Aku balik dari UK dengan segulung ijazah PhD yang diperolehi dengan sukar. Perjuangan selama empat tahun yang dipenuhi onak dan duri. Tidak ramai orang tahu betapa sukarnya belajar ijazah lanjutan di luar negeri terutama bila keluarga dibawa sekali. Aku pergi belajar dengan dua tujuan. Pertama, aku memang bercita-cita untuk jadi pakar dalam bidang undang-undang maritim. Keduanya, aku berhasrat untuk menyertai universiti sebagai pensyarah apabila aku pencen nanti. Ketiganya, aku berharap akan dapat kenaikan pangkat yang lebih cepat bila lulus PhD.
Ternyata harapan aku untuk naik pangkat tidak kesampaian. Terlalu banyak pancaroba dalam perkhidmatan kerajaan. Pendek cerita aku tidak naik pangkat seperti yang diharapkan. Empat kali nama aku dicadangkan untuk naik gred JUSA C tapi sampai di peringkat tertinggi nama aku tercicir. Akhirnya aku berjumpa Dato Idrus Harun, Peguam Cara Negara iaitu orang kedua paling kanan dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan selepas Peguam Negara sendiri. Aku bertanyakan mengapa nama aku sering tercicir. Adakah terdapat kelemahan dalam perkhidmatan yang aku berikan. Adakah mana-,mana pihak membuat complaint tentang prestasi aku dan sebagainya. Aku beritahu beliau secara berterus terang dan jujur jika aku tidak ada peluang untuk naik JUSA aku bercadang mengambil persaraan awal.
Dalam pejabat di MTJA, Menara See Hoy Chan, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur
Pengurus Pentadbiran dan Undang-Undang MTJA
(2008 - 2011)
Sebagai pegawai tinggi yang penuh pengalaman, Dato Idrus tidak menyatakan sebab kenapa nama aku sering terciicir tetapi dia memujuk supaya aku jangan bersara awal. Dia mencadangkan aku pindah ke MTJA. kerana gajinya jauh lebih tinggi daripada JUSA C. Tetapi aku perlu berada di MTJA secara pinjaman daripada Kerajaan Malaysia kepada badan antarabangsa untuk tempoh empat tahun.
Aku bersetuju sebab aku tahu Dato Idrus adalah Board Member MTJA sebagai wakil Peguam Negara. Dato Idrus disenangi oleh semua pegawai dan kakitangan Jabatan Peguam Negara kerana sikapnya yang terbuka dalam mendengar keluh-kesah kakitangannya. Kalau orang takut berjumpa Peguam Negara, Datuk Idrus menjadi jembatan dalam menyampaikan pengaduan staf.
Gaji di MTJA dibayar dalam dolar Amerika kerana separuh kakitangannya datang dari Thailand. Sebagai pengurus aku dibayar USD 5500 ketika mula-mula masuk sebelum dinaikkan kepada USD 6500 dua tahun kemudiannya. Cuma aku malang sedikit pertukaran wang ketika itu memihak kepada Malaysia jadi tukarannya berkisar setakat RM 3.2 ke 3.4 berbanding satu dolar semasa aku di sana. Sebelum aku datang Malaysia masih menguatkuasakan tambatan wang dengan dolar Amerika pada kadar USD1 : RM 3.8. Pengurus sebelum aku lebih beruntung. Tapi aku bersyukur kerana gaji aku di sana hampir setara dengan pegawai atas Gred JUSA A. Sebagai Pengurus Pentadbiran dan Undang-Undang aku juga dibekalkan staff car jenis Proton Perdana iaitu setara dengan kereta yang dibekalkan kepada pegawai-pegawai JUSA dalam perkhidmatan awam.
Di MTJA aku dapat banyak pengalaman baru. Aku bergaul dengan baik dengan rakan-rakan sekerja dari Thailand. Terdapat dua kategori pekerja di MTJA. Pertama, staff pengurusan yang dipinjamkan daripada kerajaan Malaysia dan Thailand. Jawatan mereka ini digilirkan setiap empat tahun. Contohnya semasa aku di sana aku menjawat jawatan pengurus undang-undang dan pentadbiran. Timbalan aku dari Thailand. Selepas tempoh jawatan aku berakhir pengganti aku dari Malaysia akan menjadi timbalan pengurus dan rakan sejawat dari Thailand dilantik sebagai pengurus pula. Begitu juga jawatan-jawatan utama yang lain seperti CEO, DCEO dan pengurus beberapa jabatan lain. Kedua, staf tetap. Mereka kekal di MTJA mengikut terma jawatan mereka. Dahulunya mereka tetap tetapi kemudiannya jawatan mereka ditawarkan secara kontrak saja. Ini adalah "mainan" Thailand kerana staf tetap Malaysia lebih ramai daripada staf Thailand. Bagi mereka semua di MTJA mesti dibahagi 50:50.
Di MTJA aku belajar karekter orang-orang Siam yang friendly. Mereka bertutur secara lemah lembut tetapi jangan terpedaya kerana mereka sangat kental dengan semangat nasionalisme Thailand. Mengikut perspeksif mereka orang Thai paling superior berbanding lain-lain kaum di dunia ini diikuti oleh orang Cina, Phrang (orang Eropah/ kulit putih) dan selepas itu barulah orang-orang lain. Jadi, bagi mereka orang Melayu jauh inferior daripada mereka. Selama aku di sana jenuh juga berkuntau dengan orang-orang Siam ini kerana aku juga tebal dengan semangat nasionalisme Malaysia dan aku merasa adalah tugas aaku untuk mempertahankan hak Malaysia.
Untuk lebih memahami mereka aku menganjurkan kelas bahasa Thai yang dikendalikan oleh seorang tutor wanita Thai yang telah menetap lama di Malaysia dan berkahwin dengan orang Melayu. Aku tak tahu mengapa CEO Suriyan Aphiraksatyakul tidak berapa suka kami orang-orang Malaysia belajar bahasa Thai.
Belajar Bahasa Thai daripada tutor kami (kiri sekali)
Selama tiga tahun aku bertugas di sana banyak tempat di Thailand yang aku pergi. Klau aku tidak bekerja di MTJA aku rasa tidak ada sebab aku akan pergi ke Chiang Mai, Chiang Rai, Phuket, Pattaya dan lain-lain tempat selain Bangkok yang memang kerap kami kunjungi.
Board MTJA dianggotai secara seimbang oleh pegawai-pegawai kanan dari Malaysia dan Thailand. Board ini diketruai oleh dua orang Pengerusi Bersama (Co-Chairmen). Inilah kali pertama aku bekerja dalam struktur yang ganjil ini. Pengerusi Bersama bagi Malaysia ketika itu ialah bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman. Beliau seorang yang pintar dan tegas dalam mempertahankan hak-hak Malaysia.
Tiga minggu aku bekerja di MTJA, ibuku yang dicintai meninggal dunia. Ia membawa kesan besar kepada emosiku. Aku kehilangan ibu pada usia 45 tahun. Memang terasa kehilangannya. Setelah 45 tahun bersama tiba-tiba orang yang kita kasihi tiada lagi.
No comments:
Post a Comment