Wednesday 13 September 2017

DUKA SHEIKH AL HUSARI (YASMIN AL KHAYYAM)


Hari ini Ahad 17 September 2017 ialah ulangtahun kelahiran Sheikh Mahmud Khalil Al Husari ke 100, Aku ingin menyambung cerita qari tersohor ini dengan Yasmin Al Khayyam. Apa hubungan Yasmin, penyanyi bersuara emas yang pernah dinobatkan sebagai pengganti Umm Kulthum dengan Sheikh Al Husari?

Tidak ramai yang tahu Sheikh Al Husari mengalami kedukaan yang panjang sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir pada penghujung tahun 1980. Punca utamanya ialah Yasmin.

Sepanjang bulan Ramadan  tahun itu (dalam bulan Julai dan Ogos 1980) setiap petang RTM menyiarkan drama kisah nabi-nabi sebelum waktu berbuka. Masa itu aku tinggal di asrama Sekolah Menengah Sains Melaka. Drama purba itu sangat menarik. Aku dan beberapa kawan mengikutinya tanpa gagal. Aku terpikat dengan pertuturan Arab fushah (baku) yang digunakan. Cerita yang paling aku suka dan tidak boleh lupa ialah kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha. Setiap siri drama itu dimulakan dan diakhiri dengan sebuah nasyid yang sangat mengasyikkan bertajuk "Muhammad Ya Rasulullah". Penyanyi utamanya seorang wanita yang memiliki variasi vokal  menakjubkan. Suaranya gemersik persis Umm Kulthum tetapi ia diselang-seli dengan alunan suara lembut lemak merdu yang begitu menawan. Penyanyinya ialah Yasmin Al-Khayyam. 


Yasmin Al Khayyam @ Ifrag Al Husari

Mari kita dengar sebahagian nasyid itu dan suara emas Yasmin dalam drama tersebut.

drama ini sangat popular satu masa dahulu. Lagu latarnya dinyanyikan oleh
Yasmin Al Khayyam.


Nama asal Yasmin Al-Khayyam ialah Ifrag Al-Husari. Ya, dia ialah anak Sheikh Mahmud Khalil Al Husari. Kita bagai tidak percaya seorang qari termasyhur dengan peribadi yang begitu luhur dan dihormati seluruh dunia ada anak perempuan yang jadi penyanyi. Nampak tidak compatible. Tapi itulah hakikatnya. Orang-orang alim selalu berkata semakin tinggi ketakwaan seseorang semakin besar ujian yang ditempuhinya. Malah Rasulullah SAW pun diuji dengan karenah isteri-isterinya. Ini disebut dalam Al Quran. Inilah juga yang terjadi kepada Sheikh Al-Husari di akhir-akhir hayatnya. Anak perempuannya adalah ujian terbesar baginya.

Sheikh Al-Husari mendidik Ifrag bagai menatang minyak yang penuh. Dia diberi didikan ugama yang keras, sempurna dan dicurahkan kasih-sayang oleh bapanya. Dia menghafal Al Quran sejak kecil. Malah gambar pertama yang dirakam oleh bapanya ialah semasa dia menghafal Surah An Nur yang sarat dengan peraturan mengenai kehormatan wanita serta hukum-hakam yang bersabit dengannya.  Maknanya dari kecil dia sudah tahu batas-batas ugama yang perlu dipatuhi oleh wanita Islam seperti aurat dan perhubungan wanita dengan lelaki.

Yasmin selalu terkilan tidak dapat berpakaian bebas seperti pelajar-pelajar perempuan lain yang berseluar dan berskirt. Dia disuruh oleh bapanya memakai pakaian yang panjang dan longgar. Setelah tamat sekolah menengah Yasmin ingin melanjutkan pelajaran ke Universiti Iskandariah tetapi bapanya tidak berapa setuju. Menurutnya, bagi seorang wanita,  pendidikan sekolah menengah sudah memadai. Hanya selepas Ifrag berkahwin dia dapat masuk universiti dengan izin suaminya. Itupun dengan syarat dia mesti mengutamakan tugasnya sebagai isteri terlebih dahulu. Ifrag yang bijak itu lulus dan bekerja sebagai pegawai di Parlimen Mesir. Di situ dia mengenal ramai VIP.

Kariernya sebagai penyanyi bermula apabila Wanita Pertama Mesir Jihan Sadat mendengar suaranya dalam satu majlis. Kagum dengan vokal Ifrag, dia mahu Ifrag turut serta dalam sambutan pertama kematian Umm Kulthum pada Januari 1976. Jihan Sadat menjemput Ifrag dan bapanya bertemu Presiden Anwar Sadat di kediaman presiden. Presiden Sadat memohon kebenaran Sheikh Al Husari supaya Ifrag  menyanyi dalam konsert negara itu. Sheikh Al Husari membantah namun ia ditolak oleh presiden kerana suami Ifrag mengizinkannya. Bagi Sadat ia bukan satu isu kerana bila berkahwin kuasa ke atas wanita beralih dari bapa kepada suaminya.

Sheikh Al Husari masih mahu meyakinkan anak perempuannya itu supaya tidak turut serta. Esoknya Ifrag dibawa berjumpa Rektor Al Azhar, Sheikh Abdul Halim Mahmud yang juga seorang ulama tersohor. Sheikh Al Azhar itu memberitahu mereka hukum wanita menyanyi adalah harus selagi ia tidak menimbulkan fitnah, melekakan pendengar daripada tugas ugama dan tidak menaikkan syahwat. Ifrag mengambil pendapat ulama itu dan menganggap penyertaannya tidak bertentangan dengan hukum ugama.

Konsert itu melonjakkan nama Ifrag Al Husari. Dia mendapat tawaran merakam suara. Untuk menjaga nama baik bapanya, Ifrag menggunakan nama seni Yasmin Al Khayyam. Dia menjadi terkenal dengan genre lagu  nasyid dan keugamaan. Kemudian Yasmin beralih kepada genre lagu patriotik. Jiwa seninya tidak dapat dibendung dan akhirnya dia merakam suara dan membuat konsert dalam genre lagu pop pula. Inilah yang menyedihkan bapanya. Walaupun Yasmin tidak membawa nama Al Husari tetapi masyarakat tetap tahu juga. Kita boleh bayangkan radio dan TV menyiarkan bacaan Al Quran bapanya di sebelah pagi dan di petangnya muncul pula suara anaknya menyanyi lagu pop. Yasmin muncul tanpa bertudung seperti artis-artis lain. Sudah tentu bapanya berduka.

Tentu qari yang warak itu sedar perintah Allah, mafhumnya "Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu" (At Tahrim:6).

Tindakan Yasmin ini dibantah oleh ramai orang. Di Al Azhar tempat bapanya bertugas, mereka merungut kepada Sheikh Al Husari. Ada yang lebih ektrim telah mendesak sheikh itu pergi ke hadapan Kaabah dan berdoa supaya Allah mengambil nyawa Yasmin atau berdoa sekurang-kurangnya suara Yasmin dicabut untuk menghentikan kemaksiatannya. Yasmin sendiri mendapat ugutan akan diserang dan mukanya disimbah asid.


Yasmin dalam konsert dengan lagu pop Arab

Semasa aku siswa UIA, aku bertemu seorang pelajar Indonesia yang pernah belajar di Mesir. Dialah yang memberitahu aku kisah Sheikh Al Husari dan anaknya Yasmin Al Khayyam. Menurutnya Sheikh Al Husari makan hati dengan karenah Yasmin hingga menjejaskan kesihatannya.

Yasmin sendiri bersikap tegas dalam pendiriannya. Dia terus menyanyi. Tapi dia juga sangat menghormati dan mengasihi bapanya. Setiap kali dia bertemu bapanya dia akan memakai tudung. Malah setelah bapanya meninggal dunia, dalam program TV mengenang bapanya, dia muncul dengan bertudung walaupun dia tidak bertudung dalam kehidupan sehariannya. Apabila bapanya meninggal Yasmin berjumpa kawan baik bapanya yang juga seorang ulama tafsir yang terkenal di Al Azhar iaitu Sheikh Al Sya'arawi. Ulama itu bertanya mengapa Yasmin masih tidak menutup aurat.

Namun orang-orang Islam dan beriman senantiasa mendoakan kesejahteraan isteri, anak dan keturunan mereka. Sudah tentu Sheikh Al Husari juga senantiasa mendoakan agar Yasmin kembali dalam kehidupan Islam yang sejati. Kita sering membaca doa ini, (mafhum) "Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kami isteri-isteri dan keturunan kami sebagai penyenang hati ("qurrata a'yun") dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa" (Al Furqan:74).

Selepas bapanya meninggal Yasmin berubah sedikit demi sdikit. Dia sering dinasihati oleh cendekiawan Islam kawan kepada bapa dan ibunya seperti Zainab Al Ghazali. Kemuncaknya ketika Yasmin mengunjungi Sheikh Al Sya'arawi sebelum dia bersara dari Al Azhar pada 1990, sheikh itu meminta dia menutup aurat bagi menghormati legasi bapanya qari yang masyhur itu.

Pada tahun yang sama, Yasmin melawat Paris dan tertarik dengan kecekalan seorang pelajar Maghribi berumur 16 tahun yang bertelagah dengan pemerintah untuk memakai tudung semasa di sekolah. Bila pulang ke Mesir Yasmin telah memakai tudung dan kali ini dia kekal menutup aurat. Dia juga meninggalkan terus kariernya sebagai penyanyi.

10 tahun selepas kematian bapanya Yasmin menutup aurat sepanjang masa

Untuk memperingati bapanya Yasmin telah menubuhkan Yayasan Sheikh Al Husari di Kaherah untuk menaja beribu-ribu anak yatim. Yayasan ini juga aktif dalam dailog antara ugama. Kali ini Yasmin memperkenalkan dirinya dengan nama Yasmin Al Husari. Dia sering menampilkan dirinya berpakaian serba putih sebagai perlambangan warna yasmin (bunga melur).

Yasmin Al Husari aktif dalam aktiviti kebajikan Islam.

Ketika Presiden Obama melawat Mesir, Yasmin telah dijemput menemui presiden itu kerana semasa hidupnya Sheikh Al Husari pernah bertemu bapa Obama di Afrika dan menghadiahkannya kaset bacaan Al Quran bacaannya.

Sekarang Yasmin Al Husari meningkatkan penghayatan Islamnya dengan menutup mukanya. Dalam satu dokumentari mengenai bapanya yang boleh ditonton dalam Youtube, Yasmin memberi temuramah dalam berpurdah. Jika bapanya masih hidup tentu beliau akan gembira kerana mendapat seorang anak perempuan yang menyenangkan hati.

Semoga cerita ini memberi manfaat kepada kita. Sempena 100 tahun kelahirannya hari ini marilah kita mendoakan  roh Sheikh Mahmud Khalil Al Husari ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dengan kedudukan yang tinggi di sisi Allah Ta'ala atas jasanya yang sangat besar kepada Al Quran dan umat Islam. Al Fatihah.


17 September 2017
Petaling Jaya.








No comments:

Post a Comment