Wednesday 20 September 2017

MARIAYEE: DIBUNUH IBU KERANA CINTA


Kuala Kubu Bharu (KKB) 1988 - kisah Mariayee gadis Tamil yang ayu.



Aktres Tamil, Trisha (foto hiasan)

Hari ni aku nak melompat ke hadapan. Cerita hidup remajaku di Sekolah Menengah Sains  Melaka, Ayer Keroh (Mozac) aku park dulu untuk luahan masa lain. Entah macam mana otakku ditubi-tubi oleh kenangan lama dan nama Mariayee ini timbul secara automatik. Malam semalam aku letih sekali selepas mengajar students MBA selama lapan jam di hari Ahad. Sungguh renyah mengajar subjek Business Law kepada students yang tidak pernah mengambil subjek undang-undang semasa undergraduate. Punah hujung minggu aku lagi. 

Bila balik selepas maghrib, aku membuat rutin biasa di pinggir malam... mandi, solat, makan. Lepas itu aku tersandar menonton tv. Cerita tak menarik jadi aku buka You Tube,  menonton sambil mendengar klip lagu-lagu Hindustan lama. Fuhh, lega sungguh mendengar kelunakan suara Mohd Rafi dan aksi-aksi Shammi Kapoor yang flamboyant. Hebatnya Mohd Rafi ni ialah dia boleh meminjamkan dan membuat variasi suaranya bukan sahaja kepada aktor-aktor yang handsome; pelawak dan kanak-kanak pun menggunakan suaranya dalam pelbagai suasana...riang, rancak, jenaka, sedih dll. Mohd Rafi sendiri tidak kacak. Orangnya pendek saja. Dia dicintai orang-orang yang mengenalinya kerana pemurah, warak dan sangat sopan. Dia dilahirkan dalam wilayah Punjab, Pakistan tetapi memilih untuk tinggal di India semasa pemisahan India-Pakistan tahun 1948. Dia meninggal mengejut kerana sakit jantung masa aku tingkatan lima iaitu tahun 1980. Akhbar masa itu menyiarkan berita bahawa beribu-ribu orang mengiringi jenazahnya ke kubur. Di India dia menjadi lagenda dan orang-orang yang taksub mengatakan suaranya  datang dari syurga. Beberapa tahun dulu stesen CNN India memilihnya, berdasarkan pungutan suara penonton (yang majoritinya Hindu) sebagai penyanyi India terhebat sepanjang zaman.

Mohd Rafi dan Lata Mangeskar dalam sesi rakaman suara

Semasa aku kecil radio selalu memainkan lagu-lagu daripada Filem Hindustan. Kerana kekerapan lagu-lagu Hindi ini dimuntahkan saban hari, aku sudah mengenal suara Mohd.Rafi, Kishore Kumar, Mukesh, Lata Mangeskar dan Asha Bhosle sedari kecil lagi. Zaman itu filem Melayu dalam gerhana. Kalau ada tayangan filem percuma di sekolah, sudah pasti filem Hindi yang dihidangkan. Di estet getah tempat emak aku menoreh, filem Tamil yang ditayangkan semasa hari gaji. Heronya mesti M.G.Ramachandran (MGR) atau Sivaji Ganesan. Ada seorang pelawak Tamil yang dipanggil Cicak amat disukai ramai. Jadi dengan latarbelakang ini aku selesa dengan lagu-lagu Hindustan dan cerita Tamil. Anak-anak sering mentertawakan aku bila aku mendengar lagu Hindustan atau Tamil semasa membawa kereta. Mereka rasa ia tidak cool.

lagu Paatu Padava nyanyian Gemini Ganesan


Zaman dulu, bila menonton filem Hindi, kejelitaan pelakon wanitanya boleh membuat kita termimpi-mimpi. Dengan pemandangan latar yang indah (biasanya Kashmir) dan suara nyanyian (pinjaman) yang merdu maka mudah saja hati menjadi lebur. Ramai  lelaki dahulu menyimpan foto aktres Hindi dalam dompet duit. Tidak kurang gadis-gadis yang menampalkan gambar aktor-aktor Hindustan yang handsome yang mendedahkan bulu dada di dinding rumah. Jadi semasa menonton klip filem Hindi malam semalam aku terkenang kepada seorang gadis India yang jelita. Dia seorang Tamil tapi berkulit putih persis orang Hindi. Anehnya aku tidak pernah bertemunya dalam hidup. Maksud aku, aku tak pernah bertemu semasa Mariayee hidup. Aku bertemu Mariayee setelah dia mati. Bagaimana ini terjadi?

