Wednesday 11 December 2013

MOZAC AYER KEROH 2 : MR STUART MATTHEWS

Beberapa minggu selepas kami pelajar-pelajar tingkatan satu pindah ke sekolah di Ayer Keroh kami disertai oleh pelajar-pelajar tingkatan 4 yang rata-ratanya datang dari Johor. Mereka menggantikan pelajar SMS Melaka di Keluang yang dikekalkan di sana. Sekolah atas bukit itu tambah meriah dengan kehadiran lebih seratus orang penuntut baru. Kami mula membuat adjustments  dengan adanya abang-abang tingkatan 4. Tingkatan 4 di bahagi kepada lima kelas. 4A1 dan 4A2 untuk pelajar aliran Inggeris dan 4A3, 4A4 dan 4A5 mengambil aliran Melayu.

Acara di dewan yang pertama ialah sambutan hari guru pada 16 Mei 1976 iaitu dua minggu selepas kami berpindah dari SM Munshi. Semua pelajar berdiri di dalam dewan mendengar ucapan dan melihat persembahan.

Seorang pelajar tingkatan satu, Amran Wahid (kami panggil dia Jepun sebab iras mukanya dan susuknya yang agak pendek) tampil menyanyikan lagu “Sealed with the Kiss”   tanpa mikrofon dan iringan muzik. Aku masih ingat Amran berjalan ke hadapan ke belakang atas pentas dan menggoyangkan tangannya sambil memelodikan..” Though we gotta say goodbye for the summer, baby I promise you this, I send you all my love, every day in a letter, sealed with a kiss….."

Seingat aku peralatan pertama yang dibeli oleh pihak sekolah ialah piano. Setiap perhimpunan piano ini akan dimainkan oleh seorang pelajar tingkatan 4 bernama Farah. Baru-baru ini semasa pertemuan batch pengasas SMS Melaka, aku diberitahu bahawa dia telah pulang ke rahmatullah. Al Fatihah.

Semasa kami berpindah ke Ayer Keroh, asrama puteri tidak berlangsir dan keadaan ini berterusan beberapa bulan. Pengetua Pak Yah menggunakan budi bicaranya membeli langsir untuk asrama puteri. Oleh kerana peralatan pengajaran sekolah masih banyak yang tidak lengkap langkah Pak Yah ini menjadi rungutan sebilangan guru. Seorang guru yang vocal ialah Cikgu Yaakob Sharif yang mengajar matematik. Dia orang kampong aku. Aku dengar cerita dia selalu membantah Pak Yah dalam mesyuarat-mesyuarat. Tahun hadapannya dia bertukar sekolah. Aku tak pasti sama ada dia minta tukar atau ditukarkan. Aku masih naïve ketika itu untuk memahami politik pentadbiran. Aku cuma tahu politik ini bila bekerja dengan kerajaan dua puluh tahun kemudian. Semua orang mesti toe the line atau out you go!

Lebih 90 peratus pelajar ketika itu datang dari kampung dan berketurunan Melayu. Guru-guru pula pelbagai keturunan. Selain Melayu, Cina dan India ada seorang cikgu Mat Saleh, namanya Mr Brian Ridley. Dia mengajar tingkatan 4. Menurut abangku Idham dia mengajar di SMS Keluang sebelum bertukar ke Melaka. Seingat aku cikgu Mat Saleh ni mengajar di SMS Melaka tidak sampai dua tahun. Selepas dia bertukar (atau pulang ke UK) ada dua orang cikgu Mat Saleh lain yang datang iatu Mr White dan Mr Stuart Matthews. Cikgu Mr White ini tidak lama di Ayer Keroh. Apa yang kami ingat ialah isterinya yang datang ke sekolah sekali sekala. Mrs White ini tidak melambangkan susuknya kerana dia wanita Afrika berkulit hitam. Pelajar-pelajar memanggilnya Mrs Black.

