Jadual pelajar-pelajar SMS Melaka di SMMA (lebih dikenali sebagai Sekolah Munshi) hampir sama setiap hari. Bangun pagi solat subuh berjemaah, kemudian bersiap-siap berpakaian sekolah. Masa itu uniformnya kemeja putih lengan pendek dan seluar pendek berwarna putih juga. Selepas itu kami turun bersarapan di dewan makan. Telur rebus dihidangkan setiap hari. Ini suatu nikmat yang tidak pernah dirasai semasa di rumah. Lepas itu kami bersekolah sampai tengahari dan makan tengahari di dewan makan semula. Waktu petang kami berehat sebelum turun bermain di padang selepas minum petang di dewan makan tadi. Itu pun suatu nikmat juga untuk budak kampung seperti aku.
Sewaktu berehat selepas makan tengahari dan solat zuhur aku sering duduk di tepi tingkap asrama memerhatikan pancaragam SMMA berlatih di padang. Masih terngiang-ngiang di telingaku mereka memainkan lagu "Hamidah" ciptaan P.Ramlee. Sungguh mengasyikkan melihat kakak-kakak senior meniup rekorder sambil berkawad.
Waktu bersukan, permainan yang lazim ialah bolasepak, basketball dan ping pong. Aku memang tak pandai bermain menggunakan kaki. Kaki bangku kata orang. Tapi aku agak baik bermain menggunakan tangan seperti badminton, ping pong, basketball dan volleyball. Walau bagaimanapun disebabkan jumlah kami yang ramai susah kami bergilir-gilir bermain ping pong dan badminton. Lebih menjengkelkan ialah senior-senior memperkenalkan peraturan "winners stay" yakni yang kalah keluar dan yang menang kekal bermain lagi dalam gelanggang. Mana hati tak sakit, asyik-asyik orang itu juga yang main sampai rosak shuttlecock atau pecah bola pingpong! Main bola tak pandai, main hoki takut kena rembat, main court games asyik kena "losers out", akhirnya aku dan beberapa kawan-kawan duduk-duduk saja tepi padang melihat perangai orang.
Di awal tahun ada temasya sukan pelbagai permainan antara sekolah. Kami menjadi penyokong tegar SMMA. Tahun1976 SMMA cemerlang dalam bolasepak sehingga sampai peringkat separuh akhir negeri Melaka. Aku masih ingat kehebatan abang Gapam. Entah apa namanya tapi dipanggil Gapam sempena kampung kelahirannya.
Kami juga diwajibkan berlari merentas desa. Kami akan berpusing padang sekolah kemudian berlari di luar sekolah melalui beberapa kampung. Di penghujung trek kami akan merentasi sebuah jirat cina yang besar sebelum memasuki kawasan sekolah semula. Kami ditakut-takutkan bahawa jirat itu "keras". Memamg ada kawan-kawan yang lemah semangat mengigau malam selepas merentas desa. Tapi budak-budak yang kuat semangat lain pula dibuat mereka. Mereka akan mencuri makan buah-buahan ibadat di kubur cina itu!
Setiap hari jumaat kami akan berjalan kaki bersolat jumaat di Kampung Sg Putat. Ia agak jauh juga dari sekolah. Waktu awal tahun cuaca memang panas dan daun-daun getah gugur menafikan kami teduhan daripada pancaran sinar matahari terik. Bila sampai masjid kami sering tertidur kerana letih dan imam masjid Sg Putat masa itu sangat tua. Aku ingat lagi cara dia memulakan khutbah. Dengan perlahan dia bangun dan berucap terketar-ketar, "Assalamu alaikummm warahmatullahi wabarakatuhhhhh". Dia mengambil masa hampir setengah minit menuturkan salam kepada jemaah!
1 April 1976 datang membawa kejutan. Kami pelajar SMS Melaka bangun pagi terpinga-pinga melihat muka masing-masing yang mengejutkan. Ada yang kena kena conteng dan disapu kapur. Kena lipstick pun ada. Bila kami pergi ke ampaian untuk mengambil baju yang disidai malam tadi kami tersentak melihat ada bra di situ. Dari mana datangnya benda ni? kami bertanya sesama sendiri. Banyak juga pakaian yang hilang. Kejutan itu bertambah semasa kelas pendidikan jasmani di padang. Sebatang pokok yang daunnya luruh kerana cuaca panas telah kembali berdaun dalam semalaman sahaja. Entah siapa yang menyangkutkan seluar dalam, bra, panties dan pakaian-pakaian lain di ranting-ranting pokok itu. Bila angin bertiup kencang ramai pelajar yang bersenam di bawah menerima bahana! Di tepi padang atas suatu tebing, tulisan rentang yang dibina daripada batu-bata bertulis "ASRAMA MUNSHI" telah bertukar menjadi "ASMARA BERAHI". Macam-macam lagi keributan telah berlaku pada malam sebelumnya. Ada pelajar lelaki yang menceroboh asrama perempuan dan mencuri pakaian dalam di ampaian Asrama Puteri.
Hari itu perhimpunan tergempar diadakan bagi pelajar SMS Melaka dan SMMA yang duduk asrama. Pengetua SMMA En Yahya Mayah telah berucap mengecam peristiwa April Fool tersebut. Aku tertanya-tanya kepada kawan-kawan apa maksud April Fool. Orang yang ditanya pun sama bodoh dengan yang menanya. Pak Yak (nama manja Pengetua Yahya Mayah) begitu kesal dan marah atas perbuatan yang keterlaluan itu. Beliau bukanlah seorang penutur yang fasih. Makin marah makin gagap dia. Pelajar-pelajar SMMA yang terlibat tersenyum sesama sendiri di belakang.
No comments:
Post a Comment