Beberapa
minggu selepas kami pelajar-pelajar tingkatan satu pindah ke sekolah di Ayer Keroh
kami disertai oleh pelajar-pelajar tingkatan 4 yang rata-ratanya datang dari
Johor. Mereka menggantikan pelajar SMS Melaka di Keluang yang dikekalkan di
sana. Sekolah atas bukit itu tambah meriah dengan kehadiran lebih seratus orang
penuntut baru. Kami mula membuat adjustments dengan adanya abang-abang tingkatan
4. Tingkatan 4 di bahagi kepada lima kelas. 4A1 dan 4A2 untuk pelajar
aliran Inggeris dan 4A3, 4A4 dan 4A5 mengambil aliran Melayu.
Acara
di dewan yang pertama ialah sambutan hari guru pada 16 Mei 1976 iaitu dua
minggu selepas kami berpindah dari SM Munshi. Semua pelajar berdiri di dalam
dewan mendengar ucapan dan melihat persembahan.
Seorang
pelajar tingkatan satu, Amran Wahid (kami panggil dia Jepun sebab iras mukanya
dan susuknya yang agak pendek) tampil menyanyikan lagu “Sealed with the
Kiss” tanpa mikrofon dan iringan muzik.
Aku masih ingat Amran berjalan ke hadapan ke belakang atas pentas dan menggoyangkan
tangannya sambil memelodikan..” Though we gotta say goodbye for the summer,
baby I promise you this, I send you all my love, every day in a letter, sealed
with a kiss….."
Seingat
aku peralatan pertama yang dibeli oleh pihak sekolah ialah piano. Setiap
perhimpunan piano ini akan dimainkan oleh seorang pelajar tingkatan 4 bernama
Farah. Baru-baru ini semasa pertemuan batch pengasas SMS Melaka, aku
diberitahu bahawa dia telah pulang ke rahmatullah. Al Fatihah.
Semasa
kami berpindah ke Ayer Keroh, asrama puteri tidak berlangsir dan keadaan ini
berterusan beberapa bulan. Pengetua Pak Yah menggunakan budi bicaranya membeli
langsir untuk asrama puteri. Oleh kerana peralatan pengajaran sekolah masih
banyak yang tidak lengkap langkah Pak Yah ini menjadi rungutan sebilangan guru.
Seorang guru yang vocal ialah Cikgu Yaakob Sharif yang mengajar matematik.
Dia orang kampong aku. Aku dengar cerita dia selalu membantah Pak Yah dalam
mesyuarat-mesyuarat. Tahun hadapannya dia bertukar sekolah. Aku tak pasti sama
ada dia minta tukar atau ditukarkan. Aku masih naïve ketika itu untuk
memahami politik pentadbiran. Aku cuma tahu politik ini bila bekerja dengan
kerajaan dua puluh tahun kemudian. Semua orang mesti toe the line atau out
you go!
Lebih
90 peratus pelajar ketika itu datang dari kampung dan berketurunan Melayu.
Guru-guru pula pelbagai keturunan. Selain Melayu, Cina dan India ada seorang
cikgu Mat Saleh, namanya Mr Brian Ridley. Dia mengajar tingkatan 4. Menurut
abangku Idham dia mengajar di SMS Keluang sebelum bertukar ke Melaka. Seingat
aku cikgu Mat Saleh ni mengajar di SMS Melaka tidak sampai dua tahun. Selepas dia
bertukar (atau pulang ke UK) ada dua orang cikgu Mat Saleh lain yang datang
iatu Mr White dan Mr Stuart Matthews. Cikgu Mr White ini tidak lama di Ayer Keroh.
Apa yang kami ingat ialah isterinya yang datang ke sekolah sekali sekala. Mrs
White ini tidak melambangkan susuknya kerana dia wanita Afrika berkulit hitam.
Pelajar-pelajar memanggilnya Mrs Black.
Aku
tak pernah belajar di bawah Mr Brian Ridley atau Mr White tetapi aku sangat
terhutang budi kepada Mr Stuart Matthews. Ini disebabkan jasanya mengajar aku
bahasa Inggeris. Aku memang lemah subjek ini berbanding bahasa Melayu.
Kelemahan ini aku bawa dari sekolah kebangsaan lagi. Persekitaran sekolah
kampung tidak memungkinkan aku cemerlang dalam bahasa Inggeris. Tidak ada seorang
pun yang boleh aku jadikan teman bertutur, bagaimana mungkin aku boleh fasih bahasa itu. Kekurangan ini menjadikan aku sedikit rendah diri.
Selepas
tamat tingkatan dua pihak sekolah menyusun semula kelas bahasa Inggeris kepada
lima set. Aku dan lain-lain pelajar lemah dilonggokkan dalam set 5 iaitu set
yang paling corot. Pihak sekolah merasakan ini boleh meningkatkan prestasi pelajar
yang lemah dengan memberikan lebih tumpuan kepada mereka. Tetapi kesan
sebaliknya berlaku. Ramai di kalangan kami bertambah rendah diri kerana
dianggap lemah. Tindakbalas aku ialah “berkempen” kepada kawan-kawan lain
“memboikot” penggunaan bahasa Inggeris dan mengejek kawan-kawan yang speaking.
Kami tohmah bahawa mereka cakap bahasa penjajah! Sememangnya kami adalah batch
pertama belajar satu aliran bahasa kebangsaan. Ia adalah dasar yang dimulakan
oleh Tan Sri Abdul Rahman Yaakob, Menteri Pelajaran pada tahun 1970.
Sebenarnya, semuanya ini dalih kami untuk menutup kelemahan diri. Namun
segala-galanya berubah bila Mr Stuart Matthews datang ke SMS Ayer Keroh sebagai
guru bahasa Inggeris. Dia mengambil cabaran dengan memilih mengajar set paling
corot ini.
Mr
Stuart Matthews sederhana tinggi tetapi badannya gemuk. Dia menghisap paip dan
memakai seluar pendek masa mengajar. Dia seorang yang aktif dan sangat peramah.
Dia berjalan agak pantas seperti tergopoh-gapah. Bila berpeluh badannya hapak
tetapi bau tembakau paipnya melindungi bau badannya yang tidak menyenangkan
itu. Aku ingat bagaimana aku bertutur kali pertama dengannya. Aku masuk lewat
ke kelasnya kerana ke tandas. Dia menunggu aku di muka pintu kelas dan menyoal,
“where have you been?”. Aku tak tahu nak jawab dengan grammar dan intonasi
yang betul, jadi aku hentam saja,”I bin toilet”. Aku tersentak kerana dia tak
memperbetulkan bahasa aku yg lintang pukang itu seperti lazimnya yang dilakukan
oleh guru-guru lain. Dia sebaliknya memuji aku dalam telo Britishnya. “that’s
fantastic Sebrin, now I know that you can speak English” Aku rasa lega dan
bangga kerana buat pertama kalinya dalam hidup aku orang putih faham cakap aku. Dalam set 5 dia sering bertanya kami cara pronounce nama-nama kami yang sukar dia menyebutnya. Mazlan Dewa di sebutnya Mazlan Juwa. Kamaruzzaman (Kamal) disebutnya camel. Aku jadi minat belajar Inggeris. Masa itu kami dibekalkan dengan novel-novel
klasik yang dipermudahkan. Aku membacanya tanpa jemu. Wuthering Height, The
Tales of Two Cities, Sherlock Holmes, Gulliver’s Travels, Dr Jeckyll and Mr
Hyde, Jane Eyre, Tom Sawyer, The Count of Monte Cristo, Robinson Crusoe,
Treasure Island, The Scarlett Letter, Round the World in 80 days dan
pelbagai jodol lain aku baca penuh minat walaupun aku tidak tahu makna semua
perkataannya. Aku jarang menggunakan kamus kerana bagiku ia melambatkan
pembacaan. Aku hanya mengingatkan perkataan yang sukar dan cuba memahaminya
melalui konteks ayat. Dengan cara ini vocab aku bertambah secara tidak
langsung.
Ada
pula pelajar secara senyap-senyap mengedarkan buku-buku lucah berbahasa Inggeris. Kata mereka ia boleh
improve English. Ada buku-buku terbitan Mills n Boon, buku karangan
Harold Robbins dan lain-lain yang sedikit berat. Tapi yang paling berat dan
penuh dengan kelucahan ialah novel Romance of Lust yang ditulis oleh anonymous.
Bila buku itu sampai ke tanganku kulitnya sudah lusuh sangat kerana ramai orang
yang membacanya terlebih dahulu. Buku itu ialah buku klasik zaman Victorian.
Pembacaan sering tersangkut bila sampai ke tempat-tempat yang mendebarkan dan
menimbulkan rasa gelisah kerana banyak terdapat perkataan-perkataan yang
terlalu klasik buat kami….phallus, venus, petticoat, glory hole, genital
dan entah apa cekadak lagi. Untuk buku istimewa ini aku terpaksa menggunakan
kamus.
Mr Stuart Matthews sekitar tahun 1977 - 1979
(foto Ihsan Haji Azahari Husain)
Ternyata
penat lelah Mr Matthews dan usaha aku membuahkan hasil. Dalam peperiksaan SRP
aku dapat keputusan yang cemerlang dalam bahasa Inggeris, terbaik dalam set 5 dan
setara dengan murid-murid di set 1 dan 2. Mr Matthews berasa bangga dan
mencanang nama aku. Kembang kempis hidung dibuatnya. Aku rasa jika cikgu Mat
Saleh ini tidak membimbing aku, penguasaan bahasa Inggeris aku tidak akan
sebaik sekarang.
Oh my gosh ...you made me tear up ! I truly enjoyed reading this. Thank you my friend. You are special. Paling menggelikan hati saya was that part bila you kata you start to use the kamus only for that victorian book.
ReplyDeleteHi Anna, I envied your command of English then...and still. I asked our unofficial school photographer, Azhari Hussin for Mr Matthews's photos but to no avail.... as for the special Victorian book smuggled into the school I have been wondering all these years who the real smuggler was....anyhow he immensely contributed to my love for other Victorian novels and I still enjoy watching costumed films depicting Victorian era.....happy reading Anna!
ReplyDelete