Monday 30 September 2013

MOZAC: SAMBUNGAN 4

Waktu tidur di asrama ialah pukul 11 malam. Tepat jam 11 semua lampu dorm ditutup. Tidak semua kami tidur. Biasanya kami akan berborak-borak dan ada juga yang membaca buku menggunakan limpahan lampu koridor. Lazimnya pukul 12 barulah  kami semua tidur atau tertidur.

Pada suatu malam aku tejaga daripada tidur apabila terdengar orang bercakap-cakap. Aku jadi syak bila melihat dua orang membuka locker dan menggeledahnya satu persatu. Daripada sinar lampu koridor aku dapat melihat wajah mereka dengan jelas. Mereka bukan daripada kalangan pelajar Munshi yang tinggal di asrama. Mereka orang luar. Locker yang berkunci diumpil dan dibuka menggunakan screw driver yang panjang. Mataku menyorot ke sekeliling dan aku lihat semua tidur dengan nyenyak. Abang Jaafar Baba, pelajar Munshi Tingkatan Enam yang tinggal dalam dorm sebagai pengawal kami juga tidur dengan lena sekali. Aku rasa bingung dan tidak terlintas langsung dalam hatiku untuk meggerakkan orang lain atau menjerit. Aku cuma memerhatikan perbuatan mereka dan apabila mereka keluar aku tidur semula.

Pagi esoknya seluruh Asrama Putera gempar kerana dimasuki pencuri. Tidak ada seorang pun yang terjaga semasa kejadian. Akhirnya aku mengaku melihat pencuri-pencuri itu. Tidak lama kemudian polis berpakaian preman datang dan membuat soal-siasat. Aku ceritakan semuanya. Bila ditanya keadaan fizikal mereka aku berkata tinggi mereka seperti abang ini dan gempal mereka seperti abang itu. Tapi saya beritahu juga yang mereka bukan pelajar asrama. Bila polis balik aku ditegur oleh seorang senior Munshi kerana membandingkan ketinggian dan susuk badan pencuri-pencuri itu dengan beberapa abang senior. Ini boleh menjadikan mereka suspek, katanya. Manalah aku tahu, aku cuma jawab apa yang aku tahu. Umur aku baru baru 12 tahun lebih. Kes itu akhirnya ditutup kerana tidak ada tangkapan yang dibuat.

Tidak lama selepas itu satu malam aneka ragam diadakan. Meriah sekali majlis itu. Semasa aku sekolah rendah sesatunya majlis waktu malam yang aku sertai ialah ihtifal sekolah agama. Dalam pertandingan nyanyian setiap peserta perlu menyampaikan dua lagu. Satu lagu moden dan satu lagi lagu langgam (asli). Seingat aku semua peserta tidak kira lelaki atau perempuan membawa lagu "Patah Hati" sebagai lagu langgam. Abang Jaafar Baba yang masuk bertanding membawa lagu "Seri Serawak" dan dia menang.

Di bulan April juga kami dibenarkan melawat tapak SMS Melaka yang terletak di atas sebuah bukit setinggi 400 kaki di Ayer Keroh. Kami begitu teruja menaiki bukit dan bila sampai di tapak bangunan yang  hampir siap, kami melihat pemandangan yang sangat indah. Dari situ kami boleh melihat seluruh Bandar Melaka,  kawasan pantai, Pulau Besar dan Gunung Ledang. Tidak lama selepas itu kami diberitahu oleh Encik Mahpor Baba, Pengarah Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh bahawa kami akan berpindah ke tapak kekal kami di Ayer Keroh pada 1 Mei iaitu semasa cuti Hari Buruh.


30 Septembar 2013
Bukit Bendera Resort
Mentakab




Sunday 29 September 2013

MOZAC: SAMBUNGAN 3

Jadual pelajar-pelajar SMS Melaka di SMMA (lebih dikenali sebagai Sekolah Munshi) hampir sama setiap hari. Bangun pagi solat subuh berjemaah, kemudian bersiap-siap berpakaian sekolah. Masa itu uniformnya kemeja putih lengan pendek dan seluar pendek berwarna putih juga. Selepas itu kami turun bersarapan di dewan makan. Telur rebus dihidangkan setiap hari. Ini suatu nikmat yang tidak pernah dirasai semasa di rumah. Lepas itu kami bersekolah sampai tengahari dan makan tengahari di dewan makan semula. Waktu petang kami berehat sebelum turun bermain di padang selepas minum petang di dewan makan tadi. Itu pun suatu nikmat juga untuk budak kampung seperti aku.

