Wednesday, 5 July 2017

MENDAFTAR DIRI DI UIA



16 Julai 1983

Hari itu aku aku genap 20 tahun. Hari itu aku melangkah tegap menapak memasuki menara gading. Masuk universiti adalah idaman hampir semua pelajar sekolah. Diterima masuk untuk belajar universiti adalah satu pencapaian besar ketika itu. Masuk universiti dianggap masuk kelab orang terpelajar. Ia menjanjikan kehidupan yang lebih baik sekiranya lulus nanti. Bagi anak orang kampung seperti aku, ini satu mimpi yang menjadi kenyataan.

Pendaftaran siswa-siswi perintis UIA tersebut berlaku dalam bulan Syawal. Kehangatan Hari Raya masih terasa. Hari Raya tahun itu sungguh bermakna bagiku kerana ke mana saja aku jalan Raya, saudara-mara dan kawan-kawan akan bertanya aku dapat masuk universiti mana. Dengan bangganya aku menyebut UIA. UIA adalah gagasan negara yang sibuk diperkatakan jadi aku rasa hebat juga.

foto aku 1 Syawal 1983 beberapa hari sebelum masuk UIA

Pagi-pagi lagi aku dihantar oleh abang Khalid ke kampus UIA di Jalan Universiti, Petaling Jaya. Abang Khalid bekerja sebagai wartawan New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar.  Dari rumahnya di Shah Alam, kampus UIA itu ditempuhi dahulu sebelum dia ke ofis.  Kampus UIA itu kecil saja berbanding dengan kampus-kampus universiti yang lain. Boleh dikatakan UIA ditubuhkan secara tergesa-gesa. Ketika aku mendaftarkan diri dan untuk beberapa  minggu berikutnya kerja-kerrja pembaikan berjalan di bahagian pentadbiran, dewan kuliah, bilik tutorial dan asrama. Bau cat dan varnish ada di mana-mana.

Aku beratur bersama-sama pelajar-pelajar lain di dalam Dewan Al Malik Faisal. Dewan ini mengambil nama Raja Saudi Raja Faisal Abdul Aziz Al Saud (lahir 1906 md 1975) yang terkenal sebagai seorang raja yang warak, dermawan dan bijak memerintah. Baginda dibunuh secara tragik oleh anak saudaranya dalam satu majlis keramaian pada tahun 1975. Semasa hayatnya baginda banyak menderma untuk membangunkan masjid dan madrasah di serata dunia. Dewan ini kecil sahaja, iaitu besar sedikit daripada dewan sekolah lama aku di SDAR, Seremban dan Sek Men Sains Melaka.

Dalam barisan aku lihat ada beberapa orang yang lebih tua turut mendaftar. Aku agak umur mereka dalam 30an. Susuk badan mereka agak tinggi, tegap dan berjalan dengan bergaya. Mereka rancak berbual sesama sendiri bercampur-campur  bahasa Inggeris dan Melayu. Aku hairan bila melihat beberapa orang perempuan datang mendaftar dengan memakai jeans dan t-shirt ketat. Mereka berbual sesama mereka dalam bahasa Inggeris yang fasih.

Seorang di belakang aku bekata, "masya Allah" dengan nada kesal bila melihat perempuan-perempuan yang datang masuk universiti Islam tanpa menutup aurat. Lelaki tegap di hadapan aku menyahut dengan kalimah yang sama tetapi diiringi dengan senyuman sinis. Nama lelaki ini ASP Mohd Nawawi Ismail. seorang pegawai polis yang sama-sama mendaftar untuk mengikuti program undang-undang. Rupanya perempuan-perempuan itu datang dari Singapura. Mungkin mereka tidak menyangka sebuah universiti antarabangsa mewajibkan penuntut-penuntut perempuannya menutup aurat. Perkara ini juga tidak disebut dalam surat tawaran. Terdapat juga beberapa orang pelajar berketurunan Cina perempuan turut mendaftar. Mereka juga tidak bertudung.

Pendaftaran tidak mengambil masa yang lama kerana hanya dua jurusan ditawarkan iaitu undang-undang dan ekonomi. Rasanya tidak sampai dua ratus orang yang mendaftar majoritinya dari Malaysia dan sedikit dari Singapura. Pelajar-pelajar antarabangsa dari Sri Lanka, Bangladesh, Korea, Brunei, Australia dan New Zealand datang mendaftar beberapa minggu kemudian.

Setelah mendaftar aku diberi sehelai baju batik universiti berwarna keemasan daripada kain kapas yang berkualiti rendah kerana mudah berkedut. Aku seperti pelajar-pelajar lain, juga diberi sebiji bantal dan kunci bilik asrama. Kemudian kami masuk ke bilik asrama masing-masing.

