Tuesday 25 July 2017

DERRICK GREGORY, PEMUDA MELAYU DAN SINGH GANGSTER


Sambungan kesah Derrick Gregory.

Di bilik Pengarah Penjara, kami dihidangkan dengan minuman panas, roti dan satay. Kecuali aku yang masih gugup menyaksikan pelaksanaan hukuman gantung kali pertama, yang lainnya berbual-bual rancak, ketawa dan makan seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

Kami membiarkan masa berlalu selama setengah jam. Kemudian kami naik van semula menuju bilik bawah penggantungan. Menurut Jalil Che Din, masa senggang itu diberikan kerana ada kemungkinan banduan yang digantung tidak mati serta-merta. Jatuhan yang sempurna "clean fall" akan mengakibatkan leher banduan patah dan dia mati serta-merta. Jika jatuhan tidak sempurna, leher tidak patah, banduan akan mati terjerut. Ini memakan masa lebih lama. Sebab itu untuk memastikan banduan  telah benar-benar mati masa senggang 30 minit diberikan.

Bila kami sampai Pengarah Penjara nengarahkan pintu dibuka. Serta-merta bulu romaku meremang seolah-olah roh simati menerpa ke luar dari dalam bilik gelap itu. Aku lihat jasad Derrick Gregory tergantung secara mendongak ke atas. Beberapa warder menurunkan jasadnya yang tidak bernyawa lagi. Seorang doktor perubatan memeriksanya dengan menggoyamg-goyangkan lehernya. "the neck is broken, it was an instant death but the fall was not clean." kata doktor itu. Oleh kerana jasad itu terayun-ayun, tali gantung telah menghiris leher Derrick Gregory sehingga meninggalkan kesan luka sembelihan. Doktor tadi mengesat darah dan menjahit luka di leher simati dengan teliti dan hormat.


Kamar Penggantungan dengan lantainya terbuka

En Sabri memberitahu, pernah ada kes, banduan masih bernyawa selepas senggang 30 minit. Untuk menyegerakan kematiannya seorang warder muda yang gempal diarahkan memeluk tubuh banduan untuk menambahkan berat gantungan. "warder baru tu demam selepas menyempurnakan arahan algojo," cerita Sabri lagi. Jalil Che Din menerangkan pula, ada juga berlaku kes yang serupa di penjara lain. Cuma dalam peristiwa itu tubuh banduan diberi jatuhan yang kedua setelah tali gantung dipanjangkan. "Ini mesti dibuat kerana perintah mahkamah ialah gantung sampai mati. Oleh itu kita pastikan pesalah betul-betul mati akibat gantungan." jelasnya lagi.

En. Jalil Che Din menerangkan lagi, sehari sebelum digantung banduan terbabit akan dilawati Pengarah Penjara. Perintah mahkamah dibacakan dan banduan diberitahu hukuman akan dilaksanakan keesokan harinya. Banduan Islam akan digantung pada pagi Jumaat selepas subuh manakala banduan bukan Islam boleh digantung pada pagi-pagi yang lain. Di ketika itu banduan akhir tersebut akan ditimbang beratnya dan ukuran lehernya diambil. Sifir penggantungan ini diperkenalkan di India pada tahun 1908. Panjangnya tali gantung tertakluk kepada berat banduan akhir. Jika salah formula perkara yang tidak diingini akan berlaku. Jika badan ringan dan tali gantung pendek, leher banduan tidak patah dan dia akan mati akibat jerutan leher yang akan memakan masa lebih lama sebelum dia mati dan ia tentunya menyiksakan. Sebaliknya jika badan terlalu berat dan tali terlalu panjang jatuhan itu boleh mengakibatkan leher banduan putus dan bercerai dari badan.

Lama selepas itu aku menyaksikan kebenaran kata-kata Jalil Che Din. Ketika Iraq kalah kepada Amerika Syarikat dalam Perang Teluk kedua, Presiden Saddam Husin dan beberapa peminpin regim Baath Iraq telah dihukum gantung. Ada dilaporkan kepala seorang pemimpin kanannya terputus akibat hukuman gantung tersebut. Aku pasti ini disengajakan oleh algojo.

Menurut Jalil Che Din lagi, Malaysia memilih hukuman mati secara gantung kerana jasad simati lebih bersih apabila dikembalikan kepada waris. Hukuman mati secara tembakan atau renjatan elektrik maupun semburan gas akan mengakibatkan mayat tidak sempurna, berdarah dan lain-lain.


Death Row Penjara Kajang

Selepas lawatan terakhir itu pesalah dibenarkan meminta sebarang hajatnya yang terakhir. Semuanya akan dikabulkan selagi ia tidak bertentangan dengan peraturan  dan kemampuan penjara. Lazimnya pesalah akhir ini akan meminta makanan yang dihajati, berjumpa individu-individu tertentu dan lain-lain. "Ada yang meminta melakukan seks untuk kali terakhir. Ini tidak dibenarkan," kata Sabri.

"Tetapi kami pernah dapat permintaan yang sangat aneh dari seorang pesalah berketurunan Cina. Dia meminta sepucuk pistol dimasukkan dalam bajunya semasa digantung nanti. Apabila ia ditolak dia meminta sekeping gambar pistol sebagai ganti. Permintaan ini dikabulkan. Bila ditanya mengapa, dia menjawab dia perlukan pistol itu di alam lain nanti untuk membolehkan dia merompak lagi," terang Sabri. Semua yang hadir ketawa mendengar kelucuan itu.

Di luar pintu gerbang Penjara Kajang terdapat ramai wartawan, stesen TV dalam dan luar negara serta orang-orang yang berkaitan berkumpul sebelum subuh lagi. Mereka memasang lilin. Apabila sebuah van penjara keluar ia diserbu tetapi mereka marah bila melihat tiada jasad dalamnya. Rupanya Jabatan Penjara membuat decoy dan ini telah dibantah oleh pemberita-pemberita luar negeri  sebagai tidak beretika. Jasad Derrick Gregory dituntut oleh warisnya yang sempat menemuinya semasa dia menunggu hukuman. Aku difahamkan jasadnya dibakar di Kuala Lumpur.

Di hujung tahun 1989 aku diarahkan bertukar dari KKB ke Kajang. Aku bertugas di Kajang hampir dua tahun. Dalam tempoh itu aku menyaksikan berbelas-belas hukuman gantung. Aku menjadi lali dan tidak lagi gugup semasa hukuman dilaksanakan. Aku telah berani berdiri lebih hampir dan menyaksikan pesalah jatuh tergantung. Semua yang aku saksikan berakhir secara instant death akibat leher patah. Dalam satu pelaksanaan hukuman di mana empat banduan warga Hong Kong digantung serentak, aku melihat tisu yang digenggam oleh seorang banduan wanita kekal dalam genggamannya apabila tali gantung mematahkan lehernya.

Beberapa bulan selepas pindah ke Kajang aku menyaksikan pelaksanaan hukuman yang tidak licin akibat kedegilan seorang banduan mengikut arahan penjara. Dia berketurunan Sikh berbadan besar. Dia dihukum kerana menikam mangsanya di sebuah kelab malam di Klang. Ketika itu dia bertugas sebagai guard dan bouncer kelab tersebut. Dalam fakta kes di mahkamah dia dibuktikan menikam mangsanya sebanyak 16 kali sehingga mati. Di hari akhir sebelum digantung dia telah dinasihatkan mengikat janggutnya yang tebal dan tidak terurus supaya topeng hood mudah dipasang dan tali gantung mudah disarungkan ke lehernya. Ternyata ini tidak dipatuhi tetapi algojo baru bernama Abdul Latif telah menjangkakan ia akan berlaku. Dia datang sedia dengan getah bulat. Janggut banduan diikat dan hood dipakaikan. Tali gantung dapat dimasukkan tetapi proses itu mengambil masa. Dari awal sehingga dia digantung ia mengambil masa lebih empat minit. Ini dikira pelaksanaan yang lambat.

Tidak lama kemudian aku menyaksikan pelaksanaan hukuman gantung pemuda Melayu itu pula. Aku merasa sangat belas melihat keadaannya. Dia ditangkap mengedar dadah semasa berumur 19 tahun. Kejadian berlaku ketika hukuman mati bagi pengedar dadah baru saja dikuatkuasakan. Aku melihat "seniority" dia dalam death row meningkat apabila seorang demi seorang banduan akhir digantung sebelum gilirannya tiba. Bayangkan betapa siksanya dia menunggu. Bertahun-tahun dia dipenjarakan sehinggalah proses terakhir rayuannya untuk pengampunan SPB Agong juga ditolak. Setiap kali aku lalu di hadapan selnya dia bersembahyang subuh atau membaca Al-Quran.

Pada hari dia digantung, kami masuk ke dalam sel akhirnya dan melihat dia masih sujud. Dia terus diangkat, digari dan dipasangkan hood penutup mataItu prosedur tetap kerana tempoh masa yang cukup telah diberi kepada setiap banduan Islam bersolat subuh sebelum hukuman dijalankan. Pemuda itu sungguh tenang menunggu ajal yang kini telah diketahui masanya. Proses pelaksanaan berjalan lancar. Sepanjang proses perlaksanaan dia beristighfar dan membaca kalimah syahadah dengan jelas. Apabila tali gantung disarungkan ke lehernya dia mula membaca surah Al Fatihah . Dia berdiri tegak dan dia jatuh ketika sedang membaca  ayat "ihdina as-sirat al-mustaqim" (tunjukilah kami jalan yang lurus). Proses pelaksanaan hukuman ke atasnya hanya mengambil masa 19 saat. 

Di bilik Pengarah Penjara kemudian, algojo dan lain-lain memuji simati kerana tugasan mereka berjalan begitu licin  dan ia menjadi rekod hukuman terpantas yang dilaksanakan. Yang lain memuji beliau kerana sejak ditangkap dia telah menjadi warak dan mati dalam keadaan  tenang dengan menuturkan ayat-ayat suci. Aku berasa insaf. Kita tidak tahu bagaimana pula pengakhiran kita. Semua kita berharap pengakhiran yang baik husn al khatimah.  Ayat Al-Quran memerintahkan wa la tamutunna illa wa antum muslimun (mafhumnya: janganlanlah kamu mati kecuali dalam keadaan beriman). Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun. Aku tidak kenal dan tidak ingat nama pemuda Melayu itu tetapi aku tidak boleh lupa wajahnya yang tenang menunggu Izrail mencabut nyawanya.