Aku tak pernah belajar di bawah Mr Brian Ridley atau Mr White tetapi aku sangat terhutang budi kepada Mr Stuart Matthews. Ini disebabkan jasanya mengajar aku bahasa Inggeris. Aku memang lemah subjek ini berbanding bahasa Melayu. Kelemahan ini aku bawa dari sekolah kebangsaan lagi. Persekitaran sekolah kampung tidak memungkinkan aku cemerlang dalam bahasa Inggeris. Tidak ada seorang pun yang boleh aku jadikan teman bertutur, bagaimana mungkin aku boleh fasih bahasa itu. Kekurangan ini menjadikan aku sedikit rendah diri.

Selepas tamat tingkatan dua pihak sekolah menyusun semula kelas bahasa Inggeris kepada lima set. Aku dan lain-lain pelajar lemah dilonggokkan dalam set 5 iaitu set yang paling corot. Pihak sekolah merasakan ini boleh meningkatkan prestasi pelajar yang lemah dengan memberikan lebih tumpuan kepada mereka. Tetapi kesan sebaliknya berlaku. Ramai di kalangan kami  bertambah rendah diri kerana dianggap lemah. Tindakbalas aku ialah “berkempen” kepada kawan-kawan lain “memboikot” penggunaan bahasa Inggeris dan mengejek kawan-kawan yang speaking. Kami tohmah bahawa mereka cakap bahasa penjajah! Sememangnya kami adalah batch pertama belajar satu aliran bahasa kebangsaan. Ia adalah dasar yang dimulakan oleh Tan Sri Abdul Rahman Yaakob, Menteri Pelajaran pada tahun 1970. Sebenarnya, semuanya ini dalih kami untuk menutup kelemahan diri. Namun segala-galanya berubah bila Mr Stuart Matthews datang ke SMS Ayer Keroh sebagai guru bahasa Inggeris. Dia mengambil cabaran dengan memilih mengajar set paling corot ini.

Mr Stuart Matthews sederhana tinggi tetapi badannya gemuk. Dia menghisap paip dan memakai seluar pendek masa mengajar. Dia seorang yang aktif dan sangat peramah. Dia berjalan agak pantas seperti tergopoh-gapah. Bila berpeluh badannya hapak tetapi bau tembakau paipnya melindungi bau badannya yang tidak menyenangkan itu. Aku ingat bagaimana aku bertutur kali pertama dengannya. Aku masuk lewat ke kelasnya kerana ke tandas. Dia menunggu aku di muka pintu kelas dan menyoal, “where have you been?”. Aku tak tahu nak jawab dengan grammar dan intonasi yang betul, jadi aku hentam saja,”I bin toilet”. Aku tersentak kerana dia tak memperbetulkan bahasa aku yg lintang pukang itu seperti lazimnya yang dilakukan oleh guru-guru lain. Dia sebaliknya memuji aku dalam telo Britishnya. “that’s fantastic Sebrin, now I know that you can speak English” Aku rasa lega dan bangga kerana buat pertama kalinya dalam hidup aku orang putih faham cakap aku. Dalam set 5 dia sering bertanya kami cara pronounce nama-nama kami yang sukar dia menyebutnya. Mazlan Dewa di sebutnya Mazlan Juwa. Kamaruzzaman (Kamal) disebutnya camel. Aku jadi minat belajar Inggeris. Masa itu kami dibekalkan dengan novel-novel klasik yang dipermudahkan. Aku membacanya tanpa jemu. Wuthering Height, The Tales of Two Cities, Sherlock Holmes, Gulliver’s Travels, Dr Jeckyll and Mr Hyde, Jane Eyre, Tom Sawyer, The Count of Monte Cristo, Robinson Crusoe, Treasure Island, The Scarlett Letter, Round the World in 80 days dan pelbagai jodol lain aku baca penuh minat walaupun aku tidak tahu makna semua perkataannya. Aku jarang menggunakan kamus kerana bagiku ia melambatkan pembacaan. Aku hanya mengingatkan perkataan yang sukar dan cuba memahaminya melalui konteks ayat. Dengan cara ini vocab aku bertambah secara tidak langsung.