Sewaktu berehat selepas makan tengahari dan solat zuhur aku sering duduk di tepi tingkap asrama memerhatikan pancaragam SMMA berlatih di padang. Masih terngiang-ngiang di telingaku mereka memainkan lagu "Hamidah" ciptaan P.Ramlee. Sungguh mengasyikkan melihat kakak-kakak senior meniup rekorder sambil berkawad.

Waktu bersukan, permainan yang lazim ialah bolasepak, basketball dan ping pong. Aku memang tak pandai bermain menggunakan kaki. Kaki bangku kata orang. Tapi aku agak baik bermain menggunakan tangan seperti badminton, ping pong, basketball dan volleyball. Walau bagaimanapun disebabkan jumlah kami yang ramai susah kami bergilir-gilir bermain ping pong dan badminton. Lebih menjengkelkan ialah senior-senior memperkenalkan peraturan "winners stay" yakni yang kalah keluar dan yang menang kekal bermain lagi dalam gelanggang. Mana hati tak sakit, asyik-asyik orang itu juga yang main sampai rosak shuttlecock atau pecah bola pingpong! Main bola tak pandai, main hoki takut kena rembat, main court games asyik kena "losers out", akhirnya aku dan beberapa kawan-kawan duduk-duduk saja tepi padang melihat perangai orang.

Di awal tahun ada temasya sukan pelbagai permainan antara sekolah. Kami menjadi penyokong tegar SMMA. Tahun1976 SMMA cemerlang dalam bolasepak sehingga sampai peringkat separuh akhir  negeri Melaka. Aku masih ingat kehebatan abang Gapam. Entah apa namanya tapi dipanggil Gapam sempena kampung kelahirannya.

Kami juga diwajibkan berlari merentas desa. Kami akan berpusing padang sekolah kemudian berlari di luar sekolah melalui beberapa kampung. Di penghujung trek kami akan merentasi sebuah jirat cina yang besar sebelum memasuki kawasan sekolah semula. Kami ditakut-takutkan bahawa jirat itu "keras". Memamg ada kawan-kawan yang lemah semangat mengigau malam selepas merentas desa. Tapi budak-budak yang kuat semangat lain pula dibuat mereka. Mereka akan mencuri makan buah-buahan ibadat di kubur cina itu!

Setiap hari jumaat kami akan berjalan kaki bersolat jumaat di Kampung Sg Putat. Ia agak jauh juga dari sekolah. Waktu awal tahun cuaca memang panas dan daun-daun getah gugur menafikan kami teduhan daripada pancaran sinar matahari terik. Bila sampai masjid kami sering tertidur kerana letih dan imam masjid Sg Putat masa itu sangat tua. Aku ingat lagi cara dia memulakan khutbah. Dengan perlahan dia bangun dan berucap terketar-ketar, "Assalamu alaikummm warahmatullahi wabarakatuhhhhh". Dia mengambil masa hampir setengah minit menuturkan salam kepada jemaah!

1 April 1976 datang membawa kejutan. Kami pelajar SMS Melaka bangun pagi terpinga-pinga melihat muka masing-masing yang mengejutkan. Ada yang kena kena conteng dan disapu kapur. Kena lipstick pun ada. Bila kami pergi ke ampaian untuk mengambil baju yang disidai malam tadi kami tersentak melihat ada bra di situ.  Dari mana datangnya benda ni? kami bertanya sesama sendiri. Banyak juga pakaian yang hilang. Kejutan itu bertambah semasa kelas pendidikan jasmani di padang. Sebatang pokok yang daunnya luruh kerana cuaca panas telah kembali berdaun dalam semalaman sahaja. Entah siapa yang menyangkutkan seluar dalam, bra, panties dan pakaian-pakaian lain di ranting-ranting pokok itu. Bila angin bertiup kencang ramai pelajar yang bersenam di bawah menerima bahana! Di tepi padang atas suatu tebing, tulisan rentang yang dibina daripada batu-bata bertulis "ASRAMA MUNSHI" telah bertukar menjadi "ASMARA BERAHI". Macam-macam lagi keributan telah berlaku pada malam sebelumnya. Ada pelajar lelaki yang menceroboh asrama perempuan dan mencuri pakaian dalam di ampaian Asrama Puteri.

Hari itu perhimpunan tergempar diadakan bagi pelajar SMS Melaka dan  SMMA yang duduk asrama. Pengetua SMMA En Yahya Mayah telah berucap mengecam peristiwa April Fool tersebut. Aku tertanya-tanya kepada kawan-kawan apa maksud April Fool. Orang yang ditanya pun sama bodoh dengan yang menanya. Pak Yak (nama manja Pengetua Yahya Mayah) begitu kesal dan marah atas perbuatan yang keterlaluan itu. Beliau bukanlah seorang penutur yang fasih. Makin marah makin gagap dia. Pelajar-pelajar SMMA yang terlibat tersenyum sesama sendiri di belakang.