Beberapa bulan selepas aku dilantik sebagai majistret di Kuala Kubu Bharu di penghujung tahun 1987, aku didatangi oleh seorang pegawai penyiasat polis berbangsa Cina. "Tuan, kami memerlukan perintah tuan untuk menggali kubur dan menjalankan post mortem," kata Inspektor itu selepas memberi tabik hormat dan menghentak kaki dengan kuat. Kamar majistret yang terletak di tingkat atas bangunan lama itu sedikit bergegar dibuatnya. Aku tahu bila polis memberi salute yang kuat seperti itu mereka desperate. Memang mereka desperate

"Mengapa tanam mayat sebelum post mortem?" soalku dan Inspektor itu mula gelabah. Undang-undang menyatakan kuasa mengebumikan mayat terletak di tangan polis tetapi kuasa untuk menggali semula kubur (exhumation) terletak kepada majistret. Aku tahu dalam kes ini mayat tidak diperiksa dengan teliti oleh pegawai penyiasat sebelum dikebumikan. Inspektor itu memberi penjelasan dan benar-benar merayu agar perintah diberikan.

Aku meneliti kertas siasatan dan aku melihat beberapa foto gadis itu yang tersisip dalam Laporan Mati Mengejut (Sudden Death Report). Berderau darah muda aku. Dia begitu jelita sekali. Memang cantik. Kelihatan kepadaku dia adalah seorang Hindi  walaupun polis mengatakan dia seorang gadis Tamil. Namanya Mariayee dan umurnya tujuh belas tahun. Sayu hati melihat gadis begitu cantik mati dalam usia yang begitu muda. Menurut siasatan dia mati membunuh diri dengan meminum racun. Setelah meneliti fail dan mendengar penjelasan polis aku memberi perintah dengan menulisnya dalam kertas siasatan, menurunkan tandatangan dan cop mohor mahkamah. Oleh kerana hari telah petang exhumation akan dijalankan pagi esoknya.

Esoknya aku dibawa oleh polis ke perkuburan Hindu kira-kira dua kilometer dari mahkamah. Di atas kubur ramai pemberita menunggu bersama-sama polis, orang awam dan kakitangan hospital. Bila kubur digali semakin dalam aku mula menghidu bau yang tidak menyenangkan. Aku mengeluarkan saputangan dari kocek kot hitam yang aku pakai. Bau semakin kuat dan aku meminta minyak angin daripada seorang polis dan menyapunya kepada sapu tangan sebelum menutup hidung kembali. Namun begitu bila penggalian sampai kepada mayat bau yang sangat memualkan menyusup ke dalam hidungku dan aku rasa seperti hendak muntah. Seorang polis berpangkat sarjan menghampiriku. "Tuan ambil ini dan masuk dalam saputangan dan tutup hidung. Insya Allah bau tu tak boleh masuk." Aku akur dan mengambil darinya seketul benda seperti batu dan mengikut cadangannya. Wah, berhasil! bau busuk mayat yang begitu meloyakan kini diganti oleh suatu bau lain yang lebih menyenangkan dan familiar. Bau belacan! Barulah aku tahu belacan boleh menutup bau-bau busuk  lain yang hanyir dan meloyakan.

