Wednesday, 18 September 2013

Barang Yang Lepas Mesti Dikenang

Pada 16 Julai lalu genaplah usia aku 50 tahun. Itu mengikut kalendar masehi. Sudah tentu usia aku lebih 50 jika dikira secara takwim hijrah. Aku menyambut hari jadi yang signifikan ini tanpa sebarang sambutan yang istimewa. Aku sekadar pergi kedai gambar dan ambil gambar wajah sendiri dan masukkan dalam Facebook. Saja nak suka-suka tengok rupa paras sendiri di usia 50 tahun. Rasa nak ketawa juga bila bandingkan wajah sekarang dengan rupa paras semasa sekolah rendah, masa sekolah menengah, masa di universiti, masa bekerja dan semasa pencen daripada perkhidmatan awam dua tahun lepas. Ternyata ada perbezaan. Memang aku sudah berusia 50 tahun!

Apabila ditilik secara serius aku merasa agak kecewa. Umur aku dah 50 tahun tapi apakah sumbangan aku kepada masyarakat? tak ramai pun orang mengenali aku. Yang kenal ialah keluarga terdekat, sanak saudara, rakan-rakan sekolah, universiti dan kawan pejabat, surau dan persatuan kecil yang aku anggotai. Tak lebih daripada itu! Aku memang tak mahu jadi terkenal apatah lagi untuk jadi selebriti. Tak terlintas langsung! Tapi nama itu penting sebagai kayu ukur sumbangan kita kepada masyarakat.

Aku tilik nama-nama besar Malaysia daripada pelbagai latar. Tun Razak, P.Ramlee, Sudirman, Usman Awang, Najib Razak, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Latif Mohidin, Ahmad Jais, Maya Karin, Rosyam Noor, A.R.Badul, Sharifah Aini, Siti Norhaliza, Syed Mokhtar Al Bukhary, Azman Hashim, Vincent Tan, Tony Fernandez, Ungku Aziz, Muhammad Kamal Hasan, Zaini Ujang, Lat, dan beratus-ratus nama lain yang berlegar dalam otakku. Mereka semua adalah tokoh-tokoh yang telah memberi sumbangan dalam bidang masing-masing sejak daripada usia yang muda. Sejak muda lagi mereka telah dikenali dalam bidang-bidang yang mereka pilih dan mereka ungguli. Mereka telah mengukir nama sebelum mencecah umur 50 tahun.

Sumbangan mereka akan terus dikenang kerana pencapaian mereka telah direkodkan. Direkodkan dalam pelbagai media dan saluran. Anak cucu mereka nanti akan berbangga kerana datuk dan nenek mereka orang terbilang.

Aku juga ingin merekodkan sesuatu untuk dikenang oleh anak cucu aku nanti. Kalau nasib baik aku mungkin dikenang oleh masyarakat ramai lebih jauh ke hadapan. Mungkin dalam seratus atau dua ratus tahun ke hadapan. Mana tahu dalam seratus atau dua ratus tahun nanti orang akan mengenang sesuatu melalui pengalaman diriku. Pengalaman hidup seorang yang tidak terkenal dan tidak mahu dikenal semasa hayatnya. Aku mungkin boleh jadi Abdullah Bin Abdul Kadir Munsyi atau lebih dikenali sebagai Munshi Abdullah. Bagiku dia adalah seorang genius di zamannya dan hasil tulisannya lebih 200 tahun dahulu menjadi sumber rujukan yang sangat berharga sekarang. Tulisannya biasa sahaja yang merupakan catatan dan komen-komen peribadi beliau. Tetapi beliau telah merakamkan beberapa peristiwa penting di zamannya. Perkenalan beliau dengan Stamford Raffles, pembukaan Singapura moden, pertukaran kuasa aantara Belanda dan Inggeris di Melaka, pemusnahan kota A Famosa dan lain-lain. Tanpa tulisan Munshi Abdullah apa yang tinggal cuma tarikh-tarikh sejarah yang kering dan membosankan. Munshi Abdullah telah menjelmakan semula suasana lampau di hadapan kira sekarang.

Aku seperti juga ribuan yang lain telah melalui zaman kami sendiri. Aku ada komen tersendiri terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekelilingku. Aku ingin mencatatnyan dalam blog ini. Aku mahu suatu hari nanti anak cucu aku dapat mengenali aku melalui apa yang aku lakarkan di sini. Itu saja yang aku mampu tinggalkan kepada mereka untuk dibuat teladan.

Pantun Melayu ada mengatakan "Asal kapas menjadi benang; dari benang dibuat kain; Barang yang lepas jangan dikenang, sudah menjadi hak orang lain.". Seniman ulung P.Ramlee ada mendendangkan lagu dengan rangkapnya berbunyi "Barang yang lepas hai jangan dikenang, kalau dikenang merosak hati". Aku sama sekali tidak bersetuju dengan pantun dan lagu tersebut. Bagi aku semua barang yang lepas mesti dikenang. Kita tidak mengenang barang yang lepas untuk menangisi atau meratapi sesuatu kekalahan, kekecewaan atau kegagalan. Sebaliknya peristiwa-peristiwa itu mesti dikenang untuk dibuat pengajaran dan teladan. Kalau peristiwa itu suatu kemenangan pun kita perlu mengenangnya dalam persepsi yang berbeza. hanya dengan cara ini kita dapat bersikap adil kepada pelaku-pelaku sesuatu peristiwa dan menghargai kesukaran-kesukaran yang mereka telah lalui.

Aku harap coretan-coretan aku akan memberi manfaat kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Aku akan menulisnya sedikit demi sedikit bila mana Allah menganugerahi aku kelapangan masa dan kejernihan fikiran supaya aku dapat menukilkannya secara tenang dan tidak dicacatkan oleh emosi.


Menara Razak 

19 September 2013


2 comments:

  1. Ya ..itulah azimat pak yah yang jadi amal jariah kepada Allahyarham insya Allah

    ReplyDelete