Wednesday 25 September 2013

MOZAC - SAMBUNGAN 2

Di sekolah Menengah Munshi Abdullah (SMMA) aku merasai kehidupan asrama buat kali pertama. Petang pertama kami beratur di luar dewan makan dan  ketua murid SMMA Mohamad Baro (kebetulannya berasal dari Kg RCB) memberi ucapan. Selepas itu ketua AJK makanan memaklumkan kami menu makan malam itu. Menu? itulah kali pertama aku mendengar perkataan itu!

Aku diletakkan di satu meja di mana terdapat seorang pelajar keturunan cina bernama Lim Chong Fong. Matanya sepet sekali. Aku jadi tidak berselera kerana dia makan menggunakan  jari dan bila dia menyentuh lauk-lauk dan sayuran aku merasa loya. Itulah kali pertama aku makan satu hidangan dengan orang cina. Tapi lama-kelamaan perasaan itu hilang.

SMMA hampir dengan lapangan terbang Batu Berendam. Pada "outing" pertama di hari Sabtu aku dan beberapa kawan berjalan kaki beberapa batu menunggu kapal terbang jenis Fokker Friendship turun mendarat dan berlepas. Kalau tidak silap hanya dua kali sehari kapal terbang MAS itu mendarat.

Dalam perjalanan balik kami singgah di sebuah kilang roti tidak jauh dari sekolah. Hajat aku untuk membeli roti manis yang tengahnya berisi mentega terbantut bila melihat towkay cina yang membelah roti sambil menyapukan mentega itu hanya memakai seluar pendek dan singlet. Dia berpeluh-peluh dan aku merasa loya bila melihat bulu ketiaknya yang panjang.

Dalam bilik yang dipanggil "dorm" (singkatan dormitory) kami pelajar SMS Melaka dikumpulkan dalam blok yang sama. Setiap dorm mengandungi lebih kurang 10 orang kerana kami disediakan katil setingkat (kalau dua tingkat dipanggil double decker). Pelajar lelaki ditempatkan di Asrama Putera dan pelajar perempuan di Asrama Puteri yang terletak seberang padang. Kami dipantau oleh beberapa penuntut tingkatan enam. Ini untuk mengelakkan perbuatan buli yang disebut "ragging".

Tidak ada siapapun yang suka kena ragging. Pelajar-pelajar baru akan disuruh melakukan perbuatan-perbuatan yang tak masuk akal. Aku disuruh duduk bawah katil dan tangkap nyamuk. Kawan aku namanya Rafie disuruh membilang angka dengan menambahkan "tart" di hujungnya. Jadi dia akan kira satu tart...dua tart..tiga tart...dan seterusnya. Bila sampai lapan tart  dia diherdik kerana dikatakan mencarut! Semasa tidur ada senior nakal yang menjadikan katil single decker kepada double decker. Esoknya ramai yang bangun dan terhantuk katil di atas.
Tidak semua pelajar baru mengikut arahan-arahan yang tidak masuk akal ini. Seorang daripadanya ialah Nasiruddin Kamarudin, anak seorang pengetua sekolah. Atas kedegilannya dia dipanggil "kepala batu". Lama kelamaan dia dipanggil "Batu". Nama itu kekal kepada kami sehingga kini.

Warden kami yang pertama ialah Cikgu Mohd Rani Mokhtar. Dia dibenci oleh pelajar-pelajar SMMA kerana sikapnya yang tegas dan terlalu melindungi kami daripada SMS Melaka. Dia juga sangat garang kepada kami. Dia mengajar Bahasa Malaysia tapi mengikut katanya dia dilatih sebagai guru matematik semasa di maktab. Sebelum datang ke SMS Melaka dia bertugas di SMS Pahang. Masa yang dia selalu naik angin ialah semasa membayar duit tuntutan perjalanan baling kampung. Pantang silap kira, ada saja pelajar yang kena tampar atau jerkah. Azahari Husin yang tinggal di Bukit Baru selalu menjadi bahan ketawa kami sekarang kerana membuat tuntutan juga walaupun jarak rumahnya dengan sekolah dekat sangat. Cikgu Rani akan melaung nama dan jumlah tuntutan kami. Kepada Azahari dia akan melaung, "Azahari Husin...Bukit Baru...40 sen!"

