Sejak kembali dari UK setelah tamat PhD aku sering diasak rindu untuk kembali membuat kajian ilmiah. Walaupun aku rasa seperti separuh mati nak menyiapkan tesis PhD tapi bila ia diterima dan lulus, datang pula rasa keseronokannya.
Namun bila kembali ke Malaysia dan balik bekerja semula di Jabatan Peguam Negara, masa umpama emas lantaran kesibukan bekerja. Sering aku berfikir, kalau begini gayanya kepakaran aku dalam membuat kajian ilmiah akan pudar dan terus hilang. Tapi bagaimana aku mampu mencari masa? Jadual kerja terlalu padat. Bila balik aku ada keluarga untuk dilayan. Kenduri kendara kena hadir. Ibu yang uzur wajib diziarahi. Macam-macam hal lagi yang menghalang hasrat aku.
Semasa di UK dahulu supervisor aku Prof Alastair Couper menasihatkan jika hendak membuat research kita hendaklah mencari topik yang kita minati supaya kita enjoy membuat research itu. Jika research itu kita minat ia boleh dibuat secara part time dan boleh dijadikan hobi juga.
Fikir punya fikir aku rasa bidang yang berfaedah yang aku betul-betul minat ialah musabaqah Al-Quran. Dari kecil aku suka dengar alunan bacaan Al-Quran secara berlagu. Aku kagum dengan qari-qari seperti Hj Ismail Hashim, Hj Abdul Ghani Abdullah dan qariah-qariah seperti Hajah Rogayah Sulong dan Hajah Faridah Mat Saman. Masa sekolah rendah musabaqah Al-Quran adalah program yang popular di TV tidak seperti sekarang ini. Aku selalu menumpang rumah jiran untuk mendengar alunan bacaan peserta dalam dan luar negara. Masa tu semua orang kenal Ismail Hashim, Rogayah Sulong, Hassan Azhari dan lain-lain.
Aku rasa tak ada sebarang kajian yang serius dibuat tentang hal ini. Aku sendiri sangat berhajat untuk berjumpa bersemuka dengan tokoh-tokoh Al-Quran ini. Akhirnya aku memulakan kajian dalam bidang ini dan aku merasa begitu bersyukur Allah melintaskan dalam fikiranku untuk mengkajinya.
Dengan Tan Sri Hassan Azhari di Keramat
Aku bersyukur dapat bertemu dengan ramai tokoh-tokoh ini semasa membuat kajian yang dimaksudkan antara tahun 2009 hingga 2011. Masa aku berjumpa mereka telah lanjut usia tapi masih fasih berbicara. Aku cuma kecewa kerana tidak sempat berjumpa Dato Ismail Hashim kerana dia telah kembali ke rahmatullah di awal 1990an. Namun aku dapat berjumpa anak murid utamanya iaitu Haji Kasim Ahmad yang juga seorang qari terkenal di Kedah.
Mewawancara Dato' Hj Abdul Hak @ Abdul Ghani Abdullah
di rumahnya, Pendang, Kedah
Semasa membuat wawancara dengan tokoh-tokoh tersebut aku dibantu oleh sahabat karibku Alharsikanil Abdul yang juga seorang peminat tilawah Al-Quran. Isteriku Fairuz juga menemani aku dalam beberapa sesi wawancara. Insya Allah aku akan sambung lagi untuk berkongsi hasil kajian aku ini bila ada kelapangan. Terlalu banyak "peristiwa" yang menarik untuk diceritakan.
Bersama Ustaz Amirahman Abas di Persian Restaurant, Jalan Ampang, KL.
bersambung
No comments:
Post a Comment