Ada pula pelajar secara senyap-senyap mengedarkan buku-buku  lucah berbahasa Inggeris. Kata mereka ia boleh improve English. Ada buku-buku terbitan Mills n Boon, buku karangan Harold Robbins dan lain-lain yang sedikit berat. Tapi yang paling berat dan penuh dengan kelucahan ialah novel Romance of Lust yang ditulis oleh anonymous. Bila buku itu sampai ke tanganku kulitnya sudah lusuh sangat kerana ramai orang yang membacanya terlebih dahulu. Buku itu ialah buku klasik zaman Victorian. Pembacaan sering tersangkut bila sampai ke tempat-tempat yang mendebarkan dan menimbulkan rasa gelisah kerana banyak terdapat perkataan-perkataan yang terlalu klasik buat kami….phallus, venus, petticoat, glory hole, genital dan entah apa cekadak lagi. Untuk buku istimewa ini aku terpaksa menggunakan kamus.



Mr Stuart Matthews sekitar tahun 1977 - 1979
(foto Ihsan Haji Azahari Husain)


Ternyata penat lelah Mr Matthews dan usaha aku membuahkan hasil. Dalam peperiksaan SRP aku dapat keputusan yang cemerlang dalam bahasa Inggeris, terbaik dalam set 5 dan setara dengan murid-murid di set 1 dan 2. Mr Matthews berasa bangga dan mencanang nama aku. Kembang kempis hidung dibuatnya. Aku rasa jika cikgu Mat Saleh ini tidak membimbing aku, penguasaan bahasa Inggeris aku tidak akan sebaik sekarang.

Wednesday 4 December 2013

NASIB IBU MARIAYEE


Ibu Mariayee sedikit gemuk. Kulitnya cerah dan wajahnya manis. Waktu kali pertama dia di bawa ke hadapanku dalam kamar majistret untuk perintah reman, dia diam sahaja. Dia tidak menunjukkan sebarang reaksi. Expressionless. Sedih tidak, suka pun tidak. Aku memberi perintah reman selama 14 hari iaitu tempoh maksima yang diperuntukkan dalam Kanun Prosedur Jenayah ketika itu. Sememangnya polis berharap tempoh reman yang maksima untuk menyiasat kes-kes yang berat. Kalau jenayah kecil seperti curi rambutan, bergaduh dan yang sepertinya aku biasanya beri reman sehari dua saja atau terus beri perintah ikat jamin tanpa reman.

Dua minggu kemudian dia dibawa sekali lagi. Kali ini dia dituduh di mahkamah terbuka. Dari atas meja majistret yang tinggi aku melihat galeri mahkamah penuh sesak dengan sanak saudara Mariayee dan orang awam. Pemberita dari berbagai media memenuhi tempat khas mereka yang biasanya kosong.
Ibu Mariayee dituduh membunuh anaknya sendiri dengan memaksanya meminum racun di bawah seksyen 302 Kanun Kesiksaan,. Kaum keluarganya ramai yang menangis. Dia tenang sahaja. Tiada riak takut atau sedih. Di peringkat mahkamah majistret tiada pengakuan diambil di bawah prosedur bicara siasatan awal (preliminary enquiry). Di mahkamah, prosedur ini dipanggil PE. Ia dijalankan bagi memastikan ada bukti untuk menuduhnya membunuh dengan niat. Jika cukup bukti dia akan dipindahkan ke mahkamah tinggi Shah Alam di mana dia akan dibicarakan dan pengakuannya akan diambil. Di situ jika sabit dia akan dijatuhkan  hukuman mati.

Aku menetapkan tarikh sebutan semula kerana ibu Mariayee dihantar ke hospital bahagia untuk rawatan psikiatri. Ini prosedur biasa untuk menentukan dia benar-benar waras semasa kejadian bunuh tersebut. Beberapa bulan kemudian dia di bawa semula ke mahkamah. Laporan doktor pakar mengesahkan dia waras dan boleh dibicarakan. Aku menetapkan dua minggu sebagai tarikh pendengaran PE yang akan berlangsung beberapa bulan selepas itu. Sementara menunggu perbicaraan ibu Mariayee di reman di penjara.
Entah mana silapnya, setiap kali kes ditetapkan untuk pendengaran, pihak pendakwa meminta penangguhan. Inspektor Goh, pendakwa di mahkamah ketika itu mengemukakan berbagai-bagai alasan. Aku dapat rasakan bahawa alasan-alasan itu seperti dibuat-buat. Sebenarnya polis tidak bersedia. Dari segi perundangan kes seperti ini mudah sahaja dan ia tidak akan memerlukan saksi-saksi yang ramai untuk dipanggil memberi keterangan. Aku menjangkakan bicara boleh tamat dalam tempoh seminggu. Tetapi kerumitan kes ini ialah saksi awam semuanya ada pertalian darah dengan tertuduh (ibu Mariayee). Mereka serba-salah. Mariayee telah mati. Tentu mereka tidak mahu ibu mereka mati pula di tali gantung. Lazimnya pendakwa yang berpengalaman akan tahu sama ada saksi-saksi mereka boleh dikawal atau tidak dalam memberi keterangan di mahkamah.