Di tepi Asrama Putera ada sebuah gelanggang basketball. Di situ kami selalu terlihat pelajar lelaki SMMA yang tidak membawa pakaian senaman disuruh membuka seluar sekolah dan bermain basketball dengan seluar dalam sahaja. Guru senaman itu berketurunan cina. Atas ketegasannya yang agak tidak munasabah itu dia digelarkan "komunis" oleh pelajar-pelajar SMMA.

Lazimnya kami dibenarkan balik ke rumah sebulan sekali tetapi baru dua minggu bersekolah di SMMA kami mendapat cuti mengejut yang menyedihkan. Kami mendapat cuti khas dua hari kerana Perdana Menteri Tun Abdul Razak meninggal dunia di London pada 14 Januari 1976. Semua pelajar SMS Melaka balik kampung.

Itulah kali pertama aku balik sendiri ke kampung menaiki bas. Sampai di Kg RCB aku berjalan kaki kira-kira tiga batu untuk sampai rumah di Paya Lebar. Riuh aku menceritakan pengalamanku di asrama kepada emak.


Monday 23 September 2013

MOZAC : SAMBUNGAN 1

Sekolah ugama di dekad 1970an tidak ditadbir dengan baik. Sekolah Agama Sultan Muhammad (bagi lelaki) dan Sekolah Agama Sharifah Rodziah, Teluk Mas (bagi perempuan) menghadapi banyak masalah. Sebab paling besar, kedua-dua sekolah ini ditadbir oleh kerajaan negeri. Negeri Melaka bukanlah kaya ketika itu. Encik Ghafar Baba semasa Timbalan Perdana Menteri pernah menyatakan bahawa semasa beliau Ketua Menteri Melaka di tahun 1960an, pendapatan negeri Melaka hanya 5 juta setahun! Jadi boleh dibayangkan berapa banyak yang boleh disalorkan kepada sekolah agama dan program  keagamaan. Dalam satu majlis ihtifal di sekolah agama rakyat kampungku, aku masih ingat Datuk Abdul Ghani Ali, Ketua Menteri ketika itu membuat penafian keras bahawa hadiah johan musabaqah Al-Quran negeri Melaka pada tahun itu cuma menerima hadiah tunai RM 50 seperti yang digembar-gemburkan oleh media.

Atas sebab itu bapaku "menasihatkan" aku menerima tawaran ke Sekolah Menengah Sains (SMS) Kuala Pilah. Ini bermakna aku mengikuti jejak langkah abang-abang tuaku yanglebih dahulu terpilih ke sekolah berasrama penuh. Abang Moslim ke Sekolah Alam Shah, Abang Khalid ke Sekolah Dato Abdul Razak (SDAR) dan Abang Idham ke SMS Johor di Keluang.

Walau bagaimanapun di akhir tahun 1975 semasa aku dalam darjah enam, surat arahan diterima supaya aku mendaftar di Sekolah Munshi Abdullah di Batu Berendam, Melaka. SMS Melaka tidak jadi menumpang di SMS Kuala Pilah. Sebenarnya batch pertama SMS Melaka telah wujud tiga tahun sebelum itu. Ia adalah batch pertama di mana abang Idham tergolong dalamnya. Batch pertama ini menumpang di SMS Johor di Keluang dan mereka dijangka akan menyertai batch aku di SMS Melaka Air Keroh sebagai batch tingkatan empat.

Pada 3 Januari 1976 aku dibawa oleh bapak mendaftar di Sekolah Munshi Abdullah. Dari kampung RCB kami menaiki bas Patt Hup hingga ke stesen bas Melaka dan menaiki bas Batang Melaka ke Batu Berendam. Aku begitu teruja sekali sepanjang perjalanan. Aku menyertai 120 pelajar-pelajar terpilih seluruh negeri Melaka untuk melakar sejarah sebagai batch pertama (secara rasmi) SMS Melaka.

Sejarah ini terlakar kerana Kementerian Pelajaran tidak jadi membawa pulang pelajar-pelajar SMS Melaka di Keluang. Menurut kata Encik Mahpor Baba, Pengarah Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh semasa datang menziarahi kami di Sekolah Munshi Abdullah, sebab utama ialah batch pertama tadi telah selesa di sana dan kementerian tidak mahu memisahkan mereka dengan rakaan-rakan sekolah di SMS Johor. Untuk mengatasi masalah kekosongan tingkatan empat, kementerian telah menawarkan tempat-tempat itu sebahagian besarnya kepada penuntut-penuntut cemerlang Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dari Negeri Johor. Ini untuk mengimbangi batch asal di Keluang yang rata-ratanya orang Melaka.

Abangku Idham dan sepupuku Aziz merasa sangat hampa kerana mereka telah menunggu tiga tahun untuk kembali ke Melaka. Mereka tidak lagi dikira sebagai pelajar SMS Melaka sebaliknya status mereka telah ditukar terus sebagai pelajar SMS Johor.

Tetapi batch pertama tingkatan empat tidak menyertai kami di Sekolah Munshi Abdullah. Mereka hanya menyertai kami beberapa bulan kemudian apabila bangunan SMS Air Keroh siap dibina.

Kami batch pertama tingkatan satu menumpang di Sekolah Munshi Abdullah selama empat bulan. Bagi aku ia adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Insya Allah ia akan aku ceritakan selepas ini.


Sunday 22 September 2013

SEKOLAH MUZAFFAR SYAH (MOZAC)

Tahun 1974 aku menduduki Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Darjah 5 dan berjaya dengan agak cemerlang juga. Kalau tak silap semua dapat A kecuali Bahasa Inggeris. Tahun hadapannya  aku  menduduki peperiksaan sekolah ugama rakyat seluruh negeri Melaka. Ikut sistem sekolah ugama masa itu, darjah enam sekolah kebangsaan sama dengan darjah 3 sekolah ugama kerana pengajian sekolah ugama bermula semasa pelajar-pelajar sekolah kebangsaan dalam darjah empat. Dalam peperiksaan sekolah-sekolah ugama itu aku diberitahu bahawa aku dapat tempat ketiga daripada seluruh calon negeri Melaka.

Hasil daripada kejayaan dalam kedua-dua peperiksaan itu aku mendapat dua tawaran untuk melanjutkan pengajian sekolah menengah di dua buah sekolah berasrama.

Tawaran pertama ialah memasuki sekolah berasrama penuh di Sekolah Menengah Sains Melaka bertempat (menumpang) di Sekolah Menengah Sains Negeri Sembilan di Kuala Pilah.

Tawaran kedua pula untuk memasuki Sekolah Menengah Ugama Sultan Muhammad di Batu Berendam Melaka.

Aku minat untuk masuk sekolah ugama. Minat ini timbul kerana aku sangat cemerlang semasa di sekolah agama rakyat. Dari darjah satu sampai darjah tiga aku mendapat tempat pertama dalam setiap peperiksaan penggal. Aku disayangi oleh oleh semua guru iaitu Ustazah Latifah (guru Darjah 1) , Ustaz Hashim (guru Darjah 2) dan Haji Aminuddin (pengetua dan guru Darjah 3). Aku juga menang pertandingan syarahan dan lain-lain pertandingan semasa majlis ihtifal setiap tahun.

Namun, hajat aku untuk masuk sekolah ugama tidak kesampaian.

BERSAMBUNG


Friday 20 September 2013

PERIHAL KG RCB MELAKA



Menurut cerita yang aku dengardaripada orang-orang tua,  Kg Ramuan China Besar  (Kg RCB) mendapat namanya yang pelik itu daripada sekumpulan orang Cina yang datang membalak dan meneroka hutan yang sekarang ini dikenali sebagai Kg Ramuan China Besar, Kg Ramuan China Kechil dan Kg. Lubuk China (saya kekalkan di sini ejaan asal).

Pembalak-pembalak Cina ini naik di satu pengkalan sungai yang sekarang dikenali sebagai Pengkalan Balak berhampiran Kuala Sungai Baru. Mereka bergerak ke suatu kawasan dan menemui banyak kayu kayan yang bercampur-campur (ramuan). Ada pokok yang kecil dan ada yang besar tetapi pokok yang besar lebih banyak. Maka dinamakan Ramuan China Besar. Apabila mereka meneroka hutan bersebelahan kawasan tadi mereka menemui ramuan kayu kayan tetapi kayu (pokok) yang kecil lebih banyak. Maka dinamakan Ramuan China Kechil. Selepas berhari-hari membalak kumpulan pembalak cina ini bergerak ke utara dan menemui satu lubuk (paya) yang besar. Mereka berehat di sini dan menangkap ikan. Maka dinamakan tempat ini Lubuk China.