Aku diberikan bilik kecil yang baru dipartition lengkap dengan katil bertilam baru, almari pakaian dan meja tulis. Tingkap bilik itu jenis lama yang ada dua daun yang boleh ditolak ke atas untuk membukanya dan ditarik  semula untuk merapatkannya. Bilik aku terletak di tingkat atas Blok A. Dari jendela bilik aku boleh melihat terus ke bangunan pentadbiran dan perpustakaan yang berwarna coklat keperangan yang terhasil daripada susunan batu-bata yang tidak disimen.  Di bawah ada dua gelanggang sepak takraw. Di belakangnya terbentang padang kosong sehingga ke deretan pokok-pokok ru yang mendereti susur jalan masuk ke universiti. Di belakangnya Jalan Universiti.

Di sebelah bertentangan bilik terdapat Blok B dengan ketinggian dan bentuknya sama dengan Blok A yang aku duduki. Di antara kedua-dua blok itu ada kawasan lapang yang disediakan ampaian kain untuk kami menjemur pakaian. Ada sebatang pokok kelapa sawit tua yang kurus meninggi di situ.

Setiap bilik dikongsi dua orang. 

Teman bilikku seorang yang tinggi dan berbadan gempal. Kulitnya hitam. Aku tidak pasti dari mana asalnya sama ada dari Malaysia atau luar negeri.

"Assalamu alaikum, I am Sabirin from Malaysia," aku menghulurkan tangan perkenalan. " Eden Saukat Ali dari Soromban," Dia menyambut tanganku sambil tersengih. Rupanya dia mamak dari Labu tidak jauh dari Seremban. Aku terus ketawa dan kami terus berbual mesra dalam loghat Minang, Saukat Ali Bin Narul Haq adalah lepasan Sekolah Tuanku Ampuan Durah iaitu jiran kepada SDAR di Seremban.

Semasa lunch  kami dijamu nasi beriyani yang enak. Aku makan penuh selera.

Petangnya, taklimat pertama disampaikan oleh Profesor Dr Muhammad Kamal Hasan, Sheikh Al Kulliyyah, Markaz Ilmu Teras. Aku pernah mendengar ceramahnya setahun sebelum itu semasa mengikuti Nadwah Kepimpinan Pelajar-Pelajar Sekolah-Sekolah Berasrama Penuh di Kolej Islam Kelang. Dia seorang yang segak dan berketrampilan, berkulit putih bersih serta bermisai dan berjambang kemas. Songkok hitam tidak lepas dari kepalanya. Prof. Kamal  bertutur bahasa Inggeris yang fasih dalam telo Amerika. Aku lihat sebahagian besar pelajar terkial-kial cuma memahami butir percakapannya. Bahasa Inggerisku boleh tahan jadi aku faham apa yang cuba diterangkan - falsafah universiti, objektif melahirkan profesional berjiwa Islam serta disiplin berpakaian. Dia menekankan sebagai sebuah universiti Islam, semua pelajarnya mesti menutup aurat. "the sisters must cover their heads and do not wear tight clothes that exhibit the contours of the body," jelasnya. Di akhir taklimatnya dia berseloroh apabila tiada soalan dikemukakan oleh pelajar-pelajar, "if there is no question, perhaps the English teachers at the back would like to correct my English?". Jenaka ini membuatkan beberapa pelajar-pelajar, terutamanya yang lebih tua ketawa. Mereka ini mendapat cuti belajar daripada Polis Diraja Malaysia. Aku perhatikan mereka confident dan bertutur dalaam bahasa Inggeris yang baik. Aku dan ramai pelajar yang baru keluar sekolah tidak ada keyakinan yang tinggi untuk bertanyakan soalan dalam bahasa Inggeris. Jadi kami mendengar dan memerhati sahaja.

Semasa makan malam yang agak simple juadahnya berbanding nasi briyani tengahari tadi, pelajar-pelajar muda melahirkan kebimbangan mereka mengenai tahap bahasa Inggeris masing-masing. Ramai tidak yakin. Mereka lulusan sekolah ugama. Ramai  dari Kolej Islam Kelang. Daripada apa yang aku dengar, mereka masuk UIA kerana percaya mereka boleh memilih antara aliran Inggeris atau Arab. Sudah tentu pilihan mereka aliran Arab. Tetapi apabila mendengar penggunaan Bahasa Inggeris yang begitu meluas, mereka gusar. Ada yang sudah berkira-kira untuk bertukar universiti ke Akademi Islam UM atau Fakulti Pengajian Islam UKM.

Nota: Artikel ini dipindahkan dari blog lama yang telah ditutup
          Ia ditulis tahun 2016

Taman Sentosa
Johor Bahru


No comments:

Post a Comment