Cardiff 1997 - Pakcik Hemza
Semasa berada di Cardiff 1996 - 1998 aku bertemu dengan seorang tua yang istimewa. Namanya Mohamed Hemza (dikenal sebagai Hemza). Beliau adalah rakyat Britain tetapi lahir di Melaka. Masa itu Melaka berada di bawah Malaya. Beliau meninggalkan kampung halamannya sebelum Perang Dunia Kedua dan tidak pernah pulang ke Malaysia hingga ke akhir hayatnya. Bagi aku cerita Pakcik Hemza ini adalah satu tragedi dan ada pengajaran yang perlu dipelajari daripadanya. Aku akan ceritakan bila ada kelapangan nanti.
Di bulan Raya 1997 Pakcik Hemza berkunjung ke rumahku
di 53 Brook Street, Cardiff
Pakcik Hemza bersama bapa mertuaku Hj Mohd Ramli (ketayap putih) dan wartawan
Utusan London Kakak Zaharah dan suaminya Abang Hulaimi dan anak-anak mereka.
Ada sikit senggang masa. Aku sambung cerita Pakcik Hemza.
Musim Raya 1997 Cardiff terpilih sebagai satu lokasi penggambaran RTM. Ini adalah hasil bantuan ibu saudaraku Hasiah Arifin, seorang penerbit kanan di stesen penyiaran negara itu. Chik Hasiah telah meminta Zaharah Osman, wakil RTM di London untuk membuat coverage. Selain merakam aktiviti penuntut-penuntut Malaysia di rumah warden Cardiff, Pak Rani, Kak Zaharah juga membuat kajian mengenai masyarakat Melayu United Kingdom.
Terdapat masyarakat Melayu yang telah bertapak agak lama di Cardiff dan Liverpool. Mereka asalnya kelasi kapal yang memilih menetap di UK kerana dasar imigresen yang liberal selepas Perang Dunia Kedua.
Pakcik Hemza datang ke rumahku di No 53 Brook Street di bawa oleh Kak Zaharah dan suaminya Abang Hulaimi. Mereka PR UK. Abang Hulaimi berkelulusan undang-undang tetapi bekerja sebagai freelance journalist di London. Dia telah menulis sebuah buku yang menarik berjodol Awang Goneng. Rumah aku dipilih sebab bapa dan ibu mertuaku ada bersama kami di Cardiff selama setahun. Mereka datang membantu mengasuh anak bongsuku Muhammad Fahim yang lahir di Cardiff pada 1 Januari 1997. Ini untuk membantu isteriku Fairuz yang turut buat ijazah masters seperti aku juga. Ibu mertuaku Hajah Napisah Arifin menjadi pembimbing ugama tidak rasmi di Cardiff kerana beliau adalah guru ugama di Perak.
Pakcik Hemza lincah berbicara macam kebanyakan orang Melaka. Apa yang menarik ingatannya kuat dan pertuturannya ikut bahasa lama sama seperti orang-orang Melaka sebelum Perang Dunia Kedua. Contohnya bila dia menerangkan sifat orang Melaka, "orang Melaka ni cakap tak guna tikam tak kena."
Pakcik Hemza bertanyakan keadaan kampungnya sekarang tanpa menyedari terlalu banyak perubahan yang telah berlaku sejak 60 tahun dia meninggalkan tanahair. "Kat Kampung Duyung tu banyak buaya. Jalan kecik. Banyak pokok-pokok besau (besar) tepi jalan." Aku ketawa kerana Duyung sekarang adalah laluan utama dan sudah terlalu hampir dengan Bandaraya Melaka.
Dia meninggalkan kampungnya kerana merajuk dimarahi kakaknya hanya kerana dia mengambil duit 15 sen untuk berbelanja. Mungkin masa itu duit 15 sen itu besar nilainya. Masa itu umurnya 16 tahun. Dia lari meninggalkan kampung mengikut kapal barang sehingga sampai ke perairan Wales, UK. Di sana kapalnya ditembak oleh kapal selam U-Boat Jerman dan karam. Dia dan penumpang-penumpang yang selamat dibawa ke Cardiff. Di situlah dia menetap sehingga ke akhir hayatnya.
Selain Pakcik Hemza ada beberapa orang Melayu yang menetap di Cardiff. Ramai di kawasan dekat pelabuhan bernama Cardiff Dock. Itu slump area. Ada juga yang duduk dalam kota Cardiff di Miskin Street dan sebagainya.
Beberapa tahun di Cardiff dia menulis surat ke kampung. Adik beradiknya beranggapan dia telah masuk Kristian dan mengikut cara hidup orang putih kerana dia menulis namanya sebagai M. Hemza bukannya Mohamed Bin Hamzah. Zaman itu prejudis keugamaan masih menebal jadi hubungannya dengan sanak saudara terputus.
Pakcik Hemza berkahwin dengan wanita tempatan sebanyak dua kali. Yang pertama berakhir dengan perceraian tanpa anak. Yang kedua dengan seorang wanita Jerman yang menetap di Cardiff dan mereka dianugerahi 4 anak. Kalau tak silap semuanya perempuan. Mereka manis-manis belaka. Isteri Jermannya membuat hubungan sulit dan Pakcik Hemza menceraikannya. Depan aku dia mengutuk bekas isterinya sebagai "perempuan jahat, perempuan gemuk malas mandi", dan "cicit Hitler".
Di rumahku Pakcik Hemza berbual rancak dengan bapa mertuaku. Dia asyik bercerita tentang kelazatan buah durian yang tidak pernah dirasainya sejak datang ke UK. Dia pernah memegang buah durian di kedai Cina Cardiff tapi apabila diberitahu harganya GBP 30 sebiji dia terus melupakan hasratnya. Dia tidak mampu. Secara kebetulan kami ada pengat durian yang disejuk beku. Ibu mertuaku memanaskannya dan menghidangkannya kepada Pakcik Hemza. Dia bertanya itu aiskrim apa. Ternyata dia telah hilang daya hidu dan daya rasa durian selepas 60 tahun tidak merasainya.
Kepada students Malaysia dia selalu menyuruh mereka kahwin dengan anak-anaknya yang cantik itu. Students pula bertanyakan ugama anak-anaknya. Pakcik Hemza akan menjawab sedikit kesal, "ugama mereka ikut orang sini". Satu hari aku kebetulan bertemu dengan anak perempuannya yang bernama Maria, pekerja Restoran Harry Ramsden iaitu kedai Fish n Chips yang terkenal di Cardiff Bay. Maria memang cantik dengan muka kacukannya. Aku bertanyakan sama ada dia anak Pakcik Hemza. "Yes I am Hemza's daughter. You know my father?" Dia mengaku dan menyoal kembali dalam telo Cardiff yang pekat.
Interbiu RTM dengannya semasa Raya itu disiarkan di Malaysia dan menimbulkan kegemparan sanak saudaranya. Mereka tidak percaya dia masih hidup kerana semua adik-beradiknya telah pun meninggal dunia. Pakcik Hemza muncul di kaca TV bercakap Melayu fasih dan berketayap. Ini tentunya telah mengubah persepsi sanak saudaranya di sekitar Kampung Duyung, Melaka. Kemunculannya yang tidak disangka-sangka itu juga menimbulkan kerumitan.
Terdapat tanah pesaka yang berharga di Duyung membabitkannya. Kerana Pakcik Hemza sah masih hidup anak-anak saudaranya perlu mendapat persetujuannya untuk pembahagian pesaka. Satu malam aku mendapat panggilan telefon seorang warisnya dari Melaka. Mereka bercadang membawanya pulang untuk menyelesaikan hal ehwal tanah pesaka yang mereka bercadang menjualnya. Mereka meminta pertolonganku.
Pakcik Hemza berhajat kembali ke Malaysia tetapi anak-anak perempuannya menghalang bimbang dia pulang terus ke Melaka. Seperkara lagi, Pakcik Hemza berada dalam tanggungan welfare Kerajaan British dan menikmati rumah council percuma dan mendapat elaun hidup Dole setiap minggu. Semua itu akan ditarik balik jika diketahui dia berkemampuan holiday ke luar negara.
Atas kerumitan-kerumitan itu Pakcik Hemza tidak jadi pulang ke Malaysia. Aku dan Abang Hulaimi pernah menziarahi fletnya yang sederhana. Dia tinggal sendirian. Terdapat satu tali litar berwarna merah terjuntai di ruang tamu. Tangan aku gatal-gatal menariknya. Tiba-tiba intercom berbunyi dan satu suara muncul, "This is police, are you alright there Mr Hemza?". Pakcik Hemza membalas menyatakan semua okay dan dia tertarik tali itu secara tidak sengaja. Abang Hulaimi mentertawakan aku. Rupanya itu sistem di UK untuk membantu warga emas yang tinggal bersendirian.
Beberapa tahun selepas aku kembali ke Malaysia, aku bertemu seorang undergraduate student Cardiff. Aku bertanyakan ehwal Pakcik Hemza. Dia memberitahu Pakcik Hemza telah meninggal dunia. Dia meninggal keseorangan dan mayatnya ditemui lewat dan diletakkan di mortuary biasa. Kematiannya hanya disedari melalui satu iklan dalam akhbar tempatan yang mencari warisnya jika tidak mayatnya akan dibakar. Seorang student Malaysia perasan wajahnya dalam iklan dan memaklumkannya kepada beberapa kawan Pakcik Hemza yang berugama Islam. Mereka menuntut mayatnya dan menyempurnakan jenazahnya dan dikebumikan secara orang Islam. Allah masih menyayangi Pakcik Hemza.
Taman Sentosa
Johor Bahru
Hotels near Hollywood Casino, Hollywood, FL
ReplyDeleteFind the best hotels 김제 출장마사지 near Hollywood Casino, Hollywood, 도레미시디 출장샵 FL on MapYRO. HOLLYWOOD CASINO in Hollywood, FL, United 나주 출장마사지 States of 파주 출장샵 America. Find Hotel 양주 출장마사지