Tidak dapat dipastikan bila Kg RCB, Kg RCK dan Kg Lubuk China dibuka atau lebih tepat, ditemui oleh pembalak-pembalak cina tersebut. Tidak terdapat juga catatan sejarah yang resmi yang boleh memberi kesahihan kepada cerita tersebut. Tapi bukankah negeri Melaka sendiri kononnya mendapat nama daripada cerita lisan anjing-anjing Parameswara ditendang kancil di bawah pokok melaka? Jadi, tanpa wujudnya versi lain maka saya kira versi yang saya dengar tadi adalah munasabah dan boleh diterima. Aku mendapat pengesahan tentang cerita pembukaan Kg RCB ini daripada bapa saudaraku Cikgu Lani bin Lasim. Beliau adalah seorang yang dihormati di Kg RCB dan masih hidup dan sihat sekarang. Aku tidak ada sebab mengapa aku tidak boleh mempercayai cerita beliau.

Tidak ada kepastian tentang masa pembukaan Kg RCB tetapi Cikgu Lani menganggarkan ianya berlaku kira-kira dua ratus tahun lepas. Aku pernah bertanya kepada arwah bapaku tentang keturunan kami dan beliau berkata "moyang kau datang dari Sumatra". Bapaku menyebut beberapa nama tempat seperti Minangkabau, Paya Kumboh, Tanjung Pagar dan lain-lain. Ini beliau dengar terus secara lisan bukannya kata atas kata (hearsay). Aku sendiri suka membaca tulisan-tulisan di atas batu nesan lama di kawasan perkuburan kampungku. Kubur-kubur lama yang bertarikh sekitar perang dunia pertama (1914-1918) masih boleh ditemui di suatu sudut di mana ditemui batu-batu nesan yang usang dengan bentuk yang unik. Bapaku lahir sekitar 1922 dan beliau sempat bertemu moyangku iaitu datuknya. Jadi boleh aku simpulkan bahawa moyangku datang di pertengahan atau di penghujung abad ke 19. Kalau kita baca Hikayat Abdullah yang ditulis di awal abad ke 19 dan disokong oleh peta lama Melaka yang dilakar di pertengahan abad ke 19 di mana nama Sempang ( Masjid Tanah), Pengkalan Balak dan Sungei Baru ada dicatatkan maka aku membuat kesimpulan bahawa versi pembukaan Kg RCB dalam anggaran masa 200 tahun itu adalah munasabah dan boleh diterima.

Walaupun Kg RCB ini terletak dalam negeri Melaka, hampir kesemua penduduknya bertutur mengikut loghat Negeri Sembilan. Adat istiadat Minang diamalkan secara turun temurun walaupun generasi sekarang tidak lagi peka kepada peraturan sosial dan budaya Minang yang diamalkan oleh bapa dan datuk mereka dahulu.

Semasa aku kecil (1960an -1970an) hampir semua penduduknya bekerja sebagai penoreh getah, pesawah padi, nelayan sungai, penebang bakau dan ada juga yang bekerja sebagai guru sekolah kebangsaan,  guru sekolah ugama rakyat, askar, polis, posman, pemandu teksi atau kereta persendirian (dipanggil kereta prebet sapu). Dalam banyak-banyak pekerjaan itu gurulah yang paling dihormati, berprestij dan rapat di hati orang-orang kampung. Ramai guru aktif berpolitik dan hampir semuanya bergiat dalam UMNO.

Petaling Jaya
21 September 2013

Thursday 19 September 2013

Rahsia di sebalik "Asal Nama Kampung Ramuan China Besar"

Aku dilahirkan di Kampung Ramuan China Besar (Kg RCB) yang terletak di bawah daerah Alor Gajah di negeri  Melaka. Bandar yang paling hampir dengan Kg RCB ialah Masjid Tanah. Kepada kami penduduk-penduduk Kg RCB, Pekan Masjid Tanah dahulunya dipanggil "Simpang". Namun lama kelamaan nama "Simpang" ini hilang dan sekarang nama Masjid Tanah lebih kerap digunakan. Beberapa tahun lalu ketika aku bekerja di Jabatan Peguam Negara aku terlihat peta lama negeri Melaka yang digantung di Bahagian Antarabangsa. Aku mencari-cari nama Masjid Tanah tetapi tidak jumpa. Yang ada ialah  "Sempang". Maknanya "Simpang" atau "Sempang" ialah nama asal bagi Masjid Tanah.

Kepada ramai orang luar nama Kg RCB ini memang unik. Ramuan China Besar. Seorang kawan aku menterjemahkannya kepada bahasa Inggeris sebagai "Big Chinese Ingredients". Hahaha, memang lucu sekali. Bersebelahan utara Kg RCB pula ialah Kg RCK. Ya, Kampung Ramuan China Kecil. "Small Chinese Ingredients". Di utara Kg RCK ialah pekan Lubuk China. Apa yang menghairankan orang-orang Cina boleh dibilang dengan jari di tiga-tiga kampung yang sama-sama meminjam nama tersebut.

