1989 - 1990 Penjara Kajang
Apa yang aku kisahkan di sini adalah berdasarkan sumber-sumber yang aku kutip sendiri. Aku cuma luahkan semula apa yang aku dengar. Ia mungkin hearsay jadi aku tidak dapat memastikan kesahihan semuanya.
Semasa bertugas sebagai majistret Kajang aku sering ke Penjara Kajang di Sungai Jeluk. Setiap minggu aku ke sana untuk mendengar permohonan lanjutan perintah reman untuk tahanan-tahanan. Selain daripada itu aku akan hadir menyaksikan pelaksanaan hukuman gantung sampai mati apabila diperlukan.
Semasa memberi perintah reman aku sering melihat kelibat seorang banduan wanita Eropah yang manis. Dia berjalan ke sana-sini agak bebas dan daripada uniformnya dapat ditelah dia adalah banduan yang sedang mengakhiri tempoh hukuman dan akan dibebaskan tidak lama lagi.
Beatrice Saubine dalam umur awal 20an
Banduan itu bernama Beatrice Saubine. Kisah Beatrice sangat menarik. Tidak ramai yang tahu keistimewaan atau kepelikan kesnya. Untuk mereka yang seangkatan denganku Beatrice agak popular juga di awal 1980an kerana perbicaaan kesnya diberi laporan meluas.
Pada 27 Januari 1980 gadis Perancis yang manis berumur 20 tahun itu bertolak dari Hotel mewah penuh sejarah Eastern and Oriental menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas. Di situ begnya diperiksa oleh kastam dan apabila diselongkar, di celah satu bahagian yang tersembunyi banyak bungkusan berisi dadah heroin ditemui. Nilai dadah cocaine tulen itu dianggarkan setengah juta ringgit dalam pasaran. Beatrice diberkas dan ditahan. Semasa perbicaraan Mahkamah Tinggi Beatrice disabitkan dan dihukum gantung sampai mati. Tetapi Mahkamah Persekutuan menerima rayuannya dan menukar hukumannya kepada penjara seumur hidup. Tun Mohamed Suffian yang mengetuai panel rayuan memutuskan terdapat beberapa keadaan luarbiasa yang tidak melayakkan Beatrice dihukum gantung. Apa yang pelik keputusan itu tidak mengikut peruntukan undang-undang kerana jika pesalah disabitkan atas kesalahan mengedar dadah hukumannya hanya satu. Gantung sampai mati.
Bila aku menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan tahun 1987 aku diletakkan di bawah seliaan Tan Kim Siong iaitu majistret tuntutan kecil (small claims court). Sebelum itu Tan Kim Siong adalah jurubahasa veteran mahkamah. Dia cuti belajar di UK dan lulus ijazah undang-undang. Sekembalinya ke tanahair dia dilantik penolong kanan pendaftar di Mahkamah Persekutuan. Semasa rayuan kes Beatrice dia masih jurubahasa dan banyak mengetahui cerita-cerita di sebalik tabir.
Menurut Tan Kim Siong, YAA Tan Sri Raja Azlan Shah (ketika itu Hakim Besar Malaya) telah memintanya bertemu Tun Suffian untuk mendapatkan alasan penghakiman bertulis kes rayuan Beatrice Saubine kerana beliau pelik bagaimana korum rayuan itu menjatuhkan hukuman di luar peruntukan undang-undang. Korum itu tidak menulis alasan penghakimannya. Dalam penghakiman lisan Tun Suffian memutuskan kes Beatrice Saubine tidak boleh dijadikan panduan ("precedent") yang mengikat bagi kes-kes lain di masa hadapan. Sungguh pelik!. Tan Kim Siong berbisik kepada aku Hakim Azlan Shah mengomel-ngomel mengatakan Tun Suffian yang Anglophile membiarkan rasa simpatinya kepada orang putih mengatasi pertimbangan kehakimannya.
Beatrice selepas dibebaskan menulis pengalaman hidupnya dalam
penjara Malaysia. Bukunya penuh kontroversi.
Sememangnya Badan Kehakiman dan Malaysia dikritik hebat ketika itu kerana Beatrice adalah orang Eropah dan warganegara asing yang pertama dijatuhi hukuman gantung. Peguam Beatrice Mr Kumarendran telah memberi banyak maklumat kepada media asing bahawa Beatrice dikatakan mangsa keadaan dan dia dijadikan keldai oleh kekasihnya seorang pemuda Cina hartawan tempatan untuk membawa suitcase yang Beatrice tidak ada pemgetahuan isi kandungannya. Menurut versi Beatrice, beg itu akan diberikan kepada kekasihnya di Zurich dan mereka akan berkahwin selepas itu.
Aku rasa kalaulah kes Beatrice didengar sekarang, peluangnya untuk dibebaskan hampir tiada langsung. Pembelaan sebegini akan ditolak oleh mahkamah. Selepas Beatrice ramai warganegara asing berkulit putih atau hitam telah menjalani hukuman gantung hingga mati walaupun mereka membangkitkan pembelaan yang serupa.
YAA Tun Mohamed Suffian Hashim, Ketua Hakim Negara
yang mengetuai panel rayuan Mahkamah Persekutuan yang membuat
keputusan di luar peruntukan undang-undang dalam kes Beatrice Saubine
Aku pernah berbual dengan seorang pegawai penjara berketurunan Punjabi mengenai Beatrice semasa menunggu pelaksanaan satu hukuman gantung. Pegawai penjara itu memberitahuku Beatrice akan dibebaskan tidak lama lagi. Dia dibebaskan lebih awal kerana berkelakuan baik. Kata pegawai itu lagi Beatrice fasih bercakap Melayu dan Cina setelah menghuni penjara lebih sepuluh tahun. Namun pegawai Punjabi itu berbisik kepada aku yang Beatrice telah membawa masalah. "Kemesraan"nya telah menjadi satu skandal. Ada warder yang meminta ciuman dari wanita muda Perancis tersebut. Beatrice yang manis itu menurut tanpa soal. Lebih buruk daripada itu Beatrice dikatakan dibawa keluar dari kurungannya waktu malam untuk bersiar-siar dan makan satay di Kajang dan ada cerita-cerita kedengaran bahawa sebagai balasan kepada "kemewahan" itu Beatrice telah pergi lebih jauh daripada sekadar ciuman. Dia dikatakan "digunakan" oleh pegawai-pegawai Penjara. Wallahua'lam. Ini mungkin satu tohmahan so we stop at that.
Beatrice akhirnya dibebaskan pada tahun 1990 dan kembali ke Perancis. Dia menulis buku yang menjadi bestseller mengenai pengalamannya dalam penjara Malaysia. Beatrice tidak berkahwin atau mempunyai anak. Pada tahun 2007 dia meninggal dunia dalam usia 48 tahun akibat komplikasi jantung.
Menara Pelangi
29 Syawal 1438 Hijrah
Wow..menarik..so memang betullah banduan di Penjara Kajang boleh keluar masuk kalau baik dengan warden2 penjara ;-)
ReplyDelete