan peristiwa semasa aku jadi hakim mahkamah tinggi ini di masa lain.

Aku ingin tumpukan kepada dua kali Ramadan semasa aku dalam Badan Kehakiman. Aku merasa sungguh bertuah kerana dapat mengerjakan ibadah puasa ke tanah suci 10 terakhir Ramadan untuk kedua-dua tahun 2015 dan 2016. Sebelum aku bercerita panjang aku upload dua gambar untuk tatapan anak cucu nanti.

Menunggu waktu berbuka di pantai Jeddah 28 Ramadan tahun 2016



Sebelum makan dah mengah melihat juadah yang disajikan oleh Ketua Hakim Mekah
di rumahnya di Aziziyah, Ramadan 2016


Sheikh Abdullah menunjukkan koleksi senapang-senapang lama
yang tersimpan di rumahnya


Di Hotel Al Multazam, Mekah akhir Ramdan 2016. Memasak juadah
makan malam dan sahur. 

Monday, 5 June 2017

RAMADAN


RAMADAN DI KAMPUNG SEMASA DAHULU


Dah lama betul aku tak menulis di laman blog ini. Ini laman asal yang aku tak dapat akses kerana lupa passwordnya. Berhari-hari, berminggu-minggu malah berbulan-bulan aku memerah otak cuba mengingatnya tapi gagal. Usia aku  53 tahun jadi ingatan tidak setajam dahulu. Ini satu fakta yang semua orang tidak boleh lari daripadanya. Allah menarik anugerahNya satu persatu secara beransur-ansur mengikut usia hambaNya.

Dengan pertolongan sesorang aku dapat semula password dan email account khas yang aku guna untuk blog ini. Lega betul. Rasa macam terjumpa emas yang hilang. Perkara ini berlaku dalam bulan Ramadan. Jadi aku ingin menyambung blog aku yang gersang hampir dua tahun.

Hari ini 10 Ramadan 1437H bersamaan 5 Jun 2017. 

Berbanding Ramadan-Ramadan yang lalu aku lebih lapang sekarang. Pertamanya dua Ramadan yang lepas aku masih bertugas sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Johor Bahru. Tugas harian seseorang hakim di mahkamah tinggi memang tersangat padat dan memerlukan tumpuan seratus-peratus. Pendek kata, masa dan kemampuan untuk mengarang di blog ini memang tidak ada langsung. Keduanya, untuk dua Ramadan lepas aku berkesempatan mengerjakan umrah hujung Ramadan di Mekah. Jadi lebih daripada 10 hari Ramadan aku beribadat dengan tekun di sana. Hal-hal keduniaan memang dilupakan.

Tahun ini berlainan. Kontrak aku dengan Badan Kehakiman telah tamat. Kehidupan aku tidak lagi terkongkong. Minda aku kembali bebas. Aku sekarang jadi rakan kongsi firma guaman yang established berpusat di Johor Bahru. Jadual harian aku tidak sepadat dahulu. Jadi aku ada masa untuk mengingat masa lampau dan menulis tentangnya di sini. Di kesempatan ini aku akan menulis tentang Ramadan dalam hidupku. Aku mula dengan Ramadan di kampung semasa aku kecil.

Kalau ingatan aku betul,  aku dah mula berpuasa ketika berumur 5 atau 6 tahun. Puasa beberapa hari ikut kemampuan. Tapi bila masuk Darjah Satu (umur 7 tahun) aku dah berpuasa penuh. Masa tu berpuasa sangat sukar kerana berjalan kaki atau berbasikal ke sekolah yang jaraknya kira-kira tiga kilometer dari rumah. Tengahari balik rumah dan pergi pula ke sekolah ugama di waktu petang yang jaraknya lebih jauh daripada jarak ke sekolah kebangsaan. Memang terasa cabaran lapar dan dahaga.
Cabaran itu bertambah di hujung minggu kerana mengikut bapak atau emak bekerja. Paginya ke ladang getah dan petangnya ke sawah padi. Bila balik sawah air liur dah pekat sangat dan tekak rasa pahit. Bila mandi di perigi, rasa macam nak minum air seperigi tu. 

Masa tu tak ada elektrik dan dapur gas lagi. Untuk minuman istimewa berbuka aku atau abang aku  akan pergi ke kedai runcit beli ais batu. Timing kena betul kalau tidak bila sampai rumah semua dah cair. Buah kurma mula dijual beberapa minggu sebelum Ramadan. Kualiti kurma itu rendah sangat jika dibandingkan dengan kurma-kurma yang ada dalam pasaran sekarang. Yang ada kurma lenyek India yang datang dalam guni daan dijual ikut kati dan tahil. Buah kurma itu melekat antara satu dengan lain kerana disira dengan air gula yang pekat. Tak apalah sebab tanpa kurma Ramadan akan hambar. Masa berbuka emak selalu buat air sirap selasih. Aku tak berapa suka sebab biji selasih itu kalau terlalu kembang rupanya macam telur katak. Kalau tak kembang ia jadi biji-biji hitam yang mengganggu minum. Kadang-kadang emak buat air cincau tapi bila tak ada ais, rasanya hambar. Namun bila dah dahaga semuanya sedap saja. Kuih-muih tak pernah dibeli. Semuanya emak buat sendiri. Rupa bentuk kuih-muih tu tak sempurna. Yelah, mana emak ada masa nak beradun masakan sebab seharian ke ladang getah dan sawah padi. Kuih yang aku paling suka ialah kuih kaswi, kuih keria, apam  dan yang paling spesial kueh pau inti kelapa. Kata orang kampung aku, syapalih sodap.

Masa tu tak ada tv. Yang ada radio besar yang ada dua tombol mata dan sebaris gigi. Fungsi radio tu untuk dengar pengumuman waktu berbuka puasa yang memang dinanti-nantikan. Sebelum azan berkumandang radio akan menyiarkan lagu-lagu padang pasir instrumental. Paling popular lagu "Bint Al Syalabiyah".  Orang kampung kata lagu Binti Salbiah. Bila berbuka saja aku mesti tuju air dulu. Air akan diteguk tak berhenti kerana dahaga yang amat sangat. Selepas kembung air barulah jamah kuih-muih. Emak memang tidak hidang nasi sebab selain kuih muih bapak selalu beli roti Perancis yang panjang. Roti ini hanya dijual dalam bulan Ramadan. Biasanya kami adik-beradik makan dengan majerin yang di sapu gula. Aku pula suka makan roti itu masa sahur dengan mencecahnya dengan santan cair manis. Memang sodap. Syapalih!

Satu keseronokan bulan puasa ialah kami boleh keluar rumah waktu malam ke surau untuk Solat Tarawih. Di luar bulan puasa kami memang tidak dibenarkan keluar rumah kecuali kalau ada saudara mara kahwin. Di kampung Ramuan China Besar ada satu masjid dan beberapa surau. Masjid buat tarawih 20 rakaat. Surau-surau buat tarawih 8 rakaat sahaja. Tapi yang lucunya masjid akan habis tarawih lebih awal. Ramai orang memilih bertarawih di masjid kerana cepat habis. Selepas itu berpusu-pusu dan berlumba-lumba jemaah berbasikal ke pekan untuk menikmati kopi dan roti bakar di kedai yang ditutup di waktu siang. Yang paling lucu ada beberapa orang yang tak pernah muncul masjid bersolat Jumaat turut hadir bertarawih dan kemudian berjemaah pula dengan orang-orang lain di kedai kopi Cina di pekan.

Di penghujung malam bangun sahur memang sukar. Waktu itu dinihari sangat sejuk terutama bagi aku adik beradik yang berselimut dengan kain sarung saja. Kalau hujan lebih liat nak bangun tapi bila bapak panggil semua bangun sebab bapak memang tegas. Emak dah bangun lebih awal untuk tanak nasi dan masak lauk. Masa dulu masak-memasak menggunakan kayu api. Kadang-kadang nasi belum masak waktu sahur dah nak habis. Ada masa nasi hangit sedikit. Kelam-kabut makan apa yang ada. Nasi hangit pun hangitlah asalkan esok ada tenaga untuk berpuasa.





Wednesday, 11 December 2013

MOZAC AYER KEROH 2 : MR STUART MATTHEWS

Beberapa minggu selepas kami pelajar-pelajar tingkatan satu pindah ke sekolah di Ayer Keroh kami disertai oleh pelajar-pelajar tingkatan 4 yang rata-ratanya datang dari Johor. Mereka menggantikan pelajar SMS Melaka di Keluang yang dikekalkan di sana. Sekolah atas bukit itu tambah meriah dengan kehadiran lebih seratus orang penuntut baru. Kami mula membuat adjustments  dengan adanya abang-abang tingkatan 4. Tingkatan 4 di bahagi kepada lima kelas. 4A1 dan 4A2 untuk pelajar aliran Inggeris dan 4A3, 4A4 dan 4A5 mengambil aliran Melayu.

Acara di dewan yang pertama ialah sambutan hari guru pada 16 Mei 1976 iaitu dua minggu selepas kami berpindah dari SM Munshi. Semua pelajar berdiri di dalam dewan mendengar ucapan dan melihat persembahan.

Seorang pelajar tingkatan satu, Amran Wahid (kami panggil dia Jepun sebab iras mukanya dan susuknya yang agak pendek) tampil menyanyikan lagu “Sealed with the Kiss”   tanpa mikrofon dan iringan muzik. Aku masih ingat Amran berjalan ke hadapan ke belakang atas pentas dan menggoyangkan tangannya sambil memelodikan..” Though we gotta say goodbye for the summer, baby I promise you this, I send you all my love, every day in a letter, sealed with a kiss….."

Seingat aku peralatan pertama yang dibeli oleh pihak sekolah ialah piano. Setiap perhimpunan piano ini akan dimainkan oleh seorang pelajar tingkatan 4 bernama Farah. Baru-baru ini semasa pertemuan batch pengasas SMS Melaka, aku diberitahu bahawa dia telah pulang ke rahmatullah. Al Fatihah.

Semasa kami berpindah ke Ayer Keroh, asrama puteri tidak berlangsir dan keadaan ini berterusan beberapa bulan. Pengetua Pak Yah menggunakan budi bicaranya membeli langsir untuk asrama puteri. Oleh kerana peralatan pengajaran sekolah masih banyak yang tidak lengkap langkah Pak Yah ini menjadi rungutan sebilangan guru. Seorang guru yang vocal ialah Cikgu Yaakob Sharif yang mengajar matematik. Dia orang kampong aku. Aku dengar cerita dia selalu membantah Pak Yah dalam mesyuarat-mesyuarat. Tahun hadapannya dia bertukar sekolah. Aku tak pasti sama ada dia minta tukar atau ditukarkan. Aku masih naïve ketika itu untuk memahami politik pentadbiran. Aku cuma tahu politik ini bila bekerja dengan kerajaan dua puluh tahun kemudian. Semua orang mesti toe the line atau out you go!

Lebih 90 peratus pelajar ketika itu datang dari kampung dan berketurunan Melayu. Guru-guru pula pelbagai keturunan. Selain Melayu, Cina dan India ada seorang cikgu Mat Saleh, namanya Mr Brian Ridley. Dia mengajar tingkatan 4. Menurut abangku Idham dia mengajar di SMS Keluang sebelum bertukar ke Melaka. Seingat aku cikgu Mat Saleh ni mengajar di SMS Melaka tidak sampai dua tahun. Selepas dia bertukar (atau pulang ke UK) ada dua orang cikgu Mat Saleh lain yang datang iatu Mr White dan Mr Stuart Matthews. Cikgu Mr White ini tidak lama di Ayer Keroh. Apa yang kami ingat ialah isterinya yang datang ke sekolah sekali sekala. Mrs White ini tidak melambangkan susuknya kerana dia wanita Afrika berkulit hitam. Pelajar-pelajar memanggilnya Mrs Black.

Aku tak pernah belajar di bawah Mr Brian Ridley atau Mr White tetapi aku sangat terhutang budi kepada Mr Stuart Matthews. Ini disebabkan jasanya mengajar aku bahasa Inggeris. Aku memang lemah subjek ini berbanding bahasa Melayu. Kelemahan ini aku bawa dari sekolah kebangsaan lagi. Persekitaran sekolah kampung tidak memungkinkan aku cemerlang dalam bahasa Inggeris. Tidak ada seorang pun yang boleh aku jadikan teman bertutur, bagaimana mungkin aku boleh fasih bahasa itu. Kekurangan ini menjadikan aku sedikit rendah diri.

Selepas tamat tingkatan dua pihak sekolah menyusun semula kelas bahasa Inggeris kepada lima set. Aku dan lain-lain pelajar lemah dilonggokkan dalam set 5 iaitu set yang paling corot. Pihak sekolah merasakan ini boleh meningkatkan prestasi pelajar yang lemah dengan memberikan lebih tumpuan kepada mereka. Tetapi kesan sebaliknya berlaku. Ramai di kalangan kami  bertambah rendah diri kerana dianggap lemah. Tindakbalas aku ialah “berkempen” kepada kawan-kawan lain “memboikot” penggunaan bahasa Inggeris dan mengejek kawan-kawan yang speaking. Kami tohmah bahawa mereka cakap bahasa penjajah! Sememangnya kami adalah batch pertama belajar satu aliran bahasa kebangsaan. Ia adalah dasar yang dimulakan oleh Tan Sri Abdul Rahman Yaakob, Menteri Pelajaran pada tahun 1970. Sebenarnya, semuanya ini dalih kami untuk menutup kelemahan diri. Namun segala-galanya berubah bila Mr Stuart Matthews datang ke SMS Ayer Keroh sebagai guru bahasa Inggeris. Dia mengambil cabaran dengan memilih mengajar set paling corot ini.

Mr Stuart Matthews sederhana tinggi tetapi badannya gemuk. Dia menghisap paip dan memakai seluar pendek masa mengajar. Dia seorang yang aktif dan sangat peramah. Dia berjalan agak pantas seperti tergopoh-gapah. Bila berpeluh badannya hapak tetapi bau tembakau paipnya melindungi bau badannya yang tidak menyenangkan itu. Aku ingat bagaimana aku bertutur kali pertama dengannya. Aku masuk lewat ke kelasnya kerana ke tandas. Dia menunggu aku di muka pintu kelas dan menyoal, “where have you been?”. Aku tak tahu nak jawab dengan grammar dan intonasi yang betul, jadi aku hentam saja,”I bin toilet”. Aku tersentak kerana dia tak memperbetulkan bahasa aku yg lintang pukang itu seperti lazimnya yang dilakukan oleh guru-guru lain. Dia sebaliknya memuji aku dalam telo Britishnya. “that’s fantastic Sebrin, now I know that you can speak English” Aku rasa lega dan bangga kerana buat pertama kalinya dalam hidup aku orang putih faham cakap aku. Dalam set 5 dia sering bertanya kami cara pronounce nama-nama kami yang sukar dia menyebutnya. Mazlan Dewa di sebutnya Mazlan Juwa. Kamaruzzaman (Kamal) disebutnya camel. Aku jadi minat belajar Inggeris. Masa itu kami dibekalkan dengan novel-novel klasik yang dipermudahkan. Aku membacanya tanpa jemu. Wuthering Height, The Tales of Two Cities, Sherlock Holmes, Gulliver’s Travels, Dr Jeckyll and Mr Hyde, Jane Eyre, Tom Sawyer, The Count of Monte Cristo, Robinson Crusoe, Treasure Island, The Scarlett Letter, Round the World in 80 days dan pelbagai jodol lain aku baca penuh minat walaupun aku tidak tahu makna semua perkataannya. Aku jarang menggunakan kamus kerana bagiku ia melambatkan pembacaan. Aku hanya mengingatkan perkataan yang sukar dan cuba memahaminya melalui konteks ayat. Dengan cara ini vocab aku bertambah secara tidak langsung.

Ada pula pelajar secara senyap-senyap mengedarkan buku-buku  lucah berbahasa Inggeris. Kata mereka ia boleh improve English. Ada buku-buku terbitan Mills n Boon, buku karangan Harold Robbins dan lain-lain yang sedikit berat. Tapi yang paling berat dan penuh dengan kelucahan ialah novel Romance of Lust yang ditulis oleh anonymous. Bila buku itu sampai ke tanganku kulitnya sudah lusuh sangat kerana ramai orang yang membacanya terlebih dahulu. Buku itu ialah buku klasik zaman Victorian. Pembacaan sering tersangkut bila sampai ke tempat-tempat yang mendebarkan dan menimbulkan rasa gelisah kerana banyak terdapat perkataan-perkataan yang terlalu klasik buat kami….phallus, venus, petticoat, glory hole, genital dan entah apa cekadak lagi. Untuk buku istimewa ini aku terpaksa menggunakan kamus.



Mr Stuart Matthews sekitar tahun 1977 - 1979
(foto Ihsan Haji Azahari Husain)


Ternyata penat lelah Mr Matthews dan usaha aku membuahkan hasil. Dalam peperiksaan SRP aku dapat keputusan yang cemerlang dalam bahasa Inggeris, terbaik dalam set 5 dan setara dengan murid-murid di set 1 dan 2. Mr Matthews berasa bangga dan mencanang nama aku. Kembang kempis hidung dibuatnya. Aku rasa jika cikgu Mat Saleh ini tidak membimbing aku, penguasaan bahasa Inggeris aku tidak akan sebaik sekarang.

Wednesday, 4 December 2013

NASIB IBU MARIAYEE


Ibu Mariayee sedikit gemuk. Kulitnya cerah dan wajahnya manis. Waktu kali pertama dia di bawa ke hadapanku dalam kamar majistret untuk perintah reman, dia diam sahaja. Dia tidak menunjukkan sebarang reaksi. Expressionless. Sedih tidak, suka pun tidak. Aku memberi perintah reman selama 14 hari iaitu tempoh maksima yang diperuntukkan dalam Kanun Prosedur Jenayah ketika itu. Sememangnya polis berharap tempoh reman yang maksima untuk menyiasat kes-kes yang berat. Kalau jenayah kecil seperti curi rambutan, bergaduh dan yang sepertinya aku biasanya beri reman sehari dua saja atau terus beri perintah ikat jamin tanpa reman.

Dua minggu kemudian dia dibawa sekali lagi. Kali ini dia dituduh di mahkamah terbuka. Dari atas meja majistret yang tinggi aku melihat galeri mahkamah penuh sesak dengan sanak saudara Mariayee dan orang awam. Pemberita dari berbagai media memenuhi tempat khas mereka yang biasanya kosong.
Ibu Mariayee dituduh membunuh anaknya sendiri dengan memaksanya meminum racun di bawah seksyen 302 Kanun Kesiksaan,. Kaum keluarganya ramai yang menangis. Dia tenang sahaja. Tiada riak takut atau sedih. Di peringkat mahkamah majistret tiada pengakuan diambil di bawah prosedur bicara siasatan awal (preliminary enquiry). Di mahkamah, prosedur ini dipanggil PE. Ia dijalankan bagi memastikan ada bukti untuk menuduhnya membunuh dengan niat. Jika cukup bukti dia akan dipindahkan ke mahkamah tinggi Shah Alam di mana dia akan dibicarakan dan pengakuannya akan diambil. Di situ jika sabit dia akan dijatuhkan  hukuman mati.

Aku menetapkan tarikh sebutan semula kerana ibu Mariayee dihantar ke hospital bahagia untuk rawatan psikiatri. Ini prosedur biasa untuk menentukan dia benar-benar waras semasa kejadian bunuh tersebut. Beberapa bulan kemudian dia di bawa semula ke mahkamah. Laporan doktor pakar mengesahkan dia waras dan boleh dibicarakan. Aku menetapkan dua minggu sebagai tarikh pendengaran PE yang akan berlangsung beberapa bulan selepas itu. Sementara menunggu perbicaraan ibu Mariayee di reman di penjara.
Entah mana silapnya, setiap kali kes ditetapkan untuk pendengaran, pihak pendakwa meminta penangguhan. Inspektor Goh, pendakwa di mahkamah ketika itu mengemukakan berbagai-bagai alasan. Aku dapat rasakan bahawa alasan-alasan itu seperti dibuat-buat. Sebenarnya polis tidak bersedia. Dari segi perundangan kes seperti ini mudah sahaja dan ia tidak akan memerlukan saksi-saksi yang ramai untuk dipanggil memberi keterangan. Aku menjangkakan bicara boleh tamat dalam tempoh seminggu. Tetapi kerumitan kes ini ialah saksi awam semuanya ada pertalian darah dengan tertuduh (ibu Mariayee). Mereka serba-salah. Mariayee telah mati. Tentu mereka tidak mahu ibu mereka mati pula di tali gantung. Lazimnya pendakwa yang berpengalaman akan tahu sama ada saksi-saksi mereka boleh dikawal atau tidak dalam memberi keterangan di mahkamah.

Kes ditangguh beberapa kali. Aku sudah mula hilang sabar dan memberi amaran kepada pendakwa bahawa mahkamah akan  membebaskan tertuduh tanpa melepaskannya. Ini dipanggil Discharge Not Amounting to Acquittal (DNAA). Maknanya, tertuduh akan dibebaskan daripada tahanan reman di penjara tetapi polis boleh mendakwanya semula atas pertuduhan yang sama bila bersedia kelak. Perintah DNAA ini amat digeruni oleh semua pendakwa kerana ia melambangkan kerja cincai.mereka. Pendakwa polis lazimnya dibelasah teruk oleh Timbalan Pendakwa Raya apabila kertas siasatan dengan perintah DNAA dihantar ke Jabatan Peguam Negara.

Masa berlalu suasana bertukar. Hari berganti minggu, minggu berganti bulan. Bulan berganti tahun. Kes Mariayee belum juga dibicarakan. Di akhir tahun 1989 aku mendapat arahan pertukaran daripada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Agong. Ketua Pendaftar ialah ketua jabatan untuk semua majistret, hakim sesyen dan pegawai-pegawai kehakiman seluruh Malaysia. Ia ditandatangani oleh Puan Rahmah Hussin (beliau kemudiannya dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi dan bersara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan). Aku ditukarkan ke mahkamah majistret Kajang.

Tempat aku di mahkamah majistret KKB diambil alih oleh Christopher Lopez. Dia seorang Serani berumur sekitar 50an. Chris Lopez lambat memasuki perkhidmatan kerana bekerja dahulu sebagai pegawai penyiaran di RTM sebelum mengambil ijazah undang-undang secara jarak jauh daripada University of London. Dia berkhidmat di mahkamah majistret Kuala Lumpur sebelum ke KKB.

Dalam menjalankan tugasnya Chris Lopez sangat tegas dan seorang yang no nonsence.  Di luar kerja dia seorang yang baik hati dan teman aku bergurau-senda. Suaranya garau dan sangat menarik. Dia mendapat kebenaran daripada Hakim Besar Malaya untuk bekerja sebagai pembaca berita radio Inggeris RTM di luar masa pejabat. Kebenaran diberi selagi dia menggunakan suaranya sahaja. Aku selalu menelefonnya dari Kajang dan aku akan memulakan percakapan dengan cuba meniru suara garaunya,” This is Chris Lopez for your evening news from Kajang…” Dia akan ketawa terbahak-bahak

Kali pertama kes ibu Mariayee di bawa di hadapan majistret Chistopher Lopez, pendakwa Inspektor Goh sudah disumpit dengan berbagai-bagai soalan dan amaran diberikan bahawa penangguhan yang diluluskan adalah penangguhan kali yang terakhir. Apabila pendakwa tidak juga bersedia pada tarikh yang ditetapkan Chris Lopez tanpa ragu mengeluarkan perintah bahawa ibu Mariayaee dibebaskan tanpa dilepaskan (DNAA). Selepas dia dibebaskan aku mendapat tahu daripada kakitangan mahkamah KKB bahawa dia dibawa lari kerana kaum kerabatnya bimbang dia akan didakwa semula. Aku tidak lagi mendengar sebarang cerita mengenai ibu Mariayee selepas itu.

Beberapa tahun selepas itu Chris Lopez menyertai aku sebagai Penolong Kanan Pendaftar (SAR) Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kami SAR yang muda-muda sering berjenaka dengannya semasa mesyuarat. Aku mengusiknya, “you look like a high court judge, what business have you got to be with us young chickos here? Dia akan ketawa berdekah-dekah. Tidak lama kemudian dia bersara wajib apabila mencapai umur 55 tahun. Semasa jamuan perpisahan dia berucap melafazkan rasa gembiranya kerana dapat menjalankan tugasnya sebagai pegawai kehakiman tanpa mengambil sebarang rasuah walaupun terdapat percubaan-percubaan untuk menyogoknya. Beberapa tahun selepas itu, di suatu pagi dia tidak keluar dari bilik air semasa bercukur. Dia dijumpai mati akibat serangan sakit jantung. Rest in peace, Chris!

Tuesday, 3 December 2013

MARIAYEE

Hari ni aku nak melompat ke hadapan. Cerita Mozac Ayer Keroh aku park dulu untuk luahan masa lain. Entah macam mana otakku ditubi-tubi oleh kenangan lama dan nama Mariayee ni timbul secara automatik. Malam semalam aku letih sekali selepas mengajar students MBA selama lapan jam di hari Ahad. Sungguh renyah mengajar subjek undang-undang perniagaan kepada students yang tidak pernah mengambil subjek undang-undang semasa undergraduate. Punah hujung minggu aku lagi. 

Bila balik selepas maghrib, aku membuat rutin biasa di pinggir malam... mandi, solat, makan. Lepas itu aku tersandar menonton tv. Cerita tak menarik jadi aku buka You Tube dan menonton sambil mendengar klip lagu-lagu Hindustan lama. Fuh, lega sungguh mendengar kelunakan suara Mohd Rafi dan aksi-aksi Shammi Kapoor yang flamboyant. Hebatnya Mohd Rafi ni ialah dia boleh meminjamkan dan membuat variasi suaranya bukan sahaja kepada aktor-aktor yang handsome; pelawak dan kanak-kanak pun menggunakan suaranya dalam pelbagai suasana...riang, rancak, jenaka, sedih dll. Mohd Rafi sendiri tidak kacak. Orangnya pendek saja. Dia dicintai semua orang yang mengenalinya kerana pemurah, warak dan sangat sopan. Dia dilahirkan dalam wilayah Punjab, Pakistan tetapi memilih untuk tinggal di India semasa pemisahan India-Pakistan tahun 1948. Dia meninggal mengejut kerana sakit jantung masa aku tingkatan lima iaitu tahun 1980. Akhbar masa itu menyiarkan berita bahawa beribu-ribu orang mengiringi jenazahnya ke kubur. Di India dia menjadi lagenda dan orang-orang yang taksub mengatakan suaranya  datang dari syurga. Beberapa tahun dulu stesen CNN India memilihnya, berdasarkan pungutan suara penonton (yang majoritinya Hindu) sebagai penyanyi terhebat sepanjang zaman.

Semasa aku kecil radio selalu memainkan lagu-lagu daripada Filem Hindustan. Kerana kekerapan lagu-lagu Hindi ini dimuntahkan saban hari, aku sudah mengenal suara Mohd.Rafi, Kishore Kumar, Mukesh, Lata Mangeskar dan Asha Bhosle sedari kecil lagi. Zaman itu filem Melayu dalam gerhana. Kalau ada filem percuma di sekolah, sudah pasti filem Hindi yang ditayangkan. Di estet getah tempat emak aku menoreh, masa terima gaji filem Tamil yang ditayangkan. Heronya mesti MGR atau Sivaji Ganesan. Ada seorang pelawak Tamil yang dipanggil Cicak amat disukai ramai. Jadi dengan latarbelakang ini aku selesa dengan lagu-lagu Hindustan. Anak-anak sering mentertawakan aku bila aku mendengar lagu Hindustan atau Tamil semasa membawa kereta. Mereka rasa ia tidak cool.

Zaman dulu, bila menonton filem Hindi, kejelitaan pelakon wanitanya boleh membuat kita termimpi-mimpi. Dengan pemandangan latar yang cantik (biasanya Kashmir) dan suara nyanyian (pinjaman) yang merdu maka mudah saja hati menjadi lebur. Ramai  lelaki dahulu menyimpan foto aktres Hindi dalam dompet duit. Tidak kurang gadis-gadis yang menampalkan gambar aktor-aktor Hindustan yang handsome dan mendedahkan bulu dada di dinding-dinding rumah. Jadi semasa menonton klip filem Hindi malam semalam aku terkenang kepada seorang gadis India yang jelita. Dia seorang Tamil tapi berkulit putih persis orang Hindi. Anehnya aku tidak pernah bertemunya dalam hidup. Maksud aku, aku tak pernah bertemu semasa Mariayee hidup. Aku bertemu Mariayee setelah dia mati. Bagaimana ini terjadi?

Beberapa bulan selepas aku dilantik sebagai majistret di Kuala Kubu Bharu di penghujung tahun 1987, aku didatangi oleh seorang pegawai penyiasat polis berbangsa Cina. "Tuan, kami memerlukan perintah tuan untuk menggali kubur dan menjalankan post mortem," kata Inspektor itu selepas memberi tabik hormat dan menghentak kaki dengan kuat. Kamar majistret yang terletak di tingkat atas bangunan lama itu sedikit bergegar dibuatnya. Aku tahu bila polis memberi salute yang kuat seperti itu mereka desperate sebenarnya. Memang mereka desperate

"Mengapa tanam mayat sebelum post mortem?" soalku dan Inspektor itu mula gelabah. Undang-undang menyatakan kuasa mengebumikan mayat terletak di tangan polis tetapi kuasa untuk menggali semula kubur terletak kepada majistret. Aku tahu dalam kes ini mayat tidak diperiksa dengan teliti oleh pegawai penyiasat sebelum dikebumikan. Inspektor itu memberi penjelasan dan benar-benar merayu agar perintah diberikan.

Aku meneliti kertas siasatan dan aku melihat beberapa foto gadis itu yang tersisip dalam laporan mati mengejut (Sudden Death Report). Berderau darah muda aku. Dia begitu jelita sekali. Memang cantik. Kelihatan kepadaku dia adalah seorang Hindi  walaupun polis mengatakan dia seorang gadis Tamil. Namanya Mariayee dan umurnya tujuh belas tahun. Sayu hati melihat gadis begitu cantik tetapi mati dalam usia yang begitu muda. Menurut siasatan dia mati membunuh diri dengan meminum racun. Setelah meneliti fail dan mendengar penjelasan polis aku memberi perintah dengan menulisnya dalam kertas siasatan, menurunkan tandatangan dan cop mohor mahkamah. Oleh kerana hari telah petang penggalian (exhumation) akan dijalankan pagi esoknya.

Esoknya aku dibawa oleh polis ke perkuburan Hindu kira-kira dua kilometer dari mahkamah. Di atas kubur ramai pemberita menunggu bersama-sama polis, orang awam dan kakitangan hospital. Bila kubur digali semakin dalam aku mula menghidu bau yang tidak menyenangkan. Aku mengeluarkan saputangan dari kocek kot hitam yang aku pakai. Bau semakin kuat dan aku meminta minyak angin daripada seorang polis dan menyapunya kepada sapu tangan sebelum menutup hidung kembali. Namun begitu bila penggalian sampai kepada mayat bau yang sangat memualkan menyusup ke dalam hidungku dan aku rasa seperti hendak muntah. Seorang polis berpangkat sarjan menghampiriku. "Tuan ambil ini dan masuk dalam saputangan dan tutup hidung. Insya Allah bau tu tak boleh masuk." Aku akur dan mengambil darinya seketul benda seperti batu dan mengikut cadangannya. Wah, berhasil! bau busuk mayat yang begitu meloyakan kini diganti oleh suatu bau lain yang lebih menyenangkan dan familiar. Bau belacan! Barulah aku tahu belacan boleh menutup bau-bau busuk  lain yang hanyir dan meloyakan.

Bila penggalian sudah siap aku pergi di tepi kubur. Dalam kubur aku melihat mayat Mariayee terbaring telentang. Dia belum berkahwin dan mengikut adat Hindu mayat seperti ini tidak dibakar tetapi dikebumikan. Mayat itu memakai blaus kuning dan skirt merah. Tetapi ia bukan lagi Mariayee seperti dalam gambar yang aku tatap semalam. Aku kini berhadapan dengan sekujur tubuh yang telah ditanam selama tiga hari. Kulitnya sudah menjadi kehitaman dan mula tanggal. Kukunya telah lekang. Matanya terbonjol dan perutnya sudah buncit. Malah seluruh badan sudah membengkak, berair dan menunggu masa untuk pecah. Selepas aku mengangguk-angguk yang dianggap sebagai arahan, beberapa anggota polis dan kakitangan rumah mayat hospital turun mengangkat jasad itu menaiki kereta polis. Aku, pegawai penyiasat dan doktor patologist menaiki kereta lain untuk menyaksikan autopsy.

Sampai di rumah mayat (mortuary)Hospital Kuala Kubu Bharu aku terkejut kerana lokasinya terletak betul-betul di atas banglo majistret. Selama ini aku cuma melihat kelibat sebuah rumah di atas tebing yang dipagari oleh pokok-pokok renik. Ia dipayungi pula oleh sebatang pokok yang besar. Pada waktu malam pokok itu sedikit menyeramkan. Aku menjenguk di celah-celah pagar dan banglo setingkat yang aku diami kelihatan sunyi sekali. Sejak datang ke KKB aku duduk bersendirian dalam quarters majistret itu. Waktu malam aku biasanya membaca, menonton tv atau video untuk meladeni kesunyian.

Itulah post mortem yang pertama dan terakhir yang aku hadiri. Atendan rumah mayat bekerja dengan pantas membuat post mortem ke atas jasad gadis muda itu; membedah di sana, menggergaji di sini, memotong di sana mencungkil di sini, menggunting di sana, menimba di sini. Mayat itu sudah berulat. Beribu-ribu ulat halus (maggot) berjalan dengan bebas di atas tempat pembedahan. Doktor patologist membawa satu daging yang panjangnya lebih sekaki dan menunjukkan kepada aku dan pegawai penyiasat. "Ini lidah mayat," katanya. "Lihat, terdapat kesan terbakar berwarna hitam yang masuk sampai ke pangkal lidah yang terletak di dalam badan jauh lebih dalam daripada halkum. Ini tandanya dia dipaksa meneguk racun bukan dia meminumnya dengan sukarela. Jika ia secara sekarela, kawasan lecur ini pendek sahaja kerana pada lazimnya mangsa akan membuang racun setelah merasa kepanasan di hujung lidah," jelas pakar forensik itu lagi.

Setelah selesai post mortem aku melihat atendan-atendan hospital berdiri santai sambil berbual-bual. Mereka kelihatannya tidak beremosi langsung. Muka mereka seperti muka mayat yang tidak ada ekspresi. Seorang daripada mereka merokok dan aku lihat tangannya  memakai sarung tangan pembedahan yang masih lembab dan ada ulat-ulat halus di atasnya. Aku merasa mual dan terus keluar untuk berbual-bual dengan Dr Nirmal Singh Pegawai Perubatan Daerah yang menunggu aku di luar. Petang itu mayat Mariayee ditanam semula dalam kubur yang sama.

Esoknya cerita pembongkaran kubur Mariayee dilaporkan dalam banyak akhbar. Utusan Malaysia meletakkannya di muka hadapan dengan gambar aku memakai kot sambil menjenguk kubur dipaparkan. Lucu juga aku melihat gambar aku memakai suit di atas kubur. Pada hari yang sama ibu mendiang Mariayee di bawa ke hadapanku untuk perintah reman kerana disyaki membunuh anaknya. Selepas dua minggu dia dibawa sekali lagi dan dituduh secara rasmi membunuh anaknya di bawah seksyen 302 Kanun Kesiksaan. Perbicaraan awal akan dibuat di mahkamah majistret dan jika ada bukti yang cukup, kes akan dipindahkan ke mahkamah tinggi untuk perbicaraan penuh. Ini disebabkan hanya mahkamah tinggi saja yang boleh menjatuhi hukuman mati. Sekarang prosedur perbicaraan awal ini (preliminary enquiry) telah dimansuhkan.

Mariayee menerima nasib yang begitu malang kerana bercinta dengan seorang pemandu lori. Percintaan ini dibantah keras oleh keluarga Mariayee kerana mereka tergolong dalam kasta tinggi sementara pemandu lori itu daripada kasta rendah. Mariayee dan keluarganya berkulit cerah sementara kekasihnya berkulit hitam. Suatu hari ibu Mariayee meminta perhubungan itu diputuskan tetapi Mariayee membantah. Ibunya mencabar dia supaya minum racun untuk membuktikan ketulusan cintanya. Mariayee menolak tetapi dia dipaksa minum juga dengan tengkuknya dipegang dan racun ditonyoh ke dalam mulutnya. Mariayee mati tetapi dalam repot polis keluarganya menyatakan dia bunuh diri selepas keluarganya memaksa dia memutuskan hubungan cintanya. Pihak polis percaya dengan versi ini dan mengkelaskan kematiannya sebagai mati mengejut dan tidak ada post mortem yang teliti dibuat. Polis mengeluarkan permit pengebumian dan Mariayee dikebumikan seperti kelaziman anak dara iaitu di"kafan"kan dengan pakaian yang paling disukainya semasa hidup. Blaus kuning dan skirt merah. Mariayee dijangka berehat dalam tenang dalam alam kubur selepas tragedi tersebut. Rest in peace.

Malangnya, cerita sebenar terbongkar bila ada ahli keluarga Mariayee berjumpa polis menceritakan versi mereka. Repot polis dibuat. Klasifikasi kes bertukar daripada laporan mati mengejut kepada bunuh. Perintah mahkamah dipohon untuk penggalian kubur supaya post mortem penuh dapat dibuat. Mariayee tidak dapat rehat dalam tenang. Jasadnya digali dan diusik (disiksa kalau ikut perspektif Islam). Akupun tidak dapat berehat dalam tenang. Bila malam menjelang aku mula terbayang wajah cantik Mariayee semasa hidupnya. Wajah cantik ini akan berganti wajah hodoh mayatnya yang mereput. Apabila hampir tengah malam biasanya ada anjing yang menyalak sayu di bawah pokok rendang di penjuru halaman rumahku. Seorang kawanku yang ada ilmu dukun bernama Azhari yang sama bekerja di KKB selalu memberitahuku bahawa anjing-anjing itu kalau menyalak sedih di waktu malam maknanya ada roh yang melintas. Masa diberitahu itu aku tidak tahu ada mortuary terletak di sebelah rumahku. Selepas episod Mariayee, bulu romaku akan berdiri bila mendengar salak sayu anjing kerana mengingatkan hanya di sebelah pagar ada mayat-mayat terbaring dalam mortuary. Aku lantas bingkas bangun dan mencapai kunci kereta dan memecut ke Kuala Lumpur menumpang tidur di rumah kawan rapatku Ashi atau Zambry di Petaling Jaya. Berminggu-minggu aku berbuat begitu sehinggalah aku merasakan betapa bodohnya aku mengikut perasaan takut dan berapa ruginya aku membuang minyak berulang-alik ke KL setiap hari.

Dua puluh enam tahun telah berlalu tetapi aku tidak boleh lupa kesah malang Mariayee. Bila aku ke KKB dan melintas kawasan kubur Mariayee aku akan bercerita tentangnya kepada isteri, anak-anak dan kawan-kawanku. Bila aku menonton filem Hindi aku akan teringat wajah Mariayee. Kalau dia masih hidup dia berumur 43 tahun sekarang, mungkin tidak secantik wajahnya semasa 17 tahun. Heroin-heroin Hindustan yang dulunya cantik jelita, Sharmila Tagore, Asha Parekh, Nanda, Saira Banu,  Mumtaz, Vyjanthimala telah tua sekarang dan semua wajah mereka telah pudar. Malang sungguh Mariayee, dan malang sungguh aku yang melihat transformasi wajahnya hanya dalam tempoh sehari dan ia melekat dalam ingatanku. Dari satu segi ia memberi keinsafan kepadaku betapa semua ciptaan Allah  tidak kekal. Kita mesti menerima hakikat ini.