Tidak ramai penduduk Kg RCB, Kg RCK dan Kg Lubuk China yang tahu bagaimana nama kampung-kampung ini tercipta.

Semasa aku dalam darjah empat di bangku sekolah rendah, sebuah artikel pendek berjodol "Asal Nama Kampung Saya" oleh Sabirin Jaafar telah tersiar dalam majalah Dewan Pelajar terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Betapa kembangnya aku ketika guru besar Cikgu Mohd Ali mengumumkannya semasa perhimpunan. Aku dipanggil ke pejabat guru besar dan Cikgu Mohd Ali memuji-muji aku lagi. Dia membacakan surat dari DBP yang memaklumkan aku menerima langganan percuma majalah Dewan Pelajar selama setahun. Aku sedikit kecewa kerana aku menjangka akan dapat sedikit bayaran. Namun rasa bangga terus menguntum di hati. 

Semasa di sekolah rendah aku adalah pelajar terbaik. Dari darjah satu sampai darjah enam aku kerap sangat mendapat tempat pertama dalam peperiksaan penggal. Seingat aku hanya tiga kali saja aku dapat tempat kedua atau ketiga, yang lainnya nombor satu belaka. Jadi kawan-kawan lain tidak hairan bila nama aku dijulang oleh guru besar. Aku seorang saja yang berasa hairan. Kerana aku tidak pernah menulis artikel itu!

Sebenarnya artikel itu ditulis oleh abangku Md. Zin. Disebabkan dia telah masuk sekolah menengah dan merasakan artikel itu sesuai ditulis oleh pelajar sekolah rendah, dia telah menggunakan nama aku sebagai ganti nama dia sendiri.

Ini betul-betul kesah "Lembu punya susu, sapi dapat nama".

Namun kesan peristiwa ini sangat mendalam kepada diriku. Minatku kepada menulis, mengarang dan membaca buku-buku cerita naik melonjak. Bila bersekolah menengah hingga ke universiti aku selalu masuk pertandingan menulis dan seringkali menang.

Dalam pertandingan karangan sempena Hari Belia Sedunia pada tahun 1985 artikel yang aku tulis menang tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di peringkat Serantau Asia Tenggara. Aku dapat hadiah wang tunai RM 2500. Itu jumlah yang besar masa itu terutama kepadaku sebagai seorang siswa UIA di tahun dua. Aku menerimal hadiah daripada Dr Mahathir Mohamed, Perdana Menteri Malaysia di hadapan hampir 20,000 orang di Stadium Negara.

Semasa di universiti juga aku selalu menulis artikel dalam majalah dan suratkhabar. Aku pernah tulis sebuah novel dan sebuah penerbitan bersedia menerbitkannya dengan syarat aku membuat atau meminda satu bab. Aku tidak bersetuju dan manuskrip itu tidak pernah diterbitkan dan ia telah hilang daripada simpananku.

Sampai sekarang kalau ditanya secara jujur, aku suka jadi apa? Aku akan menjawab secara jujur bahawa aku ingin jadi penulis dan terkenal sebagai seorang pengarang.

Bagaimana Kg RCB mendapat namanya akan aku ceritakan selepas ini.

Menara Razak
20 September 2013

Wednesday 18 September 2013

Barang Yang Lepas Mesti Dikenang

Pada 16 Julai lalu genaplah usia aku 50 tahun. Itu mengikut kalendar masehi. Sudah tentu usia aku lebih 50 jika dikira secara takwim hijrah. Aku menyambut hari jadi yang signifikan ini tanpa sebarang sambutan yang istimewa. Aku sekadar pergi kedai gambar dan ambil gambar wajah sendiri dan masukkan dalam Facebook. Saja nak suka-suka tengok rupa paras sendiri di usia 50 tahun. Rasa nak ketawa juga bila bandingkan wajah sekarang dengan rupa paras semasa sekolah rendah, masa sekolah menengah, masa di universiti, masa bekerja dan semasa pencen daripada perkhidmatan awam dua tahun lepas. Ternyata ada perbezaan. Memang aku sudah berusia 50 tahun!

Apabila ditilik secara serius aku merasa agak kecewa. Umur aku dah 50 tahun tapi apakah sumbangan aku kepada masyarakat? tak ramai pun orang mengenali aku. Yang kenal ialah keluarga terdekat, sanak saudara, rakan-rakan sekolah, universiti dan kawan pejabat, surau dan persatuan kecil yang aku anggotai. Tak lebih daripada itu! Aku memang tak mahu jadi terkenal apatah lagi untuk jadi selebriti. Tak terlintas langsung! Tapi nama itu penting sebagai kayu ukur sumbangan kita kepada masyarakat.

Aku tilik nama-nama besar Malaysia daripada pelbagai latar. Tun Razak, P.Ramlee, Sudirman, Usman Awang, Najib Razak, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Latif Mohidin, Ahmad Jais, Maya Karin, Rosyam Noor, A.R.Badul, Sharifah Aini, Siti Norhaliza, Syed Mokhtar Al Bukhary, Azman Hashim, Vincent Tan, Tony Fernandez, Ungku Aziz, Muhammad Kamal Hasan, Zaini Ujang, Lat, dan beratus-ratus nama lain yang berlegar dalam otakku. Mereka semua adalah tokoh-tokoh yang telah memberi sumbangan dalam bidang masing-masing sejak daripada usia yang muda. Sejak muda lagi mereka telah dikenali dalam bidang-bidang yang mereka pilih dan mereka ungguli. Mereka telah mengukir nama sebelum mencecah umur 50 tahun.

Sumbangan mereka akan terus dikenang kerana pencapaian mereka telah direkodkan. Direkodkan dalam pelbagai media dan saluran. Anak cucu mereka nanti akan berbangga kerana datuk dan nenek mereka orang terbilang.

Aku juga ingin merekodkan sesuatu untuk dikenang oleh anak cucu aku nanti. Kalau nasib baik aku mungkin dikenang oleh masyarakat ramai lebih jauh ke hadapan. Mungkin dalam seratus atau dua ratus tahun ke hadapan. Mana tahu dalam seratus atau dua ratus tahun nanti orang akan mengenang sesuatu melalui pengalaman diriku. Pengalaman hidup seorang yang tidak terkenal dan tidak mahu dikenal semasa hayatnya. Aku mungkin boleh jadi Abdullah Bin Abdul Kadir Munsyi atau lebih dikenali sebagai Munshi Abdullah. Bagiku dia adalah seorang genius di zamannya dan hasil tulisannya lebih 200 tahun dahulu menjadi sumber rujukan yang sangat berharga sekarang. Tulisannya biasa sahaja yang merupakan catatan dan komen-komen peribadi beliau. Tetapi beliau telah merakamkan beberapa peristiwa penting di zamannya. Perkenalan beliau dengan Stamford Raffles, pembukaan Singapura moden, pertukaran kuasa aantara Belanda dan Inggeris di Melaka, pemusnahan kota A Famosa dan lain-lain. Tanpa tulisan Munshi Abdullah apa yang tinggal cuma tarikh-tarikh sejarah yang kering dan membosankan. Munshi Abdullah telah menjelmakan semula suasana lampau di hadapan kira sekarang.

Aku seperti juga ribuan yang lain telah melalui zaman kami sendiri. Aku ada komen tersendiri terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekelilingku. Aku ingin mencatatnyan dalam blog ini. Aku mahu suatu hari nanti anak cucu aku dapat mengenali aku melalui apa yang aku lakarkan di sini. Itu saja yang aku mampu tinggalkan kepada mereka untuk dibuat teladan.

Pantun Melayu ada mengatakan "Asal kapas menjadi benang; dari benang dibuat kain; Barang yang lepas jangan dikenang, sudah menjadi hak orang lain.". Seniman ulung P.Ramlee ada mendendangkan lagu dengan rangkapnya berbunyi "Barang yang lepas hai jangan dikenang, kalau dikenang merosak hati". Aku sama sekali tidak bersetuju dengan pantun dan lagu tersebut. Bagi aku semua barang yang lepas mesti dikenang. Kita tidak mengenang barang yang lepas untuk menangisi atau meratapi sesuatu kekalahan, kekecewaan atau kegagalan. Sebaliknya peristiwa-peristiwa itu mesti dikenang untuk dibuat pengajaran dan teladan. Kalau peristiwa itu suatu kemenangan pun kita perlu mengenangnya dalam persepsi yang berbeza. hanya dengan cara ini kita dapat bersikap adil kepada pelaku-pelaku sesuatu peristiwa dan menghargai kesukaran-kesukaran yang mereka telah lalui.

Aku harap coretan-coretan aku akan memberi manfaat kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Aku akan menulisnya sedikit demi sedikit bila mana Allah menganugerahi aku kelapangan masa dan kejernihan fikiran supaya aku dapat menukilkannya secara tenang dan tidak dicacatkan oleh emosi.


Menara Razak 

19 September 2013