Monday 7 August 2017

HAPPY 100th BIRTHDAY MY BELOVED RECITER

17 September 2017 - 100 tahun kelahiran Sheikh Mahmud Khalil Al Husari 


Tahun ini adalah anniversary ke 100 kelahiran seorang manusia besar di dunia ini. Sesiapa sahaja yang belajar Al-Quran secara serius akan mengenali manusia luar biasa ini. Beliau dianggap sebagai "Suara Al-Quran" kerana alunan bacaannnya yang sungguh mempersonakan didengar seluruh dunia. Terdapat beribu-ribu qari dan qariah di segenap pelusuk tetapi setakat ini  tidak ada sesiapa yang mampu mengatasi kehebatan Sheikh Al Husari. Nama beliau sinonim dengan pembacaan Al-Quran yang tepat. Bacaan beliau dijadikan rujukan sehingga hari ini lama setelah beliau meninggal dunia pada 1980.


Sheikh Mahmud Khalil Al Husari 
17 September 1917 - 24 November 1980


Aku sudah kenal bacaannya semenjak kecil. Bila ada kematian pembesar negara, RTM akan memainkan bacaan beliau dalam radio dan tv. Suatu masa dahulu azan beliau menjadi ikutan banyak bilal masjid.

azan oleh Sheikh Al Husari


Aku menjadikan bacaan Sheikh Al Husari sebagai panduan sejak aku diberitahu oleh guru Al-Quranku di UIA,  Ustaz Muhd Muhsin Sheikh Ahmad Al Hafiz (sekarang almarhum). Ustaz Muhsin berpesan, pembacaan Al-Quran hendaklah dipelajari mengikut kaedah talaqqi dan musyafahah (membaca secara berhadapan dengan guru). Apabila semua selok-belok tajwid dipelajari barulah seseorang dibenarkan belajar secara mendengar kaset, TV atau video. Bacaan rakaman kaset yang Ustaz Muhsin luluskan hanya Sheikh Mahmud Khalil Al Husari dari Mesir kerana ketepatan bacaannya daripada aspek tajwid dan sebutan makhraj al hurfnya yang jelas. Satu lagi aspek rujukan penting daripada beliau terutama bagi pembaca-pembaca Al-Quran yang tidak mahir berbahasa Arab ialah hukum waqaf dan ibtida' iaitu tempat berhenti dan cara menyambung bacaan yang terhenti tersebut.

Sempena ulangtahun kelahirannya ke 100 pada 17 September 2017 aku  membuat research yang lebih mendalam tentang Sheikh ini. Aku rasa ada semacam attachment dengan beliau sejak aku mula mendengar bacaannya secara murattal di radio zaman aku kecil dulu. Beliau ada saham yang besar dalam kecintaan aku kepada pembacaan Al Quran. Selain mengambil bacaannya sebagai sumber rujukan, aku selalu memainkan bacaannya bila jiwa aku keluh-kesah. Kalau aku susah tidur aku akan memainkan kasetnya. Semasa aku jadi hakim dahulu, bila aku rasa stres dengan karenah perbicaraan mahkamah aku akan stand down masuk kamar dan mendengar bacaannya melalui telefon bimbit. Ia terapi yang sungguh mujarab bagiku.

mendapat tempat pertama ujian qari-qari seluruh Mesir untuk menjadi qari tetap Radio Mesir



diberi penghormatan membaca Al-Quran di Arafah di musim haji 1958


terlibat dalam merangka skima pemarkahan dan 
hakim majlis musabaqah Al-Quran Malaysia 

Sheikh Al Husari lahir di zaman keemasan qari-qari kelahiran Mesir di mana ramai mereka memperdengarkan bacaan ke seluruh ceruk rantau Mesir malah  serata dunia. Mereka diangkat ke tahap yang tinggi setara dengan penyanyi-penyanyi seperti Umm Kulthum, Mohamad Abdul Wahab dan Farid Al Atrash. Dalam hal ini Sheikh Al-Husari tergolong dalam empat qari paling utama di Mesir di samping Sheikh Muhammad Siddiq Al Minshawi, Sheikh Mustafa Ismail dan Sheikh Abdul Basit Abdul Samad.

 
Beliau orang pertama  merekodkan bacaan  Al Quran sepenuhnya. Bacaannya secara murattal
dengan lagu Nahawand dalam bacaan mertabat tadwir seperti ini sangat kusyuk dan boleh mengalirkan airmata pendengar


Sheikh Al Husari dilahirkan di sebuah desa kecil bernama Shubra An Namlah di Tanta, utara Mesir pada 1 Zulhijah 1335 Hijrah bersamaan 17 September 2017. Ketika berumur 4 tahun sebelum dia belajar menulis dan membaca,  bapanya menghantarnya kepada guru-guru  Al-Quran untuk belajar menghafal. Dalam usia 8 tahun beliau telah menghafal seluruh Al Quran. Kerana usianya terlalu muda untuk memasuki madrasah Al-Quran secara formal, beliau telah membaca Al-Quran di beberapa masjid di kampungnya dan menjadi terkenal kerana tajwidnya yang baik serta suaranya yang istimewa. Apabila umurnya 12 tahun barulah beliau diterima masuk dalam Institut Al-Quran di bawah sistem yang ditaja oleh Universiti Al-Azhar. Di sini Sheikh Al Husari belajar sehingga mendapat ijazah di samping memahirkan diri membaca Al-Quran dalam 10 qiraat  (jenis bacaan) yang masyhur.

Pada tahun 1944 dalam usia 27 tahun beliau menjadi terkenal seluruh Mesir apabila mendapat tempat pertama dalam peperiksaan qari-qari yang memohon jawatan pembaca Al Quran Radio Mesir. Beliau dilantik menyertai Radio Mesir pada hari yang sama.  Mulai saat itu suaranya dikenali ramai. Selepas beliau merakam suaranya dalam tahun 1961 Radio Mesir hanya  menyiarkan bacaannya seorang selama sepuluh tahun tanpa henti.

Sheikh Al Husari mempunyai nafas panjang yang dialunkan secara natural tanpa dipaksa-paksa seperti sesetengah qari. Beliau boleh membaca Al Quran secara berlagu dengan baik tetapi beliau bertarannum secara sangat berhati-hati tanpa berkompromi dengan hukum tajwid. Ketika membaca dengan kusyuk beliau akan menggeleng-gelengkan kepalanya ke kiri-dan ke kanan secara perlahan seperti orang beratib. Dikatakan, nada lagu dan stail pembacaan beliau terbit secara spontan hasil penghayatan beliau kepada makna-makna yang tersirat dalam ayat-ayat yang dibacanya. Beliau menegur pendengar-pendengar bacaan Al Quran Mesir yang menjerit-jerit  memuji-muji  para qari yang mengalunkan Al Quran secara berlebih-lebihan kerana ada masanya ayat yang dialunkan itu menceritakan azab neraka atau ancaman Allah.

Sheikh Al Husari mengabdi diri kepada Al Quran seluruh hidupnya. Selain memperdengarkan bacaannya beliau juga seorang ulama tafsir dan hadis serta selalu memberi kuliah di universiti di Mesir dan negara-negara Arab. Beliau juga berkebolehan mengarang dan merupakan qari pertama menulis kitab mengenai ilmu qiraat. Beliau dikenali sebagai orang yang warak dan mencetak hasil tulisannya menggunakan wang sendiri dan kemudian mengedarkannya secara percuma. Beliau menginfaq satu pertiga daripada hartanya kepada aktiviti-aktiviti berkaitan dengan Al Quran.

Peninggalan Sheikh Al Husari yang tidak ternilai ialah rakaman suaranya yang didengar oleh jutaan orang seluruh dunia sehingga hari ini. Beliau adalah orang pertama dalam sejarah merakam  Al Quran 30 juz dalam media audio. Ini dilakukan beliau dengan rakaman bacaan secara murattal mengikut qiraat riwayat Hafs dari Asim pada tahun 1961. Ini dikuti dengan bacaan lengkap qiraat riwayat Warsy dari Nafi’ dalam tahun 1964. Selepas itu dalam tahun 1968 beliau merakamkan pula qiraat riwayat Qalun dan riwayat Al Duri. Beliau juga merakamkan bacaannya secara mujawwad. Semua ini dilakukan beliau secara sangat teliti dan audio-audio itu hanya diluluskan setelah bacaannya disemak oleh pelbagai ulama. Lebih daripada itu Sheikh Al Husari membuat rakaman-rakaman itu secara percuma tanpa meminta sebarang bayaran dari studio.

Allah menyatakan dalam Al-Quran (mafhum):

     "Sesungguhnya Kami yang menurunkan Az-Zikr (Al-Quran) dan sesungguhnya Kami akan 
      memeliharanya" [Al-Hijr (15:9)]

Ulama menafsirkan, antara cara Allah memelihara kesucian Al-Quran ialah melahirkan para qari dan penghafaz dalam setiap generasi. Mereka ini mengenal setiap huruf dalam Al Quran seperti kita semua mengenal huruf A-Z atau nombor 1-9. Di atas qari-qari ini terletak tanggungjawab yang sangat berat untuk memastikan keaslian kitab suci ini kekal seperti mana Ia diterima dari Nabi Muhammad SAW dalam aspek tulisan dan bacaannya. Qari yang diiktiraf  memiliki sanad (pertalian) bacaannya tanpa terputus dari Rasulullah SAW. Oleh kerana itu ada satu aliran pembacaan yang tidak menggalakkan atau menegah  Al-Quran dilagukan. Dalam hal ini Sheikh Al Husari berpendapat ia boleh dibaca secara berlagu (tarannum) tetapi ia dibuat secara berhati-hati supaya penghayatan terhadap Kalam Allah itu kekal.

Di kalangan qari di Mesir beliau mempunyai status istimewa sebagai ketua para qari dengan gelaran khas Sheikh Al-Maqari. Pendapat beliau sering diminta oleh media dalam isu-isu berkaitan Al Quran. Beliau sering mengiringi pembesar-pembesar  Mesir termasuk Rektor Al-Azhar ke seluruh dunia memperdengarkan bacaannya. Beliau diberi penghormatan membaca Al-Quran dalam Rumah Putih, Istana Buckingham, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kongres Amerika dan banyak ibukota negara Islam dan bukan Islam.


bertemu Presiden Carter di Rumah Putih

Diberitakan terdapat peristiwa orang-orang memeluk Islam apabila mendengar bacaan Sheikh Al Husari. Dalam tahun 1965  ketika melawat Perancis 10 orang memeluk Islam setelah mendengar alunan bacaan Al Quran oleh beliau. Kemudian, semasa melawat Amerika Syarikat dalam dekad 1970an 18 lelaki dan seorang wanita memeluk Islam dalam satu majlis di mana beliau memperdengarkan bacaan Al Quran.

Semasa aku membuat kajian Tilawah Al-Quran beberapa tahun lalu, aku bertemu lagenda tilawah yang menjadi hakim selama hampir  enam dekad iaitu Tan Sri Hassan Azhari. Menurut Tan Sri Hassan, Sheikh Al Husari terlibat secara langsung dalam merangka skima pemarkahan Musabaqah Al-Quran Malaysia semasa ia dimulakan di awal 1960an dengan dibantu oleh timbalan beliau Sheikh Amir Al Said Uthman. Beliau juga bertindak sebagai hakim dan sering memperdengarkan bacaannya dalam majlis tersebut. Aku berpeluang menonton beliau sebagai qari jemputan membaca Surah Al Bayyinah semasa aku meneliti video lama di Filem Negara Malaysia di Petaling Jaya. Kelihatan beliau masih muda dalam usia 40an dengan janggut hitam keputihan.

Di negara ini pita bacaan beliau dimainkan dalam radio dan tv sejak 1960an dalam proram-program keugamaan terutama apabila berlaku kematian pemimpin negara atau malapetaka. Suatu masa dahulu azan solat dan bacaan tarhim  dan ibtihal sebelum solat subuh oleh Sheikh Al Husari sering berkumandang di udara. Perkara yang sama juga berlaku dalam stesen-stesen penyiaran rasmi di Indonesia, Singapura dan Brunei.


Qari masyhur ini meninggal secara mengejut akibat komplikasi jantung sebaik menamatkan solat Isya pada Isnin 16 Muharam bersamaan 24 November 1980 dalam usia 63 tahun. Walaupun beliau telah meninggalkan dunia ini suara emas beliau kekal didengar saban hari seluruh dunia. Rakaman bacaan beliau menjadi ilmu yang diwarisi umat Islam selain menjadi sedekah jariah beliau yang berkekalan. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun. Al Fatihah.


Bersambung - Duka Sheikh Al Husari (Yasmin Al Khayam)











Sunday 6 August 2017

ANGAN-ANGAN JADI PEGUAM


Kita tidak tahu semua perkara yang telah berlaku atau akan berlaku kepada diri kita sendiri. Banyak yang dihajati tidak tercapai. Ada juga yang menjadi. Di akhirnya kita mesti terima ia sebagai takdir. Namun kita boleh merancang tetapi Allah yang menetukan segalanya.

Semenjak kecil semua orang menaruh cita-cita tertentu sebagai karier hidup. Masa masuk sekolah dulu guru darjah bertanya kepada kami, "bila besar nanti nak jadi apa?" Macam-macam jawapan yang diberikan. Ada yang sangat menggelikan hati seperti, "saya nak jadi Agong cikgu." Itu jawapan yang sungguh innocent daripada budak berumur tujuh tahun ;)

Aku tidak ingat lagi  apa jawapan aku kepada guru darjah tersebut. Tapi sejak sekolah rendah lagi aku sudah bercita-cita suatu hari nanti akan menjadi peguam. Bagaimana minat ini timbul padahal tidak ada sesiapa pun dari kampungku menjawat jawatan yang dipandang hebat itu?

Ceritanya begini.

Dalam awal dekad 1970an filem Hindustan menguasai panggung-panggung tanahair kerana dunia filem Melayu yang sungguh malap. Corong-corong radio sering mengumandangkan lagu-lagu dendangan Lata Mangeskar, Asha Bhosle, Mohd Rafi dan Kishore Kumar. Panggung wayang dipenuhi peminat-peminat filem Hindustan. Filem Bobby dan Yaadon Ki Baarat menjadi box office. Sangam diulangtayang. Aku seperti budak-budak lain masa itu turut terhimbau dengan fenomena filem Hindustan ini. Dalam banyak-banyak aktor Hindustan, aku minat dengan Dharam Singh Deol atau lebih dikenali sebagai Dharmendra. Dia dianggap aktor Hindustan paling handsome dan pernah dipilih sebagai 10 aktor lelaki paling kacak di dunia. Filem Sholay dan Yaadon Ki Baarat yang dibintangi beliau dianggap antara filem Hindustan  terbaik sepanjang zaman.

Satu hari aku menonton tv di rumah bapa saudara. Dalam filem yang aku sudah lupa tajuknya  Dharmendra pelakon utama membawa watak peguam. Dalam satu babak dia berhujah dalam mahkamah membela clientnya seorang wanita. Aku begitu terkesima dengan gaya Dharmendra dalam jubah peguam. Sungguh tampan dan berwibawa. Itulah mulanya aku berangan-angan menjadi peguam.



Dharmendra semasa muda (atas) dan anaknya Sunny Deol sebagai peguam (bawah)

Semasa sekolah menengah aku sudah boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Aku membaca sebuah novel popular karangan Harold Robbins bertajuk Where Love Has Gone. Dalam novel itu watak utamanya adalah seorang District Attorney (DA) yang terperangkap dalam cinta dengan seorang gadis kompleks yang menghilangkan diri. Lantaran kecewa dia belajar undang-undang, menjadi pendakwa sehingga akhirnya meningkat sebagai DA. Di Malaysia jawatan DA ini setaraf Pengarah Pendakwaan Negeri. Tiba-tiba kekasih lamanya muncul sebagai tertuduh dalam satu kes besar yang dikendalikan oleh DA tadi. Kemuncaknya, tanpa disangka-sangka peguam wanita itu yang licik telah menghidu hubungan lama antara clientnya dengan DA yang menjalankan pendakwaan kes itu. DA lantas disapina untuk memberi keterangan sebagai saksi pembelaan tertuduh (kekasih lamanya). Ketika DA itu mengangkat sumpah dengan semua mata tertumpu kepadanya, kekasih lamanya bangkit secara dramatik menukar pengakuannya mengaku salah untuk menyelamatkan DA itu daripada dimalukan. Rupa-rupanya DA itu adalah cinta sejati bagi wanita kompleks tersebut. Walaupun telah terpisah sekian lama, dia masih mencintai sang hero.

novel ini memperkuat azamku untuk menjadi peguam

Semasa Pilihan Raya Umum 1982, Speaker Dewan Undangan Negeri bagi Negri Sembilan Dato Taha Talib telah di tempak mati di hadapan rumahnya pada awal pagi 14 April 1982. Kes bunuh itu menggemparkan seluruh negara apabila seteru politiknya Dato' Mokhtar Hashim iaitu Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan dituduh bersama beberapa orang lain melakukan pembunuhan tersebut.

Dato Taha Talib mati dibunuh semasa PRU 6 pada 14 April 1982

Dato' Mokhtar Hashim, Menteri KKBS yang berpotensi besar dalam politik negara
dituduh bersama-sama 5 yang lain membunuh Dato Taha.

Aku mengikuti perbicaaran jenayah itu penuh minat melalui laporan akhbar yang meluas. Aku mula didedahkan kepada istilah undang-undang seperti saksi alibi, bicara dalam bicara (trial within a trial), post mortem, laporan senjata api (balistic report). kes pendakwaan, kes pembelaan, hujah awal, hujah penggulungan dan banyak lagi. Aku juga mengingati nama-nama peguam yang mengedalikan kes itu seperti Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman, peguam-peguam Jagjit Singh, G. Sri Ram, Manjeet Singh dan Arifin Jaka. Akhirnya Dato' Mokhtar Hashim didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Rayuan beliau ke Mahkamah Persekutuan juga ditolak. Walau bagaimanapun rayuannya ke Lembaga Pengampunan diterima dan hukuman mati itu ditukar kepada penjara seumur hidup. Ketika hakim Mahkamah Tinggi YA Dato Hashim Yeop Sani menjatuhkan hukuman tersebut pada 6 Mac 1983 aku sedang menunggu keputusan STPM. Aku membaca keseluruhan keputusan yang disiarkan dalam semua akhbar. Memang sukar memahami istilah undang-undang yang begitu teknikal seperti fabricated evidence, case to answer, the defence is incredible dll. Ketika Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Dato Mokhtar aku sudah masuk UIA sebagai siswa undang-undang dan sudah memahami banyak istilah-istilah tersebut. 

Semasa menunggu keputusan STPM, aku bekerja di pam minyak Esso di Banda Hilir. Di situ aku selalu melihat peguam-peguam menuju ke mahkamah yang terletak di bangunan merah Stadhuys. Mereka nampak bergaya dan berwibawa dalam kot hitam. Satu hari semasa lunch break  di surau berdekatan aku terbaca kes Natrah yang ditulis dalam akhbar tabloid Bacaria. Tragedi kes Natrah begitu memukau imaginasiku terutamanya perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi Singapura tahun 1950 yang berakhir dengan dia dipisahkan daripada suaminya dan dihantar ke Belanda dan murtad. Cara penceritaan perbicaraan yang dramatik menambah minatku untuk menjadi peguam. Takdir menentukan aku akhirnya bertemu dengan peguam Natrah, Ahmad Ibrahim  dan penulis biografinya Fatini Yaacob. Ia berlaku semasa aku siswa UIA.

Apabila keputusan STPM keluar aku tanpa ragu-ragu memohon jurusan undang-undang di UM dan ITM. Ketika itu jurusan undang-undang hanya ditawarkan di dua institusi tersebut. Aku gagal mendapat tempat di UM tetapi diterima mengikuti kursus Diploma Undang-Undang di ITM. Aku sedikit kecewa kerana terpaksa ambil diploma saja dan tiada jaminan aku boleh menyambung pengajian di peringkat ijazah untuk melayakkan aku menjadi peguam. Lulusan diploma ITM melayakkan aku menjadi pembantu undang-undang sahaja bukannya peguam. Lantaran ini aku bercadang menukar kursus kepada Sebaran Am (Mass Communication) supaya aku boleh jadi penulis dan wartawan, iaitu bidang yang aku minat juga.

Mungkin jodoh aku menjadi peguam, UIA ditubuhkan secara tiba-tiba dan universiti antarabangsa pertama di Malaysia ini menawarkan dua kursus iaitu undang-undang dan ekonomi. Aku mengisi borang di saat akhir dan tanpa disangka-sangka aku diterima masuk untuk menjadi siswa perintis bulan Julai 1983.

Aku akan ceritakan lebih lanjut tentang Kulliyyah Undang-Undang UIA dan mahagurunya Profesor Ahmad Ibrahim iaitu peguam Natrah di Singapura dalam kesempatan lain. Setelah aku bekerja aku bertemu pula dengan tokoh-tokoh kes Mokhtar Hashim seperti Tan Sri Hashim Yeop Abdullah Sani (meninggal dunia dalam perkhidmatan sebagai Hakim Besar Malaya), Tan Sri Abu Talib Othman, Dato Gopal Sri Ram, Jagjit Singh, Manjeet Singh Dhillon dan Tan Sri Arifin Jaka.

Untuk kali ini cukuplah sekadar aku beritahu aku lulus Sarjana Muda Undang-Undang dan bertemu pula dengan bakal isteriku yang mengikuti kursus yang sama di UIA. Kedua-dua kami akhirnya menjadi peguam walaupun karier kami berbeza.

Aku dan isteri selepas dia diterima masuk sebagai peguam tahun 1992. Aku adalah Penolong
Kanan Pendaftar dalam mahkamah di mana petisyen Fairuz didengar.



Jadi dari 1983 hingga sekarang (2017) selama 35 tahun hidupku bergelumang dengan undang-undang. Tidak cukup dengan ijazah sarjana muda LL.B daripada UIA, aku melanjutkan pengajian di peringkat sarjana LL.M dan PhD di United Kingdom. Kemuncak pencapaian yang aku raih ialah profesor undang-undang UTM dan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi. Tapi tak tahu di mana mulanya, minat aku kepada undang-undang terhakis secara dramatik. Aku akan meninggalkan terus bidang ini. Sebab musabab aku hilang syahwat kepada undang-undang aku akan kisahkan kemudian.

Menara Pelangi 
Jalan Kuning, Taman Pelangi
Johor Bahru



Tuesday 1 August 2017

RE-UNION PIONEERS UIA


10 Oktober 2015

Satu hari semasa aku menulis alasan penghakiman dalam kamar hakim Jenayah No.2 di JB, Menteri Besar Perak menelefonku meminta aku menganjurkan pertemuan semula semua siswa perintis UIA. Beliau akan menajanya di Ipoh dalam bulan Syawal 2015.


 Kerja aku sebagai hakim memang terlalu sibuk.  Saban hari aku bekerja sekurang-kurangnya 16 jam. Tapi bila Dato' Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir ("Zambry") meminta jasabaikku menganjurkan pertemuan semula batch pertama UIA, aku tidak dapat menolak. Malah aku teruja. Pertamanya beliau adalah produk UIA yang paling berjaya (setakat ini). Keduanya, Zambry bukan sekadar MB Perak kepadaku. Dia adalah karib akrab malah sudah boleh dianggap seperti saudara. Kami tinggal  sebilik bertiga bersama seorang lagi kawan akrab, Alharsikanil ("Ashi") selama 2 tahun iaitu di tahun ketiga dan tahun akhir pengajian.  Bilik G4 yang kami huni meninggalkan berbagai  kenangan pahit manis. Sesetengahnya terlalu manis dan pahit untuk dikenang. Namun semuanya itu menjadikan kami bertiga akrab hingga ke hari ini walaupun tidak kerap bertemu lantaran tugas masing-masing.

Zambry memulakan kariernya sebagai pensyarah UIA tetapi dia meletak jawatan untuk aktif dalam politik UMNO. Beliau memenangi DUN Pangkor dalam PRU 2004 dan dilantik exco negeri Perak. Masa itu aku masih belajar di UK. Bintang politiknya cerah sehingga dilantik Menteri Besar Perak dalam peralihan kuasa yang dramatik di Perak tahun 2009. Sekarang sudah lapan tahun dia mengemudi negeri yang "panas" tersebut. Seperti Zambry, Ashi mula bekerja sebagai pensyarah di Pusat Matrikulasi UIA di Subang Jaya. Kemudian dia bekerja di Bank Negara dan kekal ke hari ini. 

Antara kami bertiga, Zambry bernikah paling awal dengan Saripah (sekarang Datin Seri Diraja) Percintaan mereka berdua berputik dan menjadi hangat semasa kami di G4. Saripah menuntut di Universiti Malaya. Dia bersekolah di Pulau Pangkor, kampung halaman Zambry dan kawan karib adik Zambry bernama Zawiah. Aku juga jatuh cinta dengan isteriku sekarang dalam masa yang sama. Ashi bercinta dengan seorang gadis manis dari Perak junior kami di UIA tapi cinta mereka tidak berakhir di jinjang pelamin lantaran tiada restu bapa perempuan itu. Ditakdirkan Ashi bertemu ganti cinta pertamanya itu dengan seorang anak muridnya yang manis bernama Zuripah semasa di Pusat Matrikulasi UIA dan mereka bernikah tidak lama selepas Ashi bertukar kerja di Bank Negara semasa Zuripah masih student. Aku paling lambat berkahwin kerana terpaksa menunggu Rizq Fairuz buah hatiku tamat belajar undang-undang. Fairuz junior kami di UIA juga. Aku berkenan dengan Fairuz semasa aku di tahun akhir dan dia di tahun pertama. Jadi penantianku berlangsung lebih tiga tahun sebelum kami diijbakabul pada 29 April 1990.

Keakraban kami bertiga berterusan selepas kami berkahwin dan berkeluarga. Jika dilihat secara lebih luas first batch UIA ("Pioneers") juga akrab antara satu sama lain. Keakraban ini disebablab banyak perkara. Paling utama jumlah kami yang kecil (kira-kira 130 orang sahaja) ketika UIA dibuka tahun 1983. Kami umpama anak pertama yang ditatang bagai minyak yang penuh.

Selepas Pioneers tamat pengajian bulan April 1987 kami dikumpulkan buat kali terakhir di Kem Bina Semangat di Port Dickson selama hampir seminggu menjalani khemah ibadah ke 8  iaitu kemuncak kepada tujuh khemah ibadah yang kami jalani sepanjang 4 tahun pengajian. Di situ kami diberikan suntikan terakhir sebelum dilepaskan kepada masyarakat yang ternanti-nanti produk satu gagasan besar negara ilham Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Perhimpunan kami yang terakhir itu menjadi satu kenangan yang tidak dapat dilupakan. Di akhir khemah ibadah itu kami berpisah dengan pelukan dan tangisan. Itulah perhimpunan terakhir  di mana semua kami hadir. Perhimpunan yang besar selepas itu ialah semasa majlis konvokesyen pertama UIA pada 10 Oktober 1987 di Pusat Islam. Tidak semua hadir kerana rakan-rakan dari luar negeri tidak datang. Ada juga rakan tempatan berada di luar negeri mengikut suami dan sebagainya.

Jadi Re Union Pioneers 2015 adalah usaha untuk mengumpulkan semua pioneers yang masih hidup selepas berpisah 28 tahun. Ini bukan perkara mudah kerana waktu berubah suasana bertukar. Semua kami telah mecapai usia sekurang-kurangnya 52 tahun. Jarak dan usia menjadi faktor penghalang yang bukannya kecil.

Niat murni Zambry ini aku tidak mampu menolaknya. Aku menerimanya tetapi merasakan bulan Syawal terlalu awal dan musim raya bukan mudah untuk mendapat kehadiran yang tinggi. Aku minta tangguh untuk melantik AJK.

Akhirnya AJK memutuskan tarikh Re Union Pioneers UIA ditetapkan pada 10 Oktober 2015 bertepatan ulangtahun ke 28 majlis konvo kami. Ia akan bermula pada 9hb disebelah malamnya dan berlangsung selama 3 hari di Kediaman Menteri Besar di Ipoh diikuti rehlah di Pulau Pangkor.


bertemu kali pertama dengan Najia Ahmad dari Sydney selepas
30 tahun. Kami bertemu di PJ sebelum Re-Union di Ipoh



Zambry bersama beberapa pensyarah termasuk Profesor Kamal Hasan

BERSAMBUNG