Wednesday 20 September 2017

MARIAYEE: DIBUNUH IBU KERANA CINTA


Kuala Kubu Bharu (KKB) 1988 - kisah Mariayee gadis Tamil yang ayu.



Aktres Tamil, Trisha (foto hiasan)

Hari ni aku nak melompat ke hadapan. Cerita hidup remajaku di Sekolah Menengah Sains  Melaka, Ayer Keroh (Mozac) aku park dulu untuk luahan masa lain. Entah macam mana otakku ditubi-tubi oleh kenangan lama dan nama Mariayee ini timbul secara automatik. Malam semalam aku letih sekali selepas mengajar students MBA selama lapan jam di hari Ahad. Sungguh renyah mengajar subjek Business Law kepada students yang tidak pernah mengambil subjek undang-undang semasa undergraduate. Punah hujung minggu aku lagi. 

Bila balik selepas maghrib, aku membuat rutin biasa di pinggir malam... mandi, solat, makan. Lepas itu aku tersandar menonton tv. Cerita tak menarik jadi aku buka You Tube,  menonton sambil mendengar klip lagu-lagu Hindustan lama. Fuhh, lega sungguh mendengar kelunakan suara Mohd Rafi dan aksi-aksi Shammi Kapoor yang flamboyant. Hebatnya Mohd Rafi ni ialah dia boleh meminjamkan dan membuat variasi suaranya bukan sahaja kepada aktor-aktor yang handsome; pelawak dan kanak-kanak pun menggunakan suaranya dalam pelbagai suasana...riang, rancak, jenaka, sedih dll. Mohd Rafi sendiri tidak kacak. Orangnya pendek saja. Dia dicintai orang-orang yang mengenalinya kerana pemurah, warak dan sangat sopan. Dia dilahirkan dalam wilayah Punjab, Pakistan tetapi memilih untuk tinggal di India semasa pemisahan India-Pakistan tahun 1948. Dia meninggal mengejut kerana sakit jantung masa aku tingkatan lima iaitu tahun 1980. Akhbar masa itu menyiarkan berita bahawa beribu-ribu orang mengiringi jenazahnya ke kubur. Di India dia menjadi lagenda dan orang-orang yang taksub mengatakan suaranya  datang dari syurga. Beberapa tahun dulu stesen CNN India memilihnya, berdasarkan pungutan suara penonton (yang majoritinya Hindu) sebagai penyanyi India terhebat sepanjang zaman.

Mohd Rafi dan Lata Mangeskar dalam sesi rakaman suara

Semasa aku kecil radio selalu memainkan lagu-lagu daripada Filem Hindustan. Kerana kekerapan lagu-lagu Hindi ini dimuntahkan saban hari, aku sudah mengenal suara Mohd.Rafi, Kishore Kumar, Mukesh, Lata Mangeskar dan Asha Bhosle sedari kecil lagi. Zaman itu filem Melayu dalam gerhana. Kalau ada tayangan filem percuma di sekolah, sudah pasti filem Hindi yang dihidangkan. Di estet getah tempat emak aku menoreh, filem Tamil yang ditayangkan semasa hari gaji. Heronya mesti M.G.Ramachandran (MGR) atau Sivaji Ganesan. Ada seorang pelawak Tamil yang dipanggil Cicak amat disukai ramai. Jadi dengan latarbelakang ini aku selesa dengan lagu-lagu Hindustan dan cerita Tamil. Anak-anak sering mentertawakan aku bila aku mendengar lagu Hindustan atau Tamil semasa membawa kereta. Mereka rasa ia tidak cool.

lagu Paatu Padava nyanyian Gemini Ganesan


Zaman dulu, bila menonton filem Hindi, kejelitaan pelakon wanitanya boleh membuat kita termimpi-mimpi. Dengan pemandangan latar yang indah (biasanya Kashmir) dan suara nyanyian (pinjaman) yang merdu maka mudah saja hati menjadi lebur. Ramai  lelaki dahulu menyimpan foto aktres Hindi dalam dompet duit. Tidak kurang gadis-gadis yang menampalkan gambar aktor-aktor Hindustan yang handsome yang mendedahkan bulu dada di dinding rumah. Jadi semasa menonton klip filem Hindi malam semalam aku terkenang kepada seorang gadis India yang jelita. Dia seorang Tamil tapi berkulit putih persis orang Hindi. Anehnya aku tidak pernah bertemunya dalam hidup. Maksud aku, aku tak pernah bertemu semasa Mariayee hidup. Aku bertemu Mariayee setelah dia mati. Bagaimana ini terjadi?

Beberapa bulan selepas aku dilantik sebagai majistret di Kuala Kubu Bharu di penghujung tahun 1987, aku didatangi oleh seorang pegawai penyiasat polis berbangsa Cina. "Tuan, kami memerlukan perintah tuan untuk menggali kubur dan menjalankan post mortem," kata Inspektor itu selepas memberi tabik hormat dan menghentak kaki dengan kuat. Kamar majistret yang terletak di tingkat atas bangunan lama itu sedikit bergegar dibuatnya. Aku tahu bila polis memberi salute yang kuat seperti itu mereka desperate. Memang mereka desperate

"Mengapa tanam mayat sebelum post mortem?" soalku dan Inspektor itu mula gelabah. Undang-undang menyatakan kuasa mengebumikan mayat terletak di tangan polis tetapi kuasa untuk menggali semula kubur (exhumation) terletak kepada majistret. Aku tahu dalam kes ini mayat tidak diperiksa dengan teliti oleh pegawai penyiasat sebelum dikebumikan. Inspektor itu memberi penjelasan dan benar-benar merayu agar perintah diberikan.

Aku meneliti kertas siasatan dan aku melihat beberapa foto gadis itu yang tersisip dalam Laporan Mati Mengejut (Sudden Death Report). Berderau darah muda aku. Dia begitu jelita sekali. Memang cantik. Kelihatan kepadaku dia adalah seorang Hindi  walaupun polis mengatakan dia seorang gadis Tamil. Namanya Mariayee dan umurnya tujuh belas tahun. Sayu hati melihat gadis begitu cantik mati dalam usia yang begitu muda. Menurut siasatan dia mati membunuh diri dengan meminum racun. Setelah meneliti fail dan mendengar penjelasan polis aku memberi perintah dengan menulisnya dalam kertas siasatan, menurunkan tandatangan dan cop mohor mahkamah. Oleh kerana hari telah petang exhumation akan dijalankan pagi esoknya.

Esoknya aku dibawa oleh polis ke perkuburan Hindu kira-kira dua kilometer dari mahkamah. Di atas kubur ramai pemberita menunggu bersama-sama polis, orang awam dan kakitangan hospital. Bila kubur digali semakin dalam aku mula menghidu bau yang tidak menyenangkan. Aku mengeluarkan saputangan dari kocek kot hitam yang aku pakai. Bau semakin kuat dan aku meminta minyak angin daripada seorang polis dan menyapunya kepada sapu tangan sebelum menutup hidung kembali. Namun begitu bila penggalian sampai kepada mayat bau yang sangat memualkan menyusup ke dalam hidungku dan aku rasa seperti hendak muntah. Seorang polis berpangkat sarjan menghampiriku. "Tuan ambil ini dan masuk dalam saputangan dan tutup hidung. Insya Allah bau tu tak boleh masuk." Aku akur dan mengambil darinya seketul benda seperti batu dan mengikut cadangannya. Wah, berhasil! bau busuk mayat yang begitu meloyakan kini diganti oleh suatu bau lain yang lebih menyenangkan dan familiar. Bau belacan! Barulah aku tahu belacan boleh menutup bau-bau busuk  lain yang hanyir dan meloyakan.

Bila penggalian sudah siap aku pergi di tepi kubur. Dalam kubur aku melihat mayat Mariayee terbaring telentang. Dia belum berkahwin dan mengikut adat Hindu mayat seperti ini tidak dibakar tetapi dikebumikan. Mayat itu memakai blaus kuning dan skirt merah. Tetapi ia bukan lagi Mariayee dalam gambar yang aku tatap semalam. Aku kini berhadapan dengan sekujur tubuh yang telah ditanam selama tiga hari. Kulitnya sudah menjadi kehitaman dan mula tanggal. Kukunya telah lekang. Matanya terbonjol dan perutnya sudah buncit. Malah seluruh badan sudah membengkak, berair dan menunggu masa untuk pecah. Selepas aku mengangguk-angguk yang dianggap sebagai arahan, beberapa anggota polis dan kakitangan rumah mayat hospital turun mengangkat jasad itu menaiki kereta polis. Aku, pegawai penyiasat dan doktor pathologist menaiki kereta lain untuk menyaksikan autopsy (pembedahan mayat).

Sampai di rumah mayat (mortuary) Hospital Kuala Kubu Bharu aku terkejut kerana lokasinya terletak betul-betul di atas banglo majistret. Selama ini aku cuma melihat kelibat sebuah rumah di atas tebing yang dipagari oleh pokok-pokok renik. Ia dipayungi pula oleh sebatang pokok yang besar. Pada waktu malam pokok itu sedikit menyeramkan. Aku menjenguk di celah-celah pagar dan dapat melihat banglo setingkat yang aku diami nampak sunyi sekali. Sejak datang ke KKB aku duduk bersendirian dalam quarters majistret itu. Waktu malam aku biasanya membaca, menonton tv atau video untuk meladeni kesunyian.

Itulah autopsy yang pertama dan terakhir yang aku hadiri. Atendan rumah mayat bekerja dengan pantas membuat post mortem ke atas jasad gadis muda itu; membedah di sana, menggergaji di sini, memotong di sana mencungkil di sini, menggunting di sana, menimba di sini. Mayat itu sudah berulat. Beribu-ribu ulat halus (maggot) berjalan dengan bebas di atas tempat pembedahan. Doktor pathologist membawa satu daging yang panjangnya lebih sekaki dan menunjukkan kepada aku dan pegawai penyiasat. "Ini lidah mayat," katanya. "Lihat, terdapat kesan terbakar berwarna hitam yang masuk sampai ke pangkal lidah yang terletak di dalam badan jauh lebih dalam daripada halkum. Ini tandanya dia dipaksa meneguk racun bukan dia meminumnya dengan sukarela. Jika ia dibuat secara sekarela, kawasan lecur ini pendek sahaja kerana pada lazimnya mangsa akan membuang racun setelah merasa kepanasan di hujung lidah," jelas pakar forensik itu lagi.

Setelah selesai post mortem aku melihat atendan-atendan hospital berdiri santai sambil berbual-bual. Mereka kelihatannya tidak beremosi langsung. Muka mereka seperti muka mayat yang tidak ada ekspresi. Seorang daripada mereka merokok dan aku lihat tangannya  memakai sarung tangan pembedahan yang masih lembab dan ada ulat-ulat halus di atasnya. Aku merasa mual dan terus keluar untuk berbual-bual dengan Dr Nirmal Singh, Pegawai Perubatan Daerah KKB yang menunggu aku di luar. Petang itu mayat Mariayee ditanam semula dalam kubur yang sama.

Esoknya cerita pembongkaran kubur Mariayee dilaporkan dalam banyak akhbar. Utusan Malaysia meletakkannya di muka hadapan dengan gambar aku memakai kot menjenguk kubur dipaparkan. Lucu juga aku melihat gambar aku memakai suit di atas kubur. Pada hari yang sama ibu mendiang Mariayee di bawa ke hadapanku untuk perintah reman kerana disyaki membunuh anaknya. Selepas dua minggu dia dibawa sekali lagi dan dituduh secara rasmi membunuh anaknya di bawah seksyen 302 Kanun Kesiksaan. Perbicaraan awal akan dibuat di Mahkamah Majistret dan jika ada bukti yang cukup, kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh. Ini disebabkan hanya Mahkamah Tinggi saja yang boleh menjatuhi hukuman mati. Sekarang prosedur perbicaraan awal ini (preliminary enquiry) telah dimansuhkan. Pendakwaan akan terus dibuat di Mahkamah Tinggi.

Mariayee menerima nasib yang begitu malang kerana bercinta dengan seorang pemandu lori. Percintaan ini dibantah keras oleh keluarga Mariayee kerana mereka tergolong dalam kasta tinggi sementara pemandu lori itu daripada kasta rendah. Mariayee dan keluarganya berkulit cerah sementara kekasihnya berkulit hitam. Suatu hari ibu Mariayee meminta perhubungan itu diputuskan tetapi Mariayee membantah. Ibunya mencabar dia supaya minum racun untuk membuktikan ketulusan cintanya. Mariayee menolak tetapi dia dipaksa minum juga dengan tengkuknya dipegang dan racun ditonyoh ke dalam mulutnya. Mariayee mati tetapi dalam repot polis keluarganya menyatakan dia bunuh diri selepas ibunya memaksa dia memutuskan hubungan cintanya. Pihak polis percaya dengan versi ini dan mengkelaskan kematiannya sebagai mati mengejut dan tidak ada post mortem yang teliti dibuat. Polis mengeluarkan permit pengebumian dan Mariayee dikebumikan seperti kelaziman anak dara iaitu di"kafan"kan dengan pakaian yang paling disukainya semasa hidup. Blaus kuning dan skirt merah. Mariayee dijangka berehat dalam tenang dalam alam kubur selepas tragedi tersebut. Rest in peace.

Malangnya, cerita sebenar terbongkar bila ada ahli keluarga Mariayee berjumpa polis menceritakan versi mereka. Repot polis dibuat. Klasifikasi kes bertukar daripada Laporan Mati Mengejut kepada bunuh. Perintah mahkamah dipohon untuk penggalian kubur supaya post mortem penuh dapat dibuat. Mariayee tidak dapat rehat dalam tenang. Jasadnya digali dan diusik (disiksa kalau ikut perspektif Islam). Akupun tidak dapat berehat dalam tenang. Bila malam menjelang aku mula terbayang wajah cantik Mariayee semasa hidupnya. Wajah cantik ini akan berganti wajah hodoh mayatnya yang mereput. Apabila hampir tengah malam biasanya ada anjing yang menyalak sayu di bawah pokok rendang di penjuru halaman rumahku. Seorang kawanku yang ada ilmu dukun bernama Azhari yang sama bekerja di KKB pernah memberitahuku bahawa anjing-anjing itu kalau menyalak sedih di waktu malam maknanya ada roh yang melintas. Masa diberitahu itu aku tidak tahu ada mortuary terletak di sebelah rumahku. Selepas episod Mariayee, bulu romaku akan berdiri bila mendengar salak sayu anjing kerana mengingatkan hanya di sebelah pagar ada mayat-mayat terbaring dalam mortuary. Aku lantas bingkas bangun dan mencapai kunci kereta dan memecut ke Kuala Lumpur menumpang tidur di rumah kawan rapatku Ashi atau Zambry di Petaling Jaya. Berminggu-minggu aku berbuat begitu sehinggalah aku merasakan betapa bodohnya aku mengikut perasaan takut dan berapa ruginya aku membuang minyak berulang-alik ke KL setiap hari.

Dua puluh enam tahun telah berlalu tetapi aku tidak boleh lupa kesah malang Mariayee. Bila aku ke KKB dan melintas kawasan kubur Mariayee aku akan bercerita tentangnya kepada isteri, anak-anak dan kawan-kawanku. Bila aku menonton filem Hindi aku akan teringat wajah Mariayee. Kalau dia masih hidup dia berumur 43 tahun sekarang, mungkin tidak secantik wajahnya semasa 17 tahun. Heroin-heroin Hindustan yang dulunya cantik jelita, Sharmila Tagore, Asha Parekh, Nanda, Saira Banu,  Mumtaz, Vyjanthimala telah tua sekarang dan semua wajah mereka telah pudar. Malang sungguh Mariayee, dan malang sungguh aku yang melihat transformasi wajahnya hanya dalam tempoh sehari dan ia melekat dalam ingatanku. Dari satu segi ia memberi keinsafan kepadaku betapa semua ciptaan Allah  tidak kekal. Kita mesti menerima hakikat ini. 

3 Disember 2013
Menara Razak, UTM Kuala Lumpur




Wednesday 13 September 2017

DUKA SHEIKH AL HUSARI (YASMIN AL KHAYYAM)


Hari ini Ahad 17 September 2017 ialah ulangtahun kelahiran Sheikh Mahmud Khalil Al Husari ke 100, Aku ingin menyambung cerita qari tersohor ini dengan Yasmin Al Khayyam. Apa hubungan Yasmin, penyanyi bersuara emas yang pernah dinobatkan sebagai pengganti Umm Kulthum dengan Sheikh Al Husari?

Tidak ramai yang tahu Sheikh Al Husari mengalami kedukaan yang panjang sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir pada penghujung tahun 1980. Punca utamanya ialah Yasmin.

Sepanjang bulan Ramadan  tahun itu (dalam bulan Julai dan Ogos 1980) setiap petang RTM menyiarkan drama kisah nabi-nabi sebelum waktu berbuka. Masa itu aku tinggal di asrama Sekolah Menengah Sains Melaka. Drama purba itu sangat menarik. Aku dan beberapa kawan mengikutinya tanpa gagal. Aku terpikat dengan pertuturan Arab fushah (baku) yang digunakan. Cerita yang paling aku suka dan tidak boleh lupa ialah kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha. Setiap siri drama itu dimulakan dan diakhiri dengan sebuah nasyid yang sangat mengasyikkan bertajuk "Muhammad Ya Rasulullah". Penyanyi utamanya seorang wanita yang memiliki variasi vokal  menakjubkan. Suaranya gemersik persis Umm Kulthum tetapi ia diselang-seli dengan alunan suara lembut lemak merdu yang begitu menawan. Penyanyinya ialah Yasmin Al-Khayyam. 


Yasmin Al Khayyam @ Ifrag Al Husari

Mari kita dengar sebahagian nasyid itu dan suara emas Yasmin dalam drama tersebut.

drama ini sangat popular satu masa dahulu. Lagu latarnya dinyanyikan oleh
Yasmin Al Khayyam.


Nama asal Yasmin Al-Khayyam ialah Ifrag Al-Husari. Ya, dia ialah anak Sheikh Mahmud Khalil Al Husari. Kita bagai tidak percaya seorang qari termasyhur dengan peribadi yang begitu luhur dan dihormati seluruh dunia ada anak perempuan yang jadi penyanyi. Nampak tidak compatible. Tapi itulah hakikatnya. Orang-orang alim selalu berkata semakin tinggi ketakwaan seseorang semakin besar ujian yang ditempuhinya. Malah Rasulullah SAW pun diuji dengan karenah isteri-isterinya. Ini disebut dalam Al Quran. Inilah juga yang terjadi kepada Sheikh Al-Husari di akhir-akhir hayatnya. Anak perempuannya adalah ujian terbesar baginya.

Sheikh Al-Husari mendidik Ifrag bagai menatang minyak yang penuh. Dia diberi didikan ugama yang keras, sempurna dan dicurahkan kasih-sayang oleh bapanya. Dia menghafal Al Quran sejak kecil. Malah gambar pertama yang dirakam oleh bapanya ialah semasa dia menghafal Surah An Nur yang sarat dengan peraturan mengenai kehormatan wanita serta hukum-hakam yang bersabit dengannya.  Maknanya dari kecil dia sudah tahu batas-batas ugama yang perlu dipatuhi oleh wanita Islam seperti aurat dan perhubungan wanita dengan lelaki.

Yasmin selalu terkilan tidak dapat berpakaian bebas seperti pelajar-pelajar perempuan lain yang berseluar dan berskirt. Dia disuruh oleh bapanya memakai pakaian yang panjang dan longgar. Setelah tamat sekolah menengah Yasmin ingin melanjutkan pelajaran ke Universiti Iskandariah tetapi bapanya tidak berapa setuju. Menurutnya, bagi seorang wanita,  pendidikan sekolah menengah sudah memadai. Hanya selepas Ifrag berkahwin dia dapat masuk universiti dengan izin suaminya. Itupun dengan syarat dia mesti mengutamakan tugasnya sebagai isteri terlebih dahulu. Ifrag yang bijak itu lulus dan bekerja sebagai pegawai di Parlimen Mesir. Di situ dia mengenal ramai VIP.

Kariernya sebagai penyanyi bermula apabila Wanita Pertama Mesir Jihan Sadat mendengar suaranya dalam satu majlis. Kagum dengan vokal Ifrag, dia mahu Ifrag turut serta dalam sambutan pertama kematian Umm Kulthum pada Januari 1976. Jihan Sadat menjemput Ifrag dan bapanya bertemu Presiden Anwar Sadat di kediaman presiden. Presiden Sadat memohon kebenaran Sheikh Al Husari supaya Ifrag  menyanyi dalam konsert negara itu. Sheikh Al Husari membantah namun ia ditolak oleh presiden kerana suami Ifrag mengizinkannya. Bagi Sadat ia bukan satu isu kerana bila berkahwin kuasa ke atas wanita beralih dari bapa kepada suaminya.

Sheikh Al Husari masih mahu meyakinkan anak perempuannya itu supaya tidak turut serta. Esoknya Ifrag dibawa berjumpa Rektor Al Azhar, Sheikh Abdul Halim Mahmud yang juga seorang ulama tersohor. Sheikh Al Azhar itu memberitahu mereka hukum wanita menyanyi adalah harus selagi ia tidak menimbulkan fitnah, melekakan pendengar daripada tugas ugama dan tidak menaikkan syahwat. Ifrag mengambil pendapat ulama itu dan menganggap penyertaannya tidak bertentangan dengan hukum ugama.

Konsert itu melonjakkan nama Ifrag Al Husari. Dia mendapat tawaran merakam suara. Untuk menjaga nama baik bapanya, Ifrag menggunakan nama seni Yasmin Al Khayyam. Dia menjadi terkenal dengan genre lagu  nasyid dan keugamaan. Kemudian Yasmin beralih kepada genre lagu patriotik. Jiwa seninya tidak dapat dibendung dan akhirnya dia merakam suara dan membuat konsert dalam genre lagu pop pula. Inilah yang menyedihkan bapanya. Walaupun Yasmin tidak membawa nama Al Husari tetapi masyarakat tetap tahu juga. Kita boleh bayangkan radio dan TV menyiarkan bacaan Al Quran bapanya di sebelah pagi dan di petangnya muncul pula suara anaknya menyanyi lagu pop. Yasmin muncul tanpa bertudung seperti artis-artis lain. Sudah tentu bapanya berduka.

Tentu qari yang warak itu sedar perintah Allah, mafhumnya "Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu" (At Tahrim:6).

Tindakan Yasmin ini dibantah oleh ramai orang. Di Al Azhar tempat bapanya bertugas, mereka merungut kepada Sheikh Al Husari. Ada yang lebih ektrim telah mendesak sheikh itu pergi ke hadapan Kaabah dan berdoa supaya Allah mengambil nyawa Yasmin atau berdoa sekurang-kurangnya suara Yasmin dicabut untuk menghentikan kemaksiatannya. Yasmin sendiri mendapat ugutan akan diserang dan mukanya disimbah asid.


Yasmin dalam konsert dengan lagu pop Arab

Semasa aku siswa UIA, aku bertemu seorang pelajar Indonesia yang pernah belajar di Mesir. Dialah yang memberitahu aku kisah Sheikh Al Husari dan anaknya Yasmin Al Khayyam. Menurutnya Sheikh Al Husari makan hati dengan karenah Yasmin hingga menjejaskan kesihatannya.

Yasmin sendiri bersikap tegas dalam pendiriannya. Dia terus menyanyi. Tapi dia juga sangat menghormati dan mengasihi bapanya. Setiap kali dia bertemu bapanya dia akan memakai tudung. Malah setelah bapanya meninggal dunia, dalam program TV mengenang bapanya, dia muncul dengan bertudung walaupun dia tidak bertudung dalam kehidupan sehariannya. Apabila bapanya meninggal Yasmin berjumpa kawan baik bapanya yang juga seorang ulama tafsir yang terkenal di Al Azhar iaitu Sheikh Al Sya'arawi. Ulama itu bertanya mengapa Yasmin masih tidak menutup aurat.

Namun orang-orang Islam dan beriman senantiasa mendoakan kesejahteraan isteri, anak dan keturunan mereka. Sudah tentu Sheikh Al Husari juga senantiasa mendoakan agar Yasmin kembali dalam kehidupan Islam yang sejati. Kita sering membaca doa ini, (mafhum) "Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kami isteri-isteri dan keturunan kami sebagai penyenang hati ("qurrata a'yun") dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa" (Al Furqan:74).

Selepas bapanya meninggal Yasmin berubah sedikit demi sdikit. Dia sering dinasihati oleh cendekiawan Islam kawan kepada bapa dan ibunya seperti Zainab Al Ghazali. Kemuncaknya ketika Yasmin mengunjungi Sheikh Al Sya'arawi sebelum dia bersara dari Al Azhar pada 1990, sheikh itu meminta dia menutup aurat bagi menghormati legasi bapanya qari yang masyhur itu.

Pada tahun yang sama, Yasmin melawat Paris dan tertarik dengan kecekalan seorang pelajar Maghribi berumur 16 tahun yang bertelagah dengan pemerintah untuk memakai tudung semasa di sekolah. Bila pulang ke Mesir Yasmin telah memakai tudung dan kali ini dia kekal menutup aurat. Dia juga meninggalkan terus kariernya sebagai penyanyi.

10 tahun selepas kematian bapanya Yasmin menutup aurat sepanjang masa

Untuk memperingati bapanya Yasmin telah menubuhkan Yayasan Sheikh Al Husari di Kaherah untuk menaja beribu-ribu anak yatim. Yayasan ini juga aktif dalam dailog antara ugama. Kali ini Yasmin memperkenalkan dirinya dengan nama Yasmin Al Husari. Dia sering menampilkan dirinya berpakaian serba putih sebagai perlambangan warna yasmin (bunga melur).

Yasmin Al Husari aktif dalam aktiviti kebajikan Islam.

Ketika Presiden Obama melawat Mesir, Yasmin telah dijemput menemui presiden itu kerana semasa hidupnya Sheikh Al Husari pernah bertemu bapa Obama di Afrika dan menghadiahkannya kaset bacaan Al Quran bacaannya.

Sekarang Yasmin Al Husari meningkatkan penghayatan Islamnya dengan menutup mukanya. Dalam satu dokumentari mengenai bapanya yang boleh ditonton dalam Youtube, Yasmin memberi temuramah dalam berpurdah. Jika bapanya masih hidup tentu beliau akan gembira kerana mendapat seorang anak perempuan yang menyenangkan hati.

Semoga cerita ini memberi manfaat kepada kita. Sempena 100 tahun kelahirannya hari ini marilah kita mendoakan  roh Sheikh Mahmud Khalil Al Husari ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dengan kedudukan yang tinggi di sisi Allah Ta'ala atas jasanya yang sangat besar kepada Al Quran dan umat Islam. Al Fatihah.


17 September 2017
Petaling Jaya.








Sunday 3 September 2017

KEMATIAN DIANA DAN MOHAMED AL FAYED

Sambungan


Diana sebenarnya telah disisihkan oleh Istana Buckingham. Dia dianggap anti establishment. Antara sebab utama perkahwinannya runtuh ialah popularitinya mengatasi Putera Charles. Umum mengetahui Putera Charles sebagai putera mahkota (Prince of Wales) tidak banyak peranan dalam sistem pentadbiran British. Dia tidak selesa apabila isterinya mendapat lebih perhatian dan diburu oleh media sepanjang masa. Diana pula seronok dengan perhatian media itu. Sepatutnya dia tidak boleh terlalu menonjolkan dirinya. Lihat bagaimana Camilla Duchess of Cornwall menjaga dirinya sekarang setelah dia berkahwin dengan Charles. Dia sangat sopan sehingga rakyat British mula menyukainya dan dia dianggap secocok dengan Charles. Camilla bukan lagi wanita durjana yang dibenci rakyat British suatu masa dahulu.

Puteri Diana diburu media di mana-mana

Di rumah,  Fadilah diberitahu tentang musibah yang menimpa Diana oleh adiknya dari Malaysia. Di musim panas perbezaan waktu antara Malaysia dan UK ialah 8 jam. Sewaktu kami lena tidur rakyat Malaysia telah tahu berita itu di waktu pagi.

Keesokannnya pada 1 September 1997 kami sekeluarga bertolak pulang ke Cardiff kerana cuti telah habis. Aku dan isteri bekerja 8 jam sehari memetik buah tomato dalam  green house  di Rhmney Valley. Sepanjang perjalanan kami dapat melihat rakyat Britain yang murung tidak percaya puteri kesayangan mereka telah tiada lagi. Selama 16 tahun sejak dia bertunang dengan Putera Charles, Puteri Diana menjadi sebahagian dari mereka tiba-tiba dia pergi buat selama-lamanya.

Puteri Diana dan Dodi Al Fayed dilihat hidup buat
kali terakhir menaiki kereta di luar Hotel Ritz Paris. Beberapa
minit selepas ini kereta mereka melanggar tebing terowong. Dodi mati serta-merta.

Sampai di Cardiff semua kami terpaku di depan tv menonton perkembangan mendiang Diana. Putera Charles pergi ke Paris menuntut mayat bekas isterinya dan membawanya pulang menaiki pesawat khas RAF. Media mula membuat analisa kecelakaan yang menimpa Diana. Semuanya memburukkan papazzi (pemburu berita) yang dikatakan penyebab utama kemalangan tersebut. Nama teman lelaki Diana, Dodi Al Fayed jarang-jarang disebut. Dia hanya dirujuk sebagai companion Diana yang turut terbunuh.

Hamad "Dodi" Al Fayed tidak dikenali ramai sebelum dia diberitakan  berpacaran dengan Puteri Diana semasa  percutian bersama mereka atas bot mewah milik bapa Dodi di lautan Mediterranean. Bapa Dodi, Mohamed Al Fayed ialah pemilik gedung mewah Harrords di Knightbridge, London. Billionaire itu juga pemilik Hotel Ritz Paris tempat pasangan itu makan malam buat kali terakhir. Bapa saudara Dodi (abang ibunya) ialah Adnan Al Kashoggi, billionare Saudi yang terkenal. Sebagai anak sulung dan pewaris Mohamed Al Fayed memberi elaun hidup kepada Dodi sebanyak USD100 ribu setiap bulan di samping mendapat semua kemewahan yang hanya mimpi kepada orang lain.

pasangan ini dalam rakaman cctv Hotel Ritz Paris di malam mereka terbunuh

Dengan kemewahan itu Dodi menjadi playboy antarabangsa. Segala cerita Dodi yang tidak manis dihamburkan dalam media semau-maunya sebelum dan selepas kematiannya. Media British seperti gerun Dodi akan mengahwini Diana sekaligus menjadi bapa tiri kepada Putera William, pewaris takhta British dan ketua Gereja England selepas Putera Charles. Kepada rakyat British ini satu prospek yang unthinkable.

Dodi Al Fayed diburukkan bukan sebab dia Islam. Kehidupan dia dan keluarganya tidak langsung berpaksi kepada ugama. Mereka Islam pada nama sahaja. Jadi mengapa media dan establishment berusaha keras menghalang hubungan Puteri Diana dan Dodi?

Pada hemat aku, jawapannya tidak dapat lari daripada Mohamed Al Fayed sendiri.

Mohamed Al Fayed dan isterinya (ibu tiri Dodi) wanita Finland

Mohamed Al Fayed adalah businessman yang penuh kontroversi. Dia sangat kaya dan ambitious. 
Dia lahir di Mesir tetapi berhijrah ke Britain. Cara bagaimana dia berjaya dalam perniagaan sangat menakjubkan. Ia bagai cerita dongeng Seribu Satu Malam.  Dia mula dianggap businessman yang serius bila berkenalan dengan Adnan Al Kashoggi. Bagaimana dia mendapat financial backing Adnan? "Mudah" saja - kahwini adiknya Samirra. Dengan bantuan Adnan, Mohamed Al Fayed bergerak cergas membeli hartanah yang ekslusif serata dunia seperti Harrods dan Hotel Ritz. Dia sangat licik. Aku rasa Donald Trump kaya kerana mengikut model perniagaan Al Fayed. Terlalu banyak persamaan antara mereka. Aku rasa mereka penganut mazhab bisnes "talent means nothing without name and popularity" (dalam perniagaan bakat tidak bermakna tanpa nama dan kemasyhuran). Di Malaysia pun ada penganut mazhab ini. Kajilah  Dato Seri Vida dan Tan Sri Vincent Tan, anda akan faham apa yang aku maksudkan.

Mohamed Al Fayed "membeli" gedung Harrods secara tidak jujur. Pada asalnya dia bertindak sebagai ajen pembeli bagi seorang ahli perniagaan British tetapi apabila mendapat segala maklumat dia sendiri mencari sokongan dana dan membeli Harrods untuk dirinya sendiri secara curang. Dalam financial disclosure kepada funder dia mendakwa memiliki beratus-ratus kapal di Iskandariah. Bila disiasat selepas Harrods dimilikinya, dia memberitahu "kapal-kapal" yang dimilikinya itu ialah "sampan-sampan" yang memberi perkhidmatan memunggah kargo kapal dagang di tengah laut dan membawanya ke pelabuhan kerana laut yang cetek. Phew! terkedu orang putih dibuatnya. Sebagai pemilik Harrods dia mengorak langkah untuk pengiktirafan dirinya di UK. Harrods yang berusia hampir 200 tahun itu adalah satu lambang kemegahan British. Orang putih malu bila hakmiliknya bertukar kepada orang Arab. Bayangkan di Malaysia bangunan PWTC dibeli oleh orang asing. Begitulah rasanya.

Orang putih tidaklah bodoh. Mereka memberi segenap peluang kepada warga asing berniaga dan bekerja di Britain selagi mereka membayar cukai dan patuh undang-undang. Sebenarnya inilah kunci kejayaan London terus maju selepas empayar British berpecah. Kalau kita duduk di UK kita tidak akan rasa kita rakyat kelas kedua. Kita dilayan dengan baik padahal aku rasa di sana taraf kita tak ubah seperti pekerja Bangla di Malaysia. Tapi di bank, sekolah, muzium dll kita tidak dianaktirikan. Orang putih memang handal berlakon. Ramai mereka rasis tapi tidak nampak. Depan lain belakang lain. Aku buat kesimpulan ini setelah tinggal dan bergaul dengan mereka selama enam tahun di sana.

Mohamed Al Fayed mengidam untuk menjadi rakyat British. Dia hanya berstatus penduduk tetap (PR) sahaja walaupun tinggal di UK berpuluh tahun.. Dia membayar cukai lebih GBP 24 juta setahun kepada Kerajaan Britain. Dia membeli castle di Scotland dan mengubahsuainya sebagai tarikan pelancong. Bagi meluaskan pengaruhnya Mohamed Al Fayed membeli akhbar Daily Mirror. Untuk bergaul dengan masyarakat kelas atasan British dia berhabis duit menaja pesta lumba kuda Ascott iaitu event tahunan yang dihadiri oleh aristokrat British termasuk Queen Elizabeth. Tempat itu pusat establishment. Bayangkan satu topi tinggi top hat yang dipakai oleh tetamu berharga GBP 10 ribu. Tapi dengan sumbangan seperti itupun permohonannya utk menjadi rakyat British  ditolak. Masejnya jelas, you are not one of us.

Putera Charles (memakai top hat) dan Puteri Diana di Ascott 

Di Ascott Mohamed Al Fayed bergesel bahu dengan para aristokrat British yang berhidung tinggi. Lambang aristokrat hidung tinggi ini ialah Putera Philip Duke of Edinburgh, suami Queen. Beliau berketurunan Greek adalah kuasa sebenar di belakang Istana Buckingham. Kawan-kawan sekuliahku dari Greece selalu berbangga mengatakan, "our man fucks the Queen" hahaha.

Pemilik Harrods ini mula berkenal dengan Puteri Diana di Ascott. Puteri Diana memang peramah dan tidak hidung tinggi atau rasis. Lihatlah dalam senarai kekasih gelapnya ramai orang luar berbangsa India, Pakistan dan Arab. Diana menerima tangan persahabatan Al Fayed dengan senang hati. Diana sering membeli-belah di Harrods secara percuma. Orang Arab memang sangat pemurah kepada orang yang mereka sukai. 

Menurut cerita-cerita tabloid bersumberkan sahabat-sahabat karib Diana sendiri  hati Puteri Diana telah ditawan Dr Hasnat Khan seorang pakar bedah jantung berasal dari Pakistan yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan.
Dr Hasnat Khan 

Dr Hasnat dicintai Diana kerana sifatnya yang merendah diri malah dia memeranjatkan Diana kerana
melayan Diana seperti biasa tanpa sebarang perhatian khusus semasa Diana melawat sahabatnya di hospital tempat Hasnat bertugas. Lama juga Diana mengorat Hasnat sebelum doktor yang reclusive itu bersetuju untuk dating. Mereka bercinta selama dua tahun sebelum Hasnat memutuskan hubungan cinta tersebut kerana merasakan perkahwinan dengan Diana tidak akan berjaya. Menurut Hasnat dalam satu-satunya interview yang diberinya kepada akhbar utama British sempena sepuluh tahun kematian "Mawar England" itu, dia dan Diana datang dari dua planet yang berbeza dan jika mereka berkahwin pun ia akan kekal tidak lebih setahun. Dia mengakui Diana pernah melahirkan hasrat memeluk Islam untuk mengahwini Hasnat.

Selepas berpisah dengan Putera Charles secara rasmi, Diana telah berkunjung ke Pakistan bersama Jemima Khan, isteri pemain kriket lagenda Imran Khan. Mereka sering kelihatan memakai salwar kameez pakaian tradisi wanita Pakistan. Jemima adalah socialite terkenal anak kepada Sir James Goldsmith, billionaire hartanah berdarah Yahudi yang memiliki banyak harta di West End, tempat paling mewah di London. Malangnya Diana wanita cantik yang terkenal seantero dunia itu tidak direstui oleh ibu Hasnat Khan yang tidak rela anak terunanya berkahwin dengan janda beranak dua, Kristian dan berdarah Yahudi. Ya, Spencer ialah nama keluarga Yahudi. Ingat gedung Marks & Spencer? Ia adalah gedung pakaian yang diasaskan oleh dua orang berdarah Yahudi. Restu ibu Hasnat Khan gagal diperolehi walaupun Diana "mencemar duli" datang bertemu keluarga doktor handsome itu di rumah mereka di Pakistan dan sering berkunjung ke rumah ibu saudara Hasnat di London. Kecewa, Puteri Diana kembali aktif memburu suatu permata berharga yang tidak pernah dimilikinya - sebuah cinta sejati.

Mohamed Al Fayed yang oportunis, mengesan kehidupan Diana yang terumbang-ambing selepas dirinya dihina. Tanpa gelaran HRH dia jatuh daripada darjat paling tinggi menjadi orang kebanyakan.
 Dia hilang pengawal peribadi. Diana tidak dapat perlindungan daripada buruan paparazzi yang mahu merakam setiap pergerakannya untuk dijual kepada media yang senantiasa dahaga kepada berita Diana. Diana terpaksa pindah ke sebuah flet kecil dalam kompleks Istana Kensington, kediaman kerabat-kerabat jauh keluarga diraja British. Jauh beza daripada Istana Buckingham, Istana Windsor, Istana Balmoral, rumah agam Sandringham maupun Clarence House, rumah rasmi Putera Wales di Westminster. Diana dipulaukan keluarga Diraja. Semua ini dikatakan atas arahan Putera Philip yang senantiasa mempertahankan darjat kemuliaan keluarga diraja daripada tercemar. Kita tentu familiar dengan watak Tengku Mukri lakonan S.Kadarisman dalam filem Antara Dua Darjat. Tengku Mukri adalah Prince Philip dalam episod Diana. Lama sebelum bercerai secara rasmi dengan Putera Charles, bapa mertuanya Putera Philip telah menghantar dua pucuk surat amaran kepada Diana. Surat-surat itu dikatakan mengecam dan menghina Diana. Mohamed Al Fayed memang membenci Putera Philip. Suami Queen itu juga membenci Mohamed Al Fayed. The feeling is mutual. Banyak cerita hodoh Putera Philip didedahkan kepada media. Teka akhbar mana yang menyiarkannya? Daily Mirror milik Mohamed Al Fayed.

Musim panas 1997 adalah percutian pertama Puteri Diana selepas tersingkir daripada Istana Buckingham. Summer holiday memang senantiasa ditunggu Diana kerana dia boleh bercuti secara bebas bersama putera-puteranya William dan Harry, jauh daripada protokol diraja dan perhatian pasukan keselamatan. Mohamed Al Fayed menawarkan sesuatu yang tidak dapat ditolak oleh Puteri Diana. Dia menjemput Puteri Diana bercuti bersama keluarganya di Laut Mediterranean dalam kapal mewah miliknya Janokal. Diana menerima dengan senang hati. Antara keluarga Mohamed Al Fayed dalam percutian itu ialah anak sulungnya Dodi Al Fayed. Percutian itu menggembirakan Diana. Dia dilayan lebih hebat daripada kerabat utama diraja. Kemewahan tanpa sekatan dan protokol. Inilah kehidupan yang diimpikannya.

Percutian di Laut Mediterranean itu tidak berakhir setakat itu. Ia disambung dengan beberapa siri lain. Kali ini Mohamed Al Fayed tidak ada. Ia percutian peribadi Diana dan Dodi. Hubungan mereka dihidu oleh media. Paparazzi berkeliaran di merata tempat yang bakal disinggahi Diana seperti jeti, lapangan terbang, hotel, kedai emas dan lain-lain. Ada paparazzi sangggup menyewa bot laju dan helikopter dengan harapan mendapat sekeping gambar yang boleh dijual dengan harga ribuan malah jutaan dolar kepada media. Foto papazzi yang paling ekslusif ialah gambar jarak jauh Dodi mengucup Diana ketika mereka berjemur atas geladak kapal mewah Jonikal. Aku menyaksikan kegilaan media tabloid ini sepanjang musim panas 1997. Diana yang direject oleh Dr Hasnat cuba mencari pengganti. Dia menaruh harapan kepada Dodi pula. Dodi yang bertunang dengan model Amerika meninggalkan tunangnya untuk memiliki Diana. Hubungan summer fling itu berakhir dalam terowong Alma di Paris. Kedua-duanya terbunuh dalam situasi yang misteri. Teori konspirasi timbul masih  tidak padam hingga sekarang walaupun siasatan kehakiman di Paris dan London memutuskan kemalangan itu disebabkan kecuaian pemandu yang cuba lari daripada paparazzi yang mengekori kereta pasangan yang malang itu.

foto Diana dan Dodi yang dipamerkan di Harrods 
selama berbulan-bulan selepas kematian mereka

Kematian Diana dan Dodi meremukkan hati Mohamed Al Fayed. Dia menafikan dia perancang kepada musibah yang berlaku. Dia mengaku dia yang mengaturkan perjalanan terakhir pasangan itu di Hotel Ritz Paris termasuk memilih pemandu Henri Paul yang separuh mabuk tetapi ia cuma tindak balas terdesak kepada paparazzi yang mengekori setiap inci pergerakan pasangan malang tersebut.  Bila ditanya adakah dia mengatur "cinta" Diana dan Dodi, Mohamed Al Fayed menjawab dengan bijak. Dodi 42 tahun dan Diana 36 tahun telah dewasa dan kedua-duanya pernah berkahwin sebelum bertemu. Dia gembira melihat hubungan keduanya bercambah tetapi dia paling gembira dapat membantu Diana menikmati kegembiraan di saat-saat akhir kehidupannya di dunia ini.

Mohamed Al Fayed tidak dijemput ke majlis pengkebumian Diana. Dia membuat upacaranya yang tersendiri. Dia meletakkan foto Diana dan Dodi di sudut utama Harrods untuk tempuh yang panjang untuk dilihat oleh semua orang. Ketika aku berkunjung ke Harrods berbulan-bulan kemudian foto Diana dan Dodi yang tersenyum itu masih dipamerkan. Untuk Dodi, bapanyanya mengarahkan semua milik peribadi di flet mewahnya di Park Lane tidak disentuh dan kaset ayat-ayat Al Quran dimainkan tanpa henti.

Sabtu 6 September 1997 Diana diberi penghormatan terakhir. Aku sekeluarga terpaku di depan kaca tv menonton lintas langsung yang ditonton juga oleh 35 juta penduduk Great Britain dan lebih 2 bilion seluruh dunia menjadikannya lintas lansung paling tinggi ditonton di UK hingga ke hari ini. Di majlis rasmi di Westminster Abbey adik Diana dalam ucapan eulogynya sebagai Earl of Spencer telah menyindir dan menghentam Putera Charles dan Dinasti Windsor yang menurutnya tidak menjaga Diana dengan baik. Malah, sebelum keranda Diana diturunkan ke kuburnya di Althorp dia telah menukarkan bendera kerabat Windsor yang digunakan sejak Diana meninggal dengan bendera keluarga Spencer. Keluarga Diraja British dan keluarga bangsawan Spencer memang ada sejarah perseteruan yang lama.

Beberapa bulan selepas  majlis pengkebumian Diana, Mohamed Al Fayed membuat dakwaan yang menggemparkan iaitu Diana dan Dodi dibunuh oleh perisik British atas arahan Putera Philip. Bertahun-tahun kemudian dia mendakwa Diana mengandung anak Dodi semasa terbunuh. Dia gagal mengemukakan bukti. Sahabat Diana paling rapat Rosa Monkton menafikannya kerana seminggu sebelum terbunuh Diana turun haid. Rosa memberi keterangan dalam siasatan kehakiman Lord Stevens bahawa Diana sengaja mensensasikan hubungannya dengan Dodi untuk menarik perhatian Dr Hasnat Khan dengan harapan Hasnat cemburu dan mengambilnya kembali. Kesian sungguh Diana. Dia mati kempunan cinta sejati. Selepas kematiannya seorang demi seorang bekas kendaknya menjual kisah-kisah intim mereka ketika bersama Diana kepada akhbar. Malah butler (pengurus rumah) yang dipercayainya Paul Burrell juga menjual kisah hidup Diana. Hanya Dr Hasnat Khan kekal reclusive. Dia tidak mengkhianati Diana hingga sekarang. Selepas 2008 dia balik ke Pakistan dan diberitakan bekerja sebagai pakar jantung di Malaysia.

Tahun 2004 Mohamed Al Fayed berpindah ke Switzerland kerana berbalah dengan Income Tax Britain tetapi kembali menetap di Britain setahun kemudian. Setelah memiliki Harrods selama 25 tahun dia menjual gedung mewah itu kepada Kerajaan Qatar pada tahun 2010 dengan harga GBP 1.5 bilion.


4 September 2017
Petaling Jaya












Friday 1 September 2017

DIANA: KEMATIANNYA DITANGISI BERJUTA

31 Ogos 1997 - 2 September 1997, Norwich, Kingston, Cardiff

Kita selalu mengingati tempat kita berada bila sesuatu peristiwa besar terjadi. Semasa aku di UK kali pertama 1996 - 1998 dua peristiwa besar berlaku. Pertama kemenangan besar parti Buruh pimpinan Tony Blair ke atas parti Konservatif yang telah memerintah Britain sejak 1979. Keduanya, kematian mengejut Puteri Diana di Paris pada awal pagi 31 Ogos 1997.

Peristiwa kemalangan kereta sehingga dia terkorban itu berlaku tepat 20 tahun lalu. Untuk itu aku ingin menulis tentang peristiwa tragik tersebut. Masa itu aku berada di Kingston, London dalam perjalanan pulang dari menziarahi saudara yang lama terpisah di Norwich.



Diana Puteri Wales
kematian tragiknya dalam usia muda diratapi jutaan orang seluruh dunia.

Kak Seha, saudara sebelah isteriku telah berkahwin dengan tentera British yang bertugas di Malaysia dalam tahun 1960an. Selepas bernikah Bruce Halahan @ Baharom Abdullah telah membawa isterinya ke UK dan mereka tidak pernah pulang ke tanahair. Terdapat khabar-khabar angin Kak Seha telah meninggalkan ugamanya. Ibu dan bapa mertuaku tinggal di Cardiff selama setahun selepas kedua-duanya pencen. Mereka benar-benar berhajat menemui Kak Seha dan Abang Baharom.

Hujung Ogos 1998 kami bertujuh (aku dan isteri serta tiga anak-anak yang masih kecil bersama-sama mertuaku) bercuti di beberapa tempat di UK. Di akhir perjalanan kami menuju ke Norwich dalam negeri East Anglia untuk ke kilang Bally, pembuat kasut mewah yang terkenal. Kilang ini favourite  pelajar-pelajar Malaysia yang mengidam memakai kasut jenama itu dengan harga yang sangat murah semasa summer sale. Kami tidak kecewa kerana berjaya membeli berpasang-pasang kasut Bally made in Switzerland dengan harga yang benar-benar rendah.

Kemudian kami ke Norwich mencari rumah Kak Seha menerusi nombor telefon yang diberi oleh adik nya. Alhamdulillah, sebelah petangnya kami berjaya sampai ke rumah Kak Seha setelah menelefonnya. Kami dilayan mesra oleh Kak Seha dan Abang Baharom. Mereka kekal Islam dan telahpun menunaikan haji cuma kedua-dua mereka lebih selesa bercakap Inggeris. 

Dari Norwich kami terus ke arah selatan menuju London. Musim panas siangnya panjang. Pukul  9 baru Maghrib. Di London kami menuju rumah sepupu isteriku yang terletak di Kingston, selatan Kota London. Fadilah seorang akauntan yang bekerja di London baru saja berkahwin dengan Mustafa seorang jurutera warga British berketurunan Pakistan. Semasa mereka bernikah di East Ealing, kami sekeluarga menghadiri majlis pendaftaran pernikahan mereka. Kerana keletihan memandu kereta seharian aku terus tertidur kira-kira pukul 11 malam 30 Ogos 1997.

Pukul 3 pagi esoknya aku bangun untuk solat Subuh kerana pukul 5 sudah siang. Aku lihat semua saluran TV menyiarkan berita terkini berulang-ulang memaklumkan Puteri Diana kemalangan jalanraya di dalam terowong di Paris tidak jauh dari Champ Elysee. Dia dalam keadaan tenat di hospital. Teman lelakinya Dodi Al Fayed dan driver kereta telah diisytiharkan mati serta-merta akibat kemalangan itu.

Selepas aku bersolat Subuh, tv mengesahkan Diana Puteri Wales meninggal dunia. Semasa pembedahan dia mengalami komplikasi jantung dan tidak dapat diselamatkan. Seluruh dunia tersentak mendengar berita yang mengejutkan itu.

Penduduk UK bangun pagi dihidangkan dengan berita kematian Diana. Ramai wanita bernama Diana dalam dunia ini tetapi di UK, Diana hanya merujuk kepada seorang perempuan yang asalnya bernama Lady Diana Spencer, seorang gadis aristokrat berjiwa orang kebanyakan yang dipiih oleh nenek Putera Charles sebagai bakal ratu Britain apabila Putera Charles menaiki takhta. Putera Charles diketahui umum memiliki ramai teman wanita tetapi jiwanya telah ditakluk oleh Camilla Parker Bowles yang keturunannya banyak menjadi gundik kepada keluarga diraja British.  Atas imej Camilla itu dia tidak sesuai menjadi bakal ratu. Lady Diana Spencer dipilih kerana imejnya yang baik dan masih perawan. Ternyata ia marriage of convenience yang tidak kekal lama. Tugas Diana hanya melahirkan bakal raja pengganti Charles kelak. Putera Charles meneruskan hubungan sulitnya dengan Camilla yang telah diaturkan berkahwin dengan seorang seorang pegawai Charles. Puteri Diana memberontak dengan membuat hubungan intim dengan beberapa lelaki kacak. Akhirnya rumahtangga Charles dan Diana musnah dan perceraian mereka diisytiharkan dalam Parlimen.

Bila bercerai gelaran Princess Diana of Wales ditarik balik. Panggilan Her Royal Highness (HRH) juga dihentikan. Dia kembali menjadi orang kebanyakan dengan nama Diana, Princess of Wales. (baca: perkataan princess diletakkan selepas namanya, tidak seperti sebelumnya). Tanpa HRH orangramai, keluarga aristokrat dan kerabat raja tidak perlu curtsy (tunduk hormat) kepadanya dalam majlis rasmi.

Adat bow dan curtsy dalam masyarakat bangsawan England

Selama berhari-hari sehingga Puteri Diana dikebumikan di pusara keluarganya di Norhamtonshire, utara London, media tv dan cetak hanya bercerita tentang Diana dan kemalangan keretanya di Paris. Simpati rakyat British kepada puteri kesayangan mereka itu memuncak. Aku menyaksikan fenomena luarbiasa ini. Lautan jambangan bunga memenuhi perkarangan Istana Kensington tempat Diana tinggal. Bertan-tan bunga terpaksa diimport dari luar UK untuk memenuhi permintaan.

Diana sebenarnya telah disisihkan oleh Istana Buckingham. Dia dianggap anti establishment. Antara sebab utama perkahwinannya runtuh ialah popularitinya mengatasi Putera Charles. Umum mengetahui Putera Charles sebagai putera mahkota (Prince of Wales) tidak banyak peranan dalam sistem pentadbiran British. Dia tidak selesa apabila isterinya diburu oleh media sepanjang masa. Diana pula seronok dengan perhatian media itu. Sepatutnya dia tidak boleh terlalu menonjolkan dirinya. Lihat bagaimana Camilla menjaga dirinya sekarang setelah dia berkahwin dengan Charles. Dia sangat sopan sehingga rakyat British mula menyukainya dan dia dianggap secocok dengan Charles. Camilla bukan lagi wanita durjana yang dibenci rakyat British suatu masa dahulu.

Bersambung

.

Monday 7 August 2017

HAPPY 100th BIRTHDAY MY BELOVED RECITER

17 September 2017 - 100 tahun kelahiran Sheikh Mahmud Khalil Al Husari 


Tahun ini adalah anniversary ke 100 kelahiran seorang manusia besar di dunia ini. Sesiapa sahaja yang belajar Al-Quran secara serius akan mengenali manusia luar biasa ini. Beliau dianggap sebagai "Suara Al-Quran" kerana alunan bacaannnya yang sungguh mempersonakan didengar seluruh dunia. Terdapat beribu-ribu qari dan qariah di segenap pelusuk tetapi setakat ini  tidak ada sesiapa yang mampu mengatasi kehebatan Sheikh Al Husari. Nama beliau sinonim dengan pembacaan Al-Quran yang tepat. Bacaan beliau dijadikan rujukan sehingga hari ini lama setelah beliau meninggal dunia pada 1980.


Sheikh Mahmud Khalil Al Husari 
17 September 1917 - 24 November 1980


Aku sudah kenal bacaannya semenjak kecil. Bila ada kematian pembesar negara, RTM akan memainkan bacaan beliau dalam radio dan tv. Suatu masa dahulu azan beliau menjadi ikutan banyak bilal masjid.

azan oleh Sheikh Al Husari


Aku menjadikan bacaan Sheikh Al Husari sebagai panduan sejak aku diberitahu oleh guru Al-Quranku di UIA,  Ustaz Muhd Muhsin Sheikh Ahmad Al Hafiz (sekarang almarhum). Ustaz Muhsin berpesan, pembacaan Al-Quran hendaklah dipelajari mengikut kaedah talaqqi dan musyafahah (membaca secara berhadapan dengan guru). Apabila semua selok-belok tajwid dipelajari barulah seseorang dibenarkan belajar secara mendengar kaset, TV atau video. Bacaan rakaman kaset yang Ustaz Muhsin luluskan hanya Sheikh Mahmud Khalil Al Husari dari Mesir kerana ketepatan bacaannya daripada aspek tajwid dan sebutan makhraj al hurfnya yang jelas. Satu lagi aspek rujukan penting daripada beliau terutama bagi pembaca-pembaca Al-Quran yang tidak mahir berbahasa Arab ialah hukum waqaf dan ibtida' iaitu tempat berhenti dan cara menyambung bacaan yang terhenti tersebut.

Sempena ulangtahun kelahirannya ke 100 pada 17 September 2017 aku  membuat research yang lebih mendalam tentang Sheikh ini. Aku rasa ada semacam attachment dengan beliau sejak aku mula mendengar bacaannya secara murattal di radio zaman aku kecil dulu. Beliau ada saham yang besar dalam kecintaan aku kepada pembacaan Al Quran. Selain mengambil bacaannya sebagai sumber rujukan, aku selalu memainkan bacaannya bila jiwa aku keluh-kesah. Kalau aku susah tidur aku akan memainkan kasetnya. Semasa aku jadi hakim dahulu, bila aku rasa stres dengan karenah perbicaraan mahkamah aku akan stand down masuk kamar dan mendengar bacaannya melalui telefon bimbit. Ia terapi yang sungguh mujarab bagiku.

mendapat tempat pertama ujian qari-qari seluruh Mesir untuk menjadi qari tetap Radio Mesir



diberi penghormatan membaca Al-Quran di Arafah di musim haji 1958


terlibat dalam merangka skima pemarkahan dan 
hakim majlis musabaqah Al-Quran Malaysia 

Sheikh Al Husari lahir di zaman keemasan qari-qari kelahiran Mesir di mana ramai mereka memperdengarkan bacaan ke seluruh ceruk rantau Mesir malah  serata dunia. Mereka diangkat ke tahap yang tinggi setara dengan penyanyi-penyanyi seperti Umm Kulthum, Mohamad Abdul Wahab dan Farid Al Atrash. Dalam hal ini Sheikh Al-Husari tergolong dalam empat qari paling utama di Mesir di samping Sheikh Muhammad Siddiq Al Minshawi, Sheikh Mustafa Ismail dan Sheikh Abdul Basit Abdul Samad.

 
Beliau orang pertama  merekodkan bacaan  Al Quran sepenuhnya. Bacaannya secara murattal
dengan lagu Nahawand dalam bacaan mertabat tadwir seperti ini sangat kusyuk dan boleh mengalirkan airmata pendengar


Sheikh Al Husari dilahirkan di sebuah desa kecil bernama Shubra An Namlah di Tanta, utara Mesir pada 1 Zulhijah 1335 Hijrah bersamaan 17 September 2017. Ketika berumur 4 tahun sebelum dia belajar menulis dan membaca,  bapanya menghantarnya kepada guru-guru  Al-Quran untuk belajar menghafal. Dalam usia 8 tahun beliau telah menghafal seluruh Al Quran. Kerana usianya terlalu muda untuk memasuki madrasah Al-Quran secara formal, beliau telah membaca Al-Quran di beberapa masjid di kampungnya dan menjadi terkenal kerana tajwidnya yang baik serta suaranya yang istimewa. Apabila umurnya 12 tahun barulah beliau diterima masuk dalam Institut Al-Quran di bawah sistem yang ditaja oleh Universiti Al-Azhar. Di sini Sheikh Al Husari belajar sehingga mendapat ijazah di samping memahirkan diri membaca Al-Quran dalam 10 qiraat  (jenis bacaan) yang masyhur.

Pada tahun 1944 dalam usia 27 tahun beliau menjadi terkenal seluruh Mesir apabila mendapat tempat pertama dalam peperiksaan qari-qari yang memohon jawatan pembaca Al Quran Radio Mesir. Beliau dilantik menyertai Radio Mesir pada hari yang sama.  Mulai saat itu suaranya dikenali ramai. Selepas beliau merakam suaranya dalam tahun 1961 Radio Mesir hanya  menyiarkan bacaannya seorang selama sepuluh tahun tanpa henti.

Sheikh Al Husari mempunyai nafas panjang yang dialunkan secara natural tanpa dipaksa-paksa seperti sesetengah qari. Beliau boleh membaca Al Quran secara berlagu dengan baik tetapi beliau bertarannum secara sangat berhati-hati tanpa berkompromi dengan hukum tajwid. Ketika membaca dengan kusyuk beliau akan menggeleng-gelengkan kepalanya ke kiri-dan ke kanan secara perlahan seperti orang beratib. Dikatakan, nada lagu dan stail pembacaan beliau terbit secara spontan hasil penghayatan beliau kepada makna-makna yang tersirat dalam ayat-ayat yang dibacanya. Beliau menegur pendengar-pendengar bacaan Al Quran Mesir yang menjerit-jerit  memuji-muji  para qari yang mengalunkan Al Quran secara berlebih-lebihan kerana ada masanya ayat yang dialunkan itu menceritakan azab neraka atau ancaman Allah.

Sheikh Al Husari mengabdi diri kepada Al Quran seluruh hidupnya. Selain memperdengarkan bacaannya beliau juga seorang ulama tafsir dan hadis serta selalu memberi kuliah di universiti di Mesir dan negara-negara Arab. Beliau juga berkebolehan mengarang dan merupakan qari pertama menulis kitab mengenai ilmu qiraat. Beliau dikenali sebagai orang yang warak dan mencetak hasil tulisannya menggunakan wang sendiri dan kemudian mengedarkannya secara percuma. Beliau menginfaq satu pertiga daripada hartanya kepada aktiviti-aktiviti berkaitan dengan Al Quran.

Peninggalan Sheikh Al Husari yang tidak ternilai ialah rakaman suaranya yang didengar oleh jutaan orang seluruh dunia sehingga hari ini. Beliau adalah orang pertama dalam sejarah merakam  Al Quran 30 juz dalam media audio. Ini dilakukan beliau dengan rakaman bacaan secara murattal mengikut qiraat riwayat Hafs dari Asim pada tahun 1961. Ini dikuti dengan bacaan lengkap qiraat riwayat Warsy dari Nafi’ dalam tahun 1964. Selepas itu dalam tahun 1968 beliau merakamkan pula qiraat riwayat Qalun dan riwayat Al Duri. Beliau juga merakamkan bacaannya secara mujawwad. Semua ini dilakukan beliau secara sangat teliti dan audio-audio itu hanya diluluskan setelah bacaannya disemak oleh pelbagai ulama. Lebih daripada itu Sheikh Al Husari membuat rakaman-rakaman itu secara percuma tanpa meminta sebarang bayaran dari studio.

Allah menyatakan dalam Al-Quran (mafhum):

     "Sesungguhnya Kami yang menurunkan Az-Zikr (Al-Quran) dan sesungguhnya Kami akan 
      memeliharanya" [Al-Hijr (15:9)]

Ulama menafsirkan, antara cara Allah memelihara kesucian Al-Quran ialah melahirkan para qari dan penghafaz dalam setiap generasi. Mereka ini mengenal setiap huruf dalam Al Quran seperti kita semua mengenal huruf A-Z atau nombor 1-9. Di atas qari-qari ini terletak tanggungjawab yang sangat berat untuk memastikan keaslian kitab suci ini kekal seperti mana Ia diterima dari Nabi Muhammad SAW dalam aspek tulisan dan bacaannya. Qari yang diiktiraf  memiliki sanad (pertalian) bacaannya tanpa terputus dari Rasulullah SAW. Oleh kerana itu ada satu aliran pembacaan yang tidak menggalakkan atau menegah  Al-Quran dilagukan. Dalam hal ini Sheikh Al Husari berpendapat ia boleh dibaca secara berlagu (tarannum) tetapi ia dibuat secara berhati-hati supaya penghayatan terhadap Kalam Allah itu kekal.

Di kalangan qari di Mesir beliau mempunyai status istimewa sebagai ketua para qari dengan gelaran khas Sheikh Al-Maqari. Pendapat beliau sering diminta oleh media dalam isu-isu berkaitan Al Quran. Beliau sering mengiringi pembesar-pembesar  Mesir termasuk Rektor Al-Azhar ke seluruh dunia memperdengarkan bacaannya. Beliau diberi penghormatan membaca Al-Quran dalam Rumah Putih, Istana Buckingham, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kongres Amerika dan banyak ibukota negara Islam dan bukan Islam.


bertemu Presiden Carter di Rumah Putih

Diberitakan terdapat peristiwa orang-orang memeluk Islam apabila mendengar bacaan Sheikh Al Husari. Dalam tahun 1965  ketika melawat Perancis 10 orang memeluk Islam setelah mendengar alunan bacaan Al Quran oleh beliau. Kemudian, semasa melawat Amerika Syarikat dalam dekad 1970an 18 lelaki dan seorang wanita memeluk Islam dalam satu majlis di mana beliau memperdengarkan bacaan Al Quran.

Semasa aku membuat kajian Tilawah Al-Quran beberapa tahun lalu, aku bertemu lagenda tilawah yang menjadi hakim selama hampir  enam dekad iaitu Tan Sri Hassan Azhari. Menurut Tan Sri Hassan, Sheikh Al Husari terlibat secara langsung dalam merangka skima pemarkahan Musabaqah Al-Quran Malaysia semasa ia dimulakan di awal 1960an dengan dibantu oleh timbalan beliau Sheikh Amir Al Said Uthman. Beliau juga bertindak sebagai hakim dan sering memperdengarkan bacaannya dalam majlis tersebut. Aku berpeluang menonton beliau sebagai qari jemputan membaca Surah Al Bayyinah semasa aku meneliti video lama di Filem Negara Malaysia di Petaling Jaya. Kelihatan beliau masih muda dalam usia 40an dengan janggut hitam keputihan.

Di negara ini pita bacaan beliau dimainkan dalam radio dan tv sejak 1960an dalam proram-program keugamaan terutama apabila berlaku kematian pemimpin negara atau malapetaka. Suatu masa dahulu azan solat dan bacaan tarhim  dan ibtihal sebelum solat subuh oleh Sheikh Al Husari sering berkumandang di udara. Perkara yang sama juga berlaku dalam stesen-stesen penyiaran rasmi di Indonesia, Singapura dan Brunei.


Qari masyhur ini meninggal secara mengejut akibat komplikasi jantung sebaik menamatkan solat Isya pada Isnin 16 Muharam bersamaan 24 November 1980 dalam usia 63 tahun. Walaupun beliau telah meninggalkan dunia ini suara emas beliau kekal didengar saban hari seluruh dunia. Rakaman bacaan beliau menjadi ilmu yang diwarisi umat Islam selain menjadi sedekah jariah beliau yang berkekalan. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun. Al Fatihah.


Bersambung - Duka Sheikh Al Husari (Yasmin Al Khayam)