Sunday 13 October 2013

MOZAC AYER KEROH 1

1 Mei 1976 ialah hari yang ditunggu-tunggu. Kami mengucapkan selamat tinggal kepada abang-abang senior di Sekolah Munshi. Rasa sedih berbaur girang. Lebih kurang pukul 10 pagi abang iparku Mohd Hata (kami adik beradik memanggilnya Abang Long) datang dengan motosikal vespanya membawa aku pindah ke SMS Melaka. Perjalanan itu menyeronokkan. Dari Batu Berendam lalu Bukit Baru dan  Kampung Bukit Beruang sebelum sampai ke sekolah di atas puncak bukit di Ayer Keroh. Waktu itu pokok buah-buahan seperti rambutan dan bacang sudah mula berbunga dan pokok-pokok durian di kiri-kanan jalan di Kg. Bukit Beruang sudah berputik. Sepanjang perjalanan aku menghidu udara segar dan sekali sekala hidungku disapa bau harum bunga-bunga pokok buah-buahan. Ketika itu jalan raya tidak sesak.  Belum ada lebuhraya seperti sekarang. Jalan utama ke Ayer Keroh terhenti setakat Zoo Ayer Keroh sahaja. Kami sering mengatakan SMS Melaka masa itu umpama tempat jin bertendang.

Apabila Abang Long pulang aku berjalan ke segenap pelusuk sekolah bersama beberapa orang kawan. Sekolah itu baru saja siap dibina. Rumput baru ditanam. Padang sekolah yang terletak hampir seratus kaki di bawah asrama hampir keseluruhannya bogel tanpa rumput. Cuma ada setompok tempat yang lekuk di mana air bertakung dan rumput tumbuh panjang. Rumput lambat tumbuh kerana tanah asalnya telah dipotong daripada bukit. Yang tinggal tanah kelikir berwarna putih yang tidak subur. Seingat aku keadaan ini berterusan bertahun-tahun sebelum rumput memenuhi tanah. Tebing selalu runtuh dan akhirnya terpaksa disimen sebagai penahan.

Asrama lelaki terdiri daripada dua blok di puncak tebing bukit menghala jalan besar kira-kira 400 kaki di bawahnya. Asrama perempuan pula terletak selari dengan asrama lelaki tetapi kedua-duanya dipisahkan oleh dewan makan. Asrama perempuan terletak di tepi cerun yang bersempadanan dengan hutan. Tidak jauh dari asrama perempuan ada pos askar yang mengawal satu menara pemancar radio di puncak bukit. Ia tidak dapat dilihat daripada asrama itu kerana ia lebih tinggi dan diliputi hutan dara.

Bersetentangan dengan bangunan-bangunan asrama terdapat tiga blok sekolah. Di antara asrama dan sekolah terdapat dewan besar. Di hadapan dewan terdapat satu kawasan yang masih  kosong. Kemudiannya ia menjadi taman. Di belakang dewan ada hutan dara yang dipisahkan oleh satu jurang yang dalam. Di bawah jurang kelihatan pokok-pokok enau dan asam kelubi. Di belakang blok sekolah ada tangki air yang tinggi dan berpagar. Di tepi tangki air itu ada sabak pembakar sampah yang beserombong dibuat daripada batu-bata merah.

Kira-kira 100 kaki di bawah bangunan sekolah terdapat makmal seni perusaahaan. Kira-kira 100 kaki di bawahnya pula terletak padang sekolah. Terdapat dua  tangga simen yang tinggi menghubungkan bangunan sekolah dengan makmal seni perusahaan dan padang sekolah. Di bawah padang terdapat rumah Penolong Kanan  Cikgu Sairi Tahir dan di bawahnya pula rumah Pengetua Cikgu Yahya Mayah. Kedua-duanya ditukarkan dari Sekolah Munshi ke SMS Melaka bersama-sama kami.

Dari bawah bukit tepi jalan besar kami akan berjalan ke rumah pengawal di pangkal bukit. Seterusnya dengan menyusur jalan bertar yang menaik secara sedikit-sedikit (kadangkala curam juga) kami akan menemui rumah pengetua diikuti  rumah penolong kanan, padang sekolah, makmal seni perusahaan dan naik tangga sehingga sampai ke sekolah di puncak. Dengan berjalan kaki ia mengambil masa kira-kira setengah jam. Kami tidak pernah merasa letih kerana usia 13 tahun tidak mengenal lelah.

Hari pertama di SMS Melaka berlalu dengan pantas dan penuh keriangan. Selain pergi ke segenap penjuru sekolah ada juga yang lebih "adventurous"  menuruni lurah dan tebing tanpa menggunakan tangga. Aku dan beberapa orang kawan yang tidak puas dengan ketinggian sekolah di puncak bukit itu naik lebih tinggi dengan mendaki tangki air yang pagarnya tidak berkunci. Dari atas tangki air kami dapat melihat kawasan sekeliling. Rasanya seperti telah berjaya mendaki gunung. Kalau warden tahu tentu kami dimarahi.

Malam pertama di Ayer Keroh menimbulkan kebimbangan. Hanya kami daripada tingkatan satu yang ada di situ. Jumlah kami kira-kira 120 orang sahaja. Aku tidak pasti samada warden ada atau tidak.  Ada di kalangan kami yang datang daripada kawasan sekitar menceritakan bahawa puncak bukit itu adalah tempat tentera Jepun membunuh orang-orang Cina semasa Perang Dunia Kedua dahulu. Aku tidak pasti ia betul atau tidak. Apa yang pasti ramai kami ketakutan. Bila lampu dipadamkan kami berbual-bual bercerita itu dan ini menunggu mata layu. Tiba-tiba dari kejauhan terdengar jeritan siren dari kawasan kilang Ayer Keroh betul-betul seperti bunyi perempuan mengilai. Apa lagi, ramai yang terjun daripada katil double decker berkongsi katil dengan kawan-kawan di lower deck! Ada yang lebih penakut tidur tiga orang satu katil!