Bila penggalian sudah siap aku pergi di tepi kubur. Dalam kubur aku melihat mayat Mariayee terbaring telentang. Dia belum berkahwin dan mengikut adat Hindu mayat seperti ini tidak dibakar tetapi dikebumikan. Mayat itu memakai blaus kuning dan skirt merah. Tetapi ia bukan lagi Mariayee dalam gambar yang aku tatap semalam. Aku kini berhadapan dengan sekujur tubuh yang telah ditanam selama tiga hari. Kulitnya sudah menjadi kehitaman dan mula tanggal. Kukunya telah lekang. Matanya terbonjol dan perutnya sudah buncit. Malah seluruh badan sudah membengkak, berair dan menunggu masa untuk pecah. Selepas aku mengangguk-angguk yang dianggap sebagai arahan, beberapa anggota polis dan kakitangan rumah mayat hospital turun mengangkat jasad itu menaiki kereta polis. Aku, pegawai penyiasat dan doktor pathologist menaiki kereta lain untuk menyaksikan autopsy (pembedahan mayat).

Sampai di rumah mayat (mortuary) Hospital Kuala Kubu Bharu aku terkejut kerana lokasinya terletak betul-betul di atas banglo majistret. Selama ini aku cuma melihat kelibat sebuah rumah di atas tebing yang dipagari oleh pokok-pokok renik. Ia dipayungi pula oleh sebatang pokok yang besar. Pada waktu malam pokok itu sedikit menyeramkan. Aku menjenguk di celah-celah pagar dan dapat melihat banglo setingkat yang aku diami nampak sunyi sekali. Sejak datang ke KKB aku duduk bersendirian dalam quarters majistret itu. Waktu malam aku biasanya membaca, menonton tv atau video untuk meladeni kesunyian.

Itulah autopsy yang pertama dan terakhir yang aku hadiri. Atendan rumah mayat bekerja dengan pantas membuat post mortem ke atas jasad gadis muda itu; membedah di sana, menggergaji di sini, memotong di sana mencungkil di sini, menggunting di sana, menimba di sini. Mayat itu sudah berulat. Beribu-ribu ulat halus (maggot) berjalan dengan bebas di atas tempat pembedahan. Doktor pathologist membawa satu daging yang panjangnya lebih sekaki dan menunjukkan kepada aku dan pegawai penyiasat. "Ini lidah mayat," katanya. "Lihat, terdapat kesan terbakar berwarna hitam yang masuk sampai ke pangkal lidah yang terletak di dalam badan jauh lebih dalam daripada halkum. Ini tandanya dia dipaksa meneguk racun bukan dia meminumnya dengan sukarela. Jika ia dibuat secara sekarela, kawasan lecur ini pendek sahaja kerana pada lazimnya mangsa akan membuang racun setelah merasa kepanasan di hujung lidah," jelas pakar forensik itu lagi.

Setelah selesai post mortem aku melihat atendan-atendan hospital berdiri santai sambil berbual-bual. Mereka kelihatannya tidak beremosi langsung. Muka mereka seperti muka mayat yang tidak ada ekspresi. Seorang daripada mereka merokok dan aku lihat tangannya  memakai sarung tangan pembedahan yang masih lembab dan ada ulat-ulat halus di atasnya. Aku merasa mual dan terus keluar untuk berbual-bual dengan Dr Nirmal Singh, Pegawai Perubatan Daerah KKB yang menunggu aku di luar. Petang itu mayat Mariayee ditanam semula dalam kubur yang sama.

Esoknya cerita pembongkaran kubur Mariayee dilaporkan dalam banyak akhbar. Utusan Malaysia meletakkannya di muka hadapan dengan gambar aku memakai kot menjenguk kubur dipaparkan. Lucu juga aku melihat gambar aku memakai suit di atas kubur. Pada hari yang sama ibu mendiang Mariayee di bawa ke hadapanku untuk perintah reman kerana disyaki membunuh anaknya. Selepas dua minggu dia dibawa sekali lagi dan dituduh secara rasmi membunuh anaknya di bawah seksyen 302 Kanun Kesiksaan. Perbicaraan awal akan dibuat di Mahkamah Majistret dan jika ada bukti yang cukup, kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh. Ini disebabkan hanya Mahkamah Tinggi saja yang boleh menjatuhi hukuman mati. Sekarang prosedur perbicaraan awal ini (preliminary enquiry) telah dimansuhkan. Pendakwaan akan terus dibuat di Mahkamah Tinggi.

Mariayee menerima nasib yang begitu malang kerana bercinta dengan seorang pemandu lori. Percintaan ini dibantah keras oleh keluarga Mariayee kerana mereka tergolong dalam kasta tinggi sementara pemandu lori itu daripada kasta rendah. Mariayee dan keluarganya berkulit cerah sementara kekasihnya berkulit hitam. Suatu hari ibu Mariayee meminta perhubungan itu diputuskan tetapi Mariayee membantah. Ibunya mencabar dia supaya minum racun untuk membuktikan ketulusan cintanya. Mariayee menolak tetapi dia dipaksa minum juga dengan tengkuknya dipegang dan racun ditonyoh ke dalam mulutnya. Mariayee mati tetapi dalam repot polis keluarganya menyatakan dia bunuh diri selepas ibunya memaksa dia memutuskan hubungan cintanya. Pihak polis percaya dengan versi ini dan mengkelaskan kematiannya sebagai mati mengejut dan tidak ada post mortem yang teliti dibuat. Polis mengeluarkan permit pengebumian dan Mariayee dikebumikan seperti kelaziman anak dara iaitu di"kafan"kan dengan pakaian yang paling disukainya semasa hidup. Blaus kuning dan skirt merah. Mariayee dijangka berehat dalam tenang dalam alam kubur selepas tragedi tersebut. Rest in peace.

Malangnya, cerita sebenar terbongkar bila ada ahli keluarga Mariayee berjumpa polis menceritakan versi mereka. Repot polis dibuat. Klasifikasi kes bertukar daripada Laporan Mati Mengejut kepada bunuh. Perintah mahkamah dipohon untuk penggalian kubur supaya post mortem penuh dapat dibuat. Mariayee tidak dapat rehat dalam tenang. Jasadnya digali dan diusik (disiksa kalau ikut perspektif Islam). Akupun tidak dapat berehat dalam tenang. Bila malam menjelang aku mula terbayang wajah cantik Mariayee semasa hidupnya. Wajah cantik ini akan berganti wajah hodoh mayatnya yang mereput. Apabila hampir tengah malam biasanya ada anjing yang menyalak sayu di bawah pokok rendang di penjuru halaman rumahku. Seorang kawanku yang ada ilmu dukun bernama Azhari yang sama bekerja di KKB pernah memberitahuku bahawa anjing-anjing itu kalau menyalak sedih di waktu malam maknanya ada roh yang melintas. Masa diberitahu itu aku tidak tahu ada mortuary terletak di sebelah rumahku. Selepas episod Mariayee, bulu romaku akan berdiri bila mendengar salak sayu anjing kerana mengingatkan hanya di sebelah pagar ada mayat-mayat terbaring dalam mortuary. Aku lantas bingkas bangun dan mencapai kunci kereta dan memecut ke Kuala Lumpur menumpang tidur di rumah kawan rapatku Ashi atau Zambry di Petaling Jaya. Berminggu-minggu aku berbuat begitu sehinggalah aku merasakan betapa bodohnya aku mengikut perasaan takut dan berapa ruginya aku membuang minyak berulang-alik ke KL setiap hari.

Dua puluh enam tahun telah berlalu tetapi aku tidak boleh lupa kesah malang Mariayee. Bila aku ke KKB dan melintas kawasan kubur Mariayee aku akan bercerita tentangnya kepada isteri, anak-anak dan kawan-kawanku. Bila aku menonton filem Hindi aku akan teringat wajah Mariayee. Kalau dia masih hidup dia berumur 43 tahun sekarang, mungkin tidak secantik wajahnya semasa 17 tahun. Heroin-heroin Hindustan yang dulunya cantik jelita, Sharmila Tagore, Asha Parekh, Nanda, Saira Banu,  Mumtaz, Vyjanthimala telah tua sekarang dan semua wajah mereka telah pudar. Malang sungguh Mariayee, dan malang sungguh aku yang melihat transformasi wajahnya hanya dalam tempoh sehari dan ia melekat dalam ingatanku. Dari satu segi ia memberi keinsafan kepadaku betapa semua ciptaan Allah  tidak kekal. Kita mesti menerima hakikat ini. 

3 Disember 2013
Menara Razak, UTM Kuala Lumpur




1 comment: