Tuesday, 1 August 2017

RE-UNION PIONEERS UIA


10 Oktober 2015

Satu hari semasa aku menulis alasan penghakiman dalam kamar hakim Jenayah No.2 di JB, Menteri Besar Perak menelefonku meminta aku menganjurkan pertemuan semula semua siswa perintis UIA. Beliau akan menajanya di Ipoh dalam bulan Syawal 2015.


 Kerja aku sebagai hakim memang terlalu sibuk.  Saban hari aku bekerja sekurang-kurangnya 16 jam. Tapi bila Dato' Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir ("Zambry") meminta jasabaikku menganjurkan pertemuan semula batch pertama UIA, aku tidak dapat menolak. Malah aku teruja. Pertamanya beliau adalah produk UIA yang paling berjaya (setakat ini). Keduanya, Zambry bukan sekadar MB Perak kepadaku. Dia adalah karib akrab malah sudah boleh dianggap seperti saudara. Kami tinggal  sebilik bertiga bersama seorang lagi kawan akrab, Alharsikanil ("Ashi") selama 2 tahun iaitu di tahun ketiga dan tahun akhir pengajian.  Bilik G4 yang kami huni meninggalkan berbagai  kenangan pahit manis. Sesetengahnya terlalu manis dan pahit untuk dikenang. Namun semuanya itu menjadikan kami bertiga akrab hingga ke hari ini walaupun tidak kerap bertemu lantaran tugas masing-masing.

Zambry memulakan kariernya sebagai pensyarah UIA tetapi dia meletak jawatan untuk aktif dalam politik UMNO. Beliau memenangi DUN Pangkor dalam PRU 2004 dan dilantik exco negeri Perak. Masa itu aku masih belajar di UK. Bintang politiknya cerah sehingga dilantik Menteri Besar Perak dalam peralihan kuasa yang dramatik di Perak tahun 2009. Sekarang sudah lapan tahun dia mengemudi negeri yang "panas" tersebut. Seperti Zambry, Ashi mula bekerja sebagai pensyarah di Pusat Matrikulasi UIA di Subang Jaya. Kemudian dia bekerja di Bank Negara dan kekal ke hari ini. 

Antara kami bertiga, Zambry bernikah paling awal dengan Saripah (sekarang Datin Seri Diraja) Percintaan mereka berdua berputik dan menjadi hangat semasa kami di G4. Saripah menuntut di Universiti Malaya. Dia bersekolah di Pulau Pangkor, kampung halaman Zambry dan kawan karib adik Zambry bernama Zawiah. Aku juga jatuh cinta dengan isteriku sekarang dalam masa yang sama. Ashi bercinta dengan seorang gadis manis dari Perak junior kami di UIA tapi cinta mereka tidak berakhir di jinjang pelamin lantaran tiada restu bapa perempuan itu. Ditakdirkan Ashi bertemu ganti cinta pertamanya itu dengan seorang anak muridnya yang manis bernama Zuripah semasa di Pusat Matrikulasi UIA dan mereka bernikah tidak lama selepas Ashi bertukar kerja di Bank Negara semasa Zuripah masih student. Aku paling lambat berkahwin kerana terpaksa menunggu Rizq Fairuz buah hatiku tamat belajar undang-undang. Fairuz junior kami di UIA juga. Aku berkenan dengan Fairuz semasa aku di tahun akhir dan dia di tahun pertama. Jadi penantianku berlangsung lebih tiga tahun sebelum kami diijbakabul pada 29 April 1990.

Keakraban kami bertiga berterusan selepas kami berkahwin dan berkeluarga. Jika dilihat secara lebih luas first batch UIA ("Pioneers") juga akrab antara satu sama lain. Keakraban ini disebablab banyak perkara. Paling utama jumlah kami yang kecil (kira-kira 130 orang sahaja) ketika UIA dibuka tahun 1983. Kami umpama anak pertama yang ditatang bagai minyak yang penuh.

Selepas Pioneers tamat pengajian bulan April 1987 kami dikumpulkan buat kali terakhir di Kem Bina Semangat di Port Dickson selama hampir seminggu menjalani khemah ibadah ke 8  iaitu kemuncak kepada tujuh khemah ibadah yang kami jalani sepanjang 4 tahun pengajian. Di situ kami diberikan suntikan terakhir sebelum dilepaskan kepada masyarakat yang ternanti-nanti produk satu gagasan besar negara ilham Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Perhimpunan kami yang terakhir itu menjadi satu kenangan yang tidak dapat dilupakan. Di akhir khemah ibadah itu kami berpisah dengan pelukan dan tangisan. Itulah perhimpunan terakhir  di mana semua kami hadir. Perhimpunan yang besar selepas itu ialah semasa majlis konvokesyen pertama UIA pada 10 Oktober 1987 di Pusat Islam. Tidak semua hadir kerana rakan-rakan dari luar negeri tidak datang. Ada juga rakan tempatan berada di luar negeri mengikut suami dan sebagainya.

Jadi Re Union Pioneers 2015 adalah usaha untuk mengumpulkan semua pioneers yang masih hidup selepas berpisah 28 tahun. Ini bukan perkara mudah kerana waktu berubah suasana bertukar. Semua kami telah mecapai usia sekurang-kurangnya 52 tahun. Jarak dan usia menjadi faktor penghalang yang bukannya kecil.

Niat murni Zambry ini aku tidak mampu menolaknya. Aku menerimanya tetapi merasakan bulan Syawal terlalu awal dan musim raya bukan mudah untuk mendapat kehadiran yang tinggi. Aku minta tangguh untuk melantik AJK.

Akhirnya AJK memutuskan tarikh Re Union Pioneers UIA ditetapkan pada 10 Oktober 2015 bertepatan ulangtahun ke 28 majlis konvo kami. Ia akan bermula pada 9hb disebelah malamnya dan berlangsung selama 3 hari di Kediaman Menteri Besar di Ipoh diikuti rehlah di Pulau Pangkor.


bertemu kali pertama dengan Najia Ahmad dari Sydney selepas
30 tahun. Kami bertemu di PJ sebelum Re-Union di Ipoh



Zambry bersama beberapa pensyarah termasuk Profesor Kamal Hasan

BERSAMBUNG

No comments:

Post a Comment