RAMADAN DI KAMPUNG SEMASA DAHULU
Dah lama betul aku tak menulis di laman blog ini. Ini laman asal yang aku tak dapat akses kerana lupa passwordnya. Berhari-hari, berminggu-minggu malah berbulan-bulan aku memerah otak cuba mengingatnya tapi gagal. Usia aku 53 tahun jadi ingatan tidak setajam dahulu. Ini satu fakta yang semua orang tidak boleh lari daripadanya. Allah menarik anugerahNya satu persatu secara beransur-ansur mengikut usia hambaNya.
Dengan pertolongan sesorang aku dapat semula password dan email account khas yang aku guna untuk blog ini. Lega betul. Rasa macam terjumpa emas yang hilang. Perkara ini berlaku dalam bulan Ramadan. Jadi aku ingin menyambung blog aku yang gersang hampir dua tahun.
Hari ini 10 Ramadan 1437H bersamaan 5 Jun 2017.
Berbanding Ramadan-Ramadan yang lalu aku lebih lapang sekarang. Pertamanya dua Ramadan yang lepas aku masih bertugas sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Johor Bahru. Tugas harian seseorang hakim di mahkamah tinggi memang tersangat padat dan memerlukan tumpuan seratus-peratus. Pendek kata, masa dan kemampuan untuk mengarang di blog ini memang tidak ada langsung. Keduanya, untuk dua Ramadan lepas aku berkesempatan mengerjakan umrah hujung Ramadan di Mekah. Jadi lebih daripada 10 hari Ramadan aku beribadat dengan tekun di sana. Hal-hal keduniaan memang dilupakan.
Tahun ini berlainan. Kontrak aku dengan Badan Kehakiman telah tamat. Kehidupan aku tidak lagi terkongkong. Minda aku kembali bebas. Aku sekarang jadi rakan kongsi firma guaman yang established berpusat di Johor Bahru. Jadual harian aku tidak sepadat dahulu. Jadi aku ada masa untuk mengingat masa lampau dan menulis tentangnya di sini. Di kesempatan ini aku akan menulis tentang Ramadan dalam hidupku. Aku mula dengan Ramadan di kampung semasa aku kecil.
Kalau ingatan aku betul, aku dah mula berpuasa ketika berumur 5 atau 6 tahun. Puasa beberapa hari ikut kemampuan. Tapi bila masuk Darjah Satu (umur 7 tahun) aku dah berpuasa penuh. Masa tu berpuasa sangat sukar kerana berjalan kaki atau berbasikal ke sekolah yang jaraknya kira-kira tiga kilometer dari rumah. Tengahari balik rumah dan pergi pula ke sekolah ugama di waktu petang yang jaraknya lebih jauh daripada jarak ke sekolah kebangsaan. Memang terasa cabaran lapar dan dahaga.
Cabaran itu bertambah di hujung minggu kerana mengikut bapak atau emak bekerja. Paginya ke ladang getah dan petangnya ke sawah padi. Bila balik sawah air liur dah pekat sangat dan tekak rasa pahit. Bila mandi di perigi, rasa macam nak minum air seperigi tu.
Masa tu tak ada elektrik dan dapur gas lagi. Untuk minuman istimewa berbuka aku atau abang aku akan pergi ke kedai runcit beli ais batu. Timing kena betul kalau tidak bila sampai rumah semua dah cair. Buah kurma mula dijual beberapa minggu sebelum Ramadan. Kualiti kurma itu rendah sangat jika dibandingkan dengan kurma-kurma yang ada dalam pasaran sekarang. Yang ada kurma lenyek India yang datang dalam guni daan dijual ikut kati dan tahil. Buah kurma itu melekat antara satu dengan lain kerana disira dengan air gula yang pekat. Tak apalah sebab tanpa kurma Ramadan akan hambar. Masa berbuka emak selalu buat air sirap selasih. Aku tak berapa suka sebab biji selasih itu kalau terlalu kembang rupanya macam telur katak. Kalau tak kembang ia jadi biji-biji hitam yang mengganggu minum. Kadang-kadang emak buat air cincau tapi bila tak ada ais, rasanya hambar. Namun bila dah dahaga semuanya sedap saja. Kuih-muih tak pernah dibeli. Semuanya emak buat sendiri. Rupa bentuk kuih-muih tu tak sempurna. Yelah, mana emak ada masa nak beradun masakan sebab seharian ke ladang getah dan sawah padi. Kuih yang aku paling suka ialah kuih kaswi, kuih keria, apam dan yang paling spesial kueh pau inti kelapa. Kata orang kampung aku, syapalih sodap.
Masa tu tak ada tv. Yang ada radio besar yang ada dua tombol mata dan sebaris gigi. Fungsi radio tu untuk dengar pengumuman waktu berbuka puasa yang memang dinanti-nantikan. Sebelum azan berkumandang radio akan menyiarkan lagu-lagu padang pasir instrumental. Paling popular lagu "Bint Al Syalabiyah". Orang kampung kata lagu Binti Salbiah. Bila berbuka saja aku mesti tuju air dulu. Air akan diteguk tak berhenti kerana dahaga yang amat sangat. Selepas kembung air barulah jamah kuih-muih. Emak memang tidak hidang nasi sebab selain kuih muih bapak selalu beli roti Perancis yang panjang. Roti ini hanya dijual dalam bulan Ramadan. Biasanya kami adik-beradik makan dengan majerin yang di sapu gula. Aku pula suka makan roti itu masa sahur dengan mencecahnya dengan santan cair manis. Memang sodap. Syapalih!
Satu keseronokan bulan puasa ialah kami boleh keluar rumah waktu malam ke surau untuk Solat Tarawih. Di luar bulan puasa kami memang tidak dibenarkan keluar rumah kecuali kalau ada saudara mara kahwin. Di kampung Ramuan China Besar ada satu masjid dan beberapa surau. Masjid buat tarawih 20 rakaat. Surau-surau buat tarawih 8 rakaat sahaja. Tapi yang lucunya masjid akan habis tarawih lebih awal. Ramai orang memilih bertarawih di masjid kerana cepat habis. Selepas itu berpusu-pusu dan berlumba-lumba jemaah berbasikal ke pekan untuk menikmati kopi dan roti bakar di kedai yang ditutup di waktu siang. Yang paling lucu ada beberapa orang yang tak pernah muncul masjid bersolat Jumaat turut hadir bertarawih dan kemudian berjemaah pula dengan orang-orang lain di kedai kopi Cina di pekan.
Di penghujung malam bangun sahur memang sukar. Waktu itu dinihari sangat sejuk terutama bagi aku adik beradik yang berselimut dengan kain sarung saja. Kalau hujan lebih liat nak bangun tapi bila bapak panggil semua bangun sebab bapak memang tegas. Emak dah bangun lebih awal untuk tanak nasi dan masak lauk. Masa dulu masak-memasak menggunakan kayu api. Kadang-kadang nasi belum masak waktu sahur dah nak habis. Ada masa nasi hangit sedikit. Kelam-kabut makan apa yang ada. Nasi hangit pun hangitlah asalkan esok ada tenaga untuk berpuasa.
No comments:
Post a Comment