Dalam banyak-banyak sarjana yang aku pernah belajar, aku paling kagum dengan Prof Syed Naquib. Aku sudah kenal dia melalui pembacaan majalah-majalah semasa aku di sekolah rendah. Namanya juga sering aku dengar semasa abang-abang dan kakakku berbual-bual perkara-perkara yang serius.
Dia dianggap ilmuan tempatan yang kontroversi. Namun keilmuannya tiada tolok banding bukan saja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa. Beliau tergolong dalam 1000 orang paling terkemuka di dunia.
Masa sekolah rendah aku pernah melihat buku-buku beliau milik abang-abang tapi aku tak mampu memahami tulisannya yang terlalu tinggi. Cuma aku teringat satu kontroversi yang melibatkan beliau yang dilaporkan dalam akhbar dan majalah Mastika bila beliau menyatakan sesiapa yang menentang poligami itu biadap. Lawannya dalam isu itu ialah Marina Yusuf seorang peguam yang lantang dan ketika itu Timbalan Ketua Wanita UMNO. Hebat juga perkara itu menjadi polemik.
Dalam kehebatannya dalam dunia akademik Prof Syed Naquib tidak diberi peluang menjawat jawatan pentadbiran yang tinggi di universiti. Dia pernah diwarwarkan dilantil VC UKM yang pertama tapi ia tidak menjadi kenyataan. Dari UM dia berpindah ke UKM dan kemudiannya dipinjamkan ke Universiti Ohio, Amerika Syarikat untuk memegang kursi Tun Razak di situ.
Rezeki aku untuk berguru dengan profesor hebat ini datang bila dia tamat kontrak di Amerika Syarikat. Ketika itu aku baru saja tamat pengajian di UIA dan bertugas sebagai majistret di Kuala Kubu Bahru. Persatuan Alumni UIA telah menjemput beliau memberi kuliah mingguan kepada ahli persatuan setiap malam Sabtu mulai pukul lapan. Kuliah itu berlangsung tiga bulan.
Bersama Prof Tan Sri Mohd Naquib Al Attas selepas kuliah umum berkala beliau
di UTM KL. Di sebelahnya VC UTM, Dato Seri Zaini Ujang
Semasa memulakan kuliah pertama Prof Syed Naquib memberi setiap orang yang datang sehelai kertas yang mengandungi lapan ayat. Dia mengatakan satu helai kertas itu bila dihuraikan boleh menjadi satu kursus selama tiga tahun. Ayat pertama berbunyi " The meaning of meaning". Untuk perkataan "meaning" yang pertama itu sahaja dia bersyarah selama 3 jam! Syarahannya bukan benda kosong. Semuanya sarat dengan ilmu bahasa, falsafah, sains, tamadun dan sains. Dia membawa kami kepada asas bahasa, falsafah Greek sehinggalah ke zaman moden. Kami yang hadir jadi mabuk ilmu dibuatnya. Apa yang dibicarakan beliau belum pernah didengari sebelum itu. Di akhir kuliah pertama itu beliau memeranjatkan kami apabila memuji Imam Khomeini dalam satu isu yang hangat ketika itu iaitu fatwa Imam Syiah tersebut terhadap Salman Rushdie.
No comments:
Post a Comment