Kes ditangguh beberapa kali. Aku sudah mula hilang sabar dan memberi amaran kepada pendakwa bahawa mahkamah akan  membebaskan tertuduh tanpa melepaskannya. Ini dipanggil Discharge Not Amounting to Acquittal (DNAA). Maknanya, tertuduh akan dibebaskan daripada tahanan reman di penjara tetapi polis boleh mendakwanya semula atas pertuduhan yang sama bila bersedia kelak. Perintah DNAA ini amat digeruni oleh semua pendakwa kerana ia melambangkan kerja cincai.mereka. Pendakwa polis lazimnya dibelasah teruk oleh Timbalan Pendakwa Raya apabila kertas siasatan dengan perintah DNAA dihantar ke Jabatan Peguam Negara.

Masa berlalu suasana bertukar. Hari berganti minggu, minggu berganti bulan. Bulan berganti tahun. Kes Mariayee belum juga dibicarakan. Di akhir tahun 1989 aku mendapat arahan pertukaran daripada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Agong. Ketua Pendaftar ialah ketua jabatan untuk semua majistret, hakim sesyen dan pegawai-pegawai kehakiman seluruh Malaysia. Ia ditandatangani oleh Puan Rahmah Hussin (beliau kemudiannya dilantik menjadi Hakim Mahkamah Tinggi dan bersara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan). Aku ditukarkan ke mahkamah majistret Kajang.

Tempat aku di mahkamah majistret KKB diambil alih oleh Christopher Lopez. Dia seorang Serani berumur sekitar 50an. Chris Lopez lambat memasuki perkhidmatan kerana bekerja dahulu sebagai pegawai penyiaran di RTM sebelum mengambil ijazah undang-undang secara jarak jauh daripada University of London. Dia berkhidmat di mahkamah majistret Kuala Lumpur sebelum ke KKB.

Dalam menjalankan tugasnya Chris Lopez sangat tegas dan seorang yang no nonsence.  Di luar kerja dia seorang yang baik hati dan teman aku bergurau-senda. Suaranya garau dan sangat menarik. Dia mendapat kebenaran daripada Hakim Besar Malaya untuk bekerja sebagai pembaca berita radio Inggeris RTM di luar masa pejabat. Kebenaran diberi selagi dia menggunakan suaranya sahaja. Aku selalu menelefonnya dari Kajang dan aku akan memulakan percakapan dengan cuba meniru suara garaunya,” This is Chris Lopez for your evening news from Kajang…” Dia akan ketawa terbahak-bahak

Kali pertama kes ibu Mariayee di bawa di hadapan majistret Chistopher Lopez, pendakwa Inspektor Goh sudah disumpit dengan berbagai-bagai soalan dan amaran diberikan bahawa penangguhan yang diluluskan adalah penangguhan kali yang terakhir. Apabila pendakwa tidak juga bersedia pada tarikh yang ditetapkan Chris Lopez tanpa ragu mengeluarkan perintah bahawa ibu Mariayaee dibebaskan tanpa dilepaskan (DNAA). Selepas dia dibebaskan aku mendapat tahu daripada kakitangan mahkamah KKB bahawa dia dibawa lari kerana kaum kerabatnya bimbang dia akan didakwa semula. Aku tidak lagi mendengar sebarang cerita mengenai ibu Mariayee selepas itu.

Beberapa tahun selepas itu Chris Lopez menyertai aku sebagai Penolong Kanan Pendaftar (SAR) Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kami SAR yang muda-muda sering berjenaka dengannya semasa mesyuarat. Aku mengusiknya, “you look like a high court judge, what business have you got to be with us young chickos here? Dia akan ketawa berdekah-dekah. Tidak lama kemudian dia bersara wajib apabila mencapai umur 55 tahun. Semasa jamuan perpisahan dia berucap melafazkan rasa gembiranya kerana dapat menjalankan tugasnya sebagai pegawai kehakiman tanpa mengambil sebarang rasuah walaupun terdapat percubaan-percubaan untuk menyogoknya. Beberapa tahun selepas itu, di suatu pagi dia tidak keluar dari bilik air semasa bercukur. Dia dijumpai mati akibat serangan sakit jantung. Rest in peace, Chris!

Tuesday 3 December 2013

MARIAYEE

Hari ni aku nak melompat ke hadapan. Cerita Mozac Ayer Keroh aku park dulu untuk luahan masa lain. Entah macam mana otakku ditubi-tubi oleh kenangan lama dan nama Mariayee ni timbul secara automatik. Malam semalam aku letih sekali selepas mengajar students MBA selama lapan jam di hari Ahad. Sungguh renyah mengajar subjek undang-undang perniagaan kepada students yang tidak pernah mengambil subjek undang-undang semasa undergraduate. Punah hujung minggu aku lagi. 

Bila balik selepas maghrib, aku membuat rutin biasa di pinggir malam... mandi, solat, makan. Lepas itu aku tersandar menonton tv. Cerita tak menarik jadi aku buka You Tube dan menonton sambil mendengar klip lagu-lagu Hindustan lama. Fuh, lega sungguh mendengar kelunakan suara Mohd Rafi dan aksi-aksi Shammi Kapoor yang flamboyant. Hebatnya Mohd Rafi ni ialah dia boleh meminjamkan dan membuat variasi suaranya bukan sahaja kepada aktor-aktor yang handsome; pelawak dan kanak-kanak pun menggunakan suaranya dalam pelbagai suasana...riang, rancak, jenaka, sedih dll. Mohd Rafi sendiri tidak kacak. Orangnya pendek saja. Dia dicintai semua orang yang mengenalinya kerana pemurah, warak dan sangat sopan. Dia dilahirkan dalam wilayah Punjab, Pakistan tetapi memilih untuk tinggal di India semasa pemisahan India-Pakistan tahun 1948. Dia meninggal mengejut kerana sakit jantung masa aku tingkatan lima iaitu tahun 1980. Akhbar masa itu menyiarkan berita bahawa beribu-ribu orang mengiringi jenazahnya ke kubur. Di India dia menjadi lagenda dan orang-orang yang taksub mengatakan suaranya  datang dari syurga. Beberapa tahun dulu stesen CNN India memilihnya, berdasarkan pungutan suara penonton (yang majoritinya Hindu) sebagai penyanyi terhebat sepanjang zaman.

Semasa aku kecil radio selalu memainkan lagu-lagu daripada Filem Hindustan. Kerana kekerapan lagu-lagu Hindi ini dimuntahkan saban hari, aku sudah mengenal suara Mohd.Rafi, Kishore Kumar, Mukesh, Lata Mangeskar dan Asha Bhosle sedari kecil lagi. Zaman itu filem Melayu dalam gerhana. Kalau ada filem percuma di sekolah, sudah pasti filem Hindi yang ditayangkan. Di estet getah tempat emak aku menoreh, masa terima gaji filem Tamil yang ditayangkan. Heronya mesti MGR atau Sivaji Ganesan. Ada seorang pelawak Tamil yang dipanggil Cicak amat disukai ramai. Jadi dengan latarbelakang ini aku selesa dengan lagu-lagu Hindustan. Anak-anak sering mentertawakan aku bila aku mendengar lagu Hindustan atau Tamil semasa membawa kereta. Mereka rasa ia tidak cool.

Zaman dulu, bila menonton filem Hindi, kejelitaan pelakon wanitanya boleh membuat kita termimpi-mimpi. Dengan pemandangan latar yang cantik (biasanya Kashmir) dan suara nyanyian (pinjaman) yang merdu maka mudah saja hati menjadi lebur. Ramai  lelaki dahulu menyimpan foto aktres Hindi dalam dompet duit. Tidak kurang gadis-gadis yang menampalkan gambar aktor-aktor Hindustan yang handsome dan mendedahkan bulu dada di dinding-dinding rumah. Jadi semasa menonton klip filem Hindi malam semalam aku terkenang kepada seorang gadis India yang jelita. Dia seorang Tamil tapi berkulit putih persis orang Hindi. Anehnya aku tidak pernah bertemunya dalam hidup. Maksud aku, aku tak pernah bertemu semasa Mariayee hidup. Aku bertemu Mariayee setelah dia mati. Bagaimana ini terjadi?

Beberapa bulan selepas aku dilantik sebagai majistret di Kuala Kubu Bharu di penghujung tahun 1987, aku didatangi oleh seorang pegawai penyiasat polis berbangsa Cina. "Tuan, kami memerlukan perintah tuan untuk menggali kubur dan menjalankan post mortem," kata Inspektor itu selepas memberi tabik hormat dan menghentak kaki dengan kuat. Kamar majistret yang terletak di tingkat atas bangunan lama itu sedikit bergegar dibuatnya. Aku tahu bila polis memberi salute yang kuat seperti itu mereka desperate sebenarnya. Memang mereka desperate

"Mengapa tanam mayat sebelum post mortem?" soalku dan Inspektor itu mula gelabah. Undang-undang menyatakan kuasa mengebumikan mayat terletak di tangan polis tetapi kuasa untuk menggali semula kubur terletak kepada majistret. Aku tahu dalam kes ini mayat tidak diperiksa dengan teliti oleh pegawai penyiasat sebelum dikebumikan. Inspektor itu memberi penjelasan dan benar-benar merayu agar perintah diberikan.

Aku meneliti kertas siasatan dan aku melihat beberapa foto gadis itu yang tersisip dalam laporan mati mengejut (Sudden Death Report). Berderau darah muda aku. Dia begitu jelita sekali. Memang cantik. Kelihatan kepadaku dia adalah seorang Hindi  walaupun polis mengatakan dia seorang gadis Tamil. Namanya Mariayee dan umurnya tujuh belas tahun. Sayu hati melihat gadis begitu cantik tetapi mati dalam usia yang begitu muda. Menurut siasatan dia mati membunuh diri dengan meminum racun. Setelah meneliti fail dan mendengar penjelasan polis aku memberi perintah dengan menulisnya dalam kertas siasatan, menurunkan tandatangan dan cop mohor mahkamah. Oleh kerana hari telah petang penggalian (exhumation) akan dijalankan pagi esoknya.

Esoknya aku dibawa oleh polis ke perkuburan Hindu kira-kira dua kilometer dari mahkamah. Di atas kubur ramai pemberita menunggu bersama-sama polis, orang awam dan kakitangan hospital. Bila kubur digali semakin dalam aku mula menghidu bau yang tidak menyenangkan. Aku mengeluarkan saputangan dari kocek kot hitam yang aku pakai. Bau semakin kuat dan aku meminta minyak angin daripada seorang polis dan menyapunya kepada sapu tangan sebelum menutup hidung kembali. Namun begitu bila penggalian sampai kepada mayat bau yang sangat memualkan menyusup ke dalam hidungku dan aku rasa seperti hendak muntah. Seorang polis berpangkat sarjan menghampiriku. "Tuan ambil ini dan masuk dalam saputangan dan tutup hidung. Insya Allah bau tu tak boleh masuk." Aku akur dan mengambil darinya seketul benda seperti batu dan mengikut cadangannya. Wah, berhasil! bau busuk mayat yang begitu meloyakan kini diganti oleh suatu bau lain yang lebih menyenangkan dan familiar. Bau belacan! Barulah aku tahu belacan boleh menutup bau-bau busuk  lain yang hanyir dan meloyakan.

Bila penggalian sudah siap aku pergi di tepi kubur. Dalam kubur aku melihat mayat Mariayee terbaring telentang. Dia belum berkahwin dan mengikut adat Hindu mayat seperti ini tidak dibakar tetapi dikebumikan. Mayat itu memakai blaus kuning dan skirt merah. Tetapi ia bukan lagi Mariayee seperti dalam gambar yang aku tatap semalam. Aku kini berhadapan dengan sekujur tubuh yang telah ditanam selama tiga hari. Kulitnya sudah menjadi kehitaman dan mula tanggal. Kukunya telah lekang. Matanya terbonjol dan perutnya sudah buncit. Malah seluruh badan sudah membengkak, berair dan menunggu masa untuk pecah. Selepas aku mengangguk-angguk yang dianggap sebagai arahan, beberapa anggota polis dan kakitangan rumah mayat hospital turun mengangkat jasad itu menaiki kereta polis. Aku, pegawai penyiasat dan doktor patologist menaiki kereta lain untuk menyaksikan autopsy.

Sampai di rumah mayat (mortuary)Hospital Kuala Kubu Bharu aku terkejut kerana lokasinya terletak betul-betul di atas banglo majistret. Selama ini aku cuma melihat kelibat sebuah rumah di atas tebing yang dipagari oleh pokok-pokok renik. Ia dipayungi pula oleh sebatang pokok yang besar. Pada waktu malam pokok itu sedikit menyeramkan. Aku menjenguk di celah-celah pagar dan banglo setingkat yang aku diami kelihatan sunyi sekali. Sejak datang ke KKB aku duduk bersendirian dalam quarters majistret itu. Waktu malam aku biasanya membaca, menonton tv atau video untuk meladeni kesunyian.

Itulah post mortem yang pertama dan terakhir yang aku hadiri. Atendan rumah mayat bekerja dengan pantas membuat post mortem ke atas jasad gadis muda itu; membedah di sana, menggergaji di sini, memotong di sana mencungkil di sini, menggunting di sana, menimba di sini. Mayat itu sudah berulat. Beribu-ribu ulat halus (maggot) berjalan dengan bebas di atas tempat pembedahan. Doktor patologist membawa satu daging yang panjangnya lebih sekaki dan menunjukkan kepada aku dan pegawai penyiasat. "Ini lidah mayat," katanya. "Lihat, terdapat kesan terbakar berwarna hitam yang masuk sampai ke pangkal lidah yang terletak di dalam badan jauh lebih dalam daripada halkum. Ini tandanya dia dipaksa meneguk racun bukan dia meminumnya dengan sukarela. Jika ia secara sekarela, kawasan lecur ini pendek sahaja kerana pada lazimnya mangsa akan membuang racun setelah merasa kepanasan di hujung lidah," jelas pakar forensik itu lagi.

Setelah selesai post mortem aku melihat atendan-atendan hospital berdiri santai sambil berbual-bual. Mereka kelihatannya tidak beremosi langsung. Muka mereka seperti muka mayat yang tidak ada ekspresi. Seorang daripada mereka merokok dan aku lihat tangannya  memakai sarung tangan pembedahan yang masih lembab dan ada ulat-ulat halus di atasnya. Aku merasa mual dan terus keluar untuk berbual-bual dengan Dr Nirmal Singh Pegawai Perubatan Daerah yang menunggu aku di luar. Petang itu mayat Mariayee ditanam semula dalam kubur yang sama.

Esoknya cerita pembongkaran kubur Mariayee dilaporkan dalam banyak akhbar. Utusan Malaysia meletakkannya di muka hadapan dengan gambar aku memakai kot sambil menjenguk kubur dipaparkan. Lucu juga aku melihat gambar aku memakai suit di atas kubur. Pada hari yang sama ibu mendiang Mariayee di bawa ke hadapanku untuk perintah reman kerana disyaki membunuh anaknya. Selepas dua minggu dia dibawa sekali lagi dan dituduh secara rasmi membunuh anaknya di bawah seksyen 302 Kanun Kesiksaan. Perbicaraan awal akan dibuat di mahkamah majistret dan jika ada bukti yang cukup, kes akan dipindahkan ke mahkamah tinggi untuk perbicaraan penuh. Ini disebabkan hanya mahkamah tinggi saja yang boleh menjatuhi hukuman mati. Sekarang prosedur perbicaraan awal ini (preliminary enquiry) telah dimansuhkan.