Setiap kali aku menyaksikan hukuman gantung aku tawar hati untuk menjadi hakim Mahkamah Tinggi. Apabila akhirnya dilantik juga aku sangat berhati-hati apabila mengadili perbicaraan kes bunuh atau kes-kes jenayah lain yang membawa hukuman mati. Aku beri segenap peluang kepada peguam untuk membentangkan kes tertuduh walaupun bicara kes-kes itu menjadi panjang. Bila sesuatu kes berakhir dengan sabitan dan hukuman mati diiisytiharkan aku sering berdoa agar keputusan aku itu ditukar di peringkat rayuan. Aku memegang kaedah, "membebaskan orang yang bersalah itu lebih baik daripada mensabitkan orang yang tidak bersalah'.

Menara Pelangi 
Johor Bahru

Monday 24 July 2017

BEATRICE SAUBINE


1989 - 1990   Penjara Kajang


Apa yang aku  kisahkan di sini adalah berdasarkan sumber-sumber yang aku kutip sendiri. Aku cuma luahkan semula apa yang aku dengar. Ia mungkin hearsay jadi aku tidak dapat memastikan kesahihan semuanya.

Semasa bertugas sebagai majistret Kajang aku sering ke Penjara Kajang di Sungai Jeluk. Setiap minggu aku ke sana untuk mendengar permohonan lanjutan perintah reman untuk tahanan-tahanan. Selain daripada itu aku akan hadir menyaksikan pelaksanaan hukuman gantung sampai mati apabila diperlukan.

Semasa memberi perintah reman aku sering melihat kelibat seorang banduan wanita Eropah yang manis. Dia berjalan ke sana-sini agak bebas dan daripada uniformnya dapat ditelah dia adalah banduan yang sedang mengakhiri tempoh hukuman dan akan dibebaskan tidak lama lagi.


Beatrice Saubine dalam umur awal 20an

Banduan itu bernama Beatrice Saubine. Kisah Beatrice sangat menarik. Tidak ramai yang tahu keistimewaan atau kepelikan kesnya. Untuk mereka yang seangkatan denganku Beatrice agak popular juga di awal 1980an kerana perbicaaan kesnya diberi laporan meluas.

Pada 27 Januari 1980 gadis Perancis yang manis berumur 20 tahun itu  bertolak dari Hotel mewah penuh sejarah Eastern and Oriental menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas. Di situ begnya diperiksa oleh kastam dan apabila diselongkar, di celah satu bahagian yang tersembunyi banyak bungkusan berisi dadah heroin ditemui. Nilai dadah cocaine tulen itu dianggarkan setengah juta ringgit dalam pasaran. Beatrice diberkas dan ditahan. Semasa perbicaraan Mahkamah Tinggi Beatrice disabitkan dan dihukum gantung sampai mati. Tetapi Mahkamah Persekutuan menerima rayuannya dan menukar hukumannya kepada penjara seumur hidup. Tun Mohamed Suffian yang mengetuai panel rayuan memutuskan terdapat beberapa keadaan luarbiasa yang tidak melayakkan Beatrice dihukum gantung. Apa yang pelik keputusan itu tidak mengikut peruntukan undang-undang kerana jika pesalah disabitkan atas kesalahan mengedar dadah hukumannya hanya satu. Gantung sampai mati.

Bila aku menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan tahun 1987 aku diletakkan di bawah seliaan Tan Kim Siong iaitu majistret tuntutan kecil (small claims court). Sebelum itu Tan Kim Siong adalah jurubahasa veteran mahkamah. Dia cuti belajar di UK dan lulus ijazah undang-undang. Sekembalinya ke tanahair dia dilantik penolong kanan pendaftar di Mahkamah Persekutuan. Semasa rayuan kes Beatrice dia masih jurubahasa dan banyak mengetahui cerita-cerita di sebalik tabir.

Menurut Tan Kim Siong, YAA Tan Sri Raja Azlan Shah (ketika itu Hakim Besar Malaya) telah memintanya bertemu Tun Suffian untuk mendapatkan alasan penghakiman bertulis kes rayuan Beatrice Saubine kerana beliau pelik bagaimana korum rayuan itu menjatuhkan hukuman di luar peruntukan undang-undang. Korum itu tidak menulis alasan penghakimannya. Dalam penghakiman lisan Tun Suffian memutuskan kes Beatrice Saubine tidak boleh dijadikan panduan ("precedent") yang mengikat bagi kes-kes lain di masa hadapan. Sungguh pelik!. Tan Kim Siong berbisik kepada aku  Hakim Azlan Shah mengomel-ngomel mengatakan Tun Suffian yang Anglophile membiarkan rasa simpatinya kepada orang putih mengatasi pertimbangan kehakimannya. 



Beatrice selepas dibebaskan menulis pengalaman hidupnya dalam 
penjara Malaysia. Bukunya penuh kontroversi.



Sememangnya Badan Kehakiman dan Malaysia dikritik hebat ketika itu kerana Beatrice adalah orang Eropah dan warganegara asing yang pertama dijatuhi hukuman gantung. Peguam Beatrice Mr Kumarendran telah memberi banyak maklumat kepada media asing bahawa Beatrice dikatakan mangsa keadaan dan dia dijadikan keldai oleh kekasihnya seorang pemuda Cina hartawan tempatan untuk membawa suitcase yang Beatrice tidak ada pemgetahuan isi kandungannya. Menurut versi Beatrice, beg itu akan diberikan kepada kekasihnya di Zurich dan mereka akan berkahwin selepas itu.

Aku rasa kalaulah kes Beatrice didengar sekarang, peluangnya untuk dibebaskan hampir tiada langsung. Pembelaan sebegini akan ditolak oleh mahkamah. Selepas Beatrice ramai warganegara asing berkulit putih atau hitam telah menjalani hukuman gantung hingga mati walaupun mereka membangkitkan pembelaan yang serupa.


YAA Tun Mohamed Suffian Hashim, Ketua Hakim Negara
yang mengetuai panel rayuan Mahkamah Persekutuan yang membuat
keputusan di luar peruntukan undang-undang dalam kes Beatrice Saubine


Aku pernah berbual dengan seorang pegawai penjara berketurunan Punjabi mengenai Beatrice semasa menunggu pelaksanaan satu hukuman gantung. Pegawai penjara itu memberitahuku Beatrice akan dibebaskan tidak lama lagi. Dia dibebaskan lebih awal kerana berkelakuan baik. Kata pegawai itu lagi Beatrice fasih bercakap Melayu dan Cina setelah menghuni penjara lebih sepuluh tahun. Namun pegawai Punjabi itu berbisik kepada aku yang Beatrice telah membawa masalah. "Kemesraan"nya telah menjadi satu skandal. Ada warder yang meminta ciuman dari wanita muda Perancis tersebut. Beatrice yang manis itu menurut tanpa soal. Lebih buruk daripada itu Beatrice dikatakan dibawa keluar dari kurungannya waktu malam untuk bersiar-siar dan makan satay di Kajang dan ada cerita-cerita kedengaran bahawa sebagai balasan kepada "kemewahan" itu Beatrice telah pergi lebih jauh daripada sekadar ciuman. Dia dikatakan "digunakan" oleh pegawai-pegawai Penjara. Wallahua'lam. Ini mungkin satu tohmahan so we stop at that.

Beatrice akhirnya dibebaskan pada tahun 1990 dan kembali ke Perancis. Dia menulis buku yang menjadi bestseller mengenai pengalamannya dalam penjara Malaysia. Beatrice tidak berkahwin atau mempunyai anak. Pada tahun 2007 dia meninggal dunia dalam usia 48 tahun akibat komplikasi jantung.

Menara Pelangi
29 Syawal 1438 Hijrah

SAKSI HUKUMAN GANTUNG SAMPAI MATI


Derrick Gregory - 21 Julai 1989


Aku takkan boleh lupa nama Derrick Gregory. Aku bertemu dia hanya beberapa minit tetapi wajahnya yang kebingongan, langkahnya yang perlahan terketar-ketar serta pantasnya dia menjadi mayat menjadikan ia suatu pengalaman yang kekal dalam ingatanku sampai ke hari ini. Mungkin ia akan kekal sampai akhir hayatku.

Satu hari semasa aku majistret Kuala Kubu Bharu aku mendapat panggilan telefon dari Christina Lee. Beliau anak Tan Sri Lee Hun Hoe, Hakim Besar Borneo. Chistina bertugas sebagai majistret Kajang. Dia bertanya dalam bahasa Inggeris dengan telo Sarawak sama ada aku boleh cover tugasnya di penjara Kajang. Pada mulanya aku ingat dia minta aku cover tugasannya memberi perintah lanjutan reman kepada orang-orang tahanan tetapi tugas itu lazimnya dibuat oleh ADO apabila majistret tidak ada dalam kawasan.

"No Sabirin, Can you take my place to witness the execution of a prisoner this week?"  pinta Christina dengan lembut. Aku menelan air liur walaupun tidak dahaga. Rasa macam tercekik. Mendengar sesuatu yang tidak dijangka akan membuahkan respons sebegitu. "I am pregnant now with my first baby and I am not that comfortable doing this'" dia sedikit merayu menjelaskan sebab-musabab mengapa pertolongan aku diperlukan.

Aku bersetuju walaupun tidak selesa juga dengan tugasan itu. Aku dididik supaya bersifat senantiasa sedia menghulurkan bantuan bila diperlukan. Seorang guru Inggeris semasa sekolah dulu selalu menasihatkan, " you must always be helpful to others and do not be a difficult person".

Pintu masuk Penjara Kajang, Sungai Jeluk

Dua hari kemudian aku dihubungi oleh penjara Kajang. Seorang pegawai penjara datang membawa satu surat yang dimeterai dengan cop lilin di segenap penjuru. Aku diminta hadir menyaksikan pelaksanaan hukuman gantung pada awal pagi keesokan harinya. Nama banduan tidak dinyatakan.

Malam itu aku menumpang tidur di rumah kawan di Petaling Jaya. Pagi-pagi esoknya hari Jumaat 21 Julai 1989 pukul tiga aku bertolak ke Kajang dan terus ke penjara di Sungai Jeluk. Aku dibawa ke bilik pengarah Penjara Kajang dan diterangkan dengan prosedur pelaksanaan hukuman kerana mereka telah diberitahu yang aku belum pernah menyaksikannya sebelum itu.

Pegawai itu, Encik Sabri memberitahu, aku akan menyaksikan pelaksanaan hukuman gantung sampai mati ke atas Derrick Gregory seorang warganegara Britain yang ditangkap membawa dadah di lapangan Terbang Bayan Lepas semasa transit dari Australia sebelum pulang ke United Kingdom. Aku tahu kes ini melalui laporan di dada-dada akhbar kerana Derrick Gregory ialah rakyat British pertama akan digantung di negara ini.


Keratan akhbar tentang Derrick Gregory. Saat dia digantung dia jauh 
lebih kurus dan cengkung daripada gambar ini.

Seorang pegawai penjara lain menyertai kami. Mukanya sangat familiar. Dia Abu Bakar Juah seorang pelakon drama TV yang agak terkenal juga dengan watak-watak jahat. Beliau menunjukkan fail Derrick Gregory yang berisi perintah hukuman oleh Mahkamah Agung, tandatangan SPB Agong dan Perdana Menteri. Ini disebabkan jenayah dilakukan dalam Negeri Pulau Pinang. Selain daripada perintah hukuman dan dokumen rasmi fail itu sarat dengan keratan akhbar tempatan dan luar negeri serta surat-surat orang biasa terutamanya dari UK yang mengutuk hukuman mati dan bersimpati dengan Derrick Gregory. Ada juga surat penolakan rayuan (clemency) oleh Kerajaan Malaysia ke atas rayuan Kerajaan British dan keluarga banduan akhir itu.

Masa hukuman semakin hampir. Lazimnya ia dilaksanakan selepas waktu subuh. Pengarah Penjara datang bersama algojo dan pembantu-pembantunya. Algojo bertugas hari itu ialah En Jalil Che Din, bekas pemain bola sepak dan bekas jurulatih pasukan bolasepak kebangsaan. Mukanya memang bengis dan berperwatakan tegas. Aku bertanya berapa elaun menjalankan tugas yang berat itu. Aku terkejut bila diberitahu elaunnya hanya RM500 untuk satu kepala. Jalil senyum bila aku mencadangkan supaya beliau membuat cadangan kepada kerajaan agar elaun itu dinaikkan. "It is better this way sir, so we remain a prison officer carrying the task rather than being a professional hangman," katanya sambil ketawa.

Apabila semua sudah sedia semua yang ada dalam bilik Pengarah bergerak ke Blok Banduan Akhir "Death Row" dengan berjalan kaki. Semuanya senyap tanpa bercakap. Suasana sunyi sepi. Blok itu dua tingkat. Kami naik tangga dan di tingkat atas kami melalui deretan sel tahanan. Semua mereka pucat lesi melihat kemunculan kami secara tiba-tiba.  Aku lihat seorang lelaki muda Melayu berketayap putih baru saja menamatkan solat subuh. Wajahnya tenang berbanding banduan-banduan lain.

Sel Derrick Gregory terletak paling hujung bersebelahan ruang penggantungan "Death Chamber". Dia gugup lantas berdiri menunggu pembantu-pembantu Algojo masuk. Muka Derrick Gregory pucat lesi. Dia terketar-ketar. Dengan pantas kedua-dua tangannya diikat di belakang badan. Dalam masa yang sama mukanya ditutup dengan topeng (hood) berwarna putih untuk menghalang penglihatannya. Dia ditolak dengan pantas masuk ke bilik penggantungan yang pintu besarnya telah siap dibuka oleh tim lain. Sampai di atas lantai papan khas Derrick Gregory didirikan setegak mungkin. Tali gantung dimasukkan ke lehernya dan dijerut kemas. Dia terketar-ketar hampir tidak mampu berdiri lagi. En Jalil Che Din memegang tubuhnya supaya lebih stabil dan terus memberi isyarat kepada pembantunya En Majid Khan apabila dia sendiri telah meminggir ke tepi.. Majid Khan menarik tuas. Secara automatik lantai papan tempat Derrick Gregory berdiri terbuka dengan bunyi dentuman yang kuat. Tubuh Derrick Gregory jatuh serta-merta ke ruangan bilik bawah yang tertutup. Oleh kerana Derrick tidak berdiri dengan tegak jatuhan tubuhnya tidak sempurna dan tali gantungan berayun-ayun.  Sepantas kilat Jalil Che Din menerpa memegang untuk menghentikan hayunannya.

Aku cuma nampak tubuh Derrick Gregory jatuh dan hilang dari pandanganku dalam sekelip mata. Aku gentar dan tidak mahu melihat apa yang berlaku di ruangan bawah tempat Derrick Gregory tergantung. Proses pelaksanaan hukuman daripada dia diambil dari selnya sehingga penggantungan disempurnakan hanya mengambil masa 35 saat.

Kami semua bergerak pulang ke bilik Pengarah semula melalui ruang yang sama semasa datang. Aku lihat banduan-banduan akhir lain pucat lesi. Lelaki Melayu tadi agak tenang melihat kami sambil mulutnya terkomat-kamit membaca sesuatu. Mungkin doa dan wirid.

Di bawah van penjara sudah menunggu. Kami tidak perlu berjalan kaki lagi. Rupanya itulah salah satu prosedur tetap (SOP) yang wajib diikuti. Semasa datang van tidak digunakan supaya banduan yang akan digantung tidak sedar. Hukuman perlu dilaksanakan secepat mungkin dan elemen kekejutan adalah penting supaya banduan tersentak, bingung dan tidak melawan. Dengan cara ini hukuman dapat dilaksanakan  sepantas mungkin.

Sampai di luar bilik Pengarah, Jalil Che Din berhenti sekejap. Dia menyapu kedua-dua telapak tangannya ke atas rumput yang berembun. Itu petuanya yang tersendiri. Menurutnya banyak benda-benda pelik berlaku kepada algojo sebelum dan sesudah sesuatu penggantungan. Dia menasihatkan aku kalau aku ada anak kecil nanti, jangan membawa pakaian yang dipakai semasa menyaksikan penggantungan ke dalam rumah. Tinggalkan semua termasuk seluar dalam di luar rumah dan basuh di luar rumah juga. Nasihat Jalil Che Din aku ikuti apabila aku berkahwin dan menyaksikan pelaksanaan hukuman gantung lebih kerap apabila aku ditukarkan ke mahkamah Kajang.

BERSAMBUNG DI BAB BARU...

Menara Pelangi 1 Zulkaedah 1438 Hijrah/ 26 Julai 2017


Tuesday 18 July 2017

17-7-17 (17 JULAI 2017)

17-7-17

Semalam 16 Julai 2017 genap usia aku 54 tahun. Jadi sudah  4 tahun aku menulis dalam blog ini yang dimulakan bila aku mencecah umur 50 tahun. Dalam empat tahun ini banyak juga perkara yang berlaku ke atas diriku yang mesti dikenang.

Sejak empat tahun lalu aku bertukar karier beberapa kali. Pertama sebagai profesor di Fakulti Perniagaan Antarabangsa di UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Selepas itu aku dilantik oleh SPB Yang diPertuan Agong menjawat jawatan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di Johor Bahru selama dua tahun. Apabila kontrak tamat aku bertugas pula sebagai rakan kongsi di firma Guaman Abdul Raman & Associates (ARSA Lawyers) di Menara Pelangi, Johor Bahru.Sekarang aku berkira-kira untuk bertukar karier lagi. Kali ini aku berhasrat bekerja sendiri secara sepenuh masa. Inilah sebenarnya sebab utama aku tidak berminat untuk menyambung khidmat sebagai hakim.

Aku ingin berniaga. Peluang ini datang beberapa bulan aku menjawat jawatan JC di JB. Aku tidak boleh melepaskan peluang yang datang hanya sekali ini. Sebagai hakim adalah tidak beretika untuk berniaga maupun bersahabat dengan businessman jadi aku pendamkan hasrat untuk berniaga selama hampir dua tahun sementara menunggu kontrak tamat.



pesara meniti usia 54 tahun

aku budak kampung dalam usia 11 tahun

Segalanya bermula ketika aku dan kawan-kawan berkunjung ke rumah rakan-rakan Cina sekolah kami di Tahun Baru Cina pada 19 Februari 2015. Aku baru empat bulan dilantik Pesuruhjaya Kehakiman di Johor Bahru. Kontrak aku selama dua tahun. Mulanya kami mengunjungi rumah Lee Chong Fong di Alor Gajah. Dia bekerja di Singapura dan balik untuk merayakan TBC dengan keluarganya di kampung. Selepas itu kami mengunjungi Anna Yap May May di banglonya yang tersergam di Bukit Baru, Melaka. Di situ. semasa menikmati juadah adik Anna bernama Arthur Yap memperkenalkan beberapa produk pemanis sebagai alternatif gula kepada kami. Aku sangat tertarik kerana aku adalah penghidap diabetes sejak berumur 27 tahun.

Selepas itu aku dan Arthur sering kunjung-mengunjung dan berhubung membincangkan produk-produk dan prospek perniagaan pemanis A&M Sugar Solutions. Setelah berbincang dengan isteriku kami memutuskan akan menyertai bisnes ini apabila kontrak aku sebagai JC tamat kelak.

Berkunjung di rumah Anna semasa CNY 19.2.2015


Aku berdoa bidang baru dan asing buatku ini akan berjaya. Selain berharap mengecap sedikit kemewahan hidup seperti yang dinikmati oleh Arthur Yap aku berharap dapat meninggalkan warisan sumbangan kepada masyarakat terutamanya penghidap diabetes serta warisan keteguhan ekonomi kepada anak-anakku di masa hadapan.

Venture baru ini tidak mudah. Aku menjangkakan akan terdapat banyak cobaan dan halangan tapi aku sudah membuat keputusan untuk menghabiskan baki hidupku memperkenalkan dan memajukan bisnes ini. Aku yakin dengan hadis Nabi yang menjanjikan 90 peratus rezeki datangnya daripada perniagaan.

Keputusan aku lebih mudah disebabkan aku tawar hati untuk meneruskan karier dalam Badan Kehakiman. Faktor "tawar hati" menjadi faktor penolak sementara bisnes gula gantian pula bertindak sebagai penarik yang cukup ampuh.

mesyuarat hakim-hakim Mahkamah Tinggi JB yang terakhir
aku sertai kira-kira setahun lalu. Mesyuarat ini mengikis sebarang minat aku meneruskan
karier dalam Badan Kehakiman.


Menara Pelangi
Johor Bahru




Wednesday 5 July 2017

MELAYU CARDIFF TERAKHIR



Cardiff 1997 - Pakcik Hemza


Semasa berada di Cardiff 1996 - 1998 aku bertemu dengan seorang tua yang istimewa. Namanya Mohamed Hemza (dikenal sebagai Hemza). Beliau adalah rakyat Britain tetapi lahir di Melaka. Masa itu Melaka berada di bawah Malaya. Beliau meninggalkan kampung halamannya sebelum Perang Dunia Kedua dan tidak pernah pulang ke Malaysia hingga ke akhir hayatnya. Bagi aku cerita Pakcik Hemza ini adalah satu tragedi dan ada pengajaran yang perlu dipelajari daripadanya. Aku akan ceritakan bila ada kelapangan nanti.





Di bulan Raya 1997 Pakcik Hemza berkunjung ke rumahku
di 53 Brook Street, Cardiff


Pakcik Hemza bersama bapa mertuaku Hj Mohd Ramli (ketayap putih) dan wartawan 
Utusan London Kakak Zaharah dan suaminya Abang Hulaimi dan anak-anak mereka. 

Ada sikit senggang masa. Aku sambung cerita Pakcik Hemza.

Musim Raya 1997 Cardiff terpilih sebagai satu lokasi penggambaran RTM. Ini adalah hasil bantuan ibu saudaraku Hasiah Arifin, seorang penerbit kanan di stesen penyiaran negara itu. Chik Hasiah telah meminta Zaharah Osman, wakil RTM di London untuk membuat coverage. Selain merakam aktiviti penuntut-penuntut Malaysia di rumah warden Cardiff, Pak Rani, Kak Zaharah juga membuat kajian mengenai masyarakat Melayu United Kingdom.

Terdapat masyarakat Melayu yang telah bertapak agak lama di Cardiff dan Liverpool. Mereka asalnya kelasi kapal yang memilih menetap di UK kerana dasar imigresen yang liberal selepas Perang Dunia Kedua.

Pakcik Hemza datang ke rumahku di No 53 Brook Street di bawa oleh Kak Zaharah dan suaminya Abang Hulaimi. Mereka PR UK. Abang Hulaimi berkelulusan undang-undang tetapi bekerja sebagai freelance journalist di London. Dia telah menulis sebuah buku yang menarik berjodol Awang Goneng. Rumah aku dipilih sebab bapa dan ibu mertuaku ada bersama kami di Cardiff selama setahun. Mereka datang membantu mengasuh anak bongsuku Muhammad Fahim yang lahir di Cardiff pada 1 Januari 1997. Ini untuk membantu isteriku Fairuz yang turut buat  ijazah masters seperti aku juga. Ibu mertuaku Hajah Napisah Arifin menjadi pembimbing ugama tidak rasmi di Cardiff kerana beliau adalah guru ugama di Perak. 

Pakcik Hemza lincah berbicara macam kebanyakan orang Melaka. Apa yang menarik ingatannya kuat dan pertuturannya ikut bahasa lama sama seperti orang-orang Melaka sebelum Perang Dunia Kedua. Contohnya bila dia menerangkan sifat orang Melaka, "orang Melaka ni cakap tak guna tikam tak kena."

Pakcik Hemza bertanyakan keadaan kampungnya sekarang tanpa menyedari terlalu banyak perubahan yang telah berlaku sejak 60 tahun dia meninggalkan tanahair. "Kat Kampung Duyung tu banyak buaya. Jalan kecik. Banyak pokok-pokok besau (besar) tepi jalan." Aku ketawa kerana Duyung sekarang adalah laluan utama dan sudah terlalu hampir dengan Bandaraya Melaka.

Dia meninggalkan kampungnya kerana merajuk dimarahi kakaknya hanya kerana dia mengambil duit 15 sen untuk berbelanja. Mungkin masa itu duit 15 sen itu besar nilainya. Masa itu umurnya 16 tahun. Dia lari meninggalkan kampung mengikut kapal barang sehingga sampai ke perairan Wales, UK. Di sana kapalnya ditembak oleh kapal selam U-Boat Jerman dan karam. Dia dan penumpang-penumpang yang selamat dibawa ke Cardiff. Di situlah dia menetap sehingga ke akhir hayatnya.

Selain Pakcik Hemza ada beberapa orang Melayu yang menetap di Cardiff. Ramai di kawasan dekat pelabuhan bernama Cardiff Dock. Itu slump area. Ada juga yang duduk dalam kota Cardiff di Miskin Street dan sebagainya.

Beberapa tahun di Cardiff dia menulis surat ke kampung. Adik beradiknya beranggapan dia telah masuk Kristian dan mengikut cara hidup orang putih kerana dia menulis namanya sebagai M. Hemza bukannya Mohamed Bin Hamzah. Zaman itu prejudis keugamaan masih menebal jadi hubungannya dengan sanak saudara  terputus.

Pakcik Hemza berkahwin dengan wanita tempatan sebanyak dua kali. Yang pertama berakhir dengan perceraian tanpa anak. Yang kedua dengan seorang wanita Jerman yang menetap di Cardiff dan mereka dianugerahi 4 anak. Kalau tak silap semuanya perempuan.  Mereka manis-manis belaka. Isteri Jermannya membuat hubungan sulit dan Pakcik Hemza menceraikannya. Depan aku dia mengutuk bekas isterinya sebagai "perempuan jahat, perempuan gemuk malas mandi", dan "cicit Hitler".

Di rumahku Pakcik Hemza berbual rancak dengan bapa mertuaku. Dia asyik bercerita tentang kelazatan buah durian yang tidak pernah dirasainya sejak datang ke UK. Dia pernah memegang buah durian di kedai Cina Cardiff tapi apabila diberitahu harganya GBP 30 sebiji dia terus melupakan hasratnya. Dia tidak mampu. Secara kebetulan kami ada pengat durian yang disejuk beku. Ibu mertuaku memanaskannya dan menghidangkannya kepada Pakcik Hemza. Dia bertanya itu aiskrim apa. Ternyata dia telah hilang daya hidu dan daya rasa durian selepas 60 tahun tidak merasainya.

Kepada students Malaysia dia selalu menyuruh mereka kahwin dengan anak-anaknya yang cantik itu. Students pula bertanyakan ugama anak-anaknya. Pakcik Hemza akan menjawab sedikit kesal, "ugama mereka ikut orang sini". Satu hari aku kebetulan bertemu dengan anak perempuannya yang bernama Maria, pekerja Restoran Harry Ramsden iaitu kedai Fish n Chips yang terkenal di Cardiff Bay. Maria memang cantik dengan muka kacukannya. Aku bertanyakan sama ada dia anak Pakcik Hemza. "Yes I am Hemza's daughter. You know my father?" Dia mengaku dan menyoal kembali dalam telo Cardiff yang pekat.

Interbiu RTM dengannya semasa Raya itu disiarkan di Malaysia dan menimbulkan kegemparan sanak saudaranya. Mereka tidak percaya dia masih hidup kerana semua adik-beradiknya telah pun meninggal dunia. Pakcik Hemza muncul di kaca TV bercakap Melayu fasih dan berketayap. Ini tentunya telah mengubah persepsi sanak saudaranya di sekitar Kampung Duyung, Melaka. Kemunculannya yang tidak disangka-sangka itu juga menimbulkan kerumitan.

Terdapat tanah pesaka yang berharga di Duyung membabitkannya. Kerana Pakcik Hemza sah masih hidup anak-anak saudaranya perlu mendapat persetujuannya untuk pembahagian pesaka. Satu malam aku mendapat panggilan telefon seorang warisnya dari Melaka. Mereka bercadang membawanya pulang untuk menyelesaikan hal ehwal tanah pesaka yang mereka bercadang menjualnya. Mereka meminta pertolonganku.

Pakcik Hemza berhajat kembali ke Malaysia tetapi anak-anak perempuannya menghalang bimbang dia pulang terus ke Melaka. Seperkara lagi, Pakcik Hemza berada dalam tanggungan welfare Kerajaan British dan menikmati rumah council percuma dan mendapat elaun hidup Dole setiap minggu. Semua itu akan ditarik balik jika diketahui dia berkemampuan holiday ke luar negara.


Atas kerumitan-kerumitan itu Pakcik Hemza tidak jadi pulang ke Malaysia. Aku dan Abang Hulaimi pernah menziarahi fletnya yang sederhana. Dia tinggal sendirian. Terdapat satu tali litar berwarna merah terjuntai di ruang tamu. Tangan aku gatal-gatal menariknya. Tiba-tiba intercom berbunyi dan satu suara muncul, "This is police, are you alright there Mr Hemza?". Pakcik Hemza membalas menyatakan semua okay dan dia tertarik tali itu secara tidak sengaja. Abang Hulaimi mentertawakan aku. Rupanya itu sistem di UK untuk membantu warga emas yang tinggal bersendirian.

Beberapa tahun selepas aku kembali ke Malaysia, aku bertemu seorang undergraduate student Cardiff. Aku bertanyakan ehwal Pakcik Hemza. Dia memberitahu Pakcik Hemza telah meninggal dunia. Dia meninggal keseorangan dan mayatnya ditemui lewat dan diletakkan di mortuary biasa. Kematiannya hanya disedari melalui satu iklan dalam akhbar tempatan yang mencari warisnya jika tidak mayatnya akan dibakar. Seorang student Malaysia perasan wajahnya dalam iklan dan memaklumkannya kepada beberapa kawan Pakcik Hemza yang berugama Islam. Mereka menuntut mayatnya dan menyempurnakan jenazahnya dan dikebumikan secara orang Islam. Allah masih menyayangi Pakcik Hemza.

Taman Sentosa
Johor Bahru


MEMOHON BELAJAR PHD KE UNITED KINGDOM


Tahun 2002

Sejak dari bangku sekolah aku sudah bercita-cita untuk belajar hingga ke peringkat tertinggi iaitu doktor falsafah (PhD). Bila lulus ijazah pertama (sarjana muda undang-undang) dari UIA tahun 1987 aku mula merangka untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana (masters). Aku bercita-cita sambung belajar di luar negeri.

Di sini  aku ingin fokus kepda PhD dahulu. Untuk masters aku akan cerita kemudian. Dipendekkan cerita peluang untuk membuat PhD timbul semasa aku bertugas sebagai pegawai khas kepada Tun Mohd Dzaiddin Abdullah, Ketua Hakim Negara. Tempoh jawatan Tun Dzaiddin sebagai KHN tidak panjang. Beliau adalah hakim paling lama bertugas di Mahkamah Persekutuan tetapi tidak diberi peluang menjawat jawatan-jawatan kanan seperti Hakim Besar Malaya atau Presiden Mahkamah Rayuan. Punca utama ialah hubungan beliau yang tidak berapa baik dengan Tun Mohd Eusoff Chin iaitu KHN sebelumnya. Hal ini aku akan ceritakan kemudian.

Apabila Tun Dzaiddin dilantik sebagai KHN usia beliau sudah 64 tahun. Ini bermakna dia akan bersara wajib dalam tempoh kurang dua tahun. Aku bertanya-tanya dalam hati, apa akan jadi kepada aku nanti. Jawatan hakiki aku ialah Hakim Mahkamah Sesyen. Bila berlaku pertukaran pucuk pimpinan sesuatu organisasi, lazimnya pegawai dan staf yang berkhidmat di bawah boss yang bersara turut ditukarkan. Aku mungkin ditukarkan ke mana-mana mahkamah sesyen seluruh negara. Begitulah adatnya, sekali air bah sekali pasir berubah. Aku seorang yang praktikal. Aku pasti perkara ini akan berlaku kerana bakal KHN yang baru tidak sehaluan dengan Tun Dzaiddin. Jadi aku berfikir, daripada aku bergantung nasib kepada boss baru lebih baik aku sambung belajar lagi.

Tun Dzaiddin mempunyai imej yang baik sebagai KHN. Beliau dipandang tinggi oleh para pengamal undang-undang dalam dan luar negara. Beliau juga suka kepada kesarjanaan. Jadi aku mengambil peluang ini memohon Biasiswa Chevening. Biasiswa ini adalah yang paling berprestij yang diberi Kerajaan British kepada kepada individu-individu terpilih yang pada hemat mereka bakal menjadi opinion former. Satu pagi aku masuk mengadap Tun menyatakan hasrat hati untuk belajar lagi. Beliau bertanya bidang apa yang aku ingin mengkhusus? Aku jawab undang-undang maritim. Ternyata beliau gembira dengan pilihanku kerana boleh dikatakan tidak ada peguam yang memiliki ijazah PhD dalam bidang tersebut. "You can become a wealthy lawyer if you choose to practise shipping law later." ujar beliau. Beliau lantas menulis satu surat recommendation yang baik menyokong permohonan aku. Beliau juga menjadi referee. Ternyata usaha aku berhasil. Setelah temuduga dengan beberapa orang pegawai kedutaan British aku mendapat surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD di mana-mana universiti di United Kingdom dalam sebarang bidang yang aku pilih.


Tun Dzaiddin bersama pegawai dan staf Kamar Ketua Hakim Negara tahun 2002.
Aku (berkemeja bertali leher}, Tengku Maimun (tudung biru - skrg Hakim Mahkamah Rayuan), Azimah (bertudung biru cair - skrg Hakim Mahkamah Tinggi), Rahmah (di sebelahku - setiausaha 1), Fadilah (setiausaha 2)


Aku berucap dalam majlis perpisahan sebelum ke UK. Sebelah kiri Siti Mariam
(skrg Pesuruhjaya Kehakiman). Sebelahnya Rozana (skrg Pesuruhjaya Kehakiman)

British Council yang mengelola Biasiswa Chevening mensyaratkan aku perlu mendapatkan tempat pengajian dalam tempoh dua minggu. Aku bergegas menulis email kepada beberapa universiti yang aku tahu ada menawarkan kursus dalam bidang maritim. Daripada senarai itu aku buat senarai pendek dan memohon bertemu pensyarah yang berkenaan. Oleh kerana waktu suntuk aku membuat keputusan drastik untuk terbang ke UK bersama isteriku. Aku ada duit ketika itu hasil penjualan rumahku di USJ Subang Jaya. Aku minta izin KHN dan jabatan. Isteri aku mohon cuti daripada UIA di mana dia adalah pensyarah di kampus Petaling Jaya lalu kami bertolak. 

Sampai di Heathrow aku menyewa kereta dan bertolak ke Birmingham, Cardiff, Bristol dan akhirnya ke Greenwich, London. Aku bertemu dan berbincang dengan bakal-bakal penyelia. Aku berkata kepada isteriku, mana-mana universiti yang pertama memberi surat tawaran aku akan terima. Selama di London kami menumpang menginap di rumah seorang kawan, Ismail dan isterinya Ita di Ealing North. Ismail ialah pemandu kepada atache tentera Malaysia di UK. kami telah kenal mereka semasa aku belajar masters di Cardiff tiga tahun sebelum itu.

Di Universiti Greenwich aku bertemu Prof Sarah Palmer. Beliau pengarah Greenwich Maritime Institute (GMI) yang baru ditubuhkan beberapa tahun sebelum itu. Ranking Universiti Greenwich tidak berapa tinggi di UK tetapi aku suka kepada nama GMI kerana maritime tertera di situ. Di akhir pertemuan Prof Sarah Palmer terus mengeluarkan surat tawaran bersyarat kepadaku.

Sampai di rumah Ismail surat tawaran daripada Universiti Bristol sedia menunggu. Pensyarah yang aku temui hari sebelumnya sangat berminat untuk mengambil aku sebagai penuntutnya. Mungkin sebab dia pensyarah biasa, dia tidak dapat mengeluarkan surat tawaran semasa aku bertemunya. Aku berbincang dengan isteriku. Aku minat untuk ke Bristol kerana pada tahun sebelumnya (tahun 2001) fakulti undang-undang Universiti Bristol mendapat ranking pertama di UK mengatasi Universiti Cambridge dan Oxford. tetapi aku ragu-ragu kerana terdapat 150 orang penuntut PhD di Fakulti undang-undang Bristol ketika itu. Casualty mungkin tinggi kerana universiti ternama perlu menjaga standard mereka.

Fikir punya fikir aku merasa GMI lebih sesuai. Pertamanya, kampusnya di kota London, Kedua, ia mengkhusus dalam maritim dan ketiganya, sebagai pusat yang baru, lazimnya mereka akan memastikan semua penuntutnya lulus. Dengan cara itu pusat akademik itu akan berkembang.
Sebelum bertolak pulang ke Malaysia aku memberi jawapan rasmi kepada Dean Curtis, pendaftar GMI yang aku berhasrat belajar di GMI.


Bersama penyelia-penyeliaku Prof Emeritus Alastair Couper
dan Prof Sarah Palmer dalam satu formal dinner di Royal Naval College,
Greenwich, London (sekitar 2004)


Masa berjalan begitu pantas. Sebagai pegawai khas kepada KHN kehidupanku sangat sibuk. Aku menguruskan jadual Tun Dzaiddin, menyaring tetamu, mengikuti lawatan-lawatannya di seluruh negara dan luar negeri. Menulis deraf ucapan serta menjadi pengantara beliau dengan jabatan dan orang-orang kenamaan. Tun Dzaiddin sepatutnya bersara wajib di awal tahun 2003 tetapi khidmatnya disambung enam bulan lagi. Kursus aku bermula bulan September jadi aku meninggalkan jawatan aku di Kamar KHN lebih awal. Tiada pegawai khas baru dilantik menggantikan aku. Tugas-tugas aku dijalankan oleh seorang pegawai dari Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Menara Pelangi
Johor Bahru

HARI-HARI AWAL SEBAGAI SISWA PERINTIS UIA



16 Julai 1983 dan hari-hari berikutnya

Sebelah malamnya selepas solat Isya, semua mahasiswa baru UIA kembali ke Dewan Al Malik Faisal untuk mendengar ceramah penerngan Profesor Kamal. Kali ini ceramahnya  berkisar mengenai Islam dan falsafahnya, Keadaan Islam semasa, peranan UIA dalam menghadapi kecelaruan dan cabaran umat dan perkara-perkara yang berkaitan.

Semua kami duduk mendengar dengan kusyuk.

Tiba masa soalan. Pelajar-pelajar seusiaku diam seperti tikus. Masing-masing berharap orang lain akan bangun bertanya soalan. Lega bila melihat seorang yang agak dewasa, susuknya pagan, berambut putih mengangkat tangan dan bertanya soalan. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Mansor Hj Din. Dia bertanya dengan panjang. Pertamanyaa dia memberi ulasan kepada ceramah Prof Kamal. Dia bercakap Inggeris seperti bertih digoreng dengan diselang-seli beberapa perkataan Inggeris yang agak tinggi. seperti "loggerhead" dan lain-lain. Dia mengulas perang Iran dan Iraq sebagai contoh dunia Islam yang tidak bersatu.

Prof Kamal mendengar dengan teliti, tunduk dan tawaduk. Kemudian dia menjawab dengan tenang satu persatu. Kami tertarik mendengar penjelasannya.

Kemudian seorang polis lain bangun. Badannya tegap, berambut ikat dan dagunya sedikit runcing. Suaranya sangat garau dan commanding bangun bertanya soalan juga dalam bahasa Inggeris yang fasih. Aku dah tak ingat  apa persoalan yang dibangkitkannya tapi ia berkisar tentang isu penerapan nilai-nilai Islam iaitu isu topikal ketika itu. Nama lelaki itu ASP Ameir Hasan.

Tiba-tiba seorang yang seusia kami bangun. Dia berjambang lebat. Soalannya menyebabkan petanya sebelum ini terdiam dan berbisik sesama sendiri. Sebabnya? Dia bertanya dan memberi ulasan dalam bahasa Arab sepenuhnya. Aku langsung tidak dapat memahami apa yang dipertuturkannya. Aku juga tak tahu samada bahasa Arabnya betul atau salah. Maklum saja aku jahil dan buta Arab masa itu. Kali ini golongan mahasitua pula yang gusar jika bahasa Arab seperti itu diperlukan di UIA. Beberapa minggu selepas itu siswa itu aku kenali sebagai Zainal Azam Abdul Rahman. Bekas pelajar KIK yang telah pernah melanjutkan pengajian di Universiti Al Azhar tetapi dia kemalangan jalanraya dan kembali ke tanahair.

penyertaan sulung delegasi siswa UIA dalam seminar di luar UIA 
berlaku di USM. Ia diketuai oleh Zambry Abd Kadir.




Bersambung...



MENDAFTAR DIRI DI UIA



16 Julai 1983

Hari itu aku aku genap 20 tahun. Hari itu aku melangkah tegap menapak memasuki menara gading. Masuk universiti adalah idaman hampir semua pelajar sekolah. Diterima masuk untuk belajar universiti adalah satu pencapaian besar ketika itu. Masuk universiti dianggap masuk kelab orang terpelajar. Ia menjanjikan kehidupan yang lebih baik sekiranya lulus nanti. Bagi anak orang kampung seperti aku, ini satu mimpi yang menjadi kenyataan.

Pendaftaran siswa-siswi perintis UIA tersebut berlaku dalam bulan Syawal. Kehangatan Hari Raya masih terasa. Hari Raya tahun itu sungguh bermakna bagiku kerana ke mana saja aku jalan Raya, saudara-mara dan kawan-kawan akan bertanya aku dapat masuk universiti mana. Dengan bangganya aku menyebut UIA. UIA adalah gagasan negara yang sibuk diperkatakan jadi aku rasa hebat juga.

foto aku 1 Syawal 1983 beberapa hari sebelum masuk UIA

Pagi-pagi lagi aku dihantar oleh abang Khalid ke kampus UIA di Jalan Universiti, Petaling Jaya. Abang Khalid bekerja sebagai wartawan New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar.  Dari rumahnya di Shah Alam, kampus UIA itu ditempuhi dahulu sebelum dia ke ofis.  Kampus UIA itu kecil saja berbanding dengan kampus-kampus universiti yang lain. Boleh dikatakan UIA ditubuhkan secara tergesa-gesa. Ketika aku mendaftarkan diri dan untuk beberapa  minggu berikutnya kerja-kerrja pembaikan berjalan di bahagian pentadbiran, dewan kuliah, bilik tutorial dan asrama. Bau cat dan varnish ada di mana-mana.

Aku beratur bersama-sama pelajar-pelajar lain di dalam Dewan Al Malik Faisal. Dewan ini mengambil nama Raja Saudi Raja Faisal Abdul Aziz Al Saud (lahir 1906 md 1975) yang terkenal sebagai seorang raja yang warak, dermawan dan bijak memerintah. Baginda dibunuh secara tragik oleh anak saudaranya dalam satu majlis keramaian pada tahun 1975. Semasa hayatnya baginda banyak menderma untuk membangunkan masjid dan madrasah di serata dunia. Dewan ini kecil sahaja, iaitu besar sedikit daripada dewan sekolah lama aku di SDAR, Seremban dan Sek Men Sains Melaka.

Dalam barisan aku lihat ada beberapa orang yang lebih tua turut mendaftar. Aku agak umur mereka dalam 30an. Susuk badan mereka agak tinggi, tegap dan berjalan dengan bergaya. Mereka rancak berbual sesama sendiri bercampur-campur  bahasa Inggeris dan Melayu. Aku hairan bila melihat beberapa orang perempuan datang mendaftar dengan memakai jeans dan t-shirt ketat. Mereka berbual sesama mereka dalam bahasa Inggeris yang fasih.

Seorang di belakang aku bekata, "masya Allah" dengan nada kesal bila melihat perempuan-perempuan yang datang masuk universiti Islam tanpa menutup aurat. Lelaki tegap di hadapan aku menyahut dengan kalimah yang sama tetapi diiringi dengan senyuman sinis. Nama lelaki ini ASP Mohd Nawawi Ismail. seorang pegawai polis yang sama-sama mendaftar untuk mengikuti program undang-undang. Rupanya perempuan-perempuan itu datang dari Singapura. Mungkin mereka tidak menyangka sebuah universiti antarabangsa mewajibkan penuntut-penuntut perempuannya menutup aurat. Perkara ini juga tidak disebut dalam surat tawaran. Terdapat juga beberapa orang pelajar berketurunan Cina perempuan turut mendaftar. Mereka juga tidak bertudung.

Pendaftaran tidak mengambil masa yang lama kerana hanya dua jurusan ditawarkan iaitu undang-undang dan ekonomi. Rasanya tidak sampai dua ratus orang yang mendaftar majoritinya dari Malaysia dan sedikit dari Singapura. Pelajar-pelajar antarabangsa dari Sri Lanka, Bangladesh, Korea, Brunei, Australia dan New Zealand datang mendaftar beberapa minggu kemudian.

Setelah mendaftar aku diberi sehelai baju batik universiti berwarna keemasan daripada kain kapas yang berkualiti rendah kerana mudah berkedut. Aku seperti pelajar-pelajar lain, juga diberi sebiji bantal dan kunci bilik asrama. Kemudian kami masuk ke bilik asrama masing-masing.

Aku diberikan bilik kecil yang baru dipartition lengkap dengan katil bertilam baru, almari pakaian dan meja tulis. Tingkap bilik itu jenis lama yang ada dua daun yang boleh ditolak ke atas untuk membukanya dan ditarik  semula untuk merapatkannya. Bilik aku terletak di tingkat atas Blok A. Dari jendela bilik aku boleh melihat terus ke bangunan pentadbiran dan perpustakaan yang berwarna coklat keperangan yang terhasil daripada susunan batu-bata yang tidak disimen.  Di bawah ada dua gelanggang sepak takraw. Di belakangnya terbentang padang kosong sehingga ke deretan pokok-pokok ru yang mendereti susur jalan masuk ke universiti. Di belakangnya Jalan Universiti.

Di sebelah bertentangan bilik terdapat Blok B dengan ketinggian dan bentuknya sama dengan Blok A yang aku duduki. Di antara kedua-dua blok itu ada kawasan lapang yang disediakan ampaian kain untuk kami menjemur pakaian. Ada sebatang pokok kelapa sawit tua yang kurus meninggi di situ.

Setiap bilik dikongsi dua orang. 

Teman bilikku seorang yang tinggi dan berbadan gempal. Kulitnya hitam. Aku tidak pasti dari mana asalnya sama ada dari Malaysia atau luar negeri.

"Assalamu alaikum, I am Sabirin from Malaysia," aku menghulurkan tangan perkenalan. " Eden Saukat Ali dari Soromban," Dia menyambut tanganku sambil tersengih. Rupanya dia mamak dari Labu tidak jauh dari Seremban. Aku terus ketawa dan kami terus berbual mesra dalam loghat Minang, Saukat Ali Bin Narul Haq adalah lepasan Sekolah Tuanku Ampuan Durah iaitu jiran kepada SDAR di Seremban.

Semasa lunch  kami dijamu nasi beriyani yang enak. Aku makan penuh selera.

Petangnya, taklimat pertama disampaikan oleh Profesor Dr Muhammad Kamal Hasan, Sheikh Al Kulliyyah, Markaz Ilmu Teras. Aku pernah mendengar ceramahnya setahun sebelum itu semasa mengikuti Nadwah Kepimpinan Pelajar-Pelajar Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh di Kolej Islam Kelang. Dia seorang yang segak dan berketrampilan, berkulit putih bersih serta bermisai dan berjambang kemas. Songkok hitam tidak lepas dari kepalanya. Prof. Kamal  bertutur bahasa Inggeris yang fasih dalam telo Amerika. Aku lihat sebahagian besar pelajar terkial-kial cuma memahami butir percakapannya. Bahasa Inggerisku boleh tahan jadi aku faham apa yang cuba diterangkan - falsafah universiti, objektif melahirkan profesional berjiwa Islam serta disiplin berpakaian. Dia menekankan sebagai sebuah universiti Islam, semua pelajarnya mesti menutup aurat. "the sisters must cover their heads and do not wear tight clothes that exhibit the contours of the body," jelasnya. Di akhir taklimatnya dia berseloroh apabila tiada soalan dikemukakan oleh pelajar-pelajar, "if there is no question, perhaps the English teachers at the back would like to correct my English?". Jenaka ini membuatkan beberapa pelajar-pelajar, terutamanya yang lebih tua ketawa. Mereka ini mendapat cuti belajar daripada Polis Diraja Malaysia. Aku perhatikan mereka confident dan bertutur dalaam bahasa Inggeris yang baik. Aku dan ramai pelajar yang baru keluar sekolah tidak ada keyakinan yang tinggi untuk bertanyakan soalan dalam bahasa Inggeris. Jadi kami mendengar dan memerhati sahaja.

Semasa makan malam yang agak simple juadahnya berbanding nasi briyani tengahari tadi, pelajar-pelajar muda melahirkan kebimbangan mereka mengenai tahap bahasa Inggeris masing-masing. Ramai tidak yakin. Mereka lulusan sekolah ugama. Ramai  dari Kolej Islam Kelang. Daripada apa yang aku dengar, mereka masuk UIA kerana percaya mereka boleh memilih antara aliran Inggeris atau Arab. Sudah tentu pilihan mereka aliran Arab. Tetapi apabila mendengar penggunaan Bahasa Inggeris yang begitu meluas, mereka gusar. Ada yang sudah berkira-kira untuk bertukar universiti ke Akademi Islam UM atau Fakulti Pengajian Islam UKM.

Nota: Artikel ini dipindahkan dari blog lama yang telah ditutup
          Ia ditulis tahun 2016

Taman Sentosa
Johor Bahru


PENUBUHAN UIA 1983




 16 Julai 1983

Tarikh ini begitu membanggakan diriku. Ia tarikh lahirku ke dunia ini buat kali ke 20. Ia lebih membanggakan kerana pada tarikh keramat itu aku menjejakkan kakiku ke menara gading. Aku masuk universiti.

Masuk universiti ketika itu sangat berprestij. Di awal 1980an hanya ada beberapa pusat pengajian tinggi bertaraf universiti di Malaysia iaitu Universiti Malaya, UKM, USM, UPM, dan UTM. Daripada lima universiti ini, Universiti Malaya ditubuhkan di Singapura sebelum berpindah ke Kuala Lumpur. Ia universiti terulung dan paling berprestij. Universiti Sains Malaysia (USM) adalah kedua tertua dan berpusat di Pulau Pinang. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditubuhkan di awal 1970an atas desakan menubuhkan sebuah universiti dengan bahasa pengantarnya Bahasa Melayu. Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada asalnya sebuah kolej pertanian dinaikkan taraf sebagai universiti di awal 1970an juga. Kampusnya terletak di Serdang, Selangor. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) asalnya maktab teknik Kuala Lumpur dan dinaik taraf sebagai universiti dalam tahun 1975.

Terdapat satu percubaan untuk menubuhkan sebuah universiti yang dinamakan Universiti Tunku Abdul Rahman, iaitu dinaiktaraf daripada Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR). Ia berhasrat membuka peluang yang lebih besar kepada pelajar-pelajar bukan Melayu dan menggunakan bahasa pengantar Inggeris. Percubaan ini ditolak oleh kerajaan. Penolakan kerajaan ini dicabar ke mahkamah. Di Mahkamah Persekutuan, keputusan kerajaan telah disahkan.

Dalam senario ini, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ditubuhkan pada 10 Mei 1983. Pelajar kumpulan pertama mendaftar diri pada 16 Julai 1983.  Ia adalah satu daripada dua projek bergagasan besar yang diasaskan oleh Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri yang dilantik pada akhir 1981 menggantikan Datuk Hussain Onn. Satu lagi projek ialah penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad. Kedua-dua projek ini adalah komponen utama kepada gagasan penerapan nilai-nilai Islam yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir di awal pentadbirannya.

Penubuhan UIA ini menongkat arus kerana bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris. Pertama, orang Islam menjangka ia akan menggunakan  pengantar bahasa Arab secocok dengan tarafnya sebuah universiti Islam. Keduanya, ia bercanggah dengan Akta Kolej dan Universiti 1971 yang menetapkaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Ia juga alasan Mahkamah Persekutuan menolak penubuhan Universiti Merdeka sebelum itu. Jagi bagaimana UIA dapat ditubuhkan? 

UIA tidak ditubuhkan di bawah Akta Universiti dan Kolej tetapi ditubuhkan di bawah Akta Syarikat dan di tanggung sebahagian pembiayaannya oleh Negara-Negara Persidangan Islam (OIC). Ia universiti antarabangsa yang pertama ditubuhkan di Malaysia. Dengan cara ini UIA ditubuhkan melalui pintu belakang tanpa menimbulkan bantahan yang besar daripada pihak-pihak yang gagal menubuhkan Universiti Merdeka.

Penubuhan sebuah universiti ketika itu tidak semudah sekarang. Pelajar-pelajar yang bercita-cita untuk masuk universiti terpaksa bersaing hebat untuk mendapatkan tempat di mana-mana universiti tadi. Disebabkan kemasukan ke universiti berasaskan kepada kuota mengikut kaum, lebih ramai pelajar-pelajar Melayu mendapat tempat. Namun begitu pelajar-pelajar Melayu kebanyakannya bertumpu kepada kursus-kursus pengajian Melayu, sastera, sains sosial, pengajian Islam dan yang sepertinya. Antara sebabnya ialah tidak ramai pelajar Melayu minat masuk aliran sains dan profesional. Penguasaan bahasa Inggeris yang lemah menambah ketidakyakinan mereka untuk bersaing di fakulti-fakulti perubatan, kejuruteraan, sains dan sebagainya. Di fakulti-fakulti ini pelajar-pelajar bukan Melayu adalah majoriti dan saban tahun pelajar terbaiknya adalah daripada mahasiswa bukan Melayu.

Aku dalam usia 20 tahun sebagai siswa perintis UIA


Perkara ini wajar disebut di sini kerana itulah senario ketika aku menjejak kaki ke UIA. Senario itu tidak sama seperti sekarang. Terlalu jauh bezanya masa masuk universiti di awal 1980an berbanding sekarang.

Mahkamah Tinggi (Jenayah 2)
Johor Bahru

Nota: Artikel ini telah ditulis lebih awal dalam tahun 2016 dalam laman blog lain yang telah ditutup.


Tuesday 4 July 2017

AKU DAN IJN


Satu hari di Hari Raya....

Ini rangkap pembuka lagu Raya M.Nasir yang popular. Bagi aku lain ceritanya. Satu hari dalam bulan Raya tahun 2008 aku merasa dadaku ada yang tak kena. Ia tidak sakit tetapi rasa sebu dan sendawa terlalu kerap. Mula-mula aku agak ia disebabkan makan berlebihan tapi keadaan ini berterusan berminggu-minggu lamanya. Aku mula merasa bimbang.

Masa itu aku bertugas sebagai Pensihat Undang-Undang Kementerian Pertahanan (Mindef). Aku mendapat keistimewaan seperti pegawai tentera untuk menggunakan kemudahan klinik pakar tentera di Jalan Padang Tembak di hadapan Wisma Pertahanan. Sekarang bangunan klinik pakar ini telah dirobohkan kerana hospital pakar tentera telah siap. Aku membuat temu janji dengan doktor pakar tentera. Aku diberi rawatan ECG dan kemudian menjalani ujian stress test. Hairan bin ajaib aku lulus kedua-dua test itu dengan cemerlang. Tapi rasa tidak selesa itu kekal. Akhirnya aku minta doktor tentera itu merujukkan kes aku ke hospital pakar jantung yang terulung di negara ini - Institut Jantung Negara (IJN) di Jalan Tun Razak kira-kira dua kilometer dari Mindef.

Doktor pakar IJN memutuskan aku perlu menjalanai angiogram untuk mengesan jika ada saraf yang tersumbat. Ini perlu kerana aku berisiko tinggi lantaran diabetes yang lama. Pada hari yang ditetapkan aku masuk ward kelas pertama dengan ditemani isteri. Nurse datang ambil  darah untuk ujian serta blood pressure aku diambil. semuanya nampak normal. Profail pemakanan aku diteliti dan dia menasihatkan aku kurangkan makan daging merah. Ini yang berat sikit sebab aku memang suka makan lamb steak. Kegemaran makan daging bebiri muda ini aku dapat semasa belajar di UK. Kemudian seorang pembantu hospital datang untuk mecukur bulu di tempat sulitku. Aku keberatan dan minta buat sendiri. Dah tua-tua rasa malu tebal juga. Tapi dia insist untuk melakukannya. "Ini prosedur tuan, jangan segan orang-orang VIP pun saya buat. Baru hari tu saya cukur seorang Sultan." Dia bercakap dengan bersahaja sambil menyebut nama Sultan tersebut. Aku mengalah. Dalam beberapa minit aku dah kembali jadi budak belum baligh. Cekap betul mamat ni.

Selepas itu aku disorong ke bilik pembedahan. Tiub dimasukkan ke dalam salur darah di pangkal peha sebab itu tempat itu dicukur bersih. Prosedur angiogram tidak memerlukan bius. Aku sedar sepenuhnya dan melihat dakwat dimasukkan ke dalam saluran darah menuju ke jantung. Ada tiga orang doktor menjalankan prosedur tersebut diketuai oleh seorang doktor Myanmar. Aku mendengar semua percakapan mereka. Mereka mulanya hairan kerana dakwat itu meresap lancar dan tidak terhalang. Kemua doktor Myanmar itu ternampak sesuatu, "Here it is, look at the small artery," katanya kepada doktor-doktor lain. Mereka mengesahkannya. Ada satu saluran kecil telah tersumbat 20 peratus. Mereka menjelaskan kepada aku jika blockage itu lebih 60 peratus aku akan dibedah serta-merta.

Aku ditolak ke luar ward pembedahan. Aku rasa lega tapi ia tidak lama. Di luar bilik pembedahan itu berkumpul semua pesakit-pesakit yang baru habis pembedahan. Aku ngeri melihat tiub darah berselirat dan mesin tekanan nafas pesakit kritikal yang turun naik. Semua mereka belum sedar. Setengah jam juga aku di situ sementara menunggu pembantu hospital menolak aku balik ke dalam ward. Aku dilarang menggerakkan kaki selama beberapa jam. Lengoh semua anggota dibuatnya. Nasib baik isteri aku ada memicit-micit badan dan meneman aku berbual.

Selepas discaj aku menjalani fisioterapi di satu kawasan khas IJN. Semua yang datang ada kesan zip di dada. Ia adalah kesan jahitan pembedahan terbuka. Mereka bertanya di mana aku dibedah. Aku kata aku tak dibedah atau diletakkan gelembung dalam saluran jantung. Aku cuma diberi makan ubat cair darah yang perlu di ambil sepanjang hayat.

Semasa fisioterapi aku bertemu Dato' Markiman Kobiran. Dia bekas Ahli Parlimen Ulu Langat. Masa aku majistret Kajang di awal 1990an dia peguam yang hadir regular di mahkamahku. Masa itu dia baru membuka firma guaman di Kajang. Di Kajang dia baik dengan seorang doktor gigi. Doktor gigi ini kemudiannya menjadi Menteri Besar Selangor dalam usia muda. Dia ialah Dr Mohd Khir Toyo. Markiman turut menumpang tuah dan terpilih bertanding kerusi Parlimen.  Dalam PRU 2008 tsunami melanda. Markiman tidak bersedia dan dia hanyut dilanda badai tsunami politik tersebut dan kalah pilihan raya. Dia diserang sakit jantung. Empat urat jantung dibuat bypass. Begitulah nasib orang politik. Bagi golongan ini kepastian yang ada ialah ketidakpastian.

Bagi aku sendiri, rasa tidak selesa di jantung hilang bila aku makan pil cair darah  Plevix yang diberi doktor. Aku telan sebiji setiap hari tanpa henti dari tahun 2008 hingga sekarang. Bila darah cair ada masalah timbul. Pertamanya, gusi kerap berdarah dan kalau luka darah lambat kering. Keduanya, bila darah mengalir laju semua urat-urat timbul termasuk urat-urat bahagian sulit. Natijah ini tak payahlah aku beritahu di sini. Kita sama-sama faham sudahlah ;)

Taman Sentosa
Johor Bahru


Monday 3 July 2017

AKU PESAKIT KRONIK



Hari ini 9 Syawal 2038 Hijriyah bersamaan 3 Jun 2017. Aku masuk ofis selepas cuti panjang lebih seminggu bersempena Hari Raya . Cuti panjang menimbulkan rasa malas untuk bekerja semula. Aku bukan macam orang lain yang boleh disuruh dan disarah buat itu dan ini. Aku bekerja ikut pace aku sendiri. Sikap ini terbina dalam diri aku secara perlahan. Bila umur tambah meningkat ia jadi sebati menjadikan aku susah bekerja dengan orang lain. Maksud aku, sekarang aku lebih senang buat kerja sendiri secara bebas. Alhamdulillah di firma guaman tempat aku bekerja sekarang, aku diberikan ruang yang aku perlukan.

Hari ini aku ingin berceloteh tentang penyakit. Semua manusia mengalami rasa sihat dan sakit. Tidak ada orang yang sihat sepanjang masa. Ramai orang takut jumpa doktor. Ramai yang menyembunyikan penyakit yang dihidapi. Ada sakit sekejap seperti demam ada sakit yang lama dan membawa merana seperti kanser. Ada sakit fizikal yang mudah kita nampak tetapi ada sakit yang tersembunyi seperti sakit mental dan sakit hati. Sakit-sakit ini lebih merbahaya. Bagi  aku biarlah orang tahu sakit kita sebab kalau musibah terjadi orang  mudah membantu.

Aku ingin berterus-terang. Aku telah dilanda sakit kronik sejak berpuluh-puluh tahun dan aku tidak pernah menyembunyikan fakta ini. Semasa di UK dahulu doktor mengatakan sakit aku ini suatu hidden disability (kecacatan yang tersembunyi). Isteri aku selalu mentertawakannya. "Abang ni OKU," katanya. Di Malaysia terdapat lebih 3.5 juta orang yang senasib dengan aku. Di seluruh dunia perangkaan terakhir menunjukkan terdapat hampir 500 juta orang menderita sakit yang sama. Maknanya kalau dibuat kelab penyakit, kelab sakit akulah yang paling ramai ahlinya hahaha :)

Ya, aku adalah pesakit kencing manis yang tegar. Tak glamour langsung istilah kencing manis ni jadi elok kita sebut diabetes saja barulah ada class. Ada kawan yang mencipta istilah yang lebih menggelikan hati iaitu pengidap sweet urine. Jadi aku ni sweet uriner lah gitu hahaha.

Secara jujur aku tak tahu bila sebenarnya aku dihinggapi diabetes. Tapi aku disahkan pengidap semasa berumur 27 tahun. Sekarang umur aku 54 tahun. Maknanya sudah 27 tahun aku disahkan pengidap diabetes. Masa dulu masyarakat tidak didedahkan dengan gejala ini. Aku tak tahu aku ada risiko yang tinggi kerana tidak tahu petanda-petanda awal. Kalau aku tau tentu aku lebih menjaga kesihatan. 

Aku rasa petanda-petanda itu telah muncul lebih awal iaitu semasa aku bekerja di Kuala Kubu Bharu. Sebagai majistret di situ hidupku terasing. Aku masak sendiri bila rajin tapi selalunya aku beli makanan di luar. Stok makanan aku banyak. Dapurku sendat dengan makanan dan minuman. Peti aisku penuh dengan berbagai minuman yang manis seperti Coca Cola (saiz besar), A&W, air tebu, air cincau, air soya dan lain-lain. Aku memang foodie suka makan. Dahulu masa belajar universiti selalu ikat pinggang jadi bila ada gaji aku sebat semua makanan. Tak ada orang yang melarang. Badan aku yang kurus naik mendadak. Masuk tahun kedua di KKB aku kerap rasa dahaga di tengah malam dan selalu rasa nak kencing semasa tidur. Rasa dahaga ini datang walaupun cuaca dingin. Jadi bila dahaga datang aku sebat minuman-minuman dalam peti ais. Rupanya inilah tanda-tanda awal diabetes. Kalau aku tahu aku takkan minum minuman bergas yang ada kandungan gula yang sangat tinggi. Lantaran kejahilan itu aku meneruskan kehidupan seperti biasa tanpa menjaga pemakanan.

Bila aku berkahwin di awal 1990an, isteri aku hairan melihat mangkuk tandas selalu bersemut. Aku tidak merasa apa-apa kerana mengagak ia semut-semut yang sememangnya banyak dalam rumah. Satu hari semasa pergi klinik Ludher & Rakan-Rakan di Seksyen 14 Petaling Jaya aku terbaca satu maklumat kesihatan yang tertera di dinding klinik yang berbunyi "Jangan Biarkan Semut Mengetahuinya Dahulu". Isteri aku mendesak aku berjumpa doktor. Darahku diambil untuk ujikaji dan aku disuruh datang tiga hari kemudian.

Tiga hari kemudian aku berjumpa Dr Manjit Singh. Dia berumur awal 40an, berperwatakan tegas kerana dia bekas pegawai perubatan tentera berpangkat kolonel. Dia mengucapkan syabas kepada aku. Aku terpinga-pinga. Tahniah untuk apa? Doktor Manjit menjelaskan ujian darah mengesahkan aku adalah pengidap diabetes jadi aku telah memasuki kelab yang paling popular dan terbesar dengan keahlian mencecah 800 ribu orang di Malaysia (ketika itu) iaitu Kelab Diabetes!

Aku disuruh berdiri dan angkat tangan kanan bersumpah macam tentera. Dia suruh aku mengulangi cakapnya. "Saya berjanji tidak akan makan gula lagi". Aku menurut macam orang bodoh. Selepas itu Dr Manjit memberi kuliah percuma yang panjang mengenai cara-cara mengawal diabetes. Pertamanya, aku mesti makan ubat sepanjang hayat. Keduanya aku perlu mengawal diet secara serius. Jika tidak dalam tempoh enam tahun aku akan mendapat serangan jantung atau strok. Aku terkejut. Dr Manjit menegaskan dia tidak berbohong tetapi maklumat itu adalah daripada hasil kajian perubatan yang terakhir.

Terkedu aku dibuatnya. Isteri aku sedang mengandung anak pertama. Apa nasib anak isteri aku kalau aku meninggal nanti. Isteri aku jadi janda muda dan anak aku jadi yatim.

Namun, realitinya bukan mudah untuk mengawal selera makan. Aku beringat-ingat juga tapi aku tidak mampu membuat total abstinence jadi aku buat rule sendiri. Aku makan semua tapi tidak berpantang secara ekstrim. Aku makan dodol dan kueh-kueh manis sampai hari ini tapi dalam kuantiti yang kecil. Kalau makan kueh koci aku buangkan intinya, Kalau kueh keria aku buangkan sira gulanya. Tapai pun aku sebat tapi aku perahkan airnya dahulu. Cendol aku order separuh manis. Jika makan nasi aku cuba sedaya upaya makan separuh pinggan atau kurang daripada itu. Kalau lapar aku lebihkan makan sayur dan lauk-pauk.

Tapi tentang ubat aku memang tidak berkompromi. Aku makan ubat dari dulu hingga sekarang tanpa henti. Aku percaya ubat-ubatan moden. Masalahnya dengan diabetes ni, bila kita maklumkan kepada seribu orang, seribu orang akan jadi doktor atau penasihat kesihatan. Mereka akan cadang ubat itu dan akar ini. Setengahnya buat testimony yang tidak logik kononnya orang itu dan orang ini kakinya dah nak dipotong, bila makan ubat ini dan itu terus pulih. Kaki tak jadi potong sampai doktor pun terperanjat. Bagi aku semua itu karut belaka. Aku bukan nak mendabik dada tapi aku dah masak sangat dengan diabetes ini. Aku baca buku-buku dan jurnal-jurnal perubatan secara konsisten. Aku boleh berhujah dengan doktor-doktor  yang tidak semuanya mahir dengan diabetes.

Dipendekkan cerita, selepas pertemuan dengan Dr Manjit itu aku menjalani kehidupan seperti pengidap diabetes. Beberapa tahun kemudian aku melanjutkan pengajian ke UK. Di sana di setiap klinik ada ditempatkan seorang diabetic nurse. Di UK diabetes aku terkawal baik. Setelah dua tahun aku tamat pengajian dan balik. Aku congak-congak tempoh enam tahun yang diberikan oleh Dr Manjt telah pun berakhir. Aku segera ke kliniknya iuntuk berjumpa dan igin memberitahunya ramalan dia jauh tersasar. Saya masih sihat tanpa mengalamai serangan jantung atau strok. Di klinik aku  bertemu rakan kongsinya Dr Kartar Singh. Dia mendengar hasratku bertemu Dr Manjit. Aku terkejut besar bila dimaklumkan Dr Manjit telah meninggal dunia semasa aku di luar negara akibat serangan jantung. Mendiang meninggal dalan usia lewat 40an. RIP Dr Manjit Singh.





Apabila dikawal dengan baik seperti dalam buan Ramadan 
bacaan gula dalam darah aku seperti orang normal


Ini contoh bacaan ketika aku tidak makan ubat atau terlupa ambil insulin.

Semasa di UK kali kedua (2002 - 2006) seorang doktor GP (general practitioner) menasihatkan supaya aku mula mengambil insulan untuk kawalan gula dalam darah yang lebih baik tapi aku menolak. Memang stigma bila orang tahu kita dah guna insulin. GP itu beritahu di UK sesiapa saja yang disahkan mengidap diabetes akan disarankan menggunakan insulin sebagai treatment utama kerana ia lebih berkesan. Aku tidak endahkan tetapi semuanya bertukar bila aku balik Malaysia dan bertugas di Kementerian Pertahanan. Doktor tentera yang memeriksa aku mengatakan aku tidak ada pilihan lain kerana ubat-ubat pil Metformin dan Daonil yang aku makan tidak mampu merendahkan kadar gula dalam darah aku. Semasa diperiksa, walaupun tidak mengambil breakfast bacaan gula aku ialah 14. "Terlalu tinggi. Dr kena ambil suntikan insulin dari sekarang", kata Mejar Dr Amir kepadaku. Jadi setelah 18 tahun aku akur dan memulakan fasa baru sebagai sweet uriner dengan mengambil insulin injection dua kali sehari iaitu pagi dan malam. Mula-mula aku gerun melakukannnya kerana kalau silap tempat suntikan akan berdarah. Isteri dan anak-anak aku yang jadi "doktor" mencucuk jarum insulin sekitar pusat. Lama-lama aku jadi lali dan melakukannya sendiri tanpa kekok samada bersendirian atau di khalayak ramai.



Menara Pelangi
Johor Bahru