Mariayee menerima nasib yang begitu malang kerana bercinta dengan seorang pemandu lori. Percintaan ini dibantah keras oleh keluarga Mariayee kerana mereka tergolong dalam kasta tinggi sementara pemandu lori itu daripada kasta rendah. Mariayee dan keluarganya berkulit cerah sementara kekasihnya berkulit hitam. Suatu hari ibu Mariayee meminta perhubungan itu diputuskan tetapi Mariayee membantah. Ibunya mencabar dia supaya minum racun untuk membuktikan ketulusan cintanya. Mariayee menolak tetapi dia dipaksa minum juga dengan tengkuknya dipegang dan racun ditonyoh ke dalam mulutnya. Mariayee mati tetapi dalam repot polis keluarganya menyatakan dia bunuh diri selepas keluarganya memaksa dia memutuskan hubungan cintanya. Pihak polis percaya dengan versi ini dan mengkelaskan kematiannya sebagai mati mengejut dan tidak ada post mortem yang teliti dibuat. Polis mengeluarkan permit pengebumian dan Mariayee dikebumikan seperti kelaziman anak dara iaitu di"kafan"kan dengan pakaian yang paling disukainya semasa hidup. Blaus kuning dan skirt merah. Mariayee dijangka berehat dalam tenang dalam alam kubur selepas tragedi tersebut. Rest in peace.

Malangnya, cerita sebenar terbongkar bila ada ahli keluarga Mariayee berjumpa polis menceritakan versi mereka. Repot polis dibuat. Klasifikasi kes bertukar daripada laporan mati mengejut kepada bunuh. Perintah mahkamah dipohon untuk penggalian kubur supaya post mortem penuh dapat dibuat. Mariayee tidak dapat rehat dalam tenang. Jasadnya digali dan diusik (disiksa kalau ikut perspektif Islam). Akupun tidak dapat berehat dalam tenang. Bila malam menjelang aku mula terbayang wajah cantik Mariayee semasa hidupnya. Wajah cantik ini akan berganti wajah hodoh mayatnya yang mereput. Apabila hampir tengah malam biasanya ada anjing yang menyalak sayu di bawah pokok rendang di penjuru halaman rumahku. Seorang kawanku yang ada ilmu dukun bernama Azhari yang sama bekerja di KKB selalu memberitahuku bahawa anjing-anjing itu kalau menyalak sedih di waktu malam maknanya ada roh yang melintas. Masa diberitahu itu aku tidak tahu ada mortuary terletak di sebelah rumahku. Selepas episod Mariayee, bulu romaku akan berdiri bila mendengar salak sayu anjing kerana mengingatkan hanya di sebelah pagar ada mayat-mayat terbaring dalam mortuary. Aku lantas bingkas bangun dan mencapai kunci kereta dan memecut ke Kuala Lumpur menumpang tidur di rumah kawan rapatku Ashi atau Zambry di Petaling Jaya. Berminggu-minggu aku berbuat begitu sehinggalah aku merasakan betapa bodohnya aku mengikut perasaan takut dan berapa ruginya aku membuang minyak berulang-alik ke KL setiap hari.

Dua puluh enam tahun telah berlalu tetapi aku tidak boleh lupa kesah malang Mariayee. Bila aku ke KKB dan melintas kawasan kubur Mariayee aku akan bercerita tentangnya kepada isteri, anak-anak dan kawan-kawanku. Bila aku menonton filem Hindi aku akan teringat wajah Mariayee. Kalau dia masih hidup dia berumur 43 tahun sekarang, mungkin tidak secantik wajahnya semasa 17 tahun. Heroin-heroin Hindustan yang dulunya cantik jelita, Sharmila Tagore, Asha Parekh, Nanda, Saira Banu,  Mumtaz, Vyjanthimala telah tua sekarang dan semua wajah mereka telah pudar. Malang sungguh Mariayee, dan malang sungguh aku yang melihat transformasi wajahnya hanya dalam tempoh sehari dan ia melekat dalam ingatanku. Dari satu segi ia memberi keinsafan kepadaku betapa semua ciptaan Allah  tidak kekal. Kita mesti menerima